TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


Kepentingan Mempelajari Hadis

Maksud Hadis

Hadis ialah semua perkara yang berkaitan dengan Rasulullah s.a.w samada perkataan baginda, perbuatan baginda, iqrar (akuan) baginda, akhlak baginda dan juga sifat semula jadi baginda.


Kepentingan Mempelajari Hadis

Rasulullah s.a.w. merupakan orang yang paling penting dan paling mulia di sisi Allah, maka mempelajari ilmu hadis yang merupakan perbincangan mengenai baginda merupakan ilmu yang terpenting dan paling mulia. Antara yang menunjukkan demikian ialah:-

Kepentingan Pertama: Hadis Adalah Sumber Perundangan Islam

Dalil yang menunjukkan bahawa hadis adalah sumber perundangan Islam dan merupakan hujjah tidak perlu dipersoalkan lagi, kerana ia terlau banyak. Di sini akan disebut secara ringkas, sebagai asas.

Dalil Pertama: Dalil-dalil daripada ayat suci al-Qur’an.

· Ayat-ayat yang menunjukkan wajibnya mentaati Rasulullah s.a.w. dan ancaman kepada yang melanggari perintah baginda.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَلَا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ {33}

Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan janganlah kamu merosakkan (pahala) amalan-amalanmu”. Surah Muhammad: 33.

Lihat juga (an-Nisa’: 80), (al-Hasyr: 7), (an-Nur: 63) dan lain-lain.

· Ayat-ayat yang menunjukkan bahawa syarat keimanan ialah mentaati Rasul dan reda dengan hukumnya.

فَلاَ وَرَبِّكَ لاَ يُؤْمِنُونَ حَتَّىَ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لاَ يَجِدُواْ فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُواْ تَسْلِيمًا {65}

Ertinya: “Maka demi tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidaklah beriman sehinggalah mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya”. Surah an-Nisa’: 65.

Lihat juga (an-Nur: 51) dan lain-lain.

· Ayat yang menunjukkan bahawa Sunnah Rasulullah s.a.w. merupakan wahyu.

وَمَا يَنطِقُ عَنِ الْهَوَى {3} إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى {4}

Ertinya: “Dan tiadalah yang dia ucapkan itu menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan (kepadanya)”. Surah an-Najm: 3-4.

Lihat juga (al-Haaqqah: 44-47), (at-Taubah: 29), (al-A’raf: 157) dll.

· Ayat yang menunjukkan bahawa tugas Rasulullah s.a.w. adalah memberikan penerangan tentang al-Qur’an.

وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ {44}

Ertinya: “Dan Kami turunkan kepadamu Az-Zikr (Al Quran), supaya kamu terangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka berfikir”. Surah an-Nahl: 44.

Lihat juga (an-Nahl: 64), (Ali Imran: 164) dan lain-lain.

· Ayat-ayat yang menunjukkan bahawa tiada pilihan lain bagi orang yang beriman setelah datangnya ketentuan daripada Rasulullah s.a.w.

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا سورة الأحزاب: 36.

Ertinya: “Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang beriman dan tidak (pula) bagi perempuan yang beriman, apabila Allah dan rasulNya menetapkan suatu ketetapan, bahawa ada bagi mereka pilihan (yang lain) dalam urusan mereka. Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan rasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat, dengan kesesatan yang nyata”. Surah al-Ahzab: 36.

Dalil Kedua: Dalil-dalil daripada hadis

Terdapat terlalu banyak hadis yang menunjukkan bahawa wajibnya menjadikan hadis sebagai sumber perundangan Islam dan hujjah yang wajib digunakan. Antaranya ialah:

1- Hadis-hadis yang menunjukkan bahawa diwahyukan kepada baginda al-Qur’an dan juga hadis, dan apa yang disyariatkan baginda sebenarnya adalah syariat dari Allah SWT.

عن المقدام بن معدي كَرِب # (، عن رسول الله _ " أنه قال: ألا إني أوتيت الكتاب ومثله معه. رواه أبو داود وصححه الألباني.ج 2، ص 610، رقم: 4604.، سنن أبي داود، تحقيق محمد محي الدين عبد الحميد، دار الفكر.

Daripada al-Miqdam bin Ma’di Kariba r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ketahuilah, sesungguhnya aku diberikan al-Qur’an dan (diberikan juga) yang seumpamanya (iaitu hadis) bersamanya. Hadis sohih, riwayat Abu Daud.

عن المقدام بن معدي كَرِب # (، عن رسول الله _ " أنه قال: يوشك الرجل متكئا على أريكته يحدث بحديث من حديثي فيقول بيننا وبينكم كتاب الله عز وجل . فما وجدنا فيه من حلال استحللناه . وما وجدنا فيه من حرام استحرمناه، ألا وإن ما حرم رسول الله صلى الله عليه وسلم مثل ما حرم الله. رواه ابن ماجة وصححه الألباني، ج1، ص 6، رقم: 12، سنن ابن ماجة، تحقيق محمد فؤاد عبد الباقي، دار الفكر، بيروت. وأحمد وصححه شعيب الأرناؤوط، ج 4، ص 132، رقم: 17233، مؤسسة قرطبة، قاهرة.

