TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


Hadis Dhoif V

Pandangan Imam Muslim Terhadap Hadis Dhoif

Imam Muslim adalah antara ulamak yang terkenal dengan pendapat tidak harus menggunakan hadis dhoif pada semua keadaan, sekalipun pada fadhail amalan. Bahkan beliau juga menganggap tidak harus meriwayatkan hadis yang dhoif. Ini dapat diketahui dengan tulisan beliau dalam muqaddimah kitab sohih beliau. Beliau juga menganggap meriwayatkan hadis daripada perawi yang dhoif adalah berdosa dan merupakan penipuan kepada kaum muslimin.

Beliau berkata: “Bila mana perawi hadis bukanlah orang yang benar dan amanah, dan orang yang mengetahuinya pula meriwayatkan daripadanya, dan dia pula tidak memberitahu orang lain (yang tidak mengetahui) tentang keadaan perawi tadi, maka dia berdosa dengan perbuatannya itu, dan menipu kaum muslimin. Ini kerana akan ada orang yang mendengar hadis tersebut menggunakannya atau menggunakan sebahagiannya. Dan boleh jadi hadis-hadis itu atau kebanyakan hadis itu adalah (palsu) tiada asasnya…[1] Sebelum itu, beliau ada membawa satu hadis daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Akan ada di akhir zaman, dajal-dajal pendusta, yang akan membawa kepada kamu hadis yang mana kamu dan orang-orang tua kamu tidak pernah dengar. Berwaspadalah dengan mereka, janganlah (sampai) mereka menyesatkan kamu dan memfitnah kamu [2].

Beliau juga membawa perkataan Imam Yahya bin Said al-Qattan: “Kami tidak melihat orang yang paling dusta dalam hadis berbanding para solihin”. Ertinya pendustaan berlaku di lidah-lidah mereka, padahal mereka bukannya sengaja berdusta. Imam Nawawi dalam memberikan komentar kepada perkara ini berkata: “Ini kerana mereka tidak memahami cara ahli hadis, lalu berlaku kesilapan dalam hadis-hadis (yang mereka riwayatkan), dan mereka tidak mengetahuinya, lalu mereka meriwayatkan pendustaan, sedangkan mereka tidak mengetahui bahawa ia adalah pendustaan [3].

Pandangan Imam Nawawi Terhadap Beramal Dengan Hadis Dhoif

Imam Nawawi adalah antara ulamak yang mengharuskan menggunakan hadis dhoif pada fadhail amalan. Namun beliau sebagaimana ulamak-ulamak yang lain tidak mengharuskan menggunakan hadis dhoif pada hokum halal dan haram. Berkata Imam Nawawi: "Berkata para ulamak daripada kalangan muhaddisin, fuqaha dan lain-lain bahawa harus dan disunatkan mengunakan hadis dhoif pada fadhail, targhib, tarhib selagi ia bukan hadis palsu. Adapun hukum-hakam seperti halal dan haram, jualan, nikah cerai dan sebagainya, maka tidak boleh diamalkan melainkan hadis yang sohih atau hasan" [4].

Antara contoh praktikal daripada beliau ialah, dalam menghuraikan hadis riwayat Imam Muslim dalam bab: “Suruhan Supaya Tenang Ketika Sembahyang Dan Larangan Mengisyaratkan Tangan Dan Mengangkatkannya Ketika Salam” beliau berkata: “Berdasarkan hadis ini, adalah sunnah ketika memberi salam sembahyang untuk mengucapkan “Assalamualaikum Warahmatullah” di sebelah kanan dan “Assalamualaikum Warahmatullah” di sebelah kiri. Dan tidak disunatkan menambah: “Wabarakatuh”, sekalipun ada hadis yang dhoif yang menunjukkan demikian, dan disaran kan oleh sebahagian ulamak. Tetapi ia dalah bid’ah jika tidak ada hadis yang sohih, bahkan telah sohih hadis ini dan lain-lainnya yang menunuukkan ia (“Wabarakatuh”) tidak perlu dibaca” . Rujuk Syarah Sohih Muslim, Imam Nawawi, juz 2, m/s 172.

Contoh kedua, beliau menganggap bahawa yang sebenarnya tidak dikenakan kifarat kepada orang yang bersetubuh dengan isteri semasa haid, sekalipun terdapat hadis marfu' daripada Ibnu Abbas: "Sesiapa yang mendatangi isterinya semasa haid, maka bersedekahlah dengan satu dinat atau setengah dinar". Ini kerana hadis itu dhoif dengan sepakat ulamak hadis. Sohih Muslim, Imam Nawawi, juz 1, m/s 474.

Contoh ketiga, beliau menganggap pendapat yang mewajibkan mandi kepada orang yang memandikan mayat adalah pendapat yang syaz dan tidak kuat, sekalipun terdapat hadis daripada Abu Hurairah bahawa: "Sesiapa yang memandikan mayat, maka hendaklah dia mandi", kerana hadis itu adalah hadis yang dhoif dengan sepakat ulamak. Sohih Muslim, Imam Nawawi, juz 2, m/s 356.

Dan bila hadis itu terlalu dhoif, sekalipun banyak thoriqnya, maka Imam Nawawi tidak akan menggunakannya. Sebagai contoh, dalam muqaddimah kitab Matan Arbain, beliau membawa hadis yang menyatakan kelebihan menjaga empat puluh hadis kepada umat, dan kemudiannya beliau menyatakan bahawa sepakat ulamak menggunakan hadis dhoif pada fadhail amalan. Tetapi akhirnya beliau berkata: "walau bagaimana pun, aku tidaklah berpegang (dalam membuat buku hadis 40) kepada hadis ini, tetapi kepada hadis "Hendaklah yang hadir menyampaikan kepada yang tidak hadir"… Dan hadis ini adalah hadis yang sohih.


[1] Lihat: Muqaddimah Sohih Muslim, tahqiq Syeikh Khalil Ma'mun Syiha, Darul Ma'rifah, Beirut, cet. 3, 1417H/1996M, m/s 83.

[2] Ibid: m/s 37.

[3] Ibid: m/s 54.

[4] Lihat al-Azkar an-Nawawi, m/s 28.

Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail, http://tasekpauh.blogspot.com/ UPI, KIAS, 0136353463

Labels: ,

0 Responses to “Hadis Dhoif V”

Post a Comment




XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health