وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ
Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik. (al-Ankabuut 29:69)
Assalamualaikum. Untuk memudahkan layaran, teknik paparan yang sederhana digunakan dan anda boleh terus klik ke artikal pilihan anda di bawah ataupun melalui 'tab folder' di atas. Laman ini akan terus diperkemaskini dengan artikal-artikal ilmiah dan berita semasa, insyaAllah. Selamat membaca.
Aqidah:
Persoalan Mengenai Kedatangan Roh
Wahhabi Sesat?
Wahhabi sesat kata Gus Dur
Hubungan antara agama dan akal
Riddah Yang Paling Bahaya
Wahhabi : Fahaman Wahhabi, Satu Penilaian
Antara Aqidah Dan Pilihanraya
Kesan Keimanan Kita Kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Syarat Sah Dua Kalimah Syahadah
Haraki:
Sistem Pemerintahan Islam - Siri 1
Hukum Menegakkan Sistem Pemerintahan Islam - Siri 2
Ke Mana Undi Anda?
Wahhabi dan Kejatuhan Khilafah Usmaniah
Isu Semasa:
Pengharaman Penggunaan Nama “Allah” - Satu Tinjauan
Beberapa Perhatian Mengenai Influenza A (H1N1)
Ibadah:
Perkara Yang Dilarang Dilakukan Ketika Solat
Hukum Meraup Muka Ketika Salam Solat
Kaifiat Solat Yang Sempurna – Bhg 3
Kaifiat Solat Yang Sempurna – Bhg 2
Kaifiat Solat Yang Sempurna – Bhg 1
Solat Sempurna Bukan Yang Sah Semata-Mata
Azan Mengikut Syariat Islam
Beberapa Kesilapan Imam Solat
Wirid terbaik adalah cara Nabi saw
Berimamkan imam solat sunat & lebih rakaat
Hukum wanita ke masjid
Siri 1 - Solat Berjamaah & Kefahaman Menjadi Imam
Siri 2 - Solat Berjamaah & Kefahaman Menjadi Imam
Siri 3 - Solat Berjamaah & Kefahaman Menjadi Imam
Siri 4 - Solat Berjamaah & Kefahaman Menjadi Imam
Siri 5 - Solat Berjamaah & Kefahaman Menjadi Imam
Siri 6 - Solat Berjamaah & Kefahaman Menjadi Imam
Siri 7 - Solat Berjamaah & Kefahaman Menjadi Imam
Solat Witir, Sunat Yang Bermusim?
Zikrullah, Tugas Setiap Individu Muslim
Sambutan Maulidul Rasul dan Persoalan Tentang Kesannya
Beberapa Soalan Mengenai Wali
Perkara Yang Membatalkan Solat Menurut Mazhab Syafei
Mengenal Riba - Siri 1
Mengenal Riba - Siri 2
Hadis:
Kepentingan Menilai Kesahihan Hadis
Peringatan Mengenai Hadis Dhoif
Peringatan Mengenai Hadis Dhoif (II)
Beberapa Peringatan Mengenai Hadis Dhoif (III)
Peringatan Mengenai Hadis Dhoif (IV)
Hadis Dhoif V
Kelebihan Bulan Rejab
Hadis Ifki - Ujian Sedih Kepada Ummul Mukminin. Aisyah r.a.
Kepentingan Mempelajari Hadis
Ilmu Hadis Adalah Semulia-Mulia Ilmu
Riyadus Solihin:
Bab 254 - Haram Mengumpat & Menjaga Lidah
Bab 255 - Haram Mendengar Mengumpat
Bab 256 - Mengumpat yang diHaruskan
Bab 257 - Haramnya Namimah
Bab 258 - Larangan Mengadu kpd Pemerintah
Bab 259 - Celaan Orang Yg Bermuka Dua
Bab 260a - Haramnya Berbohong
Bab 260b - Haramnya Berbohong
Bab 261 - Dusta yang diharuskan
Bab 262 - Perlu sahih apa yg diucap atau dicerita
Bab 263 - Haramnya Saksi Palsu
Bab 264 - Haramnya Melaknat Seseorang & Binatang
Bab 265 - Harus melaknat pemaksiat tanpa menentukan sesiapa
Bab 266 - Haram Memaki Muslim Tanpa Hak
Bab 267 - Haram Memaki Orang Telah Mati tanpa hak & agama
Bab 268 - Bab Pada Larangan Menyakiti
Maqasid:
Islam Sentiasa Relevan
Bab 1.1 - Mengenali Maqasid Syariah
Bab 1.2 - Tujuan di Sebalik Pensyariatan
Bab 1.3 - Mengenal Maslahah & Mafsadah
Bab 1.4 - Jenis2 Tujuan Dlm Ilmu Maqasid
Bab 1.5 - Jenis2 Maslahah
Bab 1.6 - Tingkatan Hukum-Hukum Taklif
Bab 1.7 - Pelengkap Kepada Maslahah-Maslahah
Bab 1.8 - Hukum Perkaitan Antara Maqasid Yang Tiga
Bab 2.1 - Melihat Kepada Natijah Perbuatan
Bab 2.2 - Mengenal Maslahah Mursalah
Bab 2.3 - Dalil 'Maslahah Mursalah' sbg sumber hukum
Bab 2.4 - Syarat Beramal Dengan “Maslahah Mursalah” - PILIHAN
Bab 3.1 - Mengenal Sadduz Zaraie
Bab 4.1 - MaqasiPost Optionsd Mukallaf
“Qawaid Maqasidiyyah” Imam Syatibi Dalam Hukum Perkaitan Antara Tiga Maqasid Syariah
Tokoh:
Imam Yahya bin Ma'in (Tokoh Hadis)
Amir Abu Hafs Martyred (inshaAllah)
Amir Khattab
Imam Syafie
Ibnu Taimiyyah
Imam as-Syatibi
Ummah:
Islam di Belarus
Islam di Burkina Faso
Islamophobia, bagaimana barat lihat Islam
Kristianasasi di Bangladesh
Islam di Guyana
Islam di Panama
Islam di Venezuela
Lain-lain:
Rampaian
Berita Semasa:
Keseluruhan berita.
