TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


Maqasid : 1.4 - Jenis-Jenis Tujuan Dalam Ilmu Maqasid

Bab 1 - Maqasid Syariah

مقاصد الشريعة الإسلامية

Terdapat pelbagai jenis tujuan jika dilihat dari sudut-sudut yang berlainan. Tujuan-tujuan tersebut adalah seperti berikut:-

1- Jika dilihat dari sudut tuan punya tujuan, maka tujuan terbahagi kepada dua, iaitu tujuan Pensyariat dan tujuan mukallaf. (Sila rujuk artikel yang berkaitan)

2- Jika dilihat dari sudut maudhu’ (perkara yang dibincangkan), tujuan terbahagi kepada dua. Pertama, “maslahah”, iaitu tujuan untuk menghasilkan maslahah. Kedua, “mafsadah”, iaitu tujuan untuk menolak mafsadah.

3- Jika dilihat dari segi umum dan khusus, maka ia boleh dibahagikan kepada tiga, iaitu:

i- Tujuan Umum. Tujuan umum ialah tujuan Syariah untuk menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan juga harta.

ii- Tujuan Khas. Tujuan khas ialah tujuan yang dapat dilihat daripada pensyariatan juzuk-juzuk syariah.

Contohnya, tujuan Syariah dalam mensyariatkan gadaian ialah untuk “tauthiq” (memberikan kepercayaan kepada si pemberi hutang). Tujuan Syariah dalam mensyariatkan jual beli (dengan segala jenis jual beli yang disyariatkan) adalah untuk memenuhi hajat keperluan manusia. Tujuan Syariah dalam mensyariatkan sedekah ialah untuk menolong orang-orang yang berhajat.

iii- Tujuan Ceraian (Juz’iy). Tujuan ceraian ialah tujuan Syariah dalam setiap hukum daripada hukum-hakam yang disyariatkan.

Contohnya, Syariah mengharamkan meminang tunang orang lain dengan tujuan mengelakkan permusuhan. Tujuan Syariah melarang (makruh) makan bawang ialah untuk menjauhkan daripada baunya yang kurang elok, dan tujuan Syariah mengharuskan bagi penjual untuk mengambil harga yang lebih tinggi dalam jualan ansuran berbanding jualan biasa ialah untuk menjaga kepentingan penjual tersebut. Syariah menyuruh (sunat) ziarah sesama Islam dengan tujuan mengeratkan hubungan sesama mukallaf. Syariah menyuruh (wajib) menutup aurat dengan tujuan menjaga maruah, mengelakkan fitnah dan zina.

Mungkin ada yang menyangka bahawa terdapat persamaan dalam ketiga-tiga jenis tujuan ini. Maka kami jawab: Ya, memang terdapat persamaan dalam ketiga-tiga jenis tujuan ini. Ini kerana setiap juzuk daripada Syariah, sekalipun ia mempunyai tujuan-tujuan tertentu dalam pensyriatannya (tujuan khas), tetapi keseluruhan tujuan tersebut akan membawa kepada menjaga tujuan umum, iaitu menjaga keperluan asas yang lima iaitu; agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Begitu juga setiap hukum-hakam yang terdapat dalam juzuk-juzuk Syariah, sekalipun ia mempunyai tujuan yang tertentu (tujuan ceraian), tetapi ia juga kembali kepada menjaga (tujuan umum) lima perkara asas tadi.

Perbezaan antara tujuan khas dengan tujuan ceraian ialah, tujuan khas ialah tujuan yang dapat dilihat daripada pensyariatan juzuk tersebut, manakala tujuan ceraian pula ialah tujuan bagi setiap hukum (dalam juzuk tersebut). Dan sejak dahulu lagi dikatakan: “dengan contoh, jelaslah keadaan”. Contoh: Nikah adalah satu juzuk daripada Syariah Islam. Dalam mensyariatkan akad nikah, Syariah bertujuan untuk mengekalkan akad tersebut ( sebagai tujuan khas, manakala tujuan umum bagi nikah ialah menjaga nyawa, keturunan dan maruah). Jadi, mengekalkan akad adalah tujuan khas. Manakala tujuan ceraian pula ialah tujuan atau hikmah yang dapat dilihat dalam setiap hukum mengenai nikah tadi. Contohnya, tujuan atau hikmah dalam hukum nikah sebagai wajib ialah…, hikmah dalam nikah itu sunat ialah…, hikmah dalam nikah itu haram ialah…, hikmah dalam nikah itu harus ataupun makruh ialah…. Tujuan pengharaman nikah mut’ah ialah …, pengharaman nikah syighar ialah…, larangan nikah misyar…. Begitulah seterusnya, setiap hukum-hakam yang kecil yang terdapat dalam juzuk-juzuk besar Islam ada hikmah dan tujuannya. Tujuan itulah yang dinamakan sebagai tujuan ceraian. Dan setiap juzuk Islam tadi juga ada tujuannya dan ia dinamakan tujuan khas. Dan setiap daripada tujuan khas dan tujuan ceraian adalah bertujuan untuk menjaga tujuan umum Syariah yang lima tadi, iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan (termasuk maruah) dan juga harta.

