TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


Tokoh Hadis : Imam Yahya bin Ma'in

Kehebatan Imam Yahya bin Ma'in dalam ilmu Hadis.

Imam az-Zahabi dalam kitabnya "Siyar A'lamun Nubala" menyatakan: "beliau ialah al-Imam al-Hafiz al-Jihbiz (pakar hadis), Sayyidul Huffaz, Malikul Huffaz, Syeikhul Muhaddisin, Abu Zakariyya, Yahya bin Ma'in bin Aun bin Ziad bin Bistom. Beliau bukanlah berketurunan arab, cumanya beliau menjadi wala' (dan dianggap sebahagian daripada) Bani Mur (satu kabilah arab). Kerana inlah beliau digelar al-Murri.

Dilahirkan dan dibesarkan di Baghdad. Dan beliau merupakan salah satu tokoh muhaddisin yang agong. Dilahirkan di Baghdad pada 158H, dan membesar di situ. Mula menulis ilmu-ilmu ketika usianya belum mencecah sepuluh tahun. Ayahnya merupakan salah seorang pegawai yang hebat kepada Abdullah bin Malik, pembesar ar-Ray (nama kawasan). Ayahnya meninggalkan pusaka untuknya sebanyak satu juta darham, dan kesemuanya itu habis dibelanjakannya untuk mencari dan mempelajari hadis sehinggalah sampai kepada tahap yang mana beliau tidak mempunyai selipar untuk dipakai.

Beliau pernah mengambil hadis daripada Abdullah bin al-Mubarak, Husyaim bin Basyir, Ismail bin Iyash, Sufyan bin Uyainah, Abdul Razaq as-Son'ani di Yaman, Waki' bin al-Jarrah, Yahya bin Said al-Qattan, Abdul Rahman bin Mahdi dan ramai lagi, samada di Iraq, Syam, Semenanjung Arab, Mesir dan Hijaz. Antara yang mengambil hadis daripada beliau pula ialah Imam Ahmad bin Hanbal, Imam al-Bukhari, Muslim, Abu Dawuud, Abbas ad-Duriy al-Baghdadi yang merupakan periwayat ilmunya, Abu Zur'ah ar-Rozi, Abu Hatim ar-Rozi, Usman bin Said ad-Darimi, Abu Ya'la al-Mausili dan ramai lagi yang tidak terhitung ramainya.

Ibnu Ma'in menulis satu juta hadis dan menulis satu hadis yang sama sebanyak lima puluh kali.

Berkata Ali bin al-Madini: "Kemuncak ilmu manusia terhenti pada Yahya bin Ma'in. Berkata Abdul Khaliq bin Mansur: “aku pernah berkata kepada Abdullah bin ar-Rumi: aku mendengar beberapa rang yang mengambil (belajar) hadis daripada Yahya bin Main mengatakan bahawa : “telah menceritakan kepada kami oleh seorang yang tidak pernah terbit matahari kepada seorang yang lebih hebat daripadanya” (mereka maksudkan ialah Yahya bin Ma'in.), lalu Abdullah bin ar-Rumi menjawab kepadaku: “adakah engkau merasa hairan (dengan gelaran tersebut)”? Aku sendiri pernah mendengar bahawa Ali bin al-Madini menyatakan bahawa: “Aku tidak pernah melihat manusia sehebatnya, dan kami tidak tahu seorang pun semenjak Nabi Adam lagi yang menulis hadis sebanyak apa yang ditulis oleh Yahya bin Ma'in”. Berkata Muhammad bin Nasr al-Marwazi: “aku pernah mendengar Yahya bin Ma'in menyatakan : "aku telah menulis dengan tanganku ini satu juta hadis". Berkata Imam az-Zahabi: "Yang beliau maksudkan dengan bilangan yang begitu banyak ini ialah beliau mengulang-ngulang menulis satu hadis yang sama. Tidakkah kamu lihat yang mana beliau pernah nyatakan bahawa: "Kalaulah kami tidak menulis sesuatu hadis itu sebanyak lima puluh kali, nescaya kami tidak akan kenal (hafal) hadis tersebut".

Semua hadis yang tidak dikenali oleh Yahya bin Ma'in bukanlah Hadis.

Imam Ahmad bin Hanbal berkata: "Mana-mana hadis yang tidak diketahui Yahya bin Ma'in, maka sebenarnya ia bukanlah hadis. Memang Allah SWT ciptakan beliau untuk perkara ini (hadis), kerana itulah beliau mampu menjelaskan pembohongan para pemalsu hadis". Berkata Abu Hatim ar-Razi: "Kalaulah kamu melihat seorang Iraq yang menyayangi Ahmad bin Hanbal, maka ketahuilah bahawasanya orang itu adalah ahli sunnah, dan jika kamu melihat seorang Iraq yang membenci Yahya bin Ma'in, maka ketahuilah bahawasanya orang itu adalah pembohong (pereka hadis palsu)".

Metodologi Pengajian Yahya bin Main Dalam Ilmu Hadis

Ibnu Ma'in berkata: "Bila kamu belajar dan menulis hadis, maka tuliskanlah apa sahaja yang kamu dengar (supaya kamu juga dapat mengetahui hadis-hadis palsu), tetapi bila kamu mengajar hadis, maka selidikilah (pastikan hanya hadis sohih sahaja yang kamu ajari itu)". Manhaj yang dibawa oleh Yahya bin Ma'in merupakan manhaj terbaik dalam mencari ilmu dan menyebarkannya. Kata-katanya tadi meupakan perlembagaan yang diambil oleh para muhaddisin dan para ulamak dalam mencari dan menyebarkan hadis.

Banyaknya kitab-kitab yang ditinggalkan oleh Yahya bin Ma'in

Al-Hafiz Solih bin Ahmad mendengar daripada Abu Abdillah Muhammad bin Abdullah berkata: ayahku menyatakan bahawa Yahyan bin Main telah meninggalkan sebanyak 114 rak buku dan 4 bakul kayu yang penuh berisi kitabnya.

Ibnu Ma'in sentiasa menghalau pembohongan dan pemalsuan terhadap Nabi s.a.w.

Yahya bin Ma'in ini bila mana beliau mengerjakan haji, beliau akan ke Mekah melalui jalan Madinah, dan bila pulang daripada Mekah pun, beliau akan pulang melalui jalan Madinah. Ketika mana beliau keluar mengerjakan haji pada tahun 233H, beliau sampai di Madinah sebelum mengerjakan haji, iaitu pada penghujung bulan zulqaedah. Dan beliau ditimpa sakit serta meninggal pada 23 zulqaedah. Maka orang ramai saling memberitahu mengenai kedatangan beliau dan kematian beliau. Keluarga Bani Hasyim pula mengeluarkan kayu /katil tempat di mana Rasulullah s.a.w. dimandikan. Dan beliau dimandikan di atasnya, Dan sesudah selesai sembahyang jenazah, beliau dikuburkan di perkuburan Baqi'. Para hadirin saling menyebut-nyebut bahawa inilah dia orangnya yang sentiasa menghalang pemalsuan terhadap Nabi s.a.w.

Artikel ini adalah secebis terjemahan yang dibuat oleh Ustaz TMSTI, daripada kitab “Nilai Masa Di Sisi Ulamak” karangan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah. Semoga kita mengenal tokoh agung ini yang banyak berjasa kepada agama.

Labels: , ,





XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health