TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


Peringatan Mengenai Hadis Dhoif IV

Hukum Beramal Dengan Hadis Dhoif

Telah khilaf para ulamak dalam hukum beramal dengan hadis dhoif kepada tiga pendapat[1].

Pendapat Pertama: Tidak boleh mengamalkannya langsung, samada hukum-hakam atau fadhail dan sebagainya. Ini adalah pendapat Imam Yahya bin Main, Imam Bukhari, Muslim, al-Khattabi, Ibnu Hibban, Ibn Hazm, Ibnul Arabi, Ibn Taimiyyah, Abu Syamah, Syaukani, Syeikh Ahmad Syakir, al-Albani, Dr Subhi Solih, Dr Muhammad Ujjaj al-Khatib dan lain-lain.

Pendapat Kedua: Boleh mengamalkannya dalam semua keadaan, dengan dua syarat, iaitu hadis itu tidaklah terlalu dhoif dan tiada hadis lain yang sohih dalam bab tersebut. Ini dikatakan pendapat Imam Ahmad, Abu Daud dan lain-lain. Namun terdapat pertikaian dalam menghuraikan maksud kata-kata Imam Ahmad "Hadis dhoif lebih aku suka berbanding pendapat".

Pendapat Ketiga: Dikatakan pendapat jumhur ulamak. Jumhur ulamak menolak menggunakan hadis dhoif dalam perkara hukum-hakam, apatah lagi dalam perkara berkaitan aqidah. Namun mereka telah mengharuskan menggunakan hadis dhoif dalam menyatakan kelebihan amalan dengan tiga syarat.

1 - Janganlah hadis itu terlalu dhoif.

Kerana ini, sekali-kali tidak dibenarkan hadis yang ada padanya perawi yang dusta, yang dituduh dusta, yang mubtadi', atau yang sangat pelupa dan banyak tersalah. Ini bererti bukan semua hadis dhoif boleh digunakan untuk fadhail amalan, bahkan hanya hadis yang dhoif kerana kelemahan ingatan perawinya, tetapi bukan hadis yang dipertikaikan keadilan perangai perawinya.

Berkata Qardhawi: (setelah menaqalkan kata-kata para ulamak dalam bab apakah maksud sebenar keharusan meriwayatkan hadis dhoif pada targhib dan tarhib,): "Berdasarkan kata-kata ini, maka jelaslah bahawa ulamak-ulamak hadis tidaklah menyatakan bahawa (harus) meriwayatkan dalam bab targhib dan tarhib daripada sesiapa sahaja di kalangan perawi hadis, sekalipun mereka tidak dikenali, dituduh dusta atau yang banyak kesilapan. Mereka hanya mengharuskan riwayat para perawi yang terdapat sedikit kelemahan dalam hafalan mereka. Maka mereka adalah orang yang tidak diragui lagi tentang keadilan perangai mereka, tetapi diragui tentang ingatan, kepekaan dan kepakaran mereka"[2].

2 - Hendaklah perkara yang hendak diyatakan itu ada asal pensyariatannya.

Ertinya, fadhilat amalan atau amaran seksa sesuatu amalan itu adalah satu perkara yang ada sabit asalnya dengan nas Qur'an atau hadis yang maqbul. Ini adalah satu noktah penting yang mana ramai tidak memahaminya. Noktah ini bererti bahawa hadis dhoif ini hanyalah boleh digunakan sebagai menyatakan fadhilat sesuatu amalan yang sudah pun disyariatkan dengan Qur'an atau Sunnah, dan bukannya mengisbatkan (menetapkan) atau mengasaskan amalan (ta'sisul amal) yang tiada asalnya dengan Qur'an atau Sunnah yang sohih.

3 - Janganlah beranggapan dengan pasti bahawa akan dapat apa yang dinyatakan dalam hadis itu.

Bahkan sebagai ihtiyat sahaja. Ini kerana ia adalah hadis dhoif dan bukannya sohih nisbahnya kepada Nabi s.a.w.

Memandangkan tiga syarat ini tidak difahami dengan baik oleh ramai di kalangan kita, maka perkataan muhaddisin "harus menggunakan hadis dhoif pada fadhail amalan" ini telah digunakan oleh ramai di kalangan kita untuk menyebarkan hadis yang dianggap sangat dhoif, munkar, matruk, bahkan hadis yang dianggap palsu oleh sebahagian muhaddisin. Bahkan ada juga yang mengisbatkan amalan dengan hadis-hadis yang seperti ini. Akhirnya perkataan muhaddisin tadi telah dijadikan dalil untuk membenarkan tindakan mereka[3], samada ketika meriwayatkan hadis-hadis seperti itu atau ketika mengamalkannya (walaupun mereka sedikitpun tidak berpaling kepada syarat-syarat yang dinyatakan oleh para muhaddisin tersebut).

