TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


Antara Aqidah Dan Pilihanraya

Antara Aqidah Dan Pilihanraya

“Pilihanraya tiada kaitan dengan persoalan di akhirat. Allah SWT tidak akan menyoal kita tentang siapakah yang kita pilih, siapakah yang kita undi kerana semua ini hanyalah perkara keduniaan semata-mata. Allah SWT hanya akan menyoal kita di akhirat tentang aqidah (dan amalan) kita. Apakah ini benar atau tidak? Allah akan soal tentang sembahyang kita, adakah ditunaikan atau tidak? Zakat kita, dikeluarkan atau tidak? Puasa kita, dilaksanakan atau tidak? Soal mengundi tidak akan ditanya di akhirat!”.

Kefahaman inilah yang mendorong saya untuk menulis artikel ringkas ini.

Pandangan sedemikian sebenarnya adalah sangat bahaya, kerana ia bercanggah dengan aqidah. Ini kerana, sebenarnya setiap perkara yang dilakukan oleh kita akan ditulis oleh para malaikat, dan kita akan disoal dan dipertanggung jawabkan di atas semua perbuatan kita. Tidak ada satu pun daripada perbuatan kita, melainkan pasti akan ditulis oleh para malaikat. Dan kita pasti akan melihatnya di akhirat, samada buruk atau baik. Firman Allah SWT:

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ {7} وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ {8}

Ertinya: “Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrah sekalipun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarrah sekalipun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula”. Surah az-Zalzalah: 7-8.

Ayat suci di atas menunjukkan bahawa setiap perbuatan kita, pasti ada balasannya, sekalipun sebesar zarrah yang kecil. Hal pilihanraya yang melibatkan seluruh Negara, dari pimpinan atasan sehinggga rakyat bawahan dan memakan masa berhari-hari merupakan satu perkara yang besar, dan bukannya kecil. Firman Allah SWT:

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا {49}

Ertinya: “Dan bila diletakkanlah kitab (catatan amalan), kamu akan melihat orang-orang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata: "Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya? Dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis), dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang juapun”. Surah al-Kahfi: 49.

Dalam pilihanraya, kita akan lihat betapa bersungguhnya calon-calon dan para penyokong parti-parti yang bertanding berkempen. Mereka akan menyatakan hala tuju dan tujuan masing-masing. Semua yang mereka katakan dalam kempen tersebut pasti akan dicatat dan mereka akan dipersoalkan mengenainya di akhirat. Firman Allah SWT:

مَا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ {18}

Ertinya: “Tiada suatu ucapanpun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang sentiasa hadir (ada bersama)”. Surah Qaf: 18.

Kalaulah kita mengatakan bahawa urusan pilihanraya tidak akan disoal di akhirat, ini bererti kita menganggap bahawa malaikat tidak akan menulis segala perkataan dan perbuatan semasa berkempen, semenjak hari penamaan calon, atau sebelumnya lagi, sehinggalah hari pilihanraya. Maka ini jelas bertentangan dengan aqidah yang menunjukkan bahawa segala amalan kita akan dicatat oleh malaikat dan kita akan disoal mengenainya di akhirat. Allah SWT berfirman:

وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولـئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُولاً {36}

Ertinya: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan disoal (diminta pertanggung jawabannya di akhirat)”. Surah al-Isra’: 36.

Dan apa yang lebih menyedihkan saya ialah, berbanding fahaman tadi, jawapan seorang makcik (Mak Nik) semasa hari penamaaan calon 24 Febuari lepas ketika ditanya: Mak Nik tak pergi ke tempat orang berhimpun ke? Dia menjawab: Tempat berhimpun apa? Si penanya: Tempat orang laungkan “Allahuakbar, Allahuakbar” (dia maksudkan tempat penamaan calon). Mak Nik menjawab: “kalau “Allahuakbar, Allahuakbar” Mak Nik tak sir (tak nak), tapi kalau “Hidup Pak Lah”, Mak Nik nak.

Lihatlah betapa dia (disebabkan kejahilannya, dan tanpa dia sedari) telah jauh lari daripada aqidah yang sebenar, sehingga dia telah tertukar antara Allah dan makhluk. Tidakkah semua yang hidup ini bergantung kepada Allah? Walau siapa dia sekalipun? Allah SWT sahaja yang layak disembah, dan Dia sahaja tempat pergantungan yang sebenar.

Kalaulah urusan pilihanraya juga akan dipersoalkan di akhirat, maka gunakanlah ia untuk kebaikan Islam. Kalaulah kita ingin berkempen, maka berkempenlah dengan bersungguh-sungguh untuk parti yang membawa kita kepada ajaran Allah, iaitu Islam. Firman Allah SWT:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ {33}

Ertinya: “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, dan dia mengerjakan amal soleh, dan berkata: "Sesungguhnya aku adalah di kalangan orang-orang Islam (yang menyerah diri kepada Allah)”? Surah Fussilat: 33.

