TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


Tokoh : Imam Syafie

Mengenali Imam Syafie

Beliau ialah Muhammad bin Idris bin al-Abbas bin Usman bin Syafie. Gelarannya ialah Abu Abdillah dan beliau berketurunan Quraisy. Nasab keturunan beliau bertemu dengan nasab Rasulullah saw. pada Abdul Muttalib. Imam Syafie adalah daripada keturunan Hasyim, bapa saudara Nabi saw.

Dilahirkan di Ghazzah (Semenanjung Gaza), di Palestin pada tahun 150H. Ayah beliau meninggal semasa beliau masih kecil dan ibunyalah yang menjaganya dan membawanya tinggal di Mekah. Imam Syafie pernah berkata: “Aku khatam menghafal al-Qur’an ketika berumur tujuh tahun dan hafal Muwattoa’ Imam Malik ketika berumur sepuluh tahun”. Beliau dikatakan mengkhatam al-Qur’an pada setiap hari. Dan dalam perjalanan untuk menuntut ilmu dari Mekah ke Madinah, beliau sempat khatam sebanyak enam belas kali.

Imam Syafie merupakan seorang ulamak yang menguasai pelbagai ilmu. Berkata al-Rabi’: Imam Syafie bila beliau bermunazarah dengan manusia, beliau akan bercakap mengikut kadar kefahaman mereka sahaja. Kalaulah beliau bercakap mengikut ketinggian ilmunya, maka mereka tidak akan memahaminya”. Beliau sangat mahir dalam kesusasteraan bahasa arab dan percakapannya dianggap sebagai hujah dalam bahasa. Berkata Ibnu Hisyam: Percakapan “Imam Syafie adalah hujah dalam bahasa”. Berkata al-Jahiz: “Aku banyak membaca penulisan-penulisan orang-orang yang hebat dalam ilmu, tetapi aku tidak dapati seorang pun yang lebih cantik penulisannya berbanding Imam Syafie. Perkataannya seolah-olah permata-permata yang diatur”. Imam Syafie mempalajari bahasa Arab dengan qabilah Huzail selama tujuh belas tahun dan kabilah Huzail adalah kabilah arab badwi yang sangat fasih.

Beliau juga merupakan pengasas ilmu Usul Fiqh. Kitabnya yang masyhur ialah ar-Risalah dan al-Um. Imam Syafie belajar mendalami bahasa Arab dan sejarah selama dua puluh tahun dan beliau berkata: “Tidak ada tujuan lain bagiku daripada pelajaran tersebut melainkan untuk membantu kefahaman (ilmu feqah)”. Beliau juga sangat mahir dalam tafsir. Berkata Yunus bin Abdul A’la: “Sesungguhnya Imam Syafie bila beliau menghuraikan tafsir, maka seolah-olah beliau juga berada ketika penurunan al-Qur’an”.

Imam Syafie sangat menyanjung para muhaddisin dan beliau pernah berkata: “Para muhaddisin adalah tetamu Allah”. Beliau juga berkata: “Bila aku melihat seorang ahli hadis, maka seolah-olah aku melihat seorang sahabat Nabi saw.”. Dan beliau juga merupakan salah seorang daripada mereka. Beliau berkata: “Aku dipanggil di Baghdad sebagai Nasirul Hadis (penegak hadis)”. Az-Zahabi berkata: “Imam Syafie adalah seorang penghafal hadis dan beliau juga orang yang mengenali selok belok ilmu hadis”. Imam Syafie pernah berkata: “Apabila hadis itu sohih, maka itulah mazhabku”. Beliau juga pernah berkata: “Setiap pendapatku yang mana berlawanan dengan hadis Nabi yang sohih, maka hadis Nabi lebih perlu diikuti, dan janganlah kamu taqlid kepadaku”.

Imam Syafie sangat bencikan ilmu Kalam. Beliau pernah berkata: “Kalaulah manusia tahu apa yang ada pada ilmu Kalam, nescaya mereka akan lari daripadanya seperti lari daripada singa”. Beliau juga berkata: “Seorang hamba yang dihadapkan di hadapan Allah (di hari qiamat) dengan semua dosa kecuali syirik adalah lebih baik daripada dihadapkan dengan ada di sisinya sebahagian ilmu Kalam”. Beliau juga berkata: Hukuman aku terhadap ahli ilmu Kalam ialah supaya mereka dipukul dengan pelepah dan diheret ke setiap suku dan kabilah dan dikatakan: “Inilah balasan orang yang meninggalkan Qur’an dan Sunnah”. Imam Syafie juga tidak suka berdebat dan beliau berkata: “Perdebatan dalam ilmu menimbulkan sikap keras hati dan dendam”.

