Hukum Menegakkan Sistem Pemerintahan Islam - Siri 2
0 Comments Published by TasekPauh Blogspot on Thursday, November 29, 2007 at 6:40 AM.Hukum Menegakkan Sistem Pemerintahan Islam
Sesungguhnya menegakkan sistem pemerintahan Islam adalah satu kewajiban yang sangat besar dalam Islam. Antara dalil-dalil yang menunjukkan demikian adalah:
1- Ayat-ayat suci al-Qur’anul Karim yang berkaitan dengan pemerintahan semuanya mewajibkan memerintah dengan hukum Islam. (Sila rujuk edisi yang akan datang) Meninggalkan sistem Islam dan menggantikannya dengan sistem yang lain bererti meninggalkan ajaran al-Qur’an. Ia juga menunjukkan bahawa kurang keyakinan dengan kemampuan ajaran al-Qur’an disamping menunjukkan kepada melebihkan ajaran lain berbanding ajaran Islam yang mana perlembagaannya adalah al-Qur’an. Kerana ini, meninggalkan sistem pemerintahan Islam boleh menggugat aqidah seseorang. Terdapat juga ayat-ayat suci yang melambangkan meninggalkan hukum Islam sebagai kufur dan munafiq. Ini menunjukkan bahawa mengamalkan sistem pemerintahan Islam adalah asas keimanan, dan meninggalkannya adalah lambang keengkaran (kufur), kezaliman dan keluar daripada petunjuk Allah (fasiq).
2- Sunnah praktikal (amaliyyah) yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. sewaktu baginda membentuk Negara Islam pertama di Madinah al-Munawwarah. Sunnah baginda ini menguatkan lagi apa yang dinyatakan di dalam kitab suci al-Qur’an tentang kewajiban mengambil sistem Islam. Menghayati dan menghidupkan sunnah baginda adalah wajib. Dan ini mewajibkan kita mengambil sistem Islam dalam pemerintahan, kerana itulah cara pemerintahan baginda. Kalaulah dalam perkara yang kecil pun kita disuruh mengikut sunnah baginda, seperti adab-adab makan, minum, masuk tandas dan sebagainya, maka dalam perkara yang sangat besar seperti kenegaraan, maka sudah tentu ia lebih-lebih lagi dituntut. Sunnah baginda ini diamalkan oleh keseluruhan khalifah baginda, iaitu Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali dan juga oleh khalifah-khalifah Islam selepas mereka. Kalaulah ia perkara pilihan, sudah tentu ada hadis atau keterangan yang menunjukkan harus (boleh) meninggalkannya. Firman Allah SWT: “Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan rasulNya menetapkan suatu ketetapan (hukum), akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa menderhakai Allah dan rasulNya, maka sungguhlah dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas”. Surah al-Ahzab: 36.
3- Aqidah Islam mewajibkan penganutnya mengambil hukum Allah SWT. Sesiapa yang mengucapkan dua kalimah syahadah, sudah tentu akan mengiktiraf “Ketuhanan” (Tauhid Uluhiyyah) Allah SWT. Syahadah tanpa mengiktiraf “Ketuhanan” Allah SWT adalah syahadah yang batal dan tidak sah. Dan antara syarat pengiktirafan kepada “Ketuhanan” Allah SWT ialah menganggap bahawa hanya Allah SWT sahaja yang berhak menentukan hukum hakam. Firman Allah SWT: “Keputusan (hukum) itu hanyalah milik Allah". Surah Yusuf: 40. FirmanNya lagi: “Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah?”. Surah as-Syura: 21.
4- Sesungguhnya menegakkan hukum hakam Syariah dalam semua kehidupan adalah wajib. Dan semua ini tidak mungkin dilaksanakan tanpa sistem pemerintahan Islam. Kerana ini melaksanakan sistem pemerintahan Islam adalah wajib, berdasarkan qaedah “Setiap perkara yang tidak sempurna wajibnya, melainkan dengan perkara tersebut, maka perkara itu menjadi wajib”. Berkata Syeikhul Islam, Ibn Taimiyyah: “Hendaklah diketahui, bahawa menjaga urusan manusia (pemerintahan) merupakan kewajiban agama yang sangat besar, bahkan tidak akan tertegak agama, tidak juga dunia, melainkan dengannya”. Ini kerana Islam bukan agama kerohanian semata-mata, dan orang yang tidak tunduk dengan ajaran al-Qur’an hendaklah ditundukkan dengan kekuasaan (undang-undang).
Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail. Sarjana Muda Shariah, Universiti Mu’tah, Jordan & Sarjana Pengajian al-Quran & as-Sunnah (Pengkhususan Hadis) UIAM, KL
Labels: Fiqh Daulah, Haraki, Ilmu
0 Responses to “Hukum Menegakkan Sistem Pemerintahan Islam - Siri 2”