Peringatan Mengenai Hadis Dhoif (II)
0 Comments Related Articles Published by TasekPauh Blogspot on Thursday, February 08, 2007 at 12:22 AM.Beberapa Peringatan Mengenai Hadis Dhoif - Siri II
Hadis dhoif ialah hadis yang tidak mencukupi syarat untuk diterima[1]. Ini adalah takrif yang paling ringkas, paling merangkumi dan paling tepat mengikut pendapat al-Hafiz Ibn Hajar. Ini kerana al-Hafiz Ibnus Solah telah mentakrifkan hadis dhoif dengan katanya bahawa “setiap hadis yang tidak mencukupi syarat-syarat hadis sohih dan tidak juga mencukupi syarat-syarat hadis hasan, maka itulah hadis dhoif”[2]. Dan ramai ulamak telah mengambil takrif Ibnus Solah ini sebagai takrif hadis dhoif, dan antara mereka ialah Imam Nawawi, Ibn Jamaah, al-Tiibi, Ibn Kathir, Ibn al-Mulaqqin dan Abul Hasan al-Jurjani[3]. Dan terdapat juga ulamak yang mengkkritik takrif ini, dan antara mereka ialah al-Hafiz al-Iraqi.
Berkata al-Hafiz Ibn Hajar: “Kalaulah beliau ( Ibnus Solah) berkata: “Hadis dhoif ialah hadis yang tidak mencukupi syarat untuk diterima” maka itu lebih selamat daripada kritikan dan lebih ringkas”. Ini kerana hadis dhoif adalah hadis yang “mardud” dan bukannya hadis yang “maqbul” iaitu hadis sohih dan hasan.
Hadis dhoif ialah nama am untuk mana-mana hadis yang mardud (ditolak). Dan jenis-jenisnya sangat banyak dan martabatnya pula adalah berbeza. Ini bererti bahawa ada hadis dhoif yang lebih kuat berbanding hadis dhoif yang lain atau lebih dhoif. Dan perkara ini adalah satu perkara yang diterima oleh keseluruhan ulamak hadis. Ini kerana sebab kenapa hadis itu menjadi dhoif adalah berbeza.
Sebab-sebab kenapa hadis menjadi dhoif
Terdapat dua sebab utama kenapa sesuatu hadis menjadi dhoif[4]. Mana-mana hadis yang ada padanya salah satu sebab ini, maka ia dianggap hadis yang dhoif.
Pertama: Terdapat keguguran (tercicir) pada sanad. Ertinya sanad terputus.
Kedua: Terdapat kritikan yang benar pada perawi.
Sebab Pertama: Keguguran pada sanad
Sebagaimana yang kita semua ketahui, sanad sesuatu hadis ialah perawi-perawi yang meriwayatkan hadis tersebut (bermula daripada pengarang kitab hadis, sehinggalah kepada sahabat yang meriwayatkan hadis tersebut daripada Rasulullah s.a.w.). Bila sesuatu hadis itu didapati terdapat keguguran pada sanad, maka ia dianggap hadis dhoif atau hadis yang lemah. Kelemahan hadis-hadis yang tercicir perawinya ini berbeza, kerana hadis yang gugur atau tercicir seorang perawinya tidaklah sama dengan hadis yang tercicir dua atau lebih perawinya.
Dan terdapat dua jenis keguguran pada sanad, iaitu keguguran yang jelas dan keguguran yang tersembunyi. Keguguran yang jelas ini boleh dikenali bagi orang yang mempelajari ilmu mustolahul hadis. Dan antara hadis yang dianggap dhoif kerana keguguran yang jelas ini ialah seperti hadis “al-Muallaq”, “al-Mursal” , “al-Mu’dhal”, dan “al-Munqati’. Manakala keguguran yang tersembunyi pula tidak diketahui melainkan oleh para ulamak yang sangat mahir dalam ilmu-ilmu hadis. Dan kita hanya boleh mengenali perkara ini jika diberikan penerangan oleh mereka. Terdapat dua hadis yang dianggap dhoif kerana sebab ini iaitu hadis “al-Mudallas” dan “al-Mursalul khafi”. Dan hadis “al-Mudallas” itu pula banyak pembahagiannya. Dan antara hadis yang dibincangkan kerana sebab keguguran ini ialah hadis “al-Muan’an” dan “al-Muannan”.
Sebab Kedua: Kritikan yang benar pada perawi
Semua perawi yang meriwayatkan hadis yang “maqbul” (diterima, samada hadis sohih atau hasan) mestilah seorang yang adil (baik dari sudut agamanya) dan juga dhobit (boleh menjaga hadisnya dengan baik samada dengan ingatannya (dhobtu sodrin) atau dengan tulisannya (dhobtu kitabin). Kerana ini para perawi yang diragui dan dikritik dalam salam satu daripada dua perkara tadi adalah perawi yang akan ditolak hadisnya.
Dan terdapat sepuluh sebab yang menyebabkan seseorang perawi itu dikritik dan tidak diterima hadisnya.
Antara sebab kritikan terhadap keadilannya ialah dia adalah seorang pendusta, ditohmah dusta, fasiq, pelaku bid’ah dan perawi yang majhul (tidak dikenali). Dan sebab kritikan pada dhobitnya pula ialah terlalu banyak kesilapan (dalam riwayatnya), teruk ingatannya, pelupa, banyak keraguan dan berlawanan riwayatnya (hadisnya) dengan hadis-hadis perawi-perawi yang “thiqah” ( adil dan dhobit).
Dan antara hadis-hadis yang dianggap dhoif kerana sebab kritikan pada perawi ini ialah hadis “al-Maudhu’, “al-Matruk”, “al-Munkar”, “al-Muallal”, “al-Syaaz”, “al-Mudraj”, “al-Maqlub”, “al-Mazid Fi Muttasilil Asanid”, “al-Mudhtharib”, “al-Musohhaf” dan “al-Muharraf”. Dan banyak juga hadis yang dianggap dhoif kerana sebab yang kedua ini tidak mempunyai nama yang khusus, bahkan kekal dengan namanya yang am, seperti hadis yang dhoif kerani perawinya adalah “majhul”, “mubham”, “mutalaqqin”, “mubtadi’, “sayyiul hifz” dan “mukhtalit”[5].
Martabat Hadis Dhoif
Berdasarkan kepada kesemua keterangan di atas bolehlah kita buat kesimpulan dengan apa yang diputuskan oleh para muhaddisin bahawa sesuatu hadis yang dhoif itu tidak sama martabatnya.
______________________________________________
[1] Lihat: علوم الحديث أصيلها ومعاصرها , karangan Dr. Abu Laith al-Khair Abadi, m/s 162.
[2] Lihat: مقدمة ابن الصلاح , karangan al-Hafiz Ibnus Solah, m/s 25.
[3] Lihat: مناهج المحدثين في تقوية الأحاديث الحسنة والضعيفة , karangan Dr. al- Murtadha al-Zain Ahmad, m/s 70.
[4] Lihat: تيسير مصطلح الحديث , karangan Dr Mahmud al-Tohhan, m/s 62.
[5] Lihat: علوم الحديث أصيلها ومعاصرها , karangan Dr. Abu Laith al-Khair Abadi, m/s 161.
[6] Lihat: تيسير مصطلح الحديث , karangan Dr Mahmud al-Tohhan, m/s 63.
[7] Lihat: قواعد التحديث للقاسمي , m/s 111.
0 Responses to “Peringatan Mengenai Hadis Dhoif (II)”