TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


Klip video Lingam: KeADILan serah memorandum pada Agong

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Hrkh) - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerahkan memorandum berhubung klip video perbualan telefon antara peguam VK Lingam dengan seorang hakim kanan negara kepada ke bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di Istana Negara, hari ini.

Penyerahan tersebut yang diketuai Presidennya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail adalah untuk menuntut penubuhan suruhanjaya diraja bagi membersihkan imej sistem kehakiman.

Turut mengiringi beliau ialah tiga lagi pimpinan tertinggi partinya iaitu Setiausaha Agung, Tan Sri Khalid Ibrahim, Ketua Penerangan, Tian Chua dan Ketua Angkatan Mudanya, Shamshul Iskandar Mat Akid.

Memorandum tersebut diserahkan kepada Ketua Pentadbiran Istana.

Sementara itu, Wan Azizah yang bercakap kepada media selepas penyerahan memorandum itu, berkata beliau memohon agar Tuanku Mizan menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat bukan saja kesahihan video tetapi kandungannya juga.

"Apa yang didakwanya dan apa yang berlaku di dalam video itu lebih penting kerana ini melibatan kebebasan badan kehakiman negara yang bukan saja melibatkan keadilan kepada semua rakyat tetapi juga keadilan mereka yang memegang teraju keadilan itu sendiri dalam promosi mereka sebagai hakim di negara kita," katanya.

Tegasnya, perkara tersebut amat penting kerana sebagai rakyat di bawah naungan yang Dipertuan Agung, mereka merayu supaya melihat rintihan rakyatnya.

"Pegawai Tadbir Istana Negara yang menerima penyerahan dari kami menyatakan beliau akan persembahkan apa yang kita rintihkan kepada ke Bawah Duli Yang Di pertuan Agung," katanya.

Perkara seperti itu katanya bukan sekarang berlaku tetapi sudah lama iaitu sejak pemecatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas pada tahun 1988 lalu.

Sementara itu isi memorandum yang dihantar kepada pihak Istana adalah seperti berikut:

PENUBUHAN SURUHANJAYA DIRAJA BAGI MEMBERSIHKAN IMEJ SISTEM KEHAKIMAN

Ampun Tuanku,

Didoakan semoga DYMM Tuanku bersama DYMM Tuanku Permaisuri sentiasa di dalam lindungan dan rahmat Allah s.w.t.

Merujuk perkara diatas, sayugia dirafa’kan sembah bahawa pada minggu lepas Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pun mendedahkan sebuah video rakaman perbualan telefon antara peguam VK Lingam dengan Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Abdul Halim. Video yang dirakam sekitar tahun 2002 ini mendedahkan wujud konspirasi dari pihak-pihak tertentu untuk melantik hakim-hakim yang dapat menjamin keputusan penghakiman yang selari dengan keinginan politik. Antara lain, nama-nama seperti Tan Sri Vincent Tan dan Tengku Adnan Tengku Mansor disebut telah menaja usaha ini.

Maklumat ini mengesahkan kebimbangan sejak pemecatan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas pada tahun 1988 dan kenyataan bekas Ketua Hakim Negara Allahyarham Tun Mohammed Suffian pada tahun 2000 apabila beliau menyatakan bahawa beliau tidak bersedia berdepan dengan hakim sekarang apatah sekiranya beliau tidak bersalah.

Hujah ini diperkuat oleh tulisan Ke Bawah Duli Tuanku Raja Azlan Shah pada 2004 yang melahirkan kebimbangan terhadap terhakisnya keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman. Baginda juga menyesali bahawa mahkamah telah diperalatkan untuk memutuskan dengan sewenang-wenangnya bahawa “peranan oleh DYMM Raja-Raja Melayu” merupakan satu prosedur ringan semata-mata.

Imej institusi kehakiman negara kita yang sudah pun tercalar begitu lama sudah tentulah binasa sama sekali. Kes ini berkaitan dengan begitu banyak isu-isu membabitkan institusi kehakiman selama ini, termasuklah:

a) Insiden pemecatan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Wan Suleman dan Datuk George Seah

b) Semua keputusan membabitkan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim

c) Kes Wee Chee Keong

d) Kes Lim Guan Eng

Daulat Tuanku,

Berdasarkan keterangan tersebut, patik memohon agar DYMM Tuanku memperkenan membentuk sebuah Suruhanjaya DiRaja di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950. Suruhanjaya tersebut seharusnya diberi kuasa meneliti bukan sahaja kesahihan video tersebut, tetapi juga dakwaan yang dibuat di dalam video tersebut mengenai perlantikan hakim dan amalan rasuah di dalam institusi kehakiman. Hanya sebuah Suruhanjaya DiRaja yang melapor terus ke DYMM Tuanku dan mempunyai kuasa memanggil dan melindungi saksi dapat memulihkan keyakinan rakyat Malaysia terhadap institusi kehakiman negara.

Pihak patik bersedia sekiranya DYMM Tuanku berkenan bertemu dengan pihak patik untuk membincangkan perkara ini dengan lebih mendalam. Di dalam keadaan di mana maruah institusi kehakiman dan kerajaan kini sudah berada di dalam keadaan yang amat dasyat, DYMM Tuankulah yang dapat memainkan peranan yang adil dan saksama untuk mencari penyelesaian terhadap perkara ini bagi kebaikan seluruh rakyat Malaysia. Kuasa untuk menyelamatkan maruah negara kini berada di tangan DYMM Tuanku.

Patik mohon ampun dan maaf di atas segala kekurangan, dan menjunjung kasih di atas kesudian DYMM Tuanku menerima warkah ini.

Ampun Tuanku,

t.t.
Dr. Wan Azizah Wan Ismail
Ahli Parlimen Permatang Pauh
Presiden Parti Keadilan Rakyat

0 Responses to “Klip video Lingam: KeADILan serah memorandum pada Agong”

Post a Comment




XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health