TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


Beberapa Peringatan Mengenai Hadis Dhoif (III)

Pembahagian Hadis Dhoif

Setelah kita mengetahui bahawa martabat hadis dhaif adalah berbeza dan bukannya satu martabat, maka mudahlah untuk kita memahami tentang pembahagian hadis dhoif. Secara mudahnya kita boleh katakan bahawa hadis dhoif terbahagi kepada dua, iaitu:

  1. Sangat dhoif ( kekal dhoif & tidak diamalkan sekalipun untuk fadhail amalan)
  2. Dhoif (diamalkan untuk fadhail dan mungkin jadi “hasan lighoirih”)

Sebab-sebab Yang Menyebabkan Hadis Menjadi Sangat Dhoif

Dan antara sebab yang menyebabkan hadis itu sangat dhoif ialah:-

  1. Salah seorang perawinya adaalah pendusta atau pereka hadis.
  2. Salah seorang perawinya dituduh sebagai pendusta atau pereka hadis.
  3. Salah seorang perawinya seorang yang fasiq.
  4. Hadis itu syaz atau berlawanan.
  5. Hadis itu “ma’lul (mempunyai “illah”).

Hadis-hadis Yang Kekal Dengan Kedhoifannya

Kerana sebab-sebab tadi, hadis-hadis berikut adalah hadis dhoif yang kekal dengan djhoifnya (ditolak dan tidak diterima) dan tidak sekali-kali akan naik kepada martabat “hasan lighoirih” [1]:

  1. Hadis Maudhuk
  2. Hadis Matruk
  3. Hadis Munkar
  4. Semua jenis hadis Syaz (sebagaimana hadis-hadis di bawah)
  5. Hadis Mudraj
  6. Hadis Maqlub
  7. Hadis Mudhtharib
  8. Hadis Musohhaf
  9. Hadis Muharraf
  10. Hadis Ma’lul.

Berdasarkan semua ini kita bolehlah membuat satu kesimpulan bahawa bukan semua hadis dhoif itu boleh diamalkan dalam fadhail, apatah lagi jika ia berlawanan dengan hadis-hadis yang lebih sohih. Juga boleh dibuat kesimpulan bahawa bukan semua hadis dhoif akan naik kepada martabat “hasan lighoirih”.

Adakah Semua Hadis Dhoif Akan Naik Kepada Martabat “Hasan Lighoirih” Dengan Sebab Banyak Thoriq (Sanad Atau Riwayat)?

Ramai di kalangan kita yang menganggap bahawa hadis dhoif akan berubah taraf dan naik kepada martabat “hasan lighoirih” kerana thoriq yang berbilang dan banyak. Tetapi adakah anggapan ini benar?

Sebenarnya bukan semua hadis yang berbilang thoriqnya itu akan naik kepada martabat “hasan lighoirih”. Ini kerana memang sebahagian daripada hadis dhoif itu akan kekal dengan dhoifnya. Tetapi memang sepakat para muhaddisin menganggap bahawa berbilang thoriq itu satu perkara yang boleh menguatkan hadis dhoif dan menjadikannya hadis “hasan lighoirih” (tetapi ini bukan pada semua hadis dhoif). Hanya al-Hafiz Ibn Hazm yang syaz (pelik) dengan berpendapat bahawa hadis dhoif tidak akan menjadi kuat dengan sebab thoriq yang banyak. Ini kerana beliau menganggap bahawa tidaklah menambahkan riwayat yang dhoif itu melainkan kedhoifan [2].

Berkata al-Hafiz Ibnu Hajar (dalam menyatakan bahawa hadis dhoif akan berubah menjadi kuat): “Sesungguhnya thoriq yang banyak itu dan daripada sumber (perawi asal) yang berlainan, menambahkan kekuatan pada matan”.

Dan mengenai bahawa bukan semua hadis yang dhoif itu boleh menjadi “hasan lighoirih”, al-Hafiz Ibnus Solah ada berkata: “Bukanlah semua hadis yang dhoif itu akan hilang dhoifnya dengan adanya “wajah” (riwayat) yang lain, bahkan ini tidak sama antara hadis-hadis yang dhoif. Ada di antaranya yang boleh hilang dhoifnya dengan sebab demikian…dan ada juga hadis dhoif yang tidak hilang dhoifnya dengan demikian, kerana kuatnya kedhoifan itu, dan riwayat yang lain tidak mampu menguatkannya. Dan antara contohnya ialah hadis yang dhoif kerana perawi yang dituduh dengan berdusta ataupun hadis yang syaz [3].

Berkata Imam Nawawi pula: “Adapun hadis yang dhoif kerana perawi yang dituduh berdusta, atau perawi yang fasiq, maka ia tidak akan menjadi kuat sekalipun datangnya riwayat yang lain”. Berkata Imam Ibnu Kathir (dalam menerangkan perkataan Imam Nawawi tadi): “Ini kerana hadis yang dhoif itu tidak sama martabatnya. Dan sebahagiannya tidak akan hilang dhoifnya sekalipun dengan mutabaat”.

Dan antara contoh hadis dhoif yang banyak thoriqnya (sanadnya), tetapi tetap dihukumkan dengan dhoif oleh para muhaddisin ialah hadis “Sesiapa yang menjaga umatku dengan empat puluh hadis, maka Allah akan bangkitkannya di hari kiamat sebagai seorang alim yang faqih”. Imam Nawawi meriwayatkan hadis ini dalam muqaddimah kitabnya “Matan al-Arbain”, dan beliau menyebut: “Dan telah sepakat para muhaddisin bahawa ia adalah hadis yang dhoif, sekalipun banyak thoriqnya”. Berkata al-Hafiz Ibn Asakir mengenai hadis ini: “Semua sanadnya mempunyai kecacatan dan tidak ada ruang untuk menganggapnya sohih” [4]. Dr al-Murtadha al-Zain Ahmad yang menulis buku “Metodologi Muhaddisin Dalam Menguatkan Hadis-Hadis Yang Dhoif Dan Hasan” memberikan komentar mengenai hadis ini dengan katanya bahawa bilangan keseluruhan sanad hadis ini adalah sebanyak dua puluh lima thoriq (daripada beberapa orang sahabat). Dan beliau akhirnya menyatakan bahawa hadis ini tetap dhoif dan thoriqnya yang begitu banyak itu tidaklah menguatkannya, kerana ia terlalu dhoif [5]. Dan Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahui.

_______________________________

[1] Lihat Úáæã ÇáÍÏíË ÃÕíáåÇ æãÚÇÕÑåÇ , karangan Dr Muhammad Abul Laith al-Khairul Abadi, m/s 290.

[2] Lihat: ãäÇåÌ ÇáãÍÏËíä Ýí ÊÞæíÉ ÇáÃÍÇÏíË ÇáÍÓäÉ æÇáÖÚíÝÉ , karangan Dr al-Murtadha al-Zain Ahmad, m/s 77,

[3] Lihat: Úáæã ÇáÍÏíË ÃÕíáåÇ æãÚÇÕÑåÇ , karangan Dr Muhammad Abul Laith al-Khairul Abadi, m/s 289.

[4] Lihat: : ãäÇåÌ ÇáãÍÏËíä Ýí ÊÞæíÉ ÇáÃÍÇÏíË ÇáÍÓäÉ æÇáÖÚíÝÉ , karangan Dr al-Murtadha al-Zain Ahmad, m/s 94.

[5] Ibid, m/s 109.

Labels: ,

0 Responses to “Beberapa Peringatan Mengenai Hadis Dhoif (III)”

Post a Comment




XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health