Labels: Daftar Kandungan
Hukum Wudhuk Dan Solat Bagi Pesakit Yang Menggunakan Beg Kolostomi
40 Comments Published by TMSTI on Sunday, March 07, 2010 at 11:12 PM.Pada bulan yang lepas (10/12/09), pihak Kelab Stoma HPRZ II, melalui Dr Zaidi telah menjemput saya untuk mengisi satu slot daripada kursus penjagaan stoma yang dianjurkan mereka. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak mereka kerana kesudian menjemput saya, terutamanya Dr Zaidi yang telah memperkenalkan dengan lebih dekat kepada saya berkaitan stoma. Saya juga merasakan apa yang dilakukan mereka adalah satu perkara yang sangat baik dan perlu dicontohi. Ini kerana mereka telah meletakkan satu slot untuk perbincangan hukum-hakam dalam kursus penjagaan kesihatan mereka. Ia sangat membantu para pesakit dan petugas berkaitan dalam beribadah kepada Allah SWT sekalipun dalam keadaan sakit. Dan pujian ini juga telah pun dinyatakan oleh sebahagian peserta kursus.
Untuk slot tersebut, saya telah menyediakan slide show untuk presentation. Saya sudah menyatakan dalam blog saya ini (dalam artikel lepas tentang komen buku Ustaz Yahya Usman) bahawa saya akan menyiarkan artikel berkaitannya, namun agak lewat bagi saya untuk menyiarkannya. Ini kerana saya bercadang untuk membuat satu artikel yang berbentuk ilmiah dan dilengkapkan dengan dalil-dalil. Namun, masa tidak mengizinkan saya, dan akhirnya ia kekal begitu sahaja.
Dan dalam artikel ini, saya ingin kongsikan apa yang saya bentangkan pada hari itu (dengan hanya sedikit tambahan), dan saya menganggap saya perlu menyiarkannya (walau kurang sempurna) kerana ia mungkin berguna untuk kita semua. Apatah lagi sudah ada yang bertanya dalam cbox tentang hukum ini (bila menimpa ayahnya), dan juga ada kenalan terdekat saya yang terpaksa memakai beg kolostomi tersebut.
Sebelum saya membincangkan hukum berkaitan stoma, ada baiknya saya memperkenalkan kolostomi dan stoma (mengikut apa yang saya mampu nyatakan)[1].
Kolostomi ialah satu lubang yang dibuat melalui proses pembedahan pada dinding abdomen yang mana sebahagian kecil daripada usus besar itu dibawa ke permukaan kulit. Lubang buatan yang baru ini, dipanggil sebagai stoma. Ia adalah bertujuan untuk memudahkan najis keluar, tanpa melalui tempat usus yang sakit atau rosak. (kerana tidak boleh dikeluarkan daripada saluran biasa). Kadang-kadang, lubang buatan ini dibuat pada saluran kencing, yang dipanggil urostomi. Dan pesakit yang dibuat stoma akan memakai beg kolostomi.
Bagi pesakit-pesakit yang terpaksa memakai beg kolostomi, kebanyakkan daripada mereka merasa was-was untuk menunaikan solat kerana dua sebab, iaitu ;-
1. Adakah wudhuk mereka terbatal dengan sebab keluar najis tanpa boleh dikawal ke dalam beg kolostomi?
2. Adakah mereka dianggap menganggung najis? Dan adakah mereka perlu mengosongkan beg kolostomi setiap kali mengambil wudhuk atau menunaikan solat?.
Dan di bawah ini ialah dua fatwa yang saya kumpul berkaitan hukum memakai beg kolostomi.
Hukum Wudhuk Dan Solat Bagi Pesakit Yang Menggunakan Beg Kolostomi
1- Keputusan Fatwa Muzakarah Jawatan Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam
Kategori : Perubatan
Tajuk : Hukum Pelaksanaan Ibadah Bagi Pesakit Yang Menggunakan Beg Kolostomi
i. Pesakit yang menggunakan beg kolostami dikategorikan sebagai mereka yang mengalami masalah dharurat dan tidak dianggap sebagai menanggung najis. Oleh itu, mereka tidak perlu mengosong atau membersihkan beg kolostami setiap kali berwudhu' atau menunaikan solat.
ii. Wudhu' yang diambil oleh pesakit harus digunakan untuk melaksanakan semua ibadah termasuk menunaikan solat fardhu sehingga wudhu' tersebut terbatal.