Syarat-Syarat Tambahan Dalam Menggunakan Hadis Dhoif

Dan satu lagi syarat penggunaan hadis dhoif dalam fadhail amalan ialah janganlah hadis dhoif itu mengandungi perincian-perincian tambahan seperti kadar dan sebagainya melebihi daripada dalil asal yang sohih. Ini kerana menjauhkan daripada termasuk dalam "bid'ah tambahan". Ini kerana ibadat adalah satu perkara "tauqifiyyah" yang memerlukan dalil yang sohih untuk pensyariatannya[4]. Dan syarat ini boleh kita lihat praktikalnya oleh Imam Nawawi.

Dan ada sebahagian ulamak menambahkan satu syarat yang lain, iaitu janganlah hadis dhoif itu disebarkan dengan meluas kepada orang ramai. Antara mereka ialah Sultanul Ulamak al-Izz bin Abdus Salam[5] dan al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani. Penambahan ini adalah supaya janganlah seseorang itu melakukan amalan dengan hanya bergantung kepada hadis dhoif, lalu menyebabkan dia mensyariatkan perkara yang tidak disyariatkan dan supaya tidak dilihat oleh orang yang jahil, lalu dia menganggap amalan itu adalah sunnah yang sohih[6].

Dan satu syarat lagi, yang merupakan syarat kemestian, sekalipun tidak disebut secara jelas oleh buku-buku mustolah, tetapi ia merupakan syarat yang sudah dimaklumi oleh para ulamak mujtahid, iaitu janganlah hadis dhoif itu berlawanan dengan dalil-dalil lain yang lebih sohih dan kuat[7].

Kenapa Diletakkan Syarat-Syarat Dalam Menggunakan Hadis Dhoif?

Syarat-syarat ini diletakkan oleh para ulamak bagi menghalang terlalu meluaskan penggunaan hadis dhoif. Ini kerana semua sudah memahami bahawa hadis dhoif pada asalnya adalah hadis mardud, iaitu hadis yang ditolak dan bukannya hadis yang maqbul. Tambahan lagi, para ulamak yang mengharuskan penggunaan hadis dhoif pada fadhail amalan dengan syarat-syarat tadi tidak membawa contoh yang praktikal yang banyak terhadap teori mereka. Bahkan sebahagian daripada mereka hanyalah menyebut teori, tetapi tidak mempraktikkannya dari sudut amali. Akhirnya, hadis-hadis yang tidak mencukupi syarat-syarat tadi juga diamalkan dalam fadhail amalan.

Alangkah baiknya kalau mereka menulis satu buku dan memberikan contoh seratus hadis dhoif yang mencukupi syarat-syarat tersebut, kerana hadis dhoif itu sangat banyak, bahkan Imam Bukhari menyatakan bahawa beliau menghafal dua ratus ribu hadis yang tidak sohih. Ketiadaan contoh praktik amali ini seolah-olah membenarkan perkataan orang yang menganggap bahawa syarat-syarat ini susah untuk dipraktikkan dari sudut amali, dan ia hanyalah teori. Hanya sebahagian kecil hadis dhoif sahaja yang boleh digunakan jika syarat ini perlu dipenuhi.

Maksud Harus Menggunakan Hadis Dhoif

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah menganggap maksud harus menggunakan hadis dhoif di sisi para ulamak yang mengharuskannya ialah hanya mengharapkan pahala daripada sesuatu amalan atau bimbangkan azabnya. Dan ia bukanlah bererti orang yang mengamalkan pasti akan mendapat pahala tersebut atau azab daripada amalan tersebut. Bandingannya adalah seperti seseorang mengetahui bahawa perniagaan akan memberikannya keuntungan. Jika sampai kepadanya cerita bahawa sesuatu perniagaan itu, besar keuntungannya, (maka ia mengharapkannya). Maka kalaulah cerita itu benar, maka ia akan memberikannya manfaat, dan jika cerita itu adalah dusta, maka ia tidaklah menjejaskannya (kerana perniagaan (biasanya) memang memberikan keuntungan). Dan ada juga ulamak yang menganggap maksud harus beramal dengan hadis dhoif ialah harus meriwayatkannya untuk menyatakan kelebihan amalan. Allah SWT Maha Mengetahui.

Kesan Mengharuskan Menggunakan Hadis Dhoif Pada Fadhail Amalan

Antara kesan buruk yang terhasil dengan sebab perkataan "harus menggunakan hadis dhoif pada fadhail amalan" (sekalipun ia adalah benar) ialah:

1 - Bercampur aduk antara hadis yang sohih dengan hadis yang dhoif pada fadhail amalan, sedangkan hadis yang sohih pada fadhail juga banyak dan mencukupi.

2 - Boleh menyebabkan termasuk (mungkin tanpa disedari) dalam pendustaan terhadap Nabi s.a.w., apatah lagi jika ia diambil daripada individu ataupun buku-buku yang sedikitpun tidak membezakan antara yang sohih dan yang sangat dhoif dan palsu. Sabda Rasulullah s.a.w.: "Cukuplah seseorang itu untuk dikatakan dusta, jika dia menceritakan semua yang didengarinya"[8].

3 - Jatuh dalam perkara-perkara bid'ah, kerana melakukan amalan yang tiada asalnya pada Syarak[9].

4 - Mengurangkan kesungguhan dalam mencari kesahihan sesuatu hadis. Ini kerana mereka beranggapan bahawa hadis dhoif juga boleh diamalkan.

