TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


Ciri-Ciri Orang Yang Beriman (Siri 2)


Kesebelas: Berkasih sayang dan sentiasa memperbaiki hubungan sesama mereka. Firman Allah SWT:
Ertinya: “Orang-orang beriman itu adalah bersaudara, kerana itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat”. Surah al-Hujurat: 10. Mereka akan saling bertegur sapa sesama Islam, samada saudara yang mereka sudah kenali ataupun tidak. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

لاَ تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوْا، وَلاَ تُؤْمِنُوْا حَتَّى تَحَابُّوْا، أَوَلاَ أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوْهُ تَحَابَبْتُمْ ؟ أَفْشُوْا السَّلاَمَ بَيْنَكُمْ.

Ertinya: “Kamu tidak akan masuk syurga melainkan setelah kamu beriman. Dan kamu tidak akan beriman melainkan setelah kamu berkasih sayang (sesama kamu). Mahukan kamu aku tunjukkan satu perkara yang mana jika kamu amalkan kamu akan saling berkasih sayang? Sebarkanlah salam antara kamu (itulah yang boleh membawa kasih sayang)”. Hadis riwayat Muslim. Kasih sayang ada pada mereka pada saudara seagama mereka, menjadikan mereka inginkan supaya saudara mereka juga berada dalam hidayah dan petunjuk Allah SWT dan juga mengecapi kesenangan duniawi, sebagaimana yang mereka kecapi. Anas r.a. meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
Ertinya: “Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah dia sukakan kepada saudaranya apa yang dia sukakan untuk dirinya”. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Kedua belas: Akan menerima segala ajaran Allah SWT dan tidak akan mengikut telunjuk syaitan yang mahukan supaya meninggalkan seluruh perintah Allah SWT atau hanya mengambil perintah yang tertentu sahaja. Firman Allah SWT:
Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam (secara) keseluruhan, dan janganlah kamu turut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu”. Surah al-Baqarah: 208.

Ketiga belas: Orang yang beriman adalah orang yang mendirikan solat, memberikan zakat, mentaati Allah dan mengajak melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Firman Allah SWT:
Ertinya: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”. Surah at-Taubah: 71
Mereka tidak akan meninggalkan solat, walau apa keadaan sekalipun. Ini kerana mereka memahami bahawa meninggalkan solat boleh membawa kepada kekafiran.

إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكُ الصَّلاَةِ

Ertinya: “Sesungguhnya antara seorang lelaki dan syirik dan kekufuran ialah meninggalkan solat”. Ertinya dinding yang menghalang seseorang daripada menjadi kafir dan syirik ialah solat. Jika ditinggalkan solat, maka dia akan masuk ke lembah kekafiran dan syirik, dan tiada lagi dinding penghalang. Hadis riwayat Muslim.
Mereka juga sekali-kali tidak akan meninggalkan membayar zakat, kerana kewajiban berzakat sentiasa disebut bersama dengan kewajiban solat. Kerana inilah, Saidina Abu Bakar (Khalifah Rasulullah s.a.w.) menyatakan: “Demi Allah, aku akan perangi orang yang memisahkan antara solat dan zakat (hanya bersolat tetapi enggan berzakat). Sesungguhnya zakat itu tanggung jawab harta yang wajib ditunaikan”. Riwayat Bukhari.

Keempat belas: Sentiasa berwaspada daripada melakukan kemaksiatan kepada Allah dan sentiasa menjaga dirinya dan kaum keluarganya daripada neraka. Firman Allah SWT:
Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang mana bahan bakarnya adalah manusia dan batu”. Surah at-Tahrim: 6. Firman Allah SWT:
Ertinya: “Dan suruhlah keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki daripadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan balasan (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa”. Surah Ta Ha: 132.

Kelima belas: Memberikan didikan dan ajaran Islam kepada anak-anak. Seorang mukmin yang sebenar tidak akan mengabaikan tanggung jawab mendidik anak-anaknya. Ini kerana, dia mengerti bahawa dialah yang akan mencorakkan mereka. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

مَا مِنْ مَوْلُوْدٍ إِلاَّ يُوْلَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ.

