TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


Ciri-Ciri Orang Yang Beriman (Siri 5)

Keempat puluh satu: Tidak akan meniru atau terpengaruh dengan orang-orang yang kafir dan yang dimurkai Allah SWT, samada dalam pemikiran, perbuatan, penampilan atau sebagainya. Firman Allah SWT:Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang kafir”. Surah Ali Imran: 156. Mereka juga tidak akan meniru gaya dan tingkah laku orang yang lupakan Allah SWT. Bahkan contoh mereka adalah para Nabi-nabi dan salafus soleh. Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasiq”. Surah al-Hasyr: 19.

Mereka lebih suka dengan identiti keimanan yang ada pada mereka sendiri. Ini kerana mereka memahami itulah yang terbaik untuk mereka. Firman Allah SWT: “Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (kedudukannya), jika kamu orang-orang yang beriman”. Surah Ali Imran: 139.

Keempat puluh dua: Orang yang beriman tidak akan melampau dalam menilai sesuatu sehingga mengharamkan apa yang dihalalkan Allah atau sebaliknya. Firman Allah SWT:Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan kepada kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak sukakan orang-orang yang melampaui batas”. Surah al-Maidah: 87.

Keempat puluh tiga: Orang yang beriman adalah orang yang amanah. Mereka memahami bahawa merosakkan amanah merupakan sikap orang munafiq. Firman Allah SWT:Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepada kamu, sedang kamu mengetahui (wajib taat dan menunaikannya)”. Surah al-Anfal: 27. Anas bin malik menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. dalam banyak ucapan khutbahnya menyebut:

لاَ إِيْمَانَ لِمَنْ لاَ أَمَانَةَ لَهُ، وَلاَ دِيْنَ لِمَنْ لاَ عَهْدَ لَهُ.

Ertinya: “Tidak ada iman kepada orang yang tiada amanah, dan tiada agama kepada orang yang tiada janji”. Hadis riwayat Ahmad, dan Syeikh Syuaib al-Arnauth menganggapnya hadis hasan.

Keempat puluh empat: Orang yang beriman akan sentiasa bersama orang yang benar-benar mentaati Allah. Mereka tidak akan suka untuk bersama dengan golongan yang menderhakai Allah, apatah lagi yang merendah-rendahkan agama. Firman Allah SWT:Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang benar”. Surah at-Taubah: 119. Mereka tidak akan bersama golongan yang bid’ah yang berfahaman dengan ideologi-ideologi baru atau ajaran sesat, apatah yang menghina agama mereka. Firman Allah SWT: Dan sungguh Allah telah turunkan kepada kamu di dalam Al Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diengkari dan dipermain-mainkan, maka janganlah kamu duduk bersama mereka, sehingga mereka bercakap perkara yang lain. Sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam (neraka) Jahannam”. Surah an-Nisa’: 140.

Mereka juga tidak akan bersama dengan golongan yang jelas-jelas melakukan kemaksiatan kepada Allah SWT. Jabir r.a. menyatakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ، فَلاَ يَجْلِسْ عَلَى مَائِدَةٍ يُدَارُ عَلَيْهَا الْخَمْرُ.

Ertinya: “Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia duduk pada hidangan yang dihidangkan arak”. Hadis riwayat Tirmizi dan al-Hakim, dan beliau menganggapnya sohih mengikut syarat Imam Muslim dan diakui az-Zahabi.

Keempat puluh lima: Di antara sikap orang yang beriman yang sebenar ialah bergaul dengan orang ramai dan bukannya hidup bersendirian. Ini kerana mereka memahami dengan pergaulan mereka mampu berdakwah dan amar makruf serta nahi munkar. Lagipun bergaul merupakan sikap keseluruhan Rasul yang diutuskan Allah SWT. Sabda Nabi s.a.w.:

الْمُؤْمِنُ الَّذِيْ يُخَالِطُ النَّاسَ وَيَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ أَعْظَمُ أَجْرًا مِنَ الَّذِيْ لاَ يُخَالِطُهُمْ وَلاَ يَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ

Ertinya: “Orang beriman yang bergaul dengan orang ramai dan mampu bersabar dengan kejahatan mereka adalah lebih banyak pahalanya daripada orang beriman yang tidak bergaul dan tidak mampu bersabar dengan kejahatan orang ramai”. Hadis riwayat Ahmad dengan sanad yang sohih.