Oleh : Muzakarah Kali Ke-79, Tarikh Keputusan: 6 September 2007
Tarikh Muzakarah : 6 September 2007 hingga 8 September 2007
2- Keputusan Fatwa Negeri Kelantan Darul Naim
Setelah membincangkan isu ini dengan teliti, Mesyuarat Jamaah Ulama’ bersetuju memfatwakan seperti berikut :
1. Pesakit-pesakit yang terpaksa menggunakan beg kolostomi adalah termasuk di dalam golongan orang yang uzur syar’ie dan mereka tidak terikat dengan salah satu syarat yang membatalkan wudu’ untuk menunaikan solat iaitu keluar sesuatu daripada 2 jalan iaitu qubul dan dubur seperti yang disyaratkan kepada orang yang sihat.
2. Oleh itu, wudu’ mereka tidak terbatal walaupun najis keluar ke dalam beg kolostomi mereka. Keadaan mereka dihukumkan sebagaimana hukum seseorang yang mengalami silsu baul (air kencing sentiasa menitik) dan wanita yang mengalami istihadhoh. Dalam kedua-dua keadaan ini, telah disepakati oleh para fuqaha’ bahawa tidak terbatal wudu’ mereka walaupun najis telah keluar daripada 2 kemaluan mereka selepas mereka berwudu’ untuk menunaikan solat.
3. Penggunaan beg kolostomi juga boleh dianggap sebagai usus mekanikal iaitu pengganti kepada usus yang asal dan ia merupakan sebahagian daripada perut. Oleh itu selagi mana najis belum terkeluar daripada beg kolostomi ini, najis itu dikira masih berada di dalam badan pesakit dan wudu’ tidak akan terbatal dengan sebab keluar najis ke dalam beg tersebut.
4. Ketika hendak mengambil wudu’, pesakit-pesakit yang terpaksa menggunakan beg kolostomi ini tidak perlu mengosongkan beg kolostomi mereka setiap kali mengambil wudu’ kerana keuzuran mereka kecuali perkara itu tidak menyusahkan pesakit berkenaan. Mereka dikehendaki mengambil wudu’ apabila telah masuk waktu solat dan menyegerakan pelaksanaan solat sebaik sahaja berwudu’. Rujuk: e-fatwa.gov.my
Inilah dua fatwa yang telah difatwakan di Malaysia yang saya tau berhubung pemakaian beg kolostomi. Dan di sini, saya ingin berkongsi sebaghagian dalil dan hujah-hujah mereka pada pandangan saya.
Hujah-hujah
1- Yang membatalkan wudhuk ialah keluar sesuatu (apa sahaja) daripada dua jalan, iaitu qubul dan dubur. Namun dalam masalah ini najis yang keluar bukanlah daripada dua jalan tersebut. Kerana itu wudhuk mereka tidaklah terbatal.
Berkata Imam Syafie: “…muntah, pendarahan hidung, darah yang keluar bukan daripada jalan hadas, maka tidak perlu berwudhuk…sebagaimana tidak batal wudhuk pada sendawa yang berubah dan juga pada air liur, kerana ia keluar bukan dari tempat keluar hadas (qubul dan dubur)”. Rujuk al-Hawil Kabir, karangan Imam Mawardi.
Berkata Imam Mawardi: “…apa sahaja yang keluar bukan daripada dua jalan tidaklah membatalkan wudhuk, samada yang keluar itu suci seperti air mata dan air liur, atau najis seperti muntah, darah berbekam dan pendarahan hidung…Dan ini adalah pendapat Ibn Umar, Ibn Abbas, (sahabah), Ibn al-Musayyab, al-Qasim bin Muhammad (tabien), Imam Malik, Rabiah dan Abu Thaur.”
Dalam masalah adakah mereka menanggung najis, maka antara hujah yang membenarkan ialah:-
Aisyah r.a. menyatakan bahawa Fatimah binti Abi Hubaisy datang bertanya Nabi s.a.w.: “Wahai Rasulullah, saya seorang perempuan yang istihadhah (sentiasa keluar darah), kerana itu saya tidak suci, adakah saya boleh meninggalkan solat?” Jawab baginda: “Jangan…solatlah sekalipun darah itu menitis ke atas tikar”. Hadis riwayat Ahmad.
Jabir menyatakan bahawa dalam satu peperangan, seorang lelaki dipanah dan darahnya mengalir, namun dia masih meneruskan solatnya dengan rukuk dan bersujud. Hadis riwayat Bukhari “muallaq”.
Al-Hasan (Basri) menyatakan bahawa kaum muslimin sentiasa bersolat sekalipun dengan luka-luka mereka.