Ertinya: “Tidak ada anak yang dilahirkan melainkan mereka dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci bersih). Maka kedua ibu bapalah yang menjadikan dia Yahudi atau Kristian atau Majusi”. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
Dan dalam al-Qur’anul Karim, Allah SWT telah menceritakan kepada kita tentang bagaimana seorang mukmin yang kuat imannya mendidik anaknya. Firman Allah SWT:
Ertinya: “12. Dan sesungguhnya Kami telah berikan hikmat kepada Luqman, iatu: "Bersyukurlah kepada Allah. Dan sesiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan sesiapa yang kufur (tidak bersyukur), maka sesungguhnya Allah itu Maha Kaya lagi Maha Terpuji".
13. Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, ketika dia memberi pelajaran kepadanya: "Wahai anakku, janganlah kamu mensyirikkan Allah, sesungguhnya mensyirikkan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar".
14. Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu- bapanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusunya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaku dan kepada dua ibu bapamu. Hanya kepada Aku sahajalah (kamu) kembali.
15. Dan jika keduanya memaksamu untuk mensyirikkan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu (tentang kebenarannya), maka janganlah kamu mentaati keduanya, dan hubungilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepadaKu (jalan orang yang beriman). Kemudian (kesudahannya) hanya kepada Akulah kamu kembali, maka Aku akan ceritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.
16. (Luqman berkata): "Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan mendatangkannya (membalasinya). Sesungguhnya Allah Maha Halus ilmuNya (ilmu Allah itu meliputi segala sesuatu bagaimana kecilnya sekalipun) lagi Maha Mengetahui.
17. Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).
18. Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak sukakan orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.
19. Dan sederhanalah kamu dalam berjalan (janganlah terlampau cepat dan jangan pula terlalu lambat) dan rendahkanlah suaramu (jangan nyaringkannya tanpa faedah). Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai”. Surah Luqman: 12-19.

Keenam belas: Sentiasa meninggalkan dosa-dosa besar. Keimanan dan kecintaan mereka kepada Allah menyebabkan mereka malu dan takut untuk melakukan dosa, apatah lagi dosa-dosa besar. Firman Allah SWT:
Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan saki baki riba, jika kamu orang-orang yang beriman”. Surah al-Baqarah: 278.
Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah najis, termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu berjaya”. Surah al-Maidah: 90.
Mereka memahami, bahawa keimanan yang ada pada mereka sudah tentu akan menghalang mereka daripada melakukan dosa dan maksiat. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

لاَ يَزْنِيْ الزَّانِيْ حِيْنَ يَزْنِيْ وَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلاَ يَشْرَبُ الْخَمْرَ حِيْنَ يَشْرَبُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلاَ يَسْرِقُ حِيْنَ يَسْرِقُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلاَ يَنْتَهِبُ نُهْبَةً يَرْفَعُ النَّاسُ إِلَيْهِ فِيْهَا أَبْصَارُهُمْ وَهُوَ مُؤْمِنٌ.

Ertinya: “Tidak akan berzina orang yang berzina semasa dia melakukan zina, dalam keadaan dia beriman. Dan tidak akan minum arak (orang yang meminumnya) dalam keadaan dia beriman, dan tidak akan merompak ( si perompak) yang menyebabkan orang hanya (mampu) melihat rompakan itu (dan tidak mampu menghalangnya) dalam keadaan dia beriman”. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Ketujuh belas: Mempunyai akhlak yang baik. Orang yang beriman memahami bahawa akhlak yang baik merupakan tanda keimanan seseorang. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِيْنَ إِيْمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا.

Ertinya: “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya”. Hadis sohih riwayat Abu Daud dan Tirmizi. Mereka menyedari batapa tinggi nilainya akhlak yang baik di sisi Allah SWT. Abu ad-Darda’ r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

لَيْسَ شَيْءٌ أَثْقَلَ فِيْ الْمِيْزَانِ مِنْ خُلُقٍ حَسَنٍ.

Ertinya: “Tidak ada satu perkara yang lebih berat pada timbangan di akhirat berbanding akhlak yang baik”. Hadis riwayat Ahmad dengan sanad yang sohih. Kerana itu, mereka akan sentiasa menjauhkan diri daripada akhlak-akhlak yang buruk, seperti buruk sangka, mencari kesalahan orang lain, mengumpat, mencaci, mengadu dumba dan sebagainya. Firman Allah SWT:
Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada buruk sangka (curiga), kerana sebahagian dari buruk sangka itu adalah dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang lain dan janganlah mengumpat satu sama lain. Adakah di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang”. Surah al-Hujurat: 12.

