1.7 - Pelengkap Kepada Maslahah-Maslahah
0 Comments Published by TasekPauh Blogspot on Friday, November 24, 2006 at 6:47 AM.مقاصد الشريعة الإسلامية
Sebagai contoh, dalam perkara “dhoruriyyat”, disyariatkan azan dan solat berjemaah sebagai “mukammil” kepada asal pensyariatan solat. Setelah perkahwinan disyariatkan untuk menjaga nyawa dan keturunan, disyariatkan juga “kafa’ah” (persamaan taraf) antara pasangan suami isteri, sebagai “mukammil” kepada pensyariatan perkahwinan tersebut, dengan tujuan untuk lebih mengekalkan kebahagiaan mereka berdua, samalah seperti pensyariatan melihat kepada bakal pasangan. Pengharaman zina pula ialah alat untuk menjaga keturunan (dan juga maruah), maka disyariatkan juga pengharaman perkara-perkara yang boleh membawa kepadanya, sebagai “mukammil” kepada pengharaman zina tersebut. Kerana inilah Islam mengharamkan berdua-duaan dengan pasangan yang bukan mahram, pergaulan bebas, melihat kepada perempuan dengan syahwat dan sebagainya. Begitulah juga, setelah Syariah mengharamkan arak dan dikenakan hukuman hudud kepada peminumnya sebagai alat untuk menjaga akal, disyariatkan juga pengharaman kepada meminum sedikit (yang tidak memabukkan) daripada arak sebagai “mukammil” kepada pengharaman tadi. Pengharaman ini adalah sebagai penutup kepada pintu untuk meminum arak dengan banyak dan memabukkan.
Dalam masalah “hajiyyat”, setelah disyariatkan keharusan “qasar” solat dalam musafir dengan tujuan “taisir” (memudahkan), disyariatkan juga keharusan “jamak” (himpun) antara dua solat sebagai “mukammil” kepada asal “hajiyyat” tadi. Setelah disyariatkan keharusan akad hutang dan gadaian untuk tujuan “taisir”, disyariatkan juga penyaksian dan catitan bertulis kepada akad tersebut sebagai “mukammil” kepada asal “hajiyyat” tadi. Contoh “mukammil” bagi “tahsiniyyat” pula ialah seperti adab-adab bersuci, sunat-sunat “toharah”, bersedekah dengan yang terbaik daripada harta, menyembelih binatang yang terbaik dalam korban dan aqiqah dan sebagainya.
Kesemua “mukammil” ini adalah diiktibar (diambil kira) pada pandangan Syarak, dengan syarat ia tidaklah membatalkan asal “mukammal” tadi. Sebagai contoh, berjihad memerangi kafir yang menceroboh negara adalah termasuk dalam “dhoruriyyat” dan pemimpin yang mengepalai jihad juga adalah “dhoruriyyat”. Sikap “adil” bagi pemimpin adalah “mukammil” (pelengkap) kepada “dhoruriyyat” tadi. Kerana inilah kita tidak boleh meninggalkan jihad dalam keadaan ini dengan alasan bahawa pemimpin itu adalah orang yang fasiq. Memakai pakaian yang elok dan membersihkan diri untuk solat adalah “mukammil” kepada asal solat, tetapi solat tidaklah boleh ditinggalkan dengan alasan tiada pakaian yang elok dan tubuh yang kotor. Kerana inilah Syeikhul Maqasid Imam as-Syatibi menyatakan dalam kitabnya “al-Muwafaqat”: “Dan “mukammil” (pelengkap) itu, jika ia boleh membawa kepada terbatalnya (hukum) asal (“mukammal”), maka ia tidaklah lagi diiktibar (diambil kira)”. Kesimpulannya, “hajiyyat” adalah “mukammil” bagi “dhoruriyyat” dan “tahsiniyyat” pula adalah “mukammil” bagi “hajiyyat”. Kerana ini jelaslah bahawa “dhoruriyyat” adalah asal (“mukammal”) bagi setiap hukum Syariah.

0 Responses to “1.7 - Pelengkap Kepada Maslahah-Maslahah”
Post a Comment