Daripada al-Miqdam bin Ma’di Kariba r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sudah hampir masanya, ada lelaki yang berehat di atas kerusi empuknya yang bila dibacakan hadis-hadisku, dia akan berkata: “(Sumber rujukan) antara kita ialah Kitabullah (al-Qur’an). Apa sahaja yang kita dapati halal di dalamnya, maka kita akan menghalalkannya, dan apa sahaja yang kita dapati haram di dalamnya, maka kita akan mengharamkannya. (Tidak perlu lagi, kita kembali kepada hadis). Ingatlah, apa sahaja yang diharamkan oleh Rasulullah s.a.w. adalah sama seperti yang diharamkan oleh Allah SWT”. Hadis sohih, riwayat Ibnu Majah.

2- Hadis-hadis yang menyuruh supaya sentiasa berpegang dengan sunnahnya,

عن أبي هريرة # (، قال: قال رسول الله _ ": تركت فيكم شيئين، لن تضلوا بعدهما: كتاب الله وسنتي. أخرجه الحاكم في المستدرك وله شاهد وصححهما على شرط الشيخين. انظر علوم الحديث لأبي الليث الخير آبادي، ص 43، ورواه أيضا الإمام مالك بلاغا.

Ertinnya: Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat jika berpegang dengan kedua-duanya, iaitu Kitabullah (al-Qur’an) dan sunnahku (al-Hadis).

عن أبي هريرة # (، أن رسول الله _ " قال: كل أمتي يدخلون الجنة إلا من أبى، قالوا يا رسول الله ومن يأبى ؟ قال: من أطاعني دخل الجنة ومن عصاني فقد أبى. رواه البخاري. ج 6، ص 2655، رقم: 6851.صحيح البخاري، تحقيق: د.مصطفى البغا، ط 3، دار ابن كثير، اليمامة، بيروت، 1407هـ.

Ertinnya: Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Semua umatku akan masuk syurga, kecuali yang enggan (memasukinya)”. Para sahabat bertanya: Siapakah yang enggan wahai Rasulullah? Baginda bersabda (menjawab): “Sesiapa yang mentaatiku maka dia akan masuk syurga, dan siapa yang engkar, maka dialah orang yang enggan (untuk masuk syurga)”.

عن أبي هريرة # (، أن رسول الله _ " قال: من أطاعني فقد أطاع الله، ومن عصاني فقد عصى الله. متفق عليه. رواه البخاري (6718) ومسلم (1835).

Ertinnya: Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang mentaatiku maka dia sebenarnya telah mentaati Allah, dan sesiapa yang derhakanku, maka dia telah menderhakai Allah”. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Dalil Ketiga: Ijmak para ulamak dalam mengamalkan hadis.

Telah ijmak kaum muslimin semenjak zaman sahabat sehingga hari ini mewajibkan beramal dengan hadis. Berkata Imam Syafie: “Telah berlaku ijmak bahawa sesiapa yang telah jelas kepadanya sunnah Rasulullah s.a.w. , bahawa tidak harus baginya untuk meninggalkannya kerana pendapat sesiapapun”. Lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lamul Muwaqqii’n, juz 2, m/s 282, tahqiq: Toha Abdul Rauf Saad, Darul Jil, Beirut, 1973. Beliau juga berkata: “Aku tidak pernah dengar seorang ahli ilmu pun engkarkan bahawa Allah SWT telah mewajibkan mengikut perintah Rasulullah s.a.w. dan menerima ketentuan baginda, dan Allah SWT tidak membenarkan seseorang pun selepas baginda melainkan wajib mengikuti baginda…”(al-Um, juz 7, m/s 460).

Dalil Keempat: Logik akal menunjukkan perlunya mengamalkan hadis. Ini kerana Rasulullah s.a.w. merupakan utusan Allah kepada manusia yang mana kita wajib beriman dengannya. Dan Rasulullah adalah utusanNya yang dikuatkan dengan mukjizat sebagai tanda kebenarannya. Maka apa gunanya keimanan kepada Rasulullah s.a.w. kalau kita tidak diwajibkan menerima apa yang datang daripada baginda, sedangkan apa yang dibawa oleh baginda sebenarnya adalah daripada Allah SWT.

Kepentingan Kedua: Hadis Adalah Penerangan Kepada Al-Qur’anul Karim

وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ سورة النحل: 44

Ertinya: “Dan Kami turunkan kepadamu Az-Zikr (Al Quran), supaya kamu terangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka berfikir”. Surah an-Nahl: 44.

Al-Qur’an dan Hadis bagaikan roh dan jasad, tidak mungkin untuk dipisahkan. Bahkan tidak mungkin mengamalkan al-Qur’an dengan menolak hadis. Ini kerana hadis merupakan penerangan kepada al-Qur’an sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat di atas. Kerana inilah bila dikatakan kepada Mutorrif bin Abdillah bin as-Syikhhir (seorang ulamak tabiin) supaya janganlah mengajar, kecuali dengan al-Qur’an, beliau menjawab: “Demi Allah, kita tidak akan mencari ganti kepada al-Qur’an, tetapi kita inginkan orang yang lebih alim tentang al-Qur’an berbanding kita”.

