TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


2.4 - Syarat Beramal Dengan “Maslahah Mursalah”

Bab 2 - Maqasid Syariah

Bab 2.4 - Syarat Beramal Dengan “Maslahah Mursalah”

Uamak-ulamak yang mengambil “maslahah mursalah” sebagai sumber hukum terutamanya ulamak Mazhab Maliki tidaklah sewenang-wenang menganggap setiap sesuatu itu sebagai “maslahah mursalah”. Bahkan mereka telah meletakkan beberapa syarat dalam mengambil “maslahah mursalah” sebagai sumber hukum. Antara syarat tersebut ialah:-

1. Maslahah itu tidaklah berlawanan dengan dalil-dali Syarak yang qat’ie. Kerana itu, maslahah tersebut mestilah bertepatan dengan maqasid Syarak dan tidak boleh bercanggah dengan satu asas daripada asas Syarak atau satu dalil daripada dalil-dalilnya.

2. Maslahah itu adalah dalam perkara yang lojik (dalam perkara muamalat dan bukan perkara ibadat), yang mana boleh diterima oleh akal yang sempurna.

3. Menganggap perkara baru tersebut sebagai maslahah untuk menjaga “dhoruriyy” atau menolak bebanan masyaqqah yang berlawanan dengan kemudahan Syarak.

4. Maslahah tersebut mestilah maslahah yang “haqiqi” (betul-betul maslahah) dan bukannya “wahmiy” iaitu sangkaan yang masih samar.

5. Maslahah tersebut adalah maslahah ramai dan bukannya untuk kepentingan individu atau kumpulan-kumpulan tertentu.

Contoh-Contoh Ijtihad Yang Diasaskan Dengan “Maslahah Mursalah”

Di antara contoh-contoh ijtihad tersebut ialah:-

i- Mazhab Maliki

1. Harus melantik orang terbaik yang bukan mujtahid sebagai pemimpin tertinggi jika tiada mujtahid.

2. Harus melantik pemimpin yang baik sekalipun masih ada yang lebih baik.

3. Harus memaksa orang kaya membayar cukai kepada kerajaan jika Batulmal sudah tidak mampu menampung perbelanjaan keperluan.

ii- Mazhab Syafie

1- Harus membunuh haiwan-haiwan yang digunakan musuh dan memusnahkan tanaman mereka jika keadaan peperangan memerlukaan demikian.

iii- Mazhab Hanafi

1. Harus memusnahkan ghanimah yang diperolehi jika para tentera tidak mampu membawanya pulang dan dibimbangi akan digunakan oleh tentera kafir untuk memerangi orang Islam.

iv- Mazhab Hanbali

1. Harus melebihkan pemberian kepada sebahagian anak-anak jika keadaan memerlukan demikian, seperti kepada yang sakit, yang berhajat, yang mempunyai banyak tanggungan atau yang masih belajar.

2. Harus memaksa peniaga menjualkan barangan mereka dengan harga pasaran yang berpatutan jika orang ramai memerlukan barangan tersebut.

3. Harus memaksa pekerja melakukan kerja yang diperlukan oleh orang ramai dengan bayaran kerja yang berpatutan, jika mereka enggan bekerja.

4. Wajib ke atas si kaya yang mempunyai lebihan rumah memberikan rumahnya kepada orang yang memerlukan kediaman dengan sewa yang berpatutan jika tiada lagi rumah selain rumahnya.

Tuan Mohd Safuan Tuan Ismail. Sarjana Muda Syariah & Pengajian Islam Universiti Mu’tah, Jordan. R18061425H03082004M

Labels: ,





XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health