TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


Mengenal Riba - Siri 1

Mengenali Riba

Riba dari sudut bahasa bererti bertambah dan subur. Orang arab pada zaman Jahiliyyah menganggap riba sebagai salah satu cara untuk menambahkan pendapatan dan menyuburkan harta. Kerana inilah mereka menganggap sama sahaja antara urusan jual beli (perniagaan) dengan riba, kerana tujuan kedua-duanya adalah untuk menyuburkan dan menambahkan pendapatan. Namun, anggapan mereka ini dianggap salah oleh Islam, kerana dalam riba terdapat unsur penindasan. Firman Allah SWT:

الَّذِينَ يَأْكُلُونَ الرِّبَا لاَ يَقُومُونَ إِلاَّ كَمَا يَقُومُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ الْمَسِّ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُواْ إِنَّمَا الْبَيْعُ مِثْلُ الرِّبَا وَأَحَلَّ اللّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا فَمَن جَاءهُ مَوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّهِ فَانتَهَىَ فَلَهُ مَا سَلَفَ وَأَمْرُهُ إِلَى اللّهِ وَمَنْ عَادَ فَأُوْلَـئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ {275}

Ertinya: “Orang-orang yang memakan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila (Maksudnya: orang yang mengambil riba tidak tenteram jiwanya seperti orang dirasuk syaitan). Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat): Sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Maka sesiapa yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu dia terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Dan sesiapa yang kembali (mengambil riba), maka dia adalah termasuk di kalangan penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya”. Surah al-Baqarah: 275.

Riba dari pandangan syarak pula ialah: Aqad kepada barangan tertentu (yang mempunyai “illah” riba) tanpa diketahui persamaan antara kedua barangan tukaran atau dengan wujud perbezaan pada pandangan syarak semasa aqad, atau melewatkan pembayaran salah satu daripada barangan tukaran.

Sebab-sebab Berlakunya Riba

Riba boleh terjadi dengan dua sebab, iaitu:-

1- Hutang

2- Jual beli.

Riba Hutang ( ربا القروض )

Riba hutang terjadi bila disyaratkan pembayaran yang lebih dalam pinjaman atau hutang. Sebagai contoh, hutang RM1000.00, wajib dibayar RM1200.00. Syarat pembayaran yang lebih ini menjadikan aqad tadi sebagai satu aqad riba, sekalipun dengan persetujuan dan kerelaan kedua-dua belah pihak. Namun, jika tiada sebarang syarat pembayaran tambahan, dan orang yang berhutang dengan sukarela membayar lebih, maka ia tidak dikira sebagai riba, kerana Nabi s.a.w. pernah melakukan demikian.

عن جابر بن عبدالله رضي الله عنه قال: كان لي على النبي صلى الله عليه وسلم دين فقضاني وزادني.

Jabir bin Abdillah r.a. menyatakan: “Nabi s.a.w. pernah berhutang denganku, dan baginda membayarnya dan melebihkannya (melebihkan pembayaran hutang tersebut). Riwayat Bukhari dan Musllim.

Dan asas yang paling mudah untuk mengenal riba ini, ialah satu qaedah yang sangat masyhur, iaitu:

كُلًّ قَرْضٍ جَرَّ مَنْفَعَةً فَهُوَ رِباَ.

Ertinya: “Setiap hutang yang membawa manfaat (keuntungan kepada pemberi hutang), maka ia adalah riba”. Kerana inilah dianggap riba menggadaikan barangan di pajak gadai, kerana mereka mensyaratkan lebihan bayaran dalam hutang. Ia merupakan dosa yang sangat dimurkai dan dibenci Allah SWT.

Riba Dalam Jual Beli ( ربا البيوع )

Riba dalam jual beli. Ia boleh terjadi bila berlakunya jual beli barangan yang mempunyai “illah” riba.

Barangan yang mempunyai “illah” riba ialah:-

1- Barangan pemegang nilai, iaitu emas dan perak (termasuk juga wang)

2- Barangan makanan seperti beras, gandum, garam, tamar dan sebagainya.

Barangan yang mempunyai “illah” riba, dipanggil barangan (harta) “ribawi”.

Jenis-Jenis Riba Dalam Urusan Jual Beli

1- Riba al-Fadhli. Ia berlaku bila barangan yang mempunyai illah riba dijual dengan barangan yang seumpamanya, tetapi dalam kadar yang tidak sama. Sebagai contoh, 1 kg emas (yang baik) ditukar dengan 1.02 kg (emas yang kurang baik). Maka akad ini dianggap sebagai akad ribawi yang haram.