Tambahan lagi mereka memahami bahawa syaitan sukakan orang yang bersendirian. Saidina Umar r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda dalam khutbah baginda:

فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ، وَهُوَ مِنَ الاثْنَيْنِ أَبْعَدُ، لاَ يَخْلُوَنَّ أَحَدُكُمْ بِامْرَأَةٍ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ ثَالِثُهُمَا

Ertinya: “Sesungguhnya syaitan itu bersama dengan orang yang bersendirian. Dan dengan orang yang berdua itu, dia lebih jauh. (Namun,) janganlah kamu berdua-duaan dengan seorang perempuan, kerana yang ketiganya adalah syaitan”. Hadis riwayat Ahmad dengan sanad yang sohih.

Keempat puluh enam: Orang yang beriman adalah orang yang beradab dan berpertauran. Kehidupan mereka adalah teratur dan beradab kerana keimanan yang ada pada mereka. Mereka tidak akan masuk ke rumah orang lain tanpa keizinan terlebih dahulu. Firman Allah SWT:Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum kamu meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu (selalu) ingat. Jika kamu tidak dapati seorangpun di dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu diberikan keizinan. Dan jika dikatakan kepadamu: "Pulanglah”, maka hendaklah kamu pulang. Itu lebih bersih bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”. Surah an-Nur: 27-28.

Sebagaimana mereka mempunyai adab di luar rumah, mereka juga mempunyai adab-adab dalam rumah. Firman Allah SWT:Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba (lelaki dan wanita) yang kamu miliki, dan orang-orang yang belum baligh di antara kamu, meminta izin kepada kamu tiga kali (dalam satu hari) iaitu: sebelum solat subuh, ketika kamu menanggalkan pakaian (luar)mu di tengah hari dan sesudah solat isyak. (Itulah) tiga aurat bagi kamu. Tidak ada dosa atasmu dan tidak (pula) atas mereka selain daripada (tiga waktu) itu. Kamu dan mereka saling pergi mari (kerana keperluan masing-masing). Demikianlah Allah menjelaskan hukum hakam untuk kamu. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”. Dan apabila kanak-kanak di kalangan kamu telah sampai umur baligh, maka hendaklah mereka meminta izin, seperti orang-orang yang sebelum mereka meminta izin (setiap masa). Demikianlah Allah menjelaskan hukum hakamNya. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”. Surah an-Nur: 58-59.

Mereka juga mempunyai adab bila bersama orang ramai dalam majlis. Firman Allah SWT:Wahai orang-orang yang beriman apabila dikatakan kepadamu: "lapangkanlah (berikanlah ruang) dalam majlis", maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan kepadamu. Dan apabila dikatakan: "Bangunlah kamu (untuk perkara-perkara kebaikan)", maka bangunlah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”. Surah al-Mujadilah: 11.

Keempat puluh tujuh: Orang beriman yang sebenar tidak akan memperlekeh dan menghina orang Islam yang lain. Firman Allah SWT:Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan lelaki mempermainkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang dipermainkan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan mempermainkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang dipermainkan itu lebih baik dari mereka. Dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri (mencela antara sesama mukmin kerana orang-orang mukmin seperti satu tubuh). Dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandungi ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) fasiq sesudah keimanan (seperti: Hai fasik, Hai kafir dan sebagainya kepada orang yang beriman). Dan sesiapa yang tidak bertaubat, maka mereka adalah orang-orang yang zalim”. Surah al-Hujurat: 11.

Mereka juga tidak akan buruk sangka sesama mereka dan tidak akan memperburukkan orang lain. Firman Allah SWT:Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka (kecurigaan), kerana sebahagian daripada prasangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang lain dan janganlah mengumpati satu sama lain. Adakah seorang di kalangan kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”. Wahai manusia, sesungguhnya Kami ciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di kalangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali”. Surah al-Hujurat: 12-13.