Dan sebagai peringatan, saya menyatakan janganlah sekali-kali kita meninggalkan solat walau dalam keadaan apa sekalipun. Bahkan para pesakit lebih patut untuk tidak meninggalkan solat. Firman Allah SWT:
“Tetapi mengapakah ketika datang kepada mereka seksaan kami, mereka tidak merendah diri (berdoa dan bertaubat memohon keampunan), bahkan hati mereka telah menjadi keras dan syaitan (memperdayakan mereka dengan) menampakkan indah (baik) apa yang mereka lakukan”. Surah al-An’am: 43
Dan semoga kita semua terselamat daripada penyakit yang membahayakan. Berdoalah kepada Allah SWT dengan doa ini supaya kita terselamat daripada bahaya penyakit tersebut.
“Segala puji bagi Allah SWT yang memberikanku keafiatan, dan Dia tidak mengujiku (dengan bala ini), dan Dia mengurniakan kepadaku pelbagai kurniaan mengatasi ramai di kalangan makluk-makhlukNya”.
Labels: Ilmu, Isu Semasa, Perubatan
Ciri-Ciri Orang Yang Beriman (Siri 5)
9 Comments Published by TasekPauh Blogspot on Thursday, February 11, 2010 at 8:17 PM.Keempat puluh satu: Tidak akan meniru atau terpengaruh dengan orang-orang yang kafir dan yang dimurkai Allah SWT, samada dalam pemikiran, perbuatan, penampilan atau sebagainya. Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang kafir”. Surah Ali Imran: 156. Mereka juga tidak akan meniru gaya dan tingkah laku orang yang lupakan Allah SWT. Bahkan contoh mereka adalah para Nabi-nabi dan salafus soleh. Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasiq”. Surah al-Hasyr: 19.
Mereka lebih suka dengan identiti keimanan yang ada pada mereka sendiri. Ini kerana mereka memahami itulah yang terbaik untuk mereka. Firman Allah SWT: “Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (kedudukannya), jika kamu orang-orang yang beriman”. Surah Ali Imran: 139.
Keempat puluh dua: Orang yang beriman tidak akan melampau dalam menilai sesuatu sehingga mengharamkan apa yang dihalalkan Allah atau sebaliknya. Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan kepada kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak sukakan orang-orang yang melampaui batas”. Surah al-Maidah: 87.
Keempat puluh tiga: Orang yang beriman adalah orang yang amanah. Mereka memahami bahawa merosakkan amanah merupakan sikap orang munafiq. Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepada kamu, sedang kamu mengetahui (wajib taat dan menunaikannya)”. Surah al-Anfal: 27. Anas bin malik menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. dalam banyak ucapan khutbahnya menyebut:
لاَ إِيْمَانَ لِمَنْ لاَ أَمَانَةَ لَهُ، وَلاَ دِيْنَ لِمَنْ لاَ عَهْدَ لَهُ.
Ertinya: “Tidak ada iman kepada orang yang tiada amanah, dan tiada agama kepada orang yang tiada janji”. Hadis riwayat Ahmad, dan Syeikh Syuaib al-Arnauth menganggapnya hadis hasan.
Keempat puluh empat: Orang yang beriman akan sentiasa bersama orang yang benar-benar mentaati Allah. Mereka tidak akan suka untuk bersama dengan golongan yang menderhakai Allah, apatah lagi yang merendah-rendahkan agama. Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang benar”. Surah at-Taubah: 119. Mereka tidak akan bersama golongan yang bid’ah yang berfahaman dengan ideologi-ideologi baru atau ajaran sesat, apatah yang menghina agama mereka. Firman Allah SWT: “Dan sungguh Allah telah turunkan kepada kamu di dalam Al Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diengkari dan dipermain-mainkan, maka janganlah kamu duduk bersama mereka, sehingga mereka bercakap perkara yang lain. Sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam (neraka) Jahannam”. Surah an-Nisa’: 140.
Mereka juga tidak akan bersama dengan golongan yang jelas-jelas melakukan kemaksiatan kepada Allah SWT. Jabir r.a. menyatakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ، فَلاَ يَجْلِسْ عَلَى مَائِدَةٍ يُدَارُ عَلَيْهَا الْخَمْرُ.
Ertinya: “Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia duduk pada hidangan yang dihidangkan arak”. Hadis riwayat Tirmizi dan al-Hakim, dan beliau menganggapnya sohih mengikut syarat Imam Muslim dan diakui az-Zahabi.
Keempat puluh lima: Di antara sikap orang yang beriman yang sebenar ialah bergaul dengan orang ramai dan bukannya hidup bersendirian. Ini kerana mereka memahami dengan pergaulan mereka mampu berdakwah dan amar makruf serta nahi munkar. Lagipun bergaul merupakan sikap keseluruhan Rasul yang diutuskan Allah SWT. Sabda Nabi s.a.w.:
الْمُؤْمِنُ الَّذِيْ يُخَالِطُ النَّاسَ وَيَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ أَعْظَمُ أَجْرًا مِنَ الَّذِيْ لاَ يُخَالِطُهُمْ وَلاَ يَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ
Ertinya: “Orang beriman yang bergaul dengan orang ramai dan mampu bersabar dengan kejahatan mereka adalah lebih banyak pahalanya daripada orang beriman yang tidak bergaul dan tidak mampu bersabar dengan kejahatan orang ramai”. Hadis riwayat Ahmad dengan sanad yang sohih.
