TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


Maqasid : 1.1 - Mengenali Maqasid Syariah

Saperti yang dijanjikan, tasekpauh blogspot memulakan pelajaran Maqaasid as-Syariah al-Islamiyyah susunan Us TMSTI dengan artikal partama "Mengenali Maqasid Syariah". Pelajaran ini kurang dikenali menyentuh antaranya tujuan pensyariatan, apa erti maslahah & mafsadah, maqasid mukallaf, perkaitan antara maqasid syariah dan maqasid mukallaf, dsbnya. Kami berharap tulisan Us TMSTI menambah pendedahan dan kefahaman masyarakat tentang Maqaasid as-Syariah al-Islamiyyah. Kami akan susuli dengan artikal seterusnya, dan insyaAllah kami juga akan jilidkan apabila keseluruhan artikal disiarkan - zy.


Bab 1 - Maqasid Syariah

مقاصد الشريعة الإسلامية

1 .1 Mengenali Maqasid Syariah

Mengenali Maqasid Syariah merupakan satu perkara yang amat berharga bagi seorang muslim yang menyayangi agamanya. Orang yang mengenali Maqasid Syariah akan terpegun dengan keindahan agamanya dan kesempurnaannya. Mengenalinya juga merupakan syarat penting untuk berijtihad. Sayangnya, ramai umat Islam sendiri tidak mengetahui mengenainya, bahkan ada yang belum pernah mendengarnya.

Dari sini, saya akan berusaha menulis beberapa artikel ringkas untuk memperkenalkan ilmu Maqasid Syariah ini. Tujuan saya hanyalah untuk memperkenalkan ilmu ini, dan bukanlah untuk membincangkannya secara mendalam. Perbincangan mendalam mengenainya memerlukan kepada seorang ulamak yang sangat hebat dan juga buku-buku yang tebal dan bukannya artikel-artikel ringkas dan terbatas ini. Semoga dengan artikel-arikel ini, kita dapat mengenali ilmu Maqasid Syariah dan ia menjadi langkah pertama ke arah mempelajari dan memperdalami ilmu ini, serta menjadikannya sebagai pencetus pemikiran kreatif, kemajuan dan kejayaan yang lebih besar bagi kita dan umat Islam seluruhnya.

Saya tidaklah mengetahui apakah kalimah yang paling tepat dalam bahasa Melayu untuk diterjemahkan kepada kalimah maqasid. Tambahan lagi, terdapat banyak kalimah dalam bahasa arab yang agak sama maksudnya dengan kalimah maqasid, seperti kalimah al-illah, al-munasabah, al-ghard, al-hikmah dan juga al-ma’na. Dan dalam artikel-artikel ini, kami akan maknakan maqasid Syariah sebagai tujuan pensyariatan ataupun hikmat pensyariatan.

Ulamak-ulamak terdahulu yang membincangkan tentang maqasid tidak pun mentakrifkan maksud maqasid. Bahkan, Syeikhul Maqasid, Imam as-Syatibi[1] sendiri tidak pun memberikan takrifan khas mengenainya. Boleh jadi, sebab kenapa mereka tidak mentakrifkan maqasid adalah kerana perkara ini sudah pun makruf di kalangan mereka. Lagi pun Imam Syatibi sendiri pernah mengingatkan bahawa “tidak sesuai bagi yang ingin melihat dan meneliti kitabnya al-Muwafaqat (yang menjadi asas rujukan ilmu ini) melainkan orang yang benar-benar mahir mengenai ilmu Syariah, dari segi usulnya (asas fiqh) dan cabangnya (hukum-hakam fiqh), manqulnya (Qur’an dan Hadis) dan ma’qulnya (kefahaman terhadap keduanya), dan mereka yang tidak tenggelam dalam kegelapan taqlid dan taksub mazhab”.