2- Riba an-Nasi’ah. Ia berlaku bila terdapatnya pertangguhan dalam pembayaran barangan yang mempunyai “illah” riba yang sama. Sebagai contoh, 1 kg perak dijual dengan juga 1 kg perak, tetapi akan dibayar selepas seminggu selepas aqad. Maka akad ini juga haram kerana wujudnya pertangguhan dalam pembayaran.

Perhatian: Terdapat juga akad yang mempunyai kedua-dua jenis riba sekaligus. Ia berlaku bila barangan yang mempunyai “illah” riba dijual dengan timbangan yang berbeza dan berlakunya penangguhan dalam pembayaran (tidak dibayar semasa majlis akad).

Hadis-Hadis Yang Berkaitan

عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: الذهب بالذهب والفضة بالفضة والبر بالبر والشعير بالشعير والتمر بالتمر والملح بالملح مثلا بمثل يدا بيد، فمن زاد أو استزاد فقد أربى، الآخذ والمعطي فيه سواء. رواه مسلم.

Abu Said al-Khudri r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, syair dengan syair, tamar dengan tamar, garam dengan garam, (jualannya mestilah) sama pada tukarannya, juga hendaklah bertukar barangan dalam majlis aqad. Sesiapa yang melebihkan (barangan tukaran tadi) atau minta dilebihkan, maka dia telah melakukan riba. Pemberi dan penerima sama sahaja”. Riwayat Muslim.

عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه، أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: لا تبيعوا الذهب بالذهب إلا مثلا بمثل، ولا تشفوا بعضها على بعض، ولا تبيعوا الورق بالورق إلا مثلا بمثل، ولا تشفوا بعضها على بعض ولا تبيعوا منها غائبا بناجز. رواه البخاري ومسلم.

Abu Said al-Khudri r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jangan kamu menjual (tukar) emas dengan emas, melainkan dengan kadar yang sama. Dan janganlah kamu melebihkan (tidak menyamakan) sebahagian tukaran itu. Dan jangan kamu menjual perak dengan perak melainkan dengan kadar yang sama. Dan janganlah kamu melebihkan (tidak menyamakan) sebahagian tukaran itu. Dan janganlah kamu menjual yang ada daripadanya (wujud semasa aqad) dengan yang tiada. (ertinya pertukaran kedua barangan itu mestilah berlaku secara terus, dan tidak berlaku penangguhan pembayaran)”. Riwayat Bukhari & Muslim.

عن عبادة بن الصامت رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: الذهب بالذهب والفضة بالفضة والبر بالبر والشعير بالشعير والتمر بالتمر والملح بالملح مثلا بمثل، سواء بسواء، يدا بيد، فإذا اختلفت هذه الأصناف فبيعوا كيف شئتم إذا كان يدا بيد. رواه مسلم.

Ubadah bin as-Somit r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, syair dengan syair, tamar dengan tamar, garam dengan garam, (jualannya mestilah) seumpamanya pada tukaran, sama (pada timbangan), tangan dengan tangan (juga barangan hendaklah bertukar dalam majlis aqad dan tiada penangguhan pembayaran). Bila barangan ini adalah berbeza (tukarannya), maka juallah mengikut kehendak kamu (tidak disyaratkan sama timbangan) jika tangan dengan tangan (berlaku pertukaran kedua barangan tadi dalam majlis aqad, dan tiada penangguhan pembayaran)”. Riwayat Muslim.

عن أبي سعيد الخدري رضي الله قال: جاء بلال إلى النبي صلى الله عليه وسلم بتمر برني، فقال له النبي صلى الله عليه وسلم: من أين هذا؟ قال بلال رضي الله عنه: كان عندنا تَمْر رديء، فبعت منه صاعين بصاع لنطعم النبي صلى الله عليه وسلم، فقال النبي صلى الله عليه وسلم عند ذلك: أوَّه أوه، عين الربا عين الربا، لا تفعل. رواه البخاري ومسلم.

Abu Said al-Khudri r.a. menyatakan bahawa Bilal r.a. datang membawa tamar Burni (jenis yang cantik) kepada Nabi s.a.w. Lalu nabi s.a.w. bersabda (bertanya): Dari manakah tamar (yang cantik) ini? Bilal menjawab: Kami mempunyai tamar yang buruk, kami menjualkannya (menukarkannya) dua gantang dengan satu gantang (tamar Burni). Lalu Nabi s.a.w. bersabda: Awwah, Awwah, (kalimah yang dikatakan ketika mengeluh), itulah riba, itulah riba ( itulah hakikat riba yang haram). Jangan kamu buat (lagi). Riwayat Bukhari dan Muslim.