Tambahan lagi mereka memahami bahawa syaitan sukakan orang yang bersendirian. Saidina Umar r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda dalam khutbah baginda:
فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ، وَهُوَ مِنَ الاثْنَيْنِ أَبْعَدُ، لاَ يَخْلُوَنَّ أَحَدُكُمْ بِامْرَأَةٍ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ ثَالِثُهُمَا
Ertinya: “Sesungguhnya syaitan itu bersama dengan orang yang bersendirian. Dan dengan orang yang berdua itu, dia lebih jauh. (Namun,) janganlah kamu berdua-duaan dengan seorang perempuan, kerana yang ketiganya adalah syaitan”. Hadis riwayat Ahmad dengan sanad yang sohih.
Keempat puluh enam: Orang yang beriman adalah orang yang beradab dan berpertauran. Kehidupan mereka adalah teratur dan beradab kerana keimanan yang ada pada mereka. Mereka tidak akan masuk ke rumah orang lain tanpa keizinan terlebih dahulu. Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum kamu meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu (selalu) ingat. Jika kamu tidak dapati seorangpun di dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu diberikan keizinan. Dan jika dikatakan kepadamu: "Pulanglah”, maka hendaklah kamu pulang. Itu lebih bersih bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”. Surah an-Nur: 27-28.
Sebagaimana mereka mempunyai adab di luar rumah, mereka juga mempunyai adab-adab dalam rumah. Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba (lelaki dan wanita) yang kamu miliki, dan orang-orang yang belum baligh di antara kamu, meminta izin kepada kamu tiga kali (dalam satu hari) iaitu: sebelum solat subuh, ketika kamu menanggalkan pakaian (luar)mu di tengah hari dan sesudah solat isyak. (Itulah) tiga aurat bagi kamu. Tidak ada dosa atasmu dan tidak (pula) atas mereka selain daripada (tiga waktu) itu. Kamu dan mereka saling pergi mari (kerana keperluan masing-masing). Demikianlah Allah menjelaskan hukum hakam untuk kamu. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”. Dan apabila kanak-kanak di kalangan kamu telah sampai umur baligh, maka hendaklah mereka meminta izin, seperti orang-orang yang sebelum mereka meminta izin (setiap masa). Demikianlah Allah menjelaskan hukum hakamNya. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”. Surah an-Nur: 58-59.
Mereka juga mempunyai adab bila bersama orang ramai dalam majlis. Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman apabila dikatakan kepadamu: "lapangkanlah (berikanlah ruang) dalam majlis", maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan kepadamu. Dan apabila dikatakan: "Bangunlah kamu (untuk perkara-perkara kebaikan)", maka bangunlah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”. Surah al-Mujadilah: 11.
Keempat puluh tujuh: Orang beriman yang sebenar tidak akan memperlekeh dan menghina orang Islam yang lain. Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan lelaki mempermainkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang dipermainkan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan mempermainkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang dipermainkan itu lebih baik dari mereka. Dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri (mencela antara sesama mukmin kerana orang-orang mukmin seperti satu tubuh). Dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandungi ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) fasiq sesudah keimanan (seperti: Hai fasik, Hai kafir dan sebagainya kepada orang yang beriman). Dan sesiapa yang tidak bertaubat, maka mereka adalah orang-orang yang zalim”. Surah al-Hujurat: 11.
Mereka juga tidak akan buruk sangka sesama mereka dan tidak akan memperburukkan orang lain. Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka (kecurigaan), kerana sebahagian daripada prasangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang lain dan janganlah mengumpati satu sama lain. Adakah seorang di kalangan kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”. Wahai manusia, sesungguhnya Kami ciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di kalangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali”. Surah al-Hujurat: 12-13.
Keempat puluh lapan: Orang beriman yang sebenar adalah orang yang sekata antara lidah dan perilakunya. Mereka bukanlah orang yang hanya pandai bercakap dan berteori, namun tidak mempraktikkannya. Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, mengapakah kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak lakukan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu lakukan”. Surah as-Sof: 2-3.
Mereka tidak akan meniru perangai sebahagian pendeta Yahudi yang hanya pandai bercakap, tetapi tidak beramal dengan ilmunya. Firman Allah SWT: “Adakah patut kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebaikan, sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri, padahal kamu membaca al-Kitab (Taurat)? Maka tidakkah kamu berpikir”? Surah al-Baqarah: 44.
Keempat puluh sembilan: Orang yang beriman akan sentiasa bersedia untuk akhirat. Mereka mengetahui bahawa kehidupan akhirat adalah lebih kekal, kerana itu persediaan mereka untuknya adalah lebih banyak. Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri melihatkan apa yang telah disediakannya untuk hari esok (akhirat). Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan”. Surah al-Hasyr: 18.