Beberapa ulamak sekarang cuba mentakrifkan makna maqasid. Dr. Ahmad ar-Raisuniyy[2] telah mentakrifkannya sebagai:“Maqasid Syariah (tujuan pensyariatan) ialah tujuan (sebenar) yang ingin dihasilkan bagi ketetapan hukum Syarak (dengan tujuan) untuk kemaslahatan manusia”. Terdapat beberapa kalimah lain yang digunakan untuk menunjukkan makna maqasid, antaranya ialah “al-illah”, “al-munasabah” dan “al-hikmah”. Cumanya, kalimah “al-hikmah” adalah lebih banyak digunakan untuk menunjukkan erti maqasid. Kerana ini kita boleh juga terjemahkan maqasid Syariah sebagai “Hikmat Pensyariatan” atau “Tujuan Pensyariatan”.

Sebagai tambahan, saya akan menerangkan sedikit penggunaan kalimah-kalimah tersebut di kalangan ulamak. Adapun “al-illah”, maka ia adalah satu sifat yang zahir dan tetap yang mana dengan sebabnyalah diasaskan sesuatu hukum. Sebagai contoh, hikmat pensyariatan qasar solat ketika musafir adalah untuk menolak masyaqqah (kesusahan). Illah harus qasar pula ialah musafir. Ini kerana pada pandangan mujtahid, masyaqqah bukanlah satu sifat yang zahir dan ia bukanlah satu sifat yang tetap yang mana ia boleh berubah mengikut individu dan keadaan.

Untuk menjelaskan lagi perkara ini, saya kemukakan satu contoh. Sebuah keluarga keluar bermusafir. Mereka terdiri daripada seorang bapa, seorang ibu yang sedang sarat mengandung, seorang anak perempuan yang berumur enam tahun dan seorang anak lelaki remaja. Kesusahan yang ditanggung oleh si ibu mungkin lebih besar berbanding bapa dan anak remaja. Kerana inilah dikatakan kesusahan itu bukan satu sifat yang tetap. Ia boleh berubah-ubah mengikut kekuatan individu. Tambahan lagi, hanya inbdividu terbabit yang benar-benar mengetahui tahap dan kadar kesusahannya. Kerana ini, “al-hikmah” (iaitu “kesusahan” dalam contoh ini) tidak boleh dijadikan asas hukum. Ini kerana hukum menjadi tidak konsisten, kerana dalam masalah ini, mungkin si ibu sahaja yang diharuskan qasar solat, dan tidak bagi yang lain. Tambahan lagi, tahap “kesusahan” yang bagaimanakah yang diharuskan qasar?

Kerana inilah para fuqaha’ tidak mengasaskan hukum berdasarkan “al-hikmah”, sebaliknya diasaskan dengan “al-illah”. Dan “al-illah” dalam contoh ini ialah musafir. Setiap daripada mereka adalah dianggap bermusafir, kerana inilah mereka semua diharuskan qasar solat. Musafir dikatakan illah kerana ia satu sifat yang zahir dan tetap untuk semua orang. Setiap orang yang berpindah dari satu tempat ke satu tempat lain yang jauh dianggap sebagai bermusafir, samada mempunyai masyaqqah atau pun tidak. Sesuatu hukum diasaskan kepada illah. Jika ada illah, maka adalah hukum dan begitulah sebaliknya, (jika tiada illah, maka tiadalah hukum tersebut). Kerana inilah harus bagi yang bermusafir menqasarkan solatnya, sekalipun dengan kapal terbang, kerana ada illah, tetapi tidak harus bagi yang bermuqim qasar solat, sekalipun keletihan kerana tiada padanya illah. Dan bagi illah itu, beberapa syarat yang kami tidaklah ingin bincangkannya di sini.

Untuk memahami “al-munasabah” pula, kita perlu memahami dahulu “al-hikmah” dan “al-illah”. Hikmah harus qasar solat ketika musafir ialah untuk menolak masyaqqah (kesusahan), dan illahnya pula ialah musafir. Musafir dikatakan sebagai “al-illah”, kerana musafirlah yang menyebabkan masyaqqah. Perkaitan antara “al-illah” dengan “al-hikmah” inilah dinamakan sebagai “al-munasabah”. Jadi, “al-munasabah” ialah mencari illah yang betul-betul boleh menimbulkan “al-hikmah”. Terdapat pelbagai jenis “al-munasabah” yang disebutkan oleh para ulamak usul fiqh, dan kami tidaklah berhasrat membincangkannya di sini.

