TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


1.6 - Tingkatan Hukum-Hukum Taklif

Bab 1 - Maqasid Syariah

مقاصد الشريعة الإسلامية

1.6 Tingkatan Hukum-Hukum Taklif Dalam Tujuan Pensyariatan

Hukum-hukum taklif adalah disyariatkan dengan tujuan untuk menjaga “Maqasid Syariah” iaitu “Tujuan Pensyariatan”nya. Maqasid ini (maslahah) boleh dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu:-

ضروريات .1 (Keperluan Asasi). Akan ditulis sebagai “Dhoruriyyat”.

حاجيات .2 (Keperluan Tambahan). Akan ditulis sebagai “Hajiyyat”.

تحسينيات .3 (Kesempurnaan). Akan ditulis sebagai “Tahsiniyyat”.

Dhoruriyyat itu ialah satu perkara yang menjadi kemestian dalam kehidupan manusia samada dalam perkara keagamaan ataupun keduniaan, sekira-kira jika ia tiada nescaya tidak akan berjalan kemaslahatan dunia itu dengan baik, bahkan akan berada dalam kerosakan, kacau bilau dan hilangnya kehidupan. Dan di akhirat pula hilangnya kejayaan dan kenikmatan serta kembali dengan kerugian yang nyata dengan mendapat azab. Dan penjagaan terhadap dhoruriyyat ini mestilah dilakukan dengan dua cara, iaitu:- i- dengan mendirikan rukun-rukunnya dan meneguhkannya. ii- menolak penyakit yang menimpanya atau yang mungkin menimpanya. Dhoruriyyat itu terhimpun dalan lima perkara, iaitu menjaga agama, nyawa, keturunan (termasuk maruah), akal dan juga harta.

Contoh dhoruriyyat dalam hal agama ialah disyariatkan akidah, asas-asas ibadat seperti solat, puasa, haji dan sebagainya. Contoh menjaganya pula ialah dengan suruhan berdakwah kepada akidah tersebut, memfardhukan jihad untuk menjaganya, dan mengenakan hukuman terhadap orang yang murtad. Dalam hal menjaga nyawa pula disyariatkan menjaganya dengan makan, minum, dan larangan menjatuhkan diri ke arah kebinasaan dan mengenakan hukuman qisas terhadap si pembunuh. Dalam hal menjaga keturunan dan maruah pula disyariatkan perkahwinan dan pengharaman zina serta hukuman terhadap pelakunya. Dalam hal menjaga akal pula, disyariatkan belajar dan pengharaman setiap yang memabukkan serta hukuman terhadap peminum arak. Dalam hal menjaga harta, disyariatkan jual beli dan sebagainya dan pengharaman memakan harta orang lain dengan cara yang batil, pengharaman mencuri serta hukuman terhadapnya.

Hajiyyat pula satu perkara yang sangat diperlukan oleh manusia untuk tujuan kesenangan dan menghilangkan kesusahan mereka, yang mana bila ia tiada, maka akan timbullah kesusahan dan masyaqqah. Tetapi kesusahan yang hasil daripada ketiadaan hajiyyat ini tidaklah sampai kepada tahap kesusahan yang terhasil dengan hilangnya dhoruriyyat tadi. Hajiyyat ini ada dalam semua keadaan samada ibadat, adat, muamalat dan juga jinayat. Contoh bagi hajiyyat dalam ibadat ialah rukhsah-rukhsah yang diberikan untuk memudahkan kita semua. Contoh dalam bukan ibadat pula ialah seperti diharuskan jual salam, tempahan dan seumpamanya. Juga diharuskan perceraian untuk melepaskan daripada ikatan perkahwinan yang musnah.

Tahsiniyyat pula ialah satu perkara yang menjadikan kehidupan manusia berada dalam keadaan adab yang cukup tinggi dan akhlak yang baik, iaitu dengan mengambil perkara-perkara yang baik-baik daripada kehidupan dan meninggalkan benda-benda yang kotor yang tidak diterima oleh akal yang baik. Ia terkumpul dalam kemuliaan akhlak. Contoh bagi tahsiniyyat dalam ibadat ialah bersuci, menghilangkan najis, menutup aurat dan sebagainya. Ia juga terdapat dalam semua keadaan, samalah seperti dhoruriyyat dan juga hajiyyat. Kerana ini, jelaslah wujudnya tingkatan dalam hukum-hukum taklif dalam Syariah Islam samada suruhan ataupun larangan.

Tuan Mohd Safuan Tuan Ismail, Sarjana Muda Shariah & Pengajian Islam, Univ. Mu’tah, Jordan.

Labels: ,





XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health