Mereka meyakini bahawa dunia ini hanyalah tempat ujian, dan akhirat adalah kehidupan yang sebenar. Firman Allah SWT: “Dan tidaklah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui”. Surah al-Ankabut: 64.
Orang yang beriman tidak akan terpesona dengan kehidupan dunia, sekalipun orang yang kafir hidup dengan penuh kemewahan dan kaya raya. Mereka akan merasakan tiada nilai dalam kehidupan jika tiada ketaatan kepada Allah padanya. Firman Allah SWT: “Katakanlah: "Dengan kurniaan Allah dan rahmatNya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurniaan Allah dan rahmatNya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan". Surah Yunus: 58.
Mereka memahami dunia ini tiada nilai di sisi Allah SWT. Sahl bin Saad r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
لَوْ كَانَتِ الدُّنْيَا تَعْدِلُ عِنْدَ اللهِ جَنَاحَ بَعُوْضَةٍ مَا سَقَى كَافِرًا مِنْ شُرْبَةِ مَاءٍ.
Ertinya: “Kalaulah dunia ini bernilai di sisi Allah seberat sayap nyamuk sekalipun, maka Allah tidak akan berikan orang kafir walau seteguk air”. Hadis riwayat Tirmizi dan beliau berkata hadis sohih gharib. Al-Albani juga menganggapnya sohih.
Kelima puluh: Sangat menjaga masa dan tidak mensia-siakannya. Segala masa yang diberikan mereka akan gunakan sebaik mungkin, kerana semuanya mesti menjadi pengabdian kepada Allah SWT dan bekalan di akhirat nanti. Firman Allah SWT: “ 1. Demi masa. 2. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, 3. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati dengan kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran”. Surah al-Asr: 1-3.
Inilah sebahagian daripada sifat orang yang beriman. Untuk mengenali lagi sifat-sifat orang yang beriman, maka kita hendaklah mengenali dengan lebih dekat lagi para Nabi dan Rasul. Ini kerana merekalah orang yang benar-benar beriman. Dan perincian terhadap keseluruhan sifat-sifat orang yang beriman terkandung dalam al-Qur’an dan juga Hadis Nabi s.a.w. Kerana itu kedua-dua sumber tersebut hendaklah sentiasa dipelajari dan dikaji oleh para mukmin supaya timbulnya sikap yang baik yang perlu ada pada seorang mukmin. Sikap inilah yang akan membawa kejayaan kepada individu muslim dan juga umat Islam dunia dan akhirat.
Tulisan: Tuan Mohd Safuan Tuan Ismail (KIAS, Nilam Puri)
Labels: Ilmu
Komentar Ringkas Buku "Wasiat Nabi Kepada Saidina Ali"
79 Comments Published by TMSTI on Monday, December 14, 2009 at 4:23 PM.Pada hari rabu yang lepas (09/12/09), salah seorang pelajar saya menunjukkan kepada saya sebuah buku berjudul “Wasiat Nabi S.A.W. Kepada Sayyidina Ali”. Buku tersebut adalah hasil terjemahan seorang murabbi yang terkenal, iaitu al-Fadhil Ustaz Yahya bin Haji Othman. Beliau menunjukkan buku tersebut kepada saya untuk mengenal pasti kedudukan hadis dalam buku tersebut.
Terkejut juga saya bila melihat buku tersebut, yang mana ia baru sahaja dicetak, dan saya tidak pernah melihatnya sebelum ini. Cetakan pertama adalah pada Ogos 2009 sebanyak 3000 naskhah. Saya rasa terpanggil untuk membuat sedikit komen tentang buku ini, namun masa tidak mengizinkan kerana pada hari tersebut, saya sedang sibuk menyiapkan bahan “power point” untuk pembentangan “Toharah Dan Solat Bagi Pesakit Yang Menggunakan Beg Kolostomi”, salah satu slot dalam kursus penjagaan stoma, pada keesokan hari (khamis, 10/12/09), anjuran Kelab Stoma Hosptal Raja Zainab II, Kota Bharu (insya Allah, saya akan masukkan sedikit perbahasan mengenainya dalam blog ini nanti).
Komen saya bagi buku ini (yang mana ia mungkin akan tersebar,sudah dan sedang tersebar) ialah:
Pertama: Kita tidak boleh sewenang-wenang menisbahkan sesuatu hadis kepada Nabi s.a.w. Sesuatu perkataan tidak boleh dinisbahkan kepada Nabi s.a.w. melainkan setelah diteliti terlebih dahulu kesahihannya. (Sila lihat surah al-Hujurat, ayat 6). Ini kerana menisbahkan sesuatu perkara kepada Nabi s.a.w. adalah satu dosa yang sangat besar, kerana ia akan membawa kepada pemalsuan hadis. Sesungguhnya memalsukan hadis dosanya adalah lebih besar daripada berzina dan merompak, jika ia disengajakan.