Keempat puluh lapan: Orang beriman yang sebenar adalah orang yang sekata antara lidah dan perilakunya. Mereka bukanlah orang yang hanya pandai bercakap dan berteori, namun tidak mempraktikkannya. Firman Allah SWT:Wahai orang-orang yang beriman, mengapakah kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak lakukan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu lakukan”. Surah as-Sof: 2-3.

Mereka tidak akan meniru perangai sebahagian pendeta Yahudi yang hanya pandai bercakap, tetapi tidak beramal dengan ilmunya. Firman Allah SWT: “Adakah patut kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebaikan, sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri, padahal kamu membaca al-Kitab (Taurat)? Maka tidakkah kamu berpikir”? Surah al-Baqarah: 44.

Keempat puluh sembilan: Orang yang beriman akan sentiasa bersedia untuk akhirat. Mereka mengetahui bahawa kehidupan akhirat adalah lebih kekal, kerana itu persediaan mereka untuknya adalah lebih banyak. Firman Allah SWT:Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri melihatkan apa yang telah disediakannya untuk hari esok (akhirat). Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan”. Surah al-Hasyr: 18.

Mereka meyakini bahawa dunia ini hanyalah tempat ujian, dan akhirat adalah kehidupan yang sebenar. Firman Allah SWT: “Dan tidaklah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui”. Surah al-Ankabut: 64.

Orang yang beriman tidak akan terpesona dengan kehidupan dunia, sekalipun orang yang kafir hidup dengan penuh kemewahan dan kaya raya. Mereka akan merasakan tiada nilai dalam kehidupan jika tiada ketaatan kepada Allah padanya. Firman Allah SWT: “Katakanlah: "Dengan kurniaan Allah dan rahmatNya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurniaan Allah dan rahmatNya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan". Surah Yunus: 58.

Mereka memahami dunia ini tiada nilai di sisi Allah SWT. Sahl bin Saad r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

لَوْ كَانَتِ الدُّنْيَا تَعْدِلُ عِنْدَ اللهِ جَنَاحَ بَعُوْضَةٍ مَا سَقَى كَافِرًا مِنْ شُرْبَةِ مَاءٍ.

Ertinya: “Kalaulah dunia ini bernilai di sisi Allah seberat sayap nyamuk sekalipun, maka Allah tidak akan berikan orang kafir walau seteguk air”. Hadis riwayat Tirmizi dan beliau berkata hadis sohih gharib. Al-Albani juga menganggapnya sohih.

Kelima puluh: Sangat menjaga masa dan tidak mensia-siakannya. Segala masa yang diberikan mereka akan gunakan sebaik mungkin, kerana semuanya mesti menjadi pengabdian kepada Allah SWT dan bekalan di akhirat nanti. Firman Allah SWT:1. Demi masa. 2. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, 3. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati dengan kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran”. Surah al-Asr: 1-3.

Inilah sebahagian daripada sifat orang yang beriman. Untuk mengenali lagi sifat-sifat orang yang beriman, maka kita hendaklah mengenali dengan lebih dekat lagi para Nabi dan Rasul. Ini kerana merekalah orang yang benar-benar beriman. Dan perincian terhadap keseluruhan sifat-sifat orang yang beriman terkandung dalam al-Qur’an dan juga Hadis Nabi s.a.w. Kerana itu kedua-dua sumber tersebut hendaklah sentiasa dipelajari dan dikaji oleh para mukmin supaya timbulnya sikap yang baik yang perlu ada pada seorang mukmin. Sikap inilah yang akan membawa kejayaan kepada individu muslim dan juga umat Islam dunia dan akhirat.

Tulisan: Tuan Mohd Safuan Tuan Ismail (KIAS, Nilam Puri)


Labels:

1 Responses to “Ciri-Ciri Orang Yang Beriman (Siri 5)”

  1. # Anonymous Anonymous

    terima kasih..info yg sangat bermakna :)  

Post a Comment




XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health