TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


Maqasid : 1.2 - Tujuan di Sebalik Pensyariatan

Bab 1 - Maqasid Syariah

مقاصد الشريعة الإسلامية

1 .2 Tujuan di Sebalik Pensyariatan

Telah pun makruf di kalangan para ulamak bahawa adanya tujuan di sebalik pensyariatan. Kesemua hukum-hukum Syariah adalah disyariatkan untuk kemaslahatan manusia, samada lambat atau cepat. Kemaslahatan yang lambat ialah kemaslahatan ukhrawi iaitu dengan mendapat syurga yang kekal abadi dan dilepaskan daripada neraka dan azabnya. Kemaslahatan yang cepat pula ialah kemaslahatan duniawi. Dan hukum-hukum syarak hanyalah alat untuk mencapai tujuan tersebut.

Tidak ada satu pun daripada keseluruhan hukum-hukum syarak yang pensyariatannya adalah sia-sia (tanpa tujuan). Di mana sahaja adanya hukum syarak, maka di situ wujudlah kemaslahatan yang ingin dicapai atau kemudharatan yang ingin ditolak dan dijauhi. Mencapai kebaikan atau kemaslahatan dan menolak keburukan atau kemudharatan adalah tujuan bagi setiap hukum syarak. Dakwaan ini mestilah didirikan dalil bagi melihat kebenaran atau kepalsuannya.

Di sini, kami tidaklah ingin membentangkan keseluruhan dalil bagi masalah ini. Ini kerana perkara yang sudah pun makruf tidaklah perlu diperkenalkan lagi. Walau bagaimanapun, kami ingin bentangkan beberapa dalil kepada orang yang baru belajar, supaya mereka mengetahui hakikat ini.

Dalil pertama: Firman Allah SWT: Dan tidak Kami utuskanmu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (Surah al-Anbiya’: 107). Perkataan “rahmat” itu mengandungi maksud memelihara dan menghasilkan maslahah-maslahah dan menolak mafsadah-mafsadah (keburukan).

Dalil kedua: Sesiapa yang mengkaji ayat-ayat suci al-Qur’an dan hadis-hadis Nabawi, sudah tentu dia akan dapati bahawa di mana sahaja ada perintah (suruhan), maka di situ wujudnya maslahah dan di mana sahaja ada larangan, maka di situ wujudnya mafsadah. Sebagai contoh kita lihat ayat-ayat suci di bawah:

1- Dalam bab solat, Allah SWT berfirman: Sesungguhnya solat itu boleh mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. (Surah al-Ankabut: 45)

2- Dalam bab puasa, Allah SWT berfirman: Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu, semoga kamu (sentiasa) bertaqwa. (Surah al-Baqarah: 183)

3- Dalan bab qisas, Allah SWT berfirman: Dan dalam qisas itu ada (jaminan kelangsungan) kehidupan bagi kamu. (Surah al-Baqarah: 179)

4- Dalam bab keizinan berperang, Allah SWT berfirman: Telah diizinkan (berperang) bagi orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telahpun dizalimi. (Surah al-Haj: 39)

5- Dalam bab taqwa, Allah SWT berfirman: Dan bertaqwalah kepada Allah, semoga kamu (sentiasa) berjaya. (Surah al-Baqarah: 189)

Ini adalah sebahagian daripada ayat-ayat suci al-Qur’anul Karim yang menunjukkan bahawa adanya tujuan di sebalik pensyariatan. Kerana inilah Syeikhul Maqasid Imam as-Syatibi menyatakan bahawa kita tidak mampu membilang setiap tujuan daripada setiap perincian hukum daripada al-Qur’an dan as-Sunnah. Ini kerana setiap hukum ada tujuannya. Inilah natijahnya jika kita mengkaji tujuan bagi setiap hukum secara terperinci (tafsili).

