TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


Wahhabi dan Kejatuhan Khilafah Usmaniah

Wahhabi dan Kejatuhan Khilafah Usmaniah Turki

Antara perkara biasa yang juga dikaitkan dengan gerakan Wahhabi ialah kejatuhan khilafah Usmaniah Turki. Mereka dikatakan telah memfatwakan harusnya menentang pemerintah Usmaniah, sekalipun dengan pedang dan kekerasan. Bahkan tercetusnya peperangan antara pendokong Wahabiah dan askar-askar kerajaan Usmaniah menjadi dalil kepada fatwa mereka. Mereka juga dituduh bersekongkol dengan penjajah Inggeris untuk menjatuhkan Kerajaan Usmaniah Turki. Tetapi, adakah benar dakwaan-dakwaan ini? Adalah tidak adil jika kita hanya mendengar dakwaan penentang Wahhabi tanpa mendengar penjelasan daripada mereka.

Pada pendokong Wahhabi, dakwaan-dakwaan tadi adalah palsu yang bertujuan memburuk-burukkan mereka. Ini kerana, golongan Wahhabi berpendapat bahawa haram keluar daripada jamaah dan tidak mentaati pemerintah Islam. Dalam sepucuk surat yang dihantar oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab kepada penduduk al-Qasim yang bertanya tentang aqidahnya, beliau menulis: “Dan aku berpendapat wajib dengar dan taat kepada pemimpin-pemimpin Islam, samada yang baik atau yang jahat, selagi mereka tidak menyuruh kepada kemaksiatan kepada Allah SWT. Dan sesiapa yang menjadi Khalifah, dan masyarakat pula bersetuju dengannya dan dia pula menguasai mereka dengan pedangnya, sehingga berjaya menjadi Khalifah, maka wajib mentaatinya dan haram keluar menentangnya”. Surat ini dan dengan jelas menunjukkan bahawa fatwa yang dinisbahkan kepada mereka sebenarnya adalah palsu yang bertujuan memburuk-burukkan mereka. Kerana inilah Dr. Ujail an-Nasymi menyatakan bahawa “ Kita boleh katakan dengan tenang (tanpa ragu) bahawa penulisan-penulisan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab tidak ada pun yang jelas memusuhi Khalifah”. Kata-kata beliau ini diterbitkan oleh Majalah al-Mujtama’, bilangan 506, pada 17 Muharram 1401.

Tercetusnya peperangan antara mereka dan tentera yang diutuskan oleh kerajaan Usmaniah adalah disebabkan hasutan dan fitnah yang disampaikan oleh para penghasut secara salah kepada kerajaan Usmaniah. Maka setelah diserang, tiada pilihan lain bagi mereka melainkan mempertahankan diri. Dan ini (mempertahankan diri) adalah satu perkara yang memang dibenarkan oleh agama. Bahkan mereka menganggap bahawa Najd, iaitu tempat dakwah Syeikh Wahhabi sebenarnya tidak termasuk dalam penguasaan kerajaan Usmaniah. Berkata Dr. Abdullah al-Usaimin: “Sesungguhnya tiada bukti menunjukkan penguasaan secara terus kerajaan Usmaniah ke atas Najd sebelum datangnya gerakan dakwah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab…, bahkan peperangan antara wilayah-wilayah kecil dan permusuhan antara qabilah-qabilah di Najd sentiasa berterusan dalam bentuk yang begitu keras”. Dan pendapat ini juga adalah pendapat Syeikh Ibn Baz dan lain-lain. Bahkan Dr. Soleh al-Abud menyatakan bahawa Undang-undang Usmaniah mengenai wilayah-wilayah taklukan Usmaniah yang ditulis oleh Yamin Ali Afandi, pada tahun 1018H menunjukkan bahawa jumlah wilayah taklukan Usmaniah ialah sebanyak 32 wilayah (Negara) dan 14 daripadanya adalah daripada wilayah arab. Dan Najd tidaklah termasuk dalam wilayah-wilayah ini.

Mengenai dakwaan bahawa mereka bersekongkol dengan Inggeris untuk menjatuhkan kerajaan Usmaniah, maka dakwaan ini pada pandangan mereka, tidaklah berpegang kepada realiti fakta sejarah. Kalaulah mereka bersekongkol dengan Inggeris, kenapakah setelah Ibrahim Basha berjaya mengalahkan Wahhabi di Dir’iyyah, Kerajaan British telah menghantar wakilnya daripada kerajaan India Timur untuk mengucapkan tahniah kepada Ibrahim Basha? Ketua rejmen 47, tentera British iaitu Kapten Sadler telah dihantar bukan sahaja untuk mengucapkan tahniah, bahkan untuk melihat kesan kekalahan dakwah Wahhabi yang mengajak kepada ajaran Islam yang sebenar. Akhirnya dia bertemu dengan Ibrahim Basha di Bir Ali, berdekatan Madinah dengan ucapan tahniah dan hadiah-hadiah daripada kerajaan India Timur. Rujuk buku “Tashih Khatai Tarikh Haulal Wahhabiyyah” iaitu buku tentang pembetulan kesilapan sejarah mengenai Wahhabi, karangan Dr. Muhammad as-Syuwai’ir, m/s 36-37. Namun yang agak pelik ialah kenapakah sering disebut bahawa Wahhabi menetang kerajaan Usmaniah kerana telah berperang dengan askar yang diutus oleh Muhammad Ali Basha, gabenor Mesir yang menjadi wakil kerajaan Usmaniah, sedangkan pemberontakan Muhammad Ali Basha menentang kerajaan Usmaniah tidak disebut? Pemberontakan itu telah memaksa kerajaan Usmaniah meminta bantuan Rusia untuk menghalangnya. Bahkan sampainya kapal-kapal perang Rusia ke Selat Bosphorus (Turki) adalah untuk menghalang pemberontakan tersebut. Kerana inilah ada yang menganggap bahawa antara sebab kejatuhan Umaniah ialah balasan Allah SWT kerana mereka menghapuskan kerajaan Saudi yang pertama yang diasaskan di atas tauhid kepada Allah dengan bantuan gabenaor Mesir, Muhammad Ali Basha (yang akhirnya memberontak menentang mereka).