Imam Syafie juga adalah seorang yang zuhud dan sangat taatkan ibunya. Beliau menceritakan bahawa setelah beliau pulang ke Mekah, Imam Malik telah memberikannya separuh daripada hartanya. Beliau juga membawa harta-hartanya yang diperolehinya dari Khurasan dan Mesir. Bila sampai di Mekah, ibunya datang menyambutnya dan memeluknya dan berkata: “Adakah kamu mahu pulang ke rumah dengan harta yang sebegini banyak? Sedangkan kamu keluar sebelum ini dalam keadaan miskin, adakah kamu mahu bermegah-megah dengan sepupu-sepupu kamu”? Akhirnya emaknya menyuruh untuk disedekahkan seluruh harta tersebut, dan Imam Syafie pun menyedekahkannya kepada para fakir miskin.

Imam Syafie juga mempunyai kelebihan dalam firasat. Ketika Imam Syafie duduk bersama dengan al-Humaidiyy dan Muhammad bin al-Hasan berfirasat, tiba-tiba lalu seorang lelaki. Lalu Imam Muhammad berkata: “Cuba kamu tengok orang ini”. Lalu Imam Syafie memerhatikan orang tersebut dan beliau tidak menjawabnya. Imam Muhammad bertanya: “Adakah kamu kesamaran terhadapnya”? Beliau menjawab: “Aku kesamaran samada dia adalah seorang tukang jahit ataupun dia seorang tukang kayu”. Lalu Imam al-Humaidiyy bangun dan pergi bertanyakan orang lelaki tersebut, dan lelaki tersebut menjawab: “Aku memang seorang tukang kayu, tetapi hari ini aku sudah mula bekerja sebagai tukang jahit”. Imam Syafie juga merupakan seorang pemanah yang hebat. Dalam sepuluh panahannya, tidak ada satu pun yang melencong daripada sasaran.

Sebenarnya terlalu banyak pujian ulamak terhadap Imam Syafie. Al-Husain bin Muhammad al-Karabiisiy berkata: “Aku tidak pernah lihat satu majlis ilmu yang lebih hebat daripada majlis Imam Syafie. Majlis beliau dihadiri oleh para muhaddisin, fuqaha dan juga penyair, dan kesemua mereka mendapat ilmu daripadanya”. Beliau juga berkata: “Aku tidak pernah jumpa orang yang setaraf dengan Imam Syafie dan beliau (Imam Syafie) juga tidak nampak orang yang setaraf dengannya”. Berkata Sa’lab: “Imam Syafie merupakan seorang Imam dalam ilmu bahasa”. Abi Abdillah Nuftuwaih berkata: “Perumpamaan Imam Syafie di kalangan para ulamak adalah seperti bulan purnama di kalangan bintang-bintang di langit”.

Antara guru Imam Syafie selain Imam Malik ialah mufti dan faqih Mekah iaitu Muslim bin Khalid az-Zanji, dan Syaikhul Muhaddisin Sufyan bin Uyaynah. Sufyan pernah berkata tentang Imam Syafie: “Dialah (Imam Syafie) sebaik-baik pemuda zamannya”. Antara muridnya pula ialah Imam Ahmad bin Hanbal.

Imam Ahmad sangat menyayangi Imam Syafie. Beliau pernah berkata: “Sesungguhnya aku sentiasa berdoa di dalam solatku kepada Imam Syafie semenjak empat puluh tahun. Tidak ada seorang pun di kalangan fuqaha yang terlalu mengikut Hadis Nabi berbanding Imam Syafie”. Bilamana anak beliau bertanyakan kenapa beliau banyak berdoa kepada Imam Syafie, beliau menjawab: “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya Imam Syafie itu seperti matahari bagi dunia ini dan seperti afiat bagi badan, maka adakah lagi yang kamu nampak yang boleh menggantikan kedua-dua ini”?

Imam Syafie tidaklah berumur panjang, dan beliau meninggal di Mesir ketika berumur lima puluh empat tahun, iaitu pada tahun 204H. Bila ditanyakan Imam Ishaq bin Rahuwaih tentang bilakah Imam Syafie menulis buku-bukunya yang sangat bermutu itu, sedangkan umurnya hanyalah singkat, beliau menjawab: “Sesungguhnya Allah telah mempercepatkan akalnya kerana pendeknya umurnya”. Beliau meninggal pada hari jumaat di hujung bulan rejab dan dikebumikan pada hari tersebut sesudah solat asar. ADKHALANALLAHU WAIYYAHU FASIIHA JANNAATIH. ALLAHUMMA AMIN.

Tulisan: Tuan Mohd Safuan Tuan Ismail. Sarjana Muda Syariah, Mu’tah Universiti, Karak, Jordan. Kha28071424H25092003.

Labels:




© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health