4- Tujuan jika dilihat dari sudut yakin dan jelas atau sebaliknya, terbahagi kepada dua bahagian, iaitu tujuan qat’ie (penuh keyakinan) dan tujuan zonnie (jelas).

Tujuan qat’ie ialah tujuan tujuan yang memang jelas dan yakin dengan sepenuh keyakinan dan tanpa sebarang syak dan keraguan. Contohnya ialah, tujuan atau hikmah daripada pensyariatan Islam ialah untuk memberikan maslahah kepada manusia dan menolak mafsadah. Begitu juga Islam datang untuk menegakkan keadilan, menolak kezaliman dan penindasan. Jadi, dapat disimpulkan bahawa rangka-rangka asas Islam yang tidak berubah dan tidak akan berubah ialah tujuan yang qat’ie, yakin dan tiada sebarang syak. Dan keseluruhan tujuan atau hikmah yang yakin dan jelas ini kembali kepada tujuan Syariah dalam menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Dan menjaga kelima-lima asas ini adalah tujuan qat’ie dalam Syariah Islam kerana ia membawa kepada tujuan asal pensyariatan Islam iaitu menghasilkan maslahah dan menolak mafsadah.

Tujuan zonnie pula ialah tujuan yang sudah pun jelas, tetapi tidaklah sampai kepada tahap tujuan qat’ie tadi. Ini kerana tujuan ini bukanlah sebahagian daripada rangka-rangka asas Islam tadi, tetapi ia merupakan alat untuk menjaga rangka-rangka asas Islam tadi (yang mana mungkin ia boleh berubah, kerana alat yang digunakan untuk sesuatu tujuan, sekalipun ia diperlukan untuk menghasilkan tujuan tersebut, tetapi ia tetap bukan tujuan yang kerananya digunakan alat tersebut) dan ia merupakan ijtihad para ulamak.

Sebagai contoh, kita lihat kenapa Islam mengharamkan meminum setitik arak, sedangkan ia tidaklah mencacatkan keperluan menjaga akal kerana ia tidak menghilangkan akal (menjaga akal adalah salah satu daripada dhoruriyyat (keperluan asas) yang lima). Hikmah atau tujuan di sebalik pengharaman tersebut ialah kerana meminum sedikit boleh membawa kepada meminum banyak. Ini kerana seseorang itu tidak mengetahui pada kadar manakah arak itu boleh memabukkannya? Jadi, jika diharuskan meminum sedikit daripada arak dengan alasan ia tidaklah menghilangkan akal, ia akan membawa kepada meminum sehingga mabuk kerana ingin mengetahui pada kadar manakah arak itu akan memabukkannya. Juga, orang yang berani meminum setitik arak pada mulanya, tidak mustahil untuk berani meminum sebotol arak pada akhirnya.

Begitu juga kita lihat Islam menyuruh para mukallaf supaya menundukkan pandangan daripada melihat aurat perempuan, sedangkan melihat aurat perempuan tidaklah menghilangkan keperluan menjaga keturunan, (menjaga keturunan dan maruah merupakan salah satu daripada dhoruriyyat (keperluan asas) yang lima). Tujuan atau hikmah di sebalik menjaga pandangan ialah, kerana melalui pandanganlah timbulnya tarikan ke arah kemaksiatan zina. (Adakah zina boleh berlaku jika tidak dimulakan dengan pandangan, samada dari pihak lelaki ataupun perempuan?) Tetapi tujuan pengharaman ini adalah tujuan zonnie dan bukannya tujuan qat’ie.

Tuan Mohd Safuan Tuan Ismail. Sarjana Muda Syariah & Pengajian Islam Universiti Mu’tah, Jordan. K05061425H220704M

Labels: ,





XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health