Dan antara yang menunjukkan mereka tidak bersekongkol dengan Inggeris ialah cubaan Inggeris untuk memburukkan gerakan Wahhabi. Ini kerana memang sudah menjadi lumrah penjajah kafir untuk gerun dengan gerakan yang mengajak kepada al-Qur’an dan juga as-Sunnah. Berkata Syeikh Muhammad an-Nu’mani : “Inggeris telah mengunakan pendekatan yang salah mengenai dakwah Syeikh Muhammad di India. Di mana mereka telah menamakan sesiapa sahaja yang menentang mereka dan yang mereka bimbangkan boleh menggugat kekuasaan mereka dengan tuduhan sebagai golongan Wahhabi. Kerana inilah mereka gelarkan ulamak-ulamak Deoband di India sebagai golongan Wahhabi kerana penentangan mereka secara terang-terangan terhadap penjajahan Inggeris”. (rujuk: www.wahabih.com) Melabelkan para ulamak yang mengajak supaya berpegang dengan al-Qur’an dan as-Sunnah sebagai Wahhabi sebenarnya adalah agenda penjajah.

Penulisan ini bukanlah bertujuan untuk menafikan wujudnya kesilapan dalam Wahhabi. Bahkan golongan Wahhabi samalah seperti golongan yang lain, tidak lepas daripada kesilapan. Cuma penulisan ini bertujuan untuk menafikan fitnah yang selalu dilemparkan kepada mereka. Dan seandainya Syeikh Wahhabi dan para pengikutnya melakukan kesilapan, adakah kita akan disoal di akhirat kerana tidak mencerca mereka? Firman Allah SWT: “Umat itu telah berlalu, mereka akan mendapat kebaikan yang mereka lakukan dan mereka juga akan dibalas keburukan yang mereka kerjakan, dan kamu pula tidak akan disoal (dipertanggung jawabkan) dengan apa yang mereka lakukan”. Surah al-Baqarah: 134. Dan kalaulah pengikut gerakan Wahhabi melakukan kesilapan, adakah kebenaran dakwah mereka perlu ditolak? Adakah ajaran Islam yang dibawa perlu ditolak dan dianggap sesat kerana sebahagian penganutnya yang melakukan dosa? Kerana inilah kita mesti bersikap adil dalam semua perkara, bahkan kepada musuh kita. Dan inilah ajaran Islam yang sebenar.

Fitnah yang dilemparkan terhadap Wahhabi menutup kebenaran, sehingga tiada lagi keadilan untuk mereka. Kita hanya didedahkan dengan bahan-bahan yang memburukkan mereka, sehingga kita hilang sikap mengkaji yang dianjurkan agama. Kerana inilah Syeikh Abul Huda as-Suaidi, seorang ulamak al-Azhar, yang menjadi wakil gabenor Mesir, Muhammad Ali Basha untuk berdebat dengan golongan Wahhabi pada 1815, telah menyatakan pendiriannya tanpa gerun dan takut setelah jelas baginya kebenaran. Setelah selesai perdebatan, beliau menyatakan: “Jika Wahhabi itu, seperti yang kami dengar dan lihat ini, maka kami juga adalah golongan Wahhabi”.

Sebenarnya kerajaan Usmaniah telah jatuh kerana pelbagai faktor, samada dalaman mahupun luaran. (Sila baca ringkasan 23 sebab-sebab kejatuhan Usmaniah dalam www.saaid.net ) Kerana inilah Syeikh Mahmud Mahdi al-Istanbuli dalam bukunya “Muhammad bin Abdul Wahhab pada pandangan Ulamak-ulamak Timur” menganggap pelik mengaitkan kejatuhan Usmaniah dengan gerakan Wahhabi. Ini kerana gerakan Wahhabi timbul pada 1811, dan kejatuhan Usmaniah pula adalah pada 1922.

Tuan Mohd Safuan Tuan Ismail, Email: tasekpauh@yahoo.com

Labels: ,

2 Responses to “Wahhabi dan Kejatuhan Khilafah Usmaniah”

  1. # Blogger Nor

    wahab bin dollah tu adalah yahudi turki...eallahualam.  

  2. # Blogger Nor

    wahab bin dollah tu adalah yahudi turki...eallahualam.  

Post a Comment




XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health