Dan jika kita mengkaji tujuan pensyariatan secara umum (ijmali), kita akan dapati banyak ayat-ayat suci al-Qur’an dan Hadis-hadis Nabawi yang menyebutnya. Antaranya ialah firman-firman Allah SWT dalam ayat-ayat berikut:

1- Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepadaKu. (Surah az-Zariyat: 56)

2- Tuhan yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji, siapakah di kalangan kamu yang lebih baik amalannya. (Surah al-Mulk: 2)

3- (Kami utuskan) para rasul yang membawa berita gembira dan dan memberi peringatan supaya tidak ada alasan bagi manusia membantah Allah sesudah diutusnya rasul-rasul itu. (Surah an-Nisa’: 165)

4- Dan Kami turunkan daripada al-Qur’an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman…(Surah al-Isra’: 82)

Ini adalah sebahagian kecil daripada contoh-contoh yang diambil daripada ayat suci al-Qur’anul Karim. Contoh yang kami utarakan ini hanyalah hikmah dalam setiap suruhan melalui ayat-ayat suci al-Qur’anul Karim. Kami belum dan tidak ingin memberikan contoh hikmah daripada larangan-larangan daripada ayat-ayat suci al-Qur’an. Dan kami juga tidak mahu mengutarakan contoh dengan hadis-hadis Nabawi, kerana meringkaskan perbicaraan ini. Ini kerana tujuan kami hanyalah ingin memberikan sedikit pengenalan mengenai ilmu Maqasid Syariah sahaja.

Dalil ketiga: Pensyariatan adalah undang-undang ketetapan Allah SWT. Kalaulah akal kita tidak dapat menerima sesuatu undang-undang ciptaan manusia jika ia dibuat tanpa sebarang tujuan, maka lebih-lebih lagilah akal kita tidak dapat menerima Syariat Allah Yang Maha Bijaksana ini kosong daripada sebarang tujuan. Maka jelaslah bahawa Syariat Allah SWT datang dengan adanya tujuan iaitu menarik kemaslahatan dan menolak keburukan (mafsadah).

Dalil keempat: Firman Allah SWT: Dialah yang menciptakan semua yang ada di bumi untuk kamu. (Surah al-Baqarah: 29) Allah SWT menciptakan alam ini untuk kemaslahatan kita, begitu juga dengan SyariatNya. SyariatNya datang untuk kebaikan kita iaitu dengan menarik manfaat (kebaikan) atau menolak mafsadah atau kedua-duanya sekali.

Dalil kelima: Telah sepakat para ulamak muslimin di atas perkara ini. Berkata Imam al-Razi: “Telah berlaku ijmak bahawa Syariat ini ialah maslahah-maslahah”. Berkata Imam as-Syatibi: “Pensyariat (Allah SWT) telah meletakkan Syariat ini dengan mengambil kira kemaslahatan-kemaslahatan dengan sepakat ulamak di atas perkara ini”. Beliau juga ada menyebut: “Dan telah berlaku ijmak, secara umumnya bahawa Pensyariat (Allah SWT) mensyariatkan taklif-taklif ini untuk tujuan kemaslahatan”.

Cuma, sebagai satu peringatan, bahawa kesemua kemaslahatan yang ada pada hukum-hukum syarak ini merupakan satu pemberian daripada Allah SWT kepada para hambaNya. Ini kerana Allah SWT Yang Maha Kaya tidaklah memerlukan kemaslahatan-kemaslahatan tersebut untuk zatNya. Maka jelaslah daripada perbincangan ini, perlunya kita kembali kepada ajaran dan hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Syariat Islam. Ini kerana setiap hukum yang disyariatkan itu tentulah bertujuan untuk kemaslahatan kita, samada kita mengetahui kemaslahatan tersebut atau tidak. Janganlah kita terpedaya dengan orang yang menganggap bahawa berpegang dengan hukum-hukum Islam boleh membawa kita ke belakang. Ini kerana mereka sebenarnya masih belum mengetahui dan memahami hikmat pensyariatan Syariat Islam. Boleh jadi juga kekufuran yang ada di hati mereka yang menyebabkan mereka menolak hukum-hukum agama dan menentangnya. Semoga kita terselamat daripada fitnah itu.

Tulisan: Tuan Mohd Sapuan bin Tuan Ismail. Sarjana Muda Shariah & Pengajian Islam, Universiti Mu’tah, Jordan. Se290604M

Labels: ,

5 Responses to “Maqasid : 1.2 - Tujuan di Sebalik Pensyariatan”

  1. # Blogger oakleyses
  2. # Blogger oakleyses
  3. # Blogger oakleyses
  4. # Blogger Unknown
  5. # Anonymous Pengobatan Gagal Ginjal Tanpa Cuci Darah

    This article is very useful, thank you for sharing. And allow me to share articles too, it's about health and treatment. God willing it will be useful for us all. Thank you :)

    Cara Menyembuhkan Selesma(Flu) dengan Cepat
    Cara Mengobati Luka Jahitan Bernanah
     

Post a Comment




XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health