Kedua: Sesuatu hadis yang ingin disebarkan kepada orang ramai, apatah lagi dalam bentuk yang kekal seperti buku, mestilah diselidiki kesahihannya terlebih dahulu. Sesungguhnya menyebarkan sesuatu hadis tanpa menyelidiki terlebih dahulu adalah berlawanan dengan ajaran Nabi s.a.w. Ia juga bercanggah dengan sunnah yang telah diasaskan oleh Saidina Abu Bakar, Umar, Usman, Ali dan juga lain-lain sahabat dan para tabien. Mereka semua sangat berhati-hati dalam masalah ini. Bahkan kisah Saidina Abu Bakar dan juga Saidina Umar tidak menerima sesuatu hadis yang disampaikan kepada mereka tanpa saksi adalah sangat masyhur.
Ketiga: Perlunya mempelajari “Mustolah al-Hadis”. Menguasai bahasa arab dan mampu memahaminya dengan baik tidaklah mencukupi dalam masalah penerimaan dan penyebaran hadis. Kerana inilah Imam Syafie menganggap bahawa orang yang mempelajari ilmu, tanpa ilmu hadis adalah “Hatib lail” (pencari kayu api di malam hari). Ini kerana mereka tidak menyedari bahawa di sana terdapat hadis-hadis yang dipalsukan dan dinisbahkan kepada Nabi s.a.w., sebagaimana orang yang mencari kayu di malam yang gelap tidak menyedari bahawa ada ular atau jengking kala yang sedang menunggu untuk menggigitnya. Sekalipun kita tidak akan mereka-reka hadis palsu kerana dosanya yang sangat besar, bahkan dianggap murtad oleh sebahagian ulamak, namun janganlah kita meninggalkan metodologi penelitian hadis yang telahpun ditinggalkan oleh para sahabat. Ini kerana kita tidak mahu termasuk dalam golongan yang menyebarkan hadis palsu, walaupun tanpa sengaja.
Keempat: Hadis-hadis dalam buku ini, sedikit pun tidak ditakrijkan (dinyatakan sumbernya dan kesahihannya). Sewajibnya ia dinyatakan dari manakah sumber hadis ini. Dan adakah hadis wasiat Nabi kepada Saidina Ali dalam buku ini, satu hadis yang panjang (mengandungi 99 wasiat), atau ia adalah himpunan hadis-hadis yang pendek? Kalaulah ia satu hadis yang panjang (hanya satu sanad), maka sudah tentu ia akan masyhur di kalangan ahli hadis. Dan jika ia adalah himpunan hadis-hadis yang pendek, maka ia wajib ditakhrijkan terlebih dahulu sebelum ia disebarkan kepada ramai. Saya berpendapat bahawa jika ia adalah satu hadis yang panjang (satu sanad), maka ia adalah satu hadis palsu dari permulaan hingga akhirnya. Namun, jika ia adalah himpunan hadis-hadis yang pendek, maka saya dapati wasiat yang pertama itu adalah sahih, dan yang selebihnya mesti diselidiki terlebih dahulu. Namun, saya merasakan kebanyakannya atau keseluruhannya adalah palsu.
Kelima: Janganlah kita terus menerima sesuatu hadis tanpa sebarang usul periksa, walaupun ia terdapat dalam kitab-kitab kuning dan ditulis oleh ustaz-ustaz dan tok-tok guru pondok. Ini kerana ramai di kalangan mereka tidak mengamalkan metodologi para sahabat dan ulamak salaf dalam masalah hadis. Kerana inilah para ulamak hadis menyatakan bahawa pemalsu hadis ini terdiri daripada pelbagai golongan, namun yang paling bahaya ialah pemalsu di kalangan para ahli agama (orang-orang yang zuhud). Ini kerana orang ramai akan menerima hadis mereka kerana percayakan mereka. Lihatlah apa yang disebut oleh para ulamak hadis (walau tidak difahami oleh kebanyakan kita):
1- Yahya bin Said al-Qattan berkata: “Aku tidak melihat para solihin, dalam satu perkara, ada yang lebih dusta daripada mereka (berbanding mereka) dalam hadis”.
2- Imam Muslim (ketika mengulas pendapat Yahya bin Said al-Qattan tadi) berkata: “Pendustaan berlaku pada lidah mereka, sedangkan mereka tidak sengaja melakukannya”. Dan beliau juga pernah berkata: “Aku boleh percaya kepada seorang lelaki untuk seratus ribu (wang), namun aku tidak boleh mempercayainya dalam hadis”.
3- Abu az-Zanad (guru Imam Malik) berkata: “Aku sempat berjumpa di Madinah ini, seratus orang yang memang boleh dipercayai (orang yang beragama), namun tidak boleh dipelajari hadis daripada mereka. Ini kerana mereka bukanlah ahlinya.
4- Imam Malik berkata: “Sesungguhnya ilmu ini (hadis) merupakan agama. Maka, lihatlah dengan siapa kamu mengambil (asas) agama kamu. Seseungguhnya aku sempat berjumpa dengan 70 orang di Masjid Nabi ini, yang mana mereka menyatakan Rasulullah s.a.w. bersabda (mereka membacakan hadis), tapi aku tidak mempelajari sedikitpun daripada mereka. Sesungguhnya salah seorang daripada mereka itu, kalau diamanahkan untuk menjaga Baitulmal, memang dia seorang yang amanah, namun (tidak diambil hadis daripada mereka) kerana mereka bukanlah ahli dalam bidang ini (hadis). Dan bila tiba kepada kami Muhammad bin Syihab (Imam az-Zuhri), kami berlumba-lumba belajar dengannya, sekalipun dia hanyalah seorang yang muda”.