Kalaulah urusan pilihanraya juga akan disoal di akhirat, maka janganlah sistem demokrasi ini digunakan untuk menafikan Islam, dan menafikan ajaran Allah dan RasulNya. (Sebagai contoh, pada tahun lepas, berpuluh-puluh ribu rakyat Turki mengadakan tunjuk persaaan meyatakan kebimbangan sistem sekular yang diamalkan akan ditukar kepada sistem Islam jika berlaku perubahan pucuk pimpinan) Gunakanlah untuk kemenangan Islam, dan janganlah digunakan untuk memilih calon daripada parti-parti yang akan menafikan hukum hakam Allah dalam sistem perundangan, pendidikan dan sebagainya. Renungkanlah firman Allah SWT yang berbunyi:

الَّذِينَ آمَنُواْ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ وَالَّذِينَ كَفَرُواْ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ فَقَاتِلُواْ أَوْلِيَاء الشَّيْطَانِ إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفًا {76{

Ertinya: “Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir (pula) berperang di jalan Thaghut. Kerana itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah”. Surah an-Nisa’: 76.

Dan bagi pejuang-pejuang Islam, yang sanggup berpenat lelah kerana Islam, maka sebenarnya Allah bersamamu, dan Dia sekali-kali tidak akan bersama musuhmu. Senyumlah kerana itu, kerana sinar yang cerah bergemerlapan berada di hadapanmu. Allah SWT berfirman:

وَلاَ تَهِنُواْ فِي ابْتِغَاء الْقَوْمِ إِن تَكُونُواْ تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمونَ وَتَرْجُونَ مِنَ اللّهِ مَا لاَ يَرْجُونَ وَكَانَ اللّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا {104}

Ertinya: “Janganlah kamu berhati lemah dalam mengejar mereka (musuhmu). Jika kamu menderita kesakitan, maka sesungguhnya mereka juga menderita kesakitan, sebagaimana kamu menderita, sedangkan kamu mengharap dari pada Allah apa yang tidak mereka harapkan. Dan adalah Allah Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana”. Surah an-Nisa’: 104.

Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail. Isnin, 03am03032008/25021429

Labels: , ,

2 Responses to “Antara Aqidah Dan Pilihanraya”

  1. # Blogger mr macho

    Salam

    Pandangan anda tentang "Antara Aqidah Dan Pilihanraya" nampaknya kontra sedikit dengan apa yang berlaku dalam masyarakat kita di kelantan, yang kian menular. Dalam masyarakat kita, mengundi dalam pilihanraya itu mengatasi segalanya sehingga melibatkan isu kafir mengkafir....Namun pucuk pimpinan atasan tak pernah turun membanteras apa yang berlaku....

    Mana cerdik pandai kita, malah dikalangan ustaz-ustazah kita pun membawa idea sebegini dalam ceramah mereka...sedangkan Skop kafir atau tidak bergantung kepada pegangan akidah seseorang..

    Kalau fahaman kita tak sama dengan fahaman mereka secara tak langsung kita dikategorikan dalam golongan yang rosak aqidah. dengan kata lain hanya orang PAS sahaja yang Islam....sedangkan PAS hanya sebuah parti politik yang nak membawa wadah perjuangan menuju Islam, namun pegangan aqidah pendokongnya belum tentu lagi...? Lantaran peristiwa yang berlaku dalam masyarakat tidak di bendung, pergaduhan, perselisihan dan berpuak-puak kian berkembang biak di dalam masyarakat kita....saya setuju dengan muqaddimah Tuan, apa yang pasti PAS tiada dalam rukun Islam dan rukun Iman, setiap individu kalau tak sempurna persoalan pokok aqidahnya...tetap akan dibakar neraka.

    wassalam.  

  2. # Anonymous Anonymous

    salam mr macho,
    anda sebenarnya masih jahil tentang Pas, cuba anda ikut ceramah Pas dimana-mana sahaja dan buka minda anda, balik fikir atau tanya manax tok guru/ustaz tentang ayat yang dibaca atau yg diceramahkan oleh Penceramah,pergi pula dekat ceramah Umno dan cuba bandingkan tentang apa yg diceramahkan., Buka minda dan jangan cepat melenting atau membangkangnya, dengar sahaja.... lamax anda akan faham dan jangan lupa pergi tempat majlis ilmu dan mendalami ajaram ISLAM. semoga ALLAH membuka pintu hati dan memberi petunjuk Hidayah, salam...  

Post a Comment




XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health