Hadis Yang Mengajak Untuk Mengamalkan Hadis-Hadis Dhoif

Dan antara sebab kenapa orang awam ingin mengamalkan hadis, tanpa mengira kesahihannya, bahkan mengamalkan juga hadis yang palsu, ialah kerana terdapat satu hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang sampai kepadanya sesuatu kelabihan daripada Allah, lalu dia mengambilnya kerana keimananya dan mengharapkan pahalanya, maka Allah akan memberikannya pahala tersebut, sekalipun ia (kelebihan tersebut) bukan daripada Allah”.

Sebenarnya hadis ini adalah hadis palsu, sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn al-Jauzi, Syeikh al-Albani dan lain-lain.

Pembahagian Hadis kepada Sohih, Hasan dan Dhoif

Berkata Dr. Muhammad Ujjaj Al-Khatib: “Dan orang yang paling awal diketahui membahagikan hadis kepada sohih, hasan dan dhoif ialah al-Imam Abu Isa at-Tirmizi. Penggunaan kalimah hasan (untuk hadis) memang wujud di kalangan para guru beliau dan ulamak-ulamak sebelumnya, namun pembahagian hadis kepada tiga (seperti sekarang) tidaklah diketahui sebelum beliau”. Beliau menganggap bahawa para muhaddis sebelum Imam Tirmizi hanya membahagikan hadis kepada sohih dan dhoif. Seterusnya beliau menaqalkan bahawa Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah berkata: “Adapun para ulamak sebelum Tirmizi, maka tidak diketahui mereka membahagikan hadis kepada tiga, kerana yang diketahui bahawa mereka hanya membahagikannya kepada sohih dan hasan sahaja. Dan dhoif pada pandangan mereka terbahagi kepada dua, iaitu dhoif yang masih boleh beramal dengannya, iaitu yang seperti hadis hasan pada istilah Imam Tirmizi, (dan yang keduanya ialah) dhoif yang wajib ditinggalkan, iaitu al-Wahi”[10]. Dan sebelum Ibnu Taimiyyah, Imam Nawawi juga menganggap bahawa Imam Tirmizi adalah orang yang mula mempopularkan mustolah hasan. Ini adalah seperti yang terdapat dalam kitabnya "at-Taqrib".

Hadis Mudhoaaf ( ÇáãÖÚÝ )

Di antara hadis dhoif juga yang dinamakan sebagai hadis mudhoaaf. Hadis mudhoaaf ialah hadis yang khilaf ulamak tentang kelemahannya. Ia dianggap dhoif oleh sebahagian ulamak samada kerana kecacatan pada matannya atau pada sanadnya, dan ia pula dianggap kuat oleh ulamak yang lain.

Dan istilah hadis “mudhoaaf” biasanya digunakan pada hadis-hadis yang lebih jelas dhoifnya berbanding dengan pendapat yang menguatkannya, atau hadis yang tidak diketahui tantang yang manakah yang lebih rajih, pendapat yang mengatakannya dhoif atau yang menganggapnya sohih? (Ini kerana terdapat juga yang memang sohih dianggap dhoif oleh sebahagian ulamak kerana kesilapan ijtihad mereka).

Hadis Mudhoaf adalah lebih tinggi martabatnya berbanding dengan hadis yang disepakati ulamak tentang kelemahannya atau dhoifnya.

[1] Lihat : ÇáÍÏíË ÇáÖÚíÝ æÍßã ÇáÇÍÊÌÇÌ Èå¡ , karangan Dr. Abdul Karim al-Khadir, m/s245-300. dll

[2] Lihat: ßíÝ äÊÚÇãá ãÚ ÇáÓäÉ ÇáäÈæíÉ¡ ãÚÇáã æÖæÇÈØ¡, karangan Dr. Yusof al-Qardhawi, m/s 73

[4] Lihat: Úáæã ÇáÍÏíË ÃÕíáåÇ æãÚÇÕÑåÇ , Dr Muhammad Abul Laith al-Khairul Abadi, m/s 164.

[5] Lihat: Úáæã ÇáÍÏíË ÃÕíáåÇ æãÚÇÕÑåÇ , Dr Muhammad Abul Laith al-Khairul Abadi, m/s 166.

[6] Lihat : ÇáÍÏíË ÇáÖÚíÝ æÍßã ÇáÇÍÊÌÇÌ Èå¡ , Dr. Abdul Karim al-Khadir, m/s 274.

[7] Lihat : ÇáÍÏíË ÇáÖÚíÝ æÍßã ÇáÇÍÊÌÇÌ Èå¡ , Dr. Abdul Karim al-Khadir, m/s 274.

[8] Hadis sohih riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a..

[9] Lihat Úáæã ÇáÍÏíË ÃÕíáåÇ æãÚÇÕÑåÇ , m/s 168.

[10] Lihat : ÃÕæá ÇáÍÏíË¡ Úáæãå æãÕØáÍå¡, Dr Muhammad Ujjaj al-Khatib, m/s 331.

Labels: ,

0 Responses to “Peringatan Mengenai Hadis Dhoif IV”

Post a Comment




XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health