TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


4.1 - Maqasