TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


Bilakah Malam Lailatul Qadar?

Bila tiba saja bulan ramadhan, umat Islam pasti akan menyebut-nyebut malam lailatul qadar. Dan perbincangan yang paling banyak ialah tentang bilakah malam lailatul qadar. Ini kerana semua sudah maklum tentang kelebihannya dan kewujudannya, namun tiada siapa yang mengetahui dengan tepat tentang bilakah malamnya.
Dinamakan sebagai Lailatul Qadar kerana al-Qadr bererti “nilai”. Ini kerana malam tersebut adalah malam yang sangat bernilai kerana padanya diturunkan al-Qur’an, padanya turunnya para Malaikat, turunnya rahmat, keberkatan dan keampunan daripada Allah SWT. Atau dinamakan juga sebagai malam yang bernilai kerana orang yang menghidupkannya dengan ibadah adalah orang yang mempunyai nilai di sisi Allah SWT dengan bertambah pahalanya dan darjatnya. Atau dinamakan juga sebagai lailatul qadar, dengan al-Qadr bererti sempit. Ini kerana ilmu tentang bilakah malam tersebut telah dipersempitkan sehingga tidak diketahui bilakah malamnya secara pasti. Atau juga kerana dunia yang luas ini menjadi sempit pada malam tersebut kerana dipenuhi dengan para malaikat yang begitu ramai turun padanya. Atau dinamakan lailatul qadar dengan al-Qadar (huruf Dal berbaris fathah) bererti ketentuan. Ini kerana pada malam tersebut para Malaikat menulis ketentuan-ketentuan takdir, rezeki, ajal dan sebagainya untuk tahun tersebut. Di mana, para Malaikat akan mengetahui apa yang akan berlaku, supaya mereka boleh laksanakan perintah yang dititahkan oleh Allah SWT.
Terdapat banyak hadis yang membincangkan tentang malam lailatul qadar. Dan antara hadis yang boleh dijadikan panduan dalam mencari malam lailatul qadar ialah:
Hadis pertama:
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُجَاوِرُ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ وَيَقُولُ تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

Ertinya: Aisyah r.a. menyatakan: “Rasulullah s.a.w. beriktikaf pada sepuluh hari yang terakhir pada bulan ramadhan, dan baginda bersabda: “Carilah lailatul qadar pada sepuluh (malam) yang terakhir daripada bulan ramadhan”. Hadis riwayat Bukhari.

Hadis kedua:
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنْ الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

Aisyah r.a. menyatakan: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Carilah lailatul qadar pada (malam) yang ganjil daripada sepuluh (malam) yang terakhir daripada bulan ramadhan”. Hadis riwayat Bukhari.

Hadis ketiga:
عن ابْن عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الْتَمِسُوهَا فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ يَعْنِي لَيْلَةَ الْقَدْرِ فَإِنْ ضَعُفَ أَحَدُكُمْ أَوْ عَجَزَ فَلَا يُغْلَبَنَّ عَلَى السَّبْعِ الْبَوَاقِي

Ertinya: Ibn Umar r.a. meriwayatkan Rasulullah s.a.w. bersabda: “Carilah lailatul qadar pada sepuluh (malam) yang terakhir. Dan jika kamu lemah, maka janganlah lagi lemah (dalam mencarinya) pada tujuh (malam) yang masih berbaki”. Hadis riwayat Ahmad dan Muslim.
Kesimpulan yang boleh dibuat berdasarkan hadis-hadis tadi ialah lailatul qadar itu berada pada sepuluh malam yang terakhir pada bulan Ramadhan. Ibn Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: (hadis keempat)
هِيَ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ
Ertinya: “Ia (lailatul qadar) adalah pada sepuluh yang akhir”. Hadis riwayat Bukhari. Bahkan Imam Abdul Razzaq telah meriwayatkan dalam kitabnya al-Musonnaf, bahawa Saidina Umar pernah memanggil para sahabat untuk membincangkan bilakah malam lailatul qadar, dan akhirnya mereka sepakat bahawa ia adalah pada sepuluh malam yang terakhir. Namun tidak diketahui pada malam manakah daripada malam yang sepuluh itu. Kerana inilah Qadhi I’yadh menyatakan, tidak ada satu malam pun daripada sepuluh malam yang terakhir melainkan ada pendapat ulamak yang memilihnya sebagai lailatul qadar. Rujuk Fathul Bari, juz 4, m/s 333.
Al-Hafiz Ibn Hajar dalam kitabnya Fathul Bari, Syarah Sohih Bukhari telah menaqalkan lebih daripada empat puluh enam pendapat tentang bilakah lailatul qadar. Dan kesimpulan yang beliau nyatakan ialah: “…Dan yang paling rajih (tepat) ialah lailatul qadar itu pada (malam-malam yang) ganjil pada sepuluh malam yang terkahir. Dan ia pula berpindah-pindah sebagaimana yang difahami daripada hadis-hadis dalam bab ini. Dan yang paling diharapkan ialah pada malam-malam ganjil pada sepuluh yang terakhir ini, dan yang paling diharapkan antara malam-malam ganjil tersebut di sisi para ulamak mazhab Syafie ialah malam dua puluh satu atau malam dua puluh tiga sebagaimana hadis Abu Said al-Khudri (mlm 21) dan hadis Abdullah bin Unais (malam 23). Dan yang paling diharapkan antara malam-malam ganjil tersebut di sisi jumhur (majoriti) ulamak pula ialah pada malam dua puluh tujuh”. Rujuk Fathul Bari, juz 4, m/s 335.
Dan bagi Imam Syafie, malam yang paling diharapkan berlakunya lailatul qadar ialah malam ke dua puluh satu. Imam Tirmizi menyatakan dalam kitabnya Sunan Tirmizi, bahawa Imam Syafie menyatakan: “Dan riwayat (hadis) yang paling kuat di antara hadis-hadis (tentangnya) pada pandanganku ialah ia pada malam dua puluh satu”. Rujuk Tuhfatul Ahwazi, juz 3, m/s 424.
Dan antara hadis yang menguatkan pandangan ini ialah,
Hadis kelima:
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُجَاوِرُ فِي رَمَضَانَ الْعَشْرَ الَّتِي فِي وَسَطِ الشَّهْرِ فَإِذَا كَانَ حِينَ يُمْسِي مِنْ عِشْرِينَ لَيْلَةً تَمْضِي وَيَسْتَقْبِلُ إِحْدَى وَعِشْرِينَ رَجَعَ إِلَى مَسْكَنِهِ وَرَجَعَ مَنْ كَانَ يُجَاوِرُ مَعَهُ وَأَنَّهُ أَقَامَ فِي شَهْرٍ جَاوَرَ فِيهِ اللَّيْلَةَ الَّتِي كَانَ يَرْجِعُ فِيهَا فَخَطَبَ النَّاسَ فَأَمَرَهُمْ مَا شَاءَ اللَّهُ ثُمَّ قَالَ كُنْتُ أُجَاوِرُ هَذِهِ الْعَشْرَ ثُمَّ قَدْ بَدَا لِي أَنْ أُجَاوِرَ هَذِهِ الْعَشْرَ الْأَوَاخِرَ فَمَنْ كَانَ اعْتَكَفَ مَعِي فَلْيَثْبُتْ فِي مُعْتَكَفِهِ وَقَدْ أُرِيتُ هَذِهِ اللَّيْلَةَ ثُمَّ أُنْسِيتُهَا فَابْتَغُوهَا فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ وَابْتَغُوهَا فِي كُلِّ وِتْرٍ وَقَدْ رَأَيْتُنِي أَسْجُدُ فِي مَاءٍ وَطِينٍ فَاسْتَهَلَّتْ السَّمَاءُ فِي تِلْكَ اللَّيْلَةِ فَأَمْطَرَتْ فَوَكَفَ الْمَسْجِدُ فِي مُصَلَّى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةَ إِحْدَى وَعِشْرِينَ فَبَصُرَتْ عَيْنِي رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَنَظَرْتُ إِلَيْهِ انْصَرَفَ مِنْ الصُّبْحِ وَوَجْهُهُ مُمْتَلِئٌ طِينًا وَمَاءً
Ertinya: Abu Said al-Khudriy r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. beriktikaf dalam bulan Ramadhan pada 10 hari pertengahan bulan. Bila sampai hari ke dua puluh, baginda pulang ke rumah baginda. Dan orang-orang yang beriktikaf bersama mereka juga pulang. …kemudian baginda bersabda: “Aku beriktikaf pada sepuluh hari ini (pertengahan bulan), kemudian jelas kepadaku untuk beriktikaf pada sepuluh yang terkahir ini. Maka sesiapa yang beriktikaf bersamaku, maka hendaklah dia kembali beriktikaf di tempat iktikafnya. Dan sesungguhnya aku sudahpun diperlihatkan (bilakah) malam lailatul qadar, kemudian aku dilupakannya. Maka carilah ia pada sepuluh yang terakhir, dan carilah pada setiap (malam yang) ganjil. Dan sesungguhnya aku melihat (tandanya ialah) aku bersujud di atas air dan tanah yang lembik (selut). Dan pada malam itu (malam dua puluh satu) turunnya hujan, sehingga menitis (air hujan) ke dalam masjid di tempat solat Rasulullah s.a.w. Dan aku melihat Rasulullah s.a.w. setelah selesai dari solat subuh, wajah baginda penuh dengan air dan tanah yang lembik. Hadis riwayat Bukhari.
Sebahagian ulamak Syafieyyah menganggap malam 21 adalah malam pertama sepuluh malam yang terakhir, dan ia adalah malam lailatul qadar. Ibn Hazm al-Zahiri pula berpendapat lailatul qadar adalah pada malam ke 21 jika bulan Ramadhan hanya 29 hari, dan ia adalah pada malam ke 20 jika bulan itu genap 30 hari. Rujuk Fathul Bari, juz 4, m/s 332.
Dan bagi yang berpendapat ia adalah malam ke 23, mereka berpandukan kepada hadis riwayat Muslim, daripada Abdullah bin Unais r.a. sebagaimana hadis tadi (hadis keempat, riwayat Abu Said al-Khudri), cumanya dalam hadis tersebut dinyatakan ia adalah pada malam ke 23. Dan Abdullah bin Unais r.a. juga berpendapat demikian. Dikuatkan lagi dengan kata-kata Muawiyah r.a. bahawa malam lailatul qadar adalah pada malam ke 23. Riwayat Ibn Abi Syaibah, dengan isnad yang sohih. Tambahan lagi malam ke 23 adalah malam pertama daripada tujuh malam yang berbaki, jika bulan tersebut hanya 29 hari.
Dan bagi yang berpendapat ia adalah pada malam ke 24, mereka berhujah dengan kata-kata Ibn Abbas: “Carilah (lailatul qadar) pada malam ke dua puluh empat”. Riwayat Bukhari. Namun ada juga yang menganggap maksud Ibn Abbas ialah malam 24 adalah malam pertama daripada tujuh malam yang masih berbaki, yang dituntut oleh Rasulullah s.a.w. untuk kita mencari lailatul qadar.
Dan jumhur ulamak pula yang menganggap kemungkinan terbesar lailatul qadar adalah pada malam ke 27. Mereka berdalilkan dengan
Hadis keenam:
عن زِرّ بْن حُبَيْشٍ يَقُولُ: سَأَلْتُ أُبَيَّ بْنَ كَعْبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ فَقُلْتُ إِنَّ أَخَاكَ ابْنَ مَسْعُودٍ يَقُولُ مَنْ يَقُمْ الْحَوْلَ يُصِبْ لَيْلَةَ الْقَدْرِ، فَقَالَ رَحِمَهُ اللَّهُ: أَرَادَ أَنْ لَا يَتَّكِلَ النَّاسُ. أَمَا إِنَّهُ قَدْ عَلِمَ أَنَّهَا فِي رَمَضَانَ وَأَنَّهَا فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ وَأَنَّهَا لَيْلَةُ سَبْعٍ وَعِشْرِينَ، ثُمَّ حَلَفَ لَا يَسْتَثْنِي أَنَّهَا لَيْلَةُ سَبْعٍ وَعِشْرِينَ. فَقُلْتُ: بِأَيِّ شَيْءٍ تَقُولُ ذَلِكَ يَا أَبَا الْمُنْذِرِ؟ قَالَ: بِالْعَلَامَةِ أَوْ بِالْآيَةِ الَّتِي أَخْبَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهَا تَطْلُعُ يَوْمَئِذٍ لَا شُعَاعَ لَهَا
Ertinya: Zir bin Hubaisy berkata, aku bertanyakan Ubai bin Kaab tentang kata-kata Ibn Mas’ud: “Sesiapa yang bangun beribadat sepanjang tahun, maka dia akan mendapat lailatul qadar”. Lalu Ubai r.a. menjawab: Tujuan Ibn Mas’ud r.a. adalah supaya orang ramai tidak hanya bergantung pada tarikh tertentu dan meninggalkan ibadat. Sebenarnya beliau memang tahu bahawa ia hanya pada bulan ramadhan, dan ia hanya pada sepuluh malam yang terakhir dan ia adalah pada malam ke 27. Kemudian beliau (Ubai bin Kaab r.a.) bersumpah tanpa teragak-agak bahawa lailatul qadar adalah pada malam ke 27. Lalu aku (Zir bi Hubaisy) bertanya: Apakah sebab kamu berkata demikian wahai Abul Munzir (gelaran Ubai bin Kaab r.a.)? Beliau menjawab: Dengan alamat atau tanda yang mana Rasulullah s.a.w. memberitahu kepada kami bahawa (matahari) pada hari itu akan timbul tanpa sinaran cahaya. Hadis riwayat Muslim.
Dan yang menguatkan lagi ia adalah pada malam 27, perkataan ( هي ) yang bererti ia (kata ganti nama yang merujuk kepada lailatul qadar), pada surah al-Qadar adalah kalimah yang ke 27. Tambahan lagi, kalimah lailatul qadar ( ليلة القدر ) dalam bahasa arab adalah sembilan huruf. Dan ia pula disebut sebanyak tiga kali dalam surah tersebut. Maka jumlah keseluruhan huruf kalimah adalah 27. Namun tafsir ini hanyalah tafsir isyari sahaja, dan bukanlah asas tafsir yang ilmiah.
Kesimpulan yang boleh diucapkan tentang persoalan ini, ialah beramallah dengan bersungguh-sungguh pada 10 yang akhir, kerana kita meyakini kewujudannya, sekalipun tidak tahu tentang bilakah masanya. Apatah lagi ramai di kalangan ulamak yang menganggap masanya boleh berubah-ubah malamnya, sebagaimana pendapat Imam Malik, Sufyan al-Sauri, Imam Ahmad, Ishaq bin Rahuyah dan lain-lain.
Perbanyakkanlah amal ibadah pada 10 hari yang terakhir ini. Dan inilah yang telah dilakukan oleh baginda s.a.w. sebagaimana kata Aisyah r.a. (hadis riwayat Muslim). Ini kerana ilmu tentangya telah dipersempitkan, supaya kita semua menambahkan lagi ibadat kita bukan hanya tertentu pada satu malam sahaja, bahkan pada malam-malam yang berbilang-bilang. Bahkan Rasulullah s.a.w. menganggap diangkatkan daripada baginda ilmu tentang lailatul qadar itu sebagai satu perkara yang baik untuk kita (Hadis Bukhari), kerana ia menambahkan lagi ibadah kita. Semoga kita semua mendapat bonus malam lailatul qadar yang sangat hebat, yang merupakan lebih baik daripada seribu bulan, yang menyamai 83 tahun 4 bulan
[1].






[1] Berdasarkan perbincangan ini dan pendapat para ulamak, maka pendapat yang mengatakan bahawa Nuzul Qur’an pada 17 Ramadhan adalah pendapat yang dhoif. Ini kerana al-Qur’an dengan jelas menyatakan bahawa ia diturunkan pada malam lailatul qadar. Dan lailatul qadar pula adalah pada sepuluh malam yang akhir, sebagaimana dalam hadis-hadis dan juga kesepakatan para sahabat. Dan 17 Ramadhan tidaklah termasuk dalam sepuluh malam yang terakhir. Ia juga menunjukkan bahawa solat sunat lailatul qadar adalah satu perkara yang bid’ah dan bukannya satu perkara yang sunat. Namun, yang sedihnya, terdapat buku yang menyunatkan demikian. Ini kerana solat tersebut tidaklah terdapat dalam mana-mana hadis. Lagipun, masa untuk melakukannya juga tidak diketahui, kerana tidak ada yang mengetahui dengan tepat, bilakah malam lailatul qadar. Dan Allah SWT Yang Maha Mengetahui.

Ciri-Ciri Orang Yang Beriman ( Siri 1 )

Ciri asas seorang yang beriman ialah mentaati Allah SWT dan juga RasulNya. Kerana itu, orang yang beriman akan sentiasa bertaqwa kepada Allah SWT dan mengerjakan amalan soleh, dan menjauhkan segala dosa dan kemaksiatan. Dan di bawah ini akan disebutkan beberapa contoh perincian ciri yang mesti ada pada seorang yang beriman.
Antara ciri-ciri atau tanda yang menunjukkan seseorang beriman itu ialah:-

Pertama: Benar-benar berpegang dengan ajaran al-Qur’an. Semua amalan perbuatan mereka dipadankan dengan panduan al-Qur’an. Mereka hanya melakukan apa yang dibenarkan oleh al-Qur’an dan akan menjauhkan mana-mana amalan yang tidak dibenarkan oleh all-Qur’an. Dan mereka juga sentiasa bersemangat untuk mengamalkan al-Qur’an dan juga mengajak orang ramai untuk turut bersama mengamalkannya. Firman Allah SWT:
﴿ الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَتْلُونَهُ حَقَّ تِلَاوَتِهِ أُولَئِكَ يُؤْمِنُونَ بِهِ وَمَنْ يَكْفُرْ بِهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ ﴾
Ertinya: “Orang-orang yang telah Kami berikan Al-Kitab kepada mereka, (dan) mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya (benar-benar mengamalkannya), maka mereka itulah yang beriman dengannya. Dan sesiapa yang engkar dengannya, maka mereka itu adalah orang-orang yang rugi”. Surah al-Baqarah: 121

Kedua: Sentiasa melakukan amalan yang soleh. Kerana inilah kita dapati di dalam ayat-ayat suci al-Qur’an, perkataan “orang-orang yang beriman” disertakan dengan “dan melakukan amalan yang soleh”. Firman Allah SWT:
﴿ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ طُوبَى لَهُمْ وَحُسْنُ مَآبٍ ﴾
Ertinya: “Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka kebahagiaan dan tempat kembali yang baik”. Surah ar-Ra’d: 29.

Ketiga: Sangat gerun dan takut kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:
﴿ أَلَا تُقَاتِلُونَ قَوْمًا نَكَثُوا أَيْمَانَهُمْ وَهَمُّوا بِإِخْرَاجِ الرَّسُولِ وَهُمْ بَدَءُوكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ أَتَخْشَوْنَهُمْ فَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ تَخْشَوْهُ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ ﴾
Ertinya: “Mengapakah kamu tidak memerangi orang-orang yang merosakkan sumpah mereka (janji mereka), padahal mereka telah bersungguh-sungguh ingin menghalau Rasul, dan merekalah yang lebih dahulu mulai memerangi kamu? Mengapakah kamu takut kepada mereka? Padahal Allah-lah yang berhak untuk kamu takuti, jika kamu benar-benar orang yang beriman”. Surah at-Taubah: 13. FirmanNya lagi:
﴿ الَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَالَاتِ اللَّهِ وَيَخْشَوْنَهُ وَلَا يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلَّا اللَّهَ وَكَفَى بِاللَّهِ حَسِيبًا ﴾
Ertinya: “Orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah (para rasul) mereka takut kepadaNya dan mereka tiada merasa takut kepada seorangpun selain Allah. Dan cukuplah Allah sebagai penolong”. Surah al-Ahzab: 39.

Keempat: Mencintai Allah dan Rasul melebihi perkara yang lain. Bagi seorang yang beriman, tidak ada kecintaan melebihi kepada kecintaan kepada Allah dan juga RasulNya. Firman Allah SWT:
﴿ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَشَدُّ حُبًّا لِلَّهِ ﴾
Ertinya: “Dan orang-orang yang beriman sangat-sangat mencintai Allah (melebihi segala-galanya)”. Surah al-Baqarah: 165. Kecintaan mereka kepada Allah SWT bukanlah dakwaan semata-mata, namun dibuktikan dengan perilaku mereka. Firman Allah SWT:
﴿ قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Ertinya: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah pasti akan mengasihimu dan mengampuni dosa-dosamu". Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. Surah Ali Imran: 31.

Kelima: Sentiasa patuh dan taat kepada Allah dan RasulNya. Ini kerana keimanan yang ada pada mereka mendesak mereka mentaati Allah dan RasulNya, bahkan mereka akan merasa gembira bila dapat mengerjakan perintah Allah dan Rasul. Firman Allah SWT:
﴿ إِنَّمَا كَانَ قَوْلَ الْمُؤْمِنِينَ إِذَا دُعُوا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ أَنْ يَقُولُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴾
Ertinya: “Sesungguhnya perkataan (jawapan) orang-orang yang beriman, bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasulNya agar Rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan. "Kami dengar, dan kami taat". Dan mereka itulah orang-orang yang berjaya”. Surah an-Nur: 51.

Keenam: Sentiasa bersyukur dan memuji Allah SWT. Mereka sedar bahawa segala nikmat adalah daripada Allah SWT, dan perlu disyukuri. Firman Allah SWT:
﴿ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ ﴾
Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah kamu akan nikmat Allah (yang diberikan-Nya) kepada kamu”. surah al-Ma’idah: 11. FirmanNya lagi:
﴿ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ ﴾
Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah daripada yang baik-baik yang Kami rezekikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika hanya kepada-Nya sahaja kamu sembah (beribadat)”. Surah al-Baqarah: 172. Nikmat yang melimpah ruah daripada Allah tidaklah menjadikan mereka lupa daratan dan tertipu, bahkan menambahkan lagi syukur mereka. Ini kerana mereka faham firman Allah yang berbunyi:
﴿ وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ ﴾
Ertinya: “Dan (ingatlah), tatkala tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan tambah kepadamu, dan jika kamu mengengkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azabKu sangat pedih"”. Surah Ibrahim: 7.

Ketujuh: Betul-betul yakin dengan kebenaran Islam sehingga mereka sanggup berjihad mempertahankan Islam.
﴿ إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُولَئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ ﴾
Ertinya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Merekalah para as-Sodiqun (orang-orang yang benar sikap dan pegangannya)”. Surah al-Hujurat: 15. Mereka akan sentiasa berjihad menegakkan kebenaran Islam, dan mereka tidak akan lemah dalam perjuangan ini, selagi nyawa dikandung badan. Firman Allah SWT:
﴿ وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّى لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ كُلُّهُ لِلَّهِ فَإِنِ انْتَهَوْا فَإِنَّ اللَّهَ بِمَا يَعْمَلُونَ بَصِيرٌ ﴾
Ertinya: “Dan perangilah mereka, sehiggalah tidak ada lagi fitnah (gangguan-gangguan terhadap umat Islam dan agama Islam ) dan supaya agama itu semata-mata untuk Allah (Islam mengatasi agama-agama yang lain). Maka jika mereka berhenti (dari kekafiran), sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang mereka lakukan”. Surah al-Anfal: 39.

Kelapan: Berjihad pada jalan Allah samada dengan hartanya, atau ilmu dan kepakarannya, bahkan juga dengan jiwa raganya. Mereka tetap akan memperjuangkan Islam sehingga ke titisan darah yang terakhir. Firman Allah SWT:
﴿ الَّذِينَ آمَنُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ كَفَرُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ فَقَاتِلُوا أَوْلِيَاءَ الشَّيْطَانِ إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفًا ﴾
Ertinya: “Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang di jalan thaghut. Kerana itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, Sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah (sangat) lemah”. Surah an-Nisa’: 76. Rasulullah s.a.w. bersabda:
جَاهِدُوْا الْمُشْرِكِيْنَ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ وَأَلْسِنَتِكُمْ
Ertinya: “Berjihadlah menentang kaum musyrikin dengan harta benda kamu, jiwa raga kamu dan lidah-lidah kamu”. Hadis riwayat Abu Daud dan Syeikh al-Albani menganggapnya sohih.

Kesembilan: Begitu yakin dengan ganjaran pahala di akhirat, sehingga segala perbuatan mereka adalah untuk akhirat, bahkan mereka sanggup mati kerananya. Firman Allah SWT:
﴿ فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالْآخِرَةِ وَمَنْ يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيُقْتَلْ أَوْ يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا ﴾
Ertinya: “Hendaklah orang-orang yang menukar kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat (mengutamakan kehidupan akhirat berbanding kehidupan dunia) berperang di jalan Allah. Sesiapa yang berperang di jalan Allah, lalu gugur (syahid) atau memperoleh kemenangan, maka kelak Kami akan berikan kepadanya pahala yang (sangat) besar”. Surah an-Nisa’: 74. Mereka tidak berlumba mencari kemegahan dunia, tetapi apa yang mereka lebih utamakan ialah kehidupan akhirat. Firman Allah SWT:
﴿ تِلْكَ الدَّارُ الْآخِرَةُ نَجْعَلُهَا لِلَّذِينَ لَا يُرِيدُونَ عُلُوًّا فِي الْأَرْضِ وَلَا فَسَادًا وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ ﴾
Ertinya: “Negeri akhirat itu, Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di (muka) bumi. Dan kesudahan (yang baik, iaitu syurga) itu adalah bagi orang-orang yang bertaqwa”. Surah al-Ahzab: 83.

Kesepuluh: Berusaha melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh dan kemudiannya menyerahkan urusan (bertawakkal) kepada Allah SWT. Mereka memahami bahawa kejayaan dan kemenangan tidak akan dicapai tanpa keizinan Allah SWT. Firman Allah SWT:
﴿ إِنْ يَنْصُرْكُمُ اللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ وَإِنْ يَخْذُلْكُمْ فَمَنْ ذَا الَّذِي يَنْصُرُكُمْ مِنْ بَعْدِهِ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ ﴾
Ertinya: “Jika Allah menolong kamu, maka tidak ada orang yang dapat mengalahkan kamu. Dan jika Dia membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan), maka sesudah itu, siapakah gerangan yang dapat menolong kamu (selain) daripada Allah? Kerana itu hendaklah kepada Allah saja orang-orang mukmin bertawakkal (berserah)”. Surah Ali Imran: 160.
Tawakkal yang ada pada mereka membuatkan mereka tidak akan berdoa melainkan hanya kepada Allah. Mereka tidak akan meminta pertolongan dengan jin, nujum dan sebagainya yang bercanggah dengan aqidah mereka. Mereka juga memahami bahawa kemenangan bukanlah dengan kekuatan mereka semata-mata, tetapi dengan kehendak Allah. Ramainya bilangan mereka tidak akan bermanfaat tanpa bantuan Allah SWT. Firman Allah SWT:
﴿ لَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنْكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُمْ مُدْبِرِينَ * ثُمَّ أَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَى رَسُولِهِ وَعَلَى الْمُؤْمِنِينَ وَأَنْزَلَ جُنُودًا لَمْ تَرَوْهَا وَعَذَّبَ الَّذِينَ كَفَرُوا وَذَلِكَ جَزَاءُ الْكَافِرِينَ ﴾
Ertinya: “Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (wahai para mukmin) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) peperangan Hunain, iaitu di waktu kamu bermegah kerana ramainya bilanganmu, (dan) jumlah yang banyak itu sedikitpun tidak memberi manfaat kepadamu, dan bumi yang luas itu telah kamu rasa sempit, kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai. Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada RasulNya dan juga kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan bala tentara yang kamu tiada melihatnya, dan Allah menimpakan bencana kepada orang- orang yang kafir, dan demikianlah pembalasan kepada orang-orang yang kafir”. Surah at-Taubah: 25-26.





XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health