الحكمة هي المعنى المقصود من شرع الحكم, وهي المصلحة التي قصد الشارع بتشريع الحكم لجلب مصلحة أو دفع مفسدة أو لهما معا. والعلة هي الوصف الظاهر المنضبط الذي بنى عليه الحكم وربط به وجودا وعدما لأنها مظنة تحقيق المصلحة المقصودة من تشريع الحكم. والمناسبة هي رعاية المصلحة. والمقاصد الشريعة هي الغايات التي وضعت الشريعة لأجل تحقيقها لمصلحة العباد.

Tuan Mohd Safuan Tuan Ismail. Sarjana Muda Shariah & Pengajian Islam Univ. Mu’tah, Jordan. J120705H30072004M


[1] Beliau ialah Abu Ishaq, Ibrahim bin Musa. Seorang ulamak dari barat dan bermazhab Maliki. Antara kitab karangan beliau ialah al-Muwafaqat dan al-I’tisoam. Dalam kitab al-Muwafaqat, beliau menulis berkenaan ilmu Maqasid Syariah dan kitabnya ini menjadi rujukan kepada seluruh ulamak yang ingin mendalami tentang ilmu Maqasid Syariah. Kitab al-I’tisoam pula membicarakan tentang bid’ah dan keburukannya. Kitab ini merupakan rujukan terbesar dalam bab memerangi bid’ah. Beliau menghadapi banyak cabaran dan celaan kerana memerangi bid’ah, tetapi beliau tetap dengan kebenaran menegakkan sunnah. Beliau menganggap kebinasaan yang dihadapi dalam mengamalkan sunnah merupakan kejayaan dan beliau bergantung sepenuhnya kepada Allah kerananya dan menganggap manusia sedikit pun tidak mampu memperkayakan dirinya daripada Allah. Beliau tidak menganggap berdoa selepas solat secara berkumpulan sebagai sunnah. Meninggal pada tahun 790H/1388M.

[2] Beliau adalah seorang Sarjana Maghribi dan judul asal bukunya ini ialah “Nazariyyatul Maqasid Indal Imam as-Syatibi. Bukunya ini diterbitkan oleh The International Institute Of Islamic Thought yang berpusat di Virginia, Amerika Syarikat. Edisi pertamanya adalah pada tahun 1411H/1990M.

Labels: ,

10 Responses to “Maqasid : 1.1 - Mengenali Maqasid Syariah”

  1. # Blogger Unknown

    trime kaseh,,tambahkn lg pendedahan ilmu maqasid,sbb sem depan sy akan amik subjek maqasid,faisal, univesity of mutah, jordan  

  2. # Anonymous Anonymous

    Syukran n tima kaseh coz melawat blog ini. Ana pun belajar maqasid kat Mu'tah Universiti. Dgn Dr Abdul Rahman al-Kailani. kebanyakan artikel maqasid ni, yg ana tulis kat Mu'tah dulu. Thanks. insya Allah kalau ada masa ana boleh tambah.  

  3. # Anonymous Anonymous

    Sy td tu. silap tekan.  

  4. # Blogger RAJA NOR AZRIN

    Ya, sheikh, ana memang dah lama nak jumpa nta.. ana ada jumpa sahabat ana kat kampung, nama dia tuan yusof bin tuan mat, (kalo ana tak silap la)

    dia pernah cerita kan pasal nta pada ana.... ana pun teringin jugak nak berkenalan... For ur info, ana adalah bias salaf....  

  5. # Blogger Ashin

    thnks for posting this article.i have a test tomorrow regarding this topic.its apart of the subtopic in my islamic studies subject.

    -CIvil Eng uniten-  

  6. # Anonymous Anonymous

    trime kaseh..  

  7. # Anonymous Anonymous
  8. # Anonymous Anonymous
  9. # Blogger Unknown
  10. # Blogger Unknown
Post a Comment




XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health