Kelapan belas: Banyak berzikir dan mengingati Allah. Cinta yang ada di hati mereka kepada Allah menyebabkan mereka sentiasa membasahkan lidah dengan menyebut nama Allah. Firman Allah SWT:
Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman, inagtlah (dan sebutlah nama) Allah, dengan zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadaNya di waktu pagi dan petang”. Surah al-Ahzab: 41-42.
Mereka akan merasa kerugian jika masa mereka berlalu tanpa mengingati atau menyebut nama Allah. Sabda Nabi s.a.w.:

مَنْ قَعَدَ مَقْعَدًا لَمْ يَذْكُرِ اللهَ فِيْهِ كَانَ عَلَيْهِ مِنَ اللهِ تِرَةٌ، وَمَنِ اضْطَجَعَ مضطجعًا لاَ يَذْكُرُ اللهَ فِيهِ كَانَ عَلَيْهِ مِنَ اللهِ تِرَةٌ

Ertinya: “Sesiapa yang duduk di suatu tempat, dan dia tidak mengingati dan menyebut nama Allah padanya, maka dia akan mendapat kerugian dan penyesalan. Dan sesiapa yang tidur (berehat) di suatu tempat dan dia tidak mengingati dan menyebut nama Allah padanya, maka dia akan mendapat kerugian dan penyesalan”. Hadis riwayat Abu Daud dan Syeikh al-Albani menganggapnya hasan sohih. Harta dan anak pinak tidak melalaikan mereka daripada mengingati Allah dan menyebut namaNya. Firman Allah SWT:
Ertinya: “Wahai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingati Allah. Sesiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi”. Surah al-Munafiqun: 9.
Sikap mereka ini berbeza dengan sikap orang munafiq yang tidak suka mengingati dan menyebut nama Allah, melainkan di hadapan ramai.
Ertinya: “Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka, dan apabila mereka berdiri untuk solat mereka berdiri dengan malas, dengan tujuan menunjuk-nunjuk kepada orang lain, dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sangat sedikit”. Surah an-Nisa’: 142.

Kesembilan belas: Berhati-hati dalam mencari rezeki, kerana mereka hanya memilih sumber rezeki yang halal dan memakan makanan yang halal sahaja dan sentiasa menjauhkan sumber rezeki dan makanan yang haram. Ini kerana mereka memahami bahawa segala kehidupan mereka adalah pengabdian kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:
Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah daripada yang baik-baik yang Kami rezekikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika hanya kepada-Nya sahaja kamu sembah (beribadat)”. Surah al-Baqarah: 172. Mereka tidak akan termasuk seperti yang disabdakan Nabi s.a.w. dalam suatu daripada Abu Hurairah yang berbunyi:

يَأْتِيْ عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ لاَ يُبَالِيْ الْمَرْءُ مَا أَخَذَ مِنْهُ، أَمِنَ الْحَلاَلِ أَمْ مِنَ الْحَرَامِ.

Ertinya: “Akan sampai suatu masa, seseorang itu tidak akan endahkan lagi dari manakah sumber hartanya, adakah daripada halal atau daripada haram?” Hadis riwayat Bukhari.
Ini kerana mereka memahami bahawa sumber yang haram akan menyebabkannya dihumbankan ke dalam neraka di akhirat nanti. Sabda Nabi s.a.w.:

لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ لَحْمٌ نَبَتَ مِنْ سُحْتٍ أَبَدًا، اَلنَّارُ أَوْلَى بِهِ.

Ertinya: “Tidak akan masuk syurga daging yang tumbuh dari sumber yang haram, dan nerakalah yang lebih utama dengannya”. Hadis sohih, riwayat al-Hakim dan lain-lain, daripada Kaab bin Ujrah.

Kedua puluh: Memandang keji perkara dosa. Mereka akan merasa jijik, kotor dan hina segala dosa dan maksiat. Firman Allah SWT:
Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah najis, termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu ingin menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran arak dan judi itu, dan ingin menghalangi kamu dari mengingat Allah dan solat. Maka adakah kamu (akan) berhenti? (berhentilah kamu dari perkara-perkara tadi)”. Surah al-Maidah: 90-91.
Kebencian mereka terhadap dosa dan maksiat ini adalah pemberian daripada Allah SWT hasil daripada keihklasan keimanan mereka. Firman Allah SWT:
Ertinya: “Tetapi Allah menjadikan kamu sukakan kepada keimanan dan menjadikan keimanan itu indah di dalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan, dan kedmaksiatan. Mereka itulah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus”. Surah al-Hujurat: 7. Disebabkan keimanan yang ada, maka mereka sangat suka dan gembira dengan amal saleh dan kebaikan dan mereka akan rasa benci dan bersalah bila melakukan dosa dan maksiat. Sabda Nabi s.a.w.:

وَمَنْ سَرَّتْهُ حَسَنَتُهُ وَسَاءَتْهُ سَيِّئَتُهُ فَهُوَ مُؤْمِنٌ.

Ertinya: “Sesiapa yang kebaikannya menggembirakannya dan kejahatannya (dosanya) menyakitkannya, maka dia adalah seorang yang beriman”. Hadis riwayat Ahmad dengan sanad yang sohih.

Labels:





XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health