Keenam: Para ulamak hadis yang mengumpulkan hadis-hadis palsu sebenarnya sudah membincangkan hadis-hadis berkenaan wasiat Nabi kepada Saidina Ali. Mereka telah menyatakan bahawa kebanyakan wasiat tersebut adalah palsu. Al-Ajluni dalam kitabnya Kasyful Khafa’ telah menyatakan:
وقال بعض المحققين إن وصايا علي المصدرة بيا كلها موضوعة إلا قوله عليه الصلاة والسلام يا علي أنت مني بمنـزلة هارون من موسى إلا أنه لا نبي بعدي.
Ertinya: Berkata para ulamak yang telah membuat kajian: “Sesungguhnya wasiat Saidina Ali (ringkasan nama hadis wasiat Nabi kepada Saidina Ali) yang dimulakan dengan “Ya” ( “Ya Ali”: yang bererti “wahai Ali”) semuanya adalah palsu kecuali sabdaan baginda: “Wahai Ali, perumpamaan aku denganmu samalah seperti Nabi Musa dan Nabi Harun, namun tiada lagi Nabi selepasku”.
Ketujuh: Saya cadangkan kepada golongan ustaz dan para pelajar pengkhususan agama, samada Usuluddina atau Syariah supaya memiliki sekurang-kurangnya satu buku himpunan hadis-hadis palsu. Contohnya Al-Manarul Munif karangan Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Maudhuat Ibn al-Jauzi, al-Lu’lu’ al-Marsu’ karangan al-Qawuqji dan lain-lain kitab. Ini bagi memudahkan mereka membacanya, supaya mereka tidak menjadi ejen penyebar pemalsuan hadis, sekalipun tanpa sengaja. Bahkan terdapat buku himpunan hadis-hadis palsu dalam bahasa Melayu yang telah dikumpulkan oleh al-Fadhil Ustaz Abdul Ghani Azmi.
Kelapan: Wasiat ini (melalui pembacaan sepintas lalu saya) tidak berkaitan dengan ajaran Syiah. Bahkan banyak kandungan wasiat ini adalah baik. Namun bukan semua benda yang baik dan benar itu disabdakan oleh baginda, sekalipun semua sabdaan baginda adalah cantik dan benar. Saya rasakan buku ini boleh dibaiki (diubah suai) dengan dibuang sebahagian wasiat yang tak boleh dibaiki (seperti yang mengandungi fadhilat, pesanan JIbril di hujung hadis dsbg.), dan diubah tajuknya daripada “Wasiat Nabi kepada Saidina Ali” kepada “Wasiat Seorang Murabbi Kepada Anak Didiknya” atau sebagainya. Juga diubah daripada panggilan “Wahai Ali”, kepada “wahai saudaraku”, atau “wahai anakku”, “wahai pelajarku” atau seumpamanya.
Kelapan: Janganlah kalian menganggap bahawa dengan komen ini bererti saya tidak menghormati al-Fadhil Ustaz Yahya Usman, seorang yang cukup berjasa dan menghabiskan kehidupannya untuk perjuangan Islam. Beliau merupakan seorang murabbi yang perlu diteladani. Komen saya ini adalah demi tuntutan ilmiah yang ada pada saya. Lebih baik orang yang tidak bersetuju dengan saya menjadi musuh saya di dunia dan akhirat (kerana komen ini) berbanding Allah dan Rasul menjadi musuh saya (kerana tidak menegakkan kebenaran, mempertahankan hadis Nabawi daripada dicemari). Apatah lagi, bukan beliau orang pertama melakukan kesilapan ini. Sesungguhnya Imam Ghazali juga telah melakukan kesilapan memasukkan hadis-hadis palsu ke dalam kitabnya Ihya Ulum ad-Din, sekalipun beliau seorang tokoh agung, yang mana jasanya kepada Islam sangat besar, sehingga dianggap sebagai mujaddid kurun kelima. Begitu juga Jabatan Agama yang ditugaskan menjaga agama juga tidak terkecuali daripada melakukan penyebaran hadis palsu, bahkan disebarkan secara rasmi. Contohnya hadis solat orang yang berkahwin melebihi 70 kali ganda solat orang yang tidak berkahwin. Ia adalah isi kandungan khutbah nikah yang disediakan kepada para juru nikah. Namun, ia adalah hadis palsu sebagaimana disebut oleh para ulamak hadis. Semoga kita semua menghormati hadis Nabi s.a.w., kerana ia merupakan syariat daripada Allah SWT. Menisbahkan sesuatu yang bukan hadis kepada Nabi bererti mereka-reka pendustaan kepada Allah SWT. Semoga kita terselamat daripada segala keburukan.
Tulisan: Tuan Mohd Safuan Tuan Ismail (KIAS, Nilam Puri)