Bila dikatakan begitu kepada seorang sahabat, Imran bin Husoin r.a., baliau menjawab: “Adakah kamu seorang yang bodoh? Adakah kamu dapati di dalam al-Qur’an solat zohor itu empat rakaat dan tidak dinyaringkan? Seterusnya beliau menyebut tentang solat-solat yang lain, tentang zakat, dan lain-lainnya. Dan kemudiannya dia bertanya lagi: “Adakah kamu dapati perkara ini diterangkan secara terperinci di dalam al-Qur’an? Lihat: Usulul Hadis, Dr. Ujjaj al-Khatib, m/s 45.

Antara gambaran yang menunjukkan bahawa Hadis merupakan penerangan kepada al-Qur’an ialah perkara-perkara berikut:

· Memahami ayat suci berdasarkan “Asbabun Nuzul” yang terdapat dalam hadis

· Ayat-ayat “Mujmal” yang tidak mungkin diamalkan melainkan dengan perincian daripada hadis.

· Ayat-ayat “Am” (yang berbentuk umum) sedangkan maknanya adalah “Khas”.

· Ayat-ayat “Mutlaq” (tanpa sebarang ikatan tambahan) sedangkan maksudnya adalah “Muqayyad”.

· Ayat-ayat yang “Musykil” yang mana akan berlawanan dengan akal, atau dengan nas-nas yang lain jika tidak difahami maknanya berdasarkan keterangan hadis.

· Ayat-ayat al-Qur’an yang sudahpun dinasahkan oleh sunnah.

Kepentingan Ketiga: Hadis Diperlukan Dalam Semua Cabangan Ilmu

Antara kepentingan mempelajari hadis ialah kerana hadis diperlukan dalam semua bidang ilmu. Tidak ada ilmu yang tidak memerlukan penjelasannya melalui hadis. Memandangkan al-Qur’an merupakan sumber kepada semua bidang ilmu, dan penerangan kepadanya pula adalah melalui hadis, maka hadis sudah tentu menjadi sumber kepada semua bidang ilmu termasuk ilmu yang sangat penting seperti aqidah, feqah, tafsir dan sebagainya.

Kepentingan Keempat: Mengenali Kesahihan Hadis

Ulamak hadis telah membahagikan hadis kepada dua bahagian, iaitu hadis maqbul dan hadis mardud. Hadis maqbul ialah hadis sohih dan hasan. Ia merupakan sumber kepada hukum. Manakala hadis mardud pula ialah hadis yang ditolak dan tidak dijadikan sumber hukum. Hadis mardud ialah hadis dhoif. Mempelajari hadis sangat penting bagi memeastikan kita tidak tersalah menjadikan hadis yang mardud sebagai panduan dalam mengeluarkan hukum. Juga untuk mengenali sejauh mana kedhoifan sesuatu hadis, kerana hadis dhoif juga boleh diamalkan dalam keadaan tertentu seperti dalam menyatakan kelebihan amalan. Juga kerana, sebahagian hadis dhoif itu (dhoif asalnya sebelum dikaji secara mendalam) mungkin menjadi hadis yang maqbul.

Kepentingan Kelima: Mengelakkan Pendustaan (sekalipun tanpa sengaja) Dalam Hadis

Antara kepentingan mempelajari hadis ialah untuk mengelakkan berlakunya pendustaan kepada Nabi s.a.w. Pendustaan kepada Nabi s.a.w. merupakan dosa yang sangat besar, bahkan melebihi dosa berzina lagi. Dalam satu hadis yang mutawatir, yang diriwayatkan oleh berpuluh-puluh orang sahabat, Nabi s.a.w. bersabda:

من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار.

Ertinya: “Sesiapa yang sengaja berdusta ke atasku (mereke-reka sabdaan yang aku tidak sabdakan), maka tempahlah tempatnya di dalam neraka”.

Namun, kalaulah kita tidak mempelajari hadis, mungkin kita juga tanpa sengaja telah menyebarkan pembohongan dan kepalsuan kepada Nabi s.a.w. Ini kerana kita telah menyebarkan hadis-hadis yang palsu tanpa kita sedari kepalsuannya. Sabda Nabi s.a.w.:

من حدث عني بحديث يرى أنه كذب، فهو أحد الكاذبين. رواه مسلم عن المغيرة بن شعبة وسمرة بن جندب.

Ertinya: “Sesiapa yang meriwayatkan satu hadis, (sedangkan) dia rasakan hadis itu adalah pendustaan (bukan hadis Nabi sebenarnya), maka dia juga adalah seorang pendusta”. Riwayat Muslim.

Kepentingan Keenam: Hadis Adalah Semulia-Mulia Ilmu

Ilmu hadis merupakan ilmu yang paling penting dan paling mulia. Dan orang-orang yang berkecimpung secara mendalam dalam ilmu ini merupakan orang-orang pilihan Allah. Perkara ini diakui oleh para ulamak. Dan insya Allah, kita akan bincangkan kemuliaan ilmu hadis ini dalam artikel berikutnya.

Labels: ,





XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health