Masalah-Masalah Yang Berkaitan Dengan Hadis

1- Bila kita ingin menukar barangan yang sama jenis dan “illah”, contohnya emas dengan emas, atau beras dengan beras, maka disyaratkan dua perkara, iaitu persamaan timbangan pertukaran dan tiada penangguhan pembayaran.

2- Tetapi jika jenis berbeza, dan “illah”nya sama, contohnya emas dengan perak, maka yang disyaratkan hanyalah tiada penangguhan pertukaran, dan tidak disyaratkan sama timbangan. Kerana inilah harus membeli emas dengan perak, walaupun timbangan berbeza, kerana sekalipun kedua-duanya sama “illah”nya, tetapi berbeza jenisnya.

عن زيد بن أرقم والبراء بن عازب قالا: نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن بيع الورق بالذهب دينا.

Ertinya: Zaid bin Arqam r.a. dan Al-Bara’ bin Azib berkata: “Rasulullah s.a.w. melarang menjual perak dengan emas (dibayar dengan emas) secara bertangguh (pembayarannya)”. Riwayat Muslim.

3- Diharuskan membeli perhiasan emas atau perak dengan wang melalui bayaran secara ansuran mengikut sebahagian ulamak. (Mereka berpandukan pendapat Ibn Taimiyyah dan muridnya Ibnul Qayyim). Namun, ramai ulamak yang mengharamkan membelinya secara ansuran, kerana wajudnya penangguhan pembayaran, dan wang pula mengambil hukum emas. (Mereka berpandukan pendapat empat mazhab). Dan untuk mengelakkan syubhah, pendapat ini adalah lebih baik untuk diambil. Sabda nabi s.a.w.: “Sesiapa yang menjauhkan perkara yang syubhah, maka sebenarnya dia telah melepaskan dirinya daripada celaan agama dan tohmahan masyarakat terhadap maruahnya”. Riwayat Muslim. Saidina Umar menyatakan: “Kami meninggalkan 90% perkara yang halal kerana bimbangkan (berlakunya) riba”. Riwayat Abdul Razzaq dalam al-Musonnaf (14683).

4- Jika dijual barangan ribawi yang berbeza “illah”, maka tidak disyaratkan sebarang syarat tadi. Contohnya ialah emas dengan beras. Begitu juga barangan ribawi dengan barangan yang bukan ribawi. Contohnya emas dengan besi. Maka tidak disyaratkan sama timbangan dan juga tidak disyaratkan tiada penangguhan pembayaran.

5- Dalam masalah menjual barangan ribawi dengan barangan sejenisnya , tidak diambil kira barangan yang baik dan yang tidak. Begitu juga tidak diambil kira dengan upah pembuatan. Ini bererti yang diambil kira ialah berat timbangan yang sama, dan tidak dikira berdasarkan nilai barangan.

عن أبي سعيد الخدري وعن أبي هريرة رضي الله عنهما، أن رسول الله صلى الله عليه وسلم استعمل رجلا على خيبر، فجاءه بتمر جنيب، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "أكل تمر خيبر هكذا؟" قال: لا والله يا رسول الله، إنا لنأخذ الصاع من هذا بالصاعين والصاعين بالثلاثة. فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "لا تفعل بع الجمع بالدراهم ثم ابتع بالدراهم جنيبا". رواه البخاري ومسلم.

Abu Said al-Khudri dan Abu Hurairah r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah melantik sseorang lelaki untuk menguruskan Khaibar. Lelaki tersebut membawa pulang kepada Rasulullah s.a.w. tamar yang baik (bermutu tinggi). Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda bertanya: “Adakah semua tamar Khaibar seperti ini”? Lelaki itu menjawab: Tidak, wahai Rasulullah. Kami membeli satu gantang tamar yang baik ini, dengan dua gantang tamar yang bercampur aduk (buruk dan baik), dua gantang dengan tiga gantang. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jangan kamu buat begitu. Bahkan belilah tamar yang bercampur aduk itu dengan dirham, dan belilah tamar yang baik itu dengan dirham itu”. Riwayat Bukhari dan Muslim. Perkara yang sama berlaku bila Bilal r.a. membawa tamar Burni kepada Nabi s.a.w.

6- jika seorang ingin menukar gelang emas (corak lama) dengan gelang emas (yang baru), maka hendaklah dia menjual gelang lama terlebih dahulu dan diambil duit itu untuk membeli yang baru. Dan jika ditukar terus, dan ditambah sebahagian duit, maka haram hukumnya kerana tiada persamaan timbangan.

7- Dan jika gelang itu ingin dijual dengan emas, atau rantai leher, sedangkan ia mempunyai permata atau sebagainya, maka ia perlu dibuang terlebih dahulu. Ini kerana jika tidak dibuang, maka tidak diketahui dengan jelas persamaan timbangan.

عن فَضالة بن عُبَيدٍ قال: اشتريت يوم خيبر قلادة بإثني عشر دينارا، فيها ذهب وخرز، ففصلتها فوجدت فيها أكثر من اثني عشر دينارا، فذكرت ذلك للنبي صلى الله عليه وسلم فقال: "لا تُباع حتى تُفَصَّلَ . رواه مسلم.

Fadhalah bin Ubaid r.a. berkata: Aku telah membeli satu rantai emas yang mempunyai permata semasa peperangan Khaibar dengan harga 12 dinar. Lalu aku asingkan antara emas dengan permata, dan aku dapati emasnya melebihi 12 dinar. Lalu aku ceritakan kepada Nabi s.a.w. , dan baginda bersabda: “Janganlah ia dijual, melainkan setelah diasingkan”. Riwayat Muslim.

8- Tidak harus menjual 1000kg padi dengan 970kg beras. (al-Muhaqalah) Bahkan tidak harus menjual padi dengan beras, kerana tidak diketahui dengan jelas sama timbangan atau tidak. Dan jika dianggarkan sama berat beras dengan padi yang akan dijadikan beras sekalipun, maka ia tetap haram.

9- Haram menjual 1kg daging lembu dengan 1.2 kg daging lembu yang lain. Kerana daging termasuk makanan yang mempunyai illah riba. Tetapi harus menjual 1kg daging lembu dengan 1.2 kg daging kambing, kerana ia berlainan jenis.

10- Haiwan hidup (yang belum disembelih) bukanlah barangan ribawi, kerana ia tidak dimakan melainkan setelah disembelih dan menjadi daging. Kerana ini, sebagai contoh harus menjual seekor lembu yang besar dengan dua ekor lembu yang kecil.

عن عبد الله بن عمرو بن العاص رضي الله عنه: أن رسول الله صلى الله عليه وسلم أمره أن يجهز جيشا فنفدت الإبل فأمره أن يأخذ في قلاص الصدقة فكان يأخذ البعير بالبعيرين إلى إبل الصدقة. رواه أبو داود، وقال البيهقي: له شاهد صحيح، فذكر بإسناده الصحيح.

Abdullah bin Amr bin al-As r.a, Rasulullah s.a.w. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. menyuruh beliau untuk mempersiapkan (kelengkapan) tentera. (Beliau dapati bahawa) unta tidak mencukupi (untuk semua tentera), lalu Rasulullah s.a.w. menyuruh beliau mengambil unta yang muda daripada unta-unta zakat. Beliau mengambil seekor unta (yang akan digantikan) dengan dua ekor unta. Riwayat Abu Daud.

11- Tidak harus menjual daging dengan haiwan yang hidup, samada haiwan itu dimakan atau tidak. Dan termasuk daging ialah hati, limpa dan sebagainya. Begitu juga kulit haiwan sebelum disamak. Ini adalah pendapat mazhab Syafie. Dan dalil mereka ialah:

عن سمرة رضي الله عنه، أن النبي صلى الله عليه وسلم نهى عن بيع الشاة باللحم. رواه الحاكم وقال: هذا حديث صحيح الإسناد، وله شاهد مرسل عند مالك عن سعيد المسيب رحمه الله تعالى أن النبي صلى الله عليه وسلم نهى عن بيع الحيوان باللحم.

Samurah r.a. menyatakan bahawa Nabi s.a.w. melarang menjual biri-biri dengan daging. Riwayat al-Hakim. Seorang tabien, iaitu Said bin al-Musayyab juga menyatakan bahawa Nabi s.a.w. melarang menjual haiwan dengan daging. Riwayat Imam Malik.

Disediakan oleh: Tuan Mohd Safuan Tuan Ismail. Tasekpauh.blogspot.com. Email: tasekpauh@yahoo.com. 14/02/08.12:53 a.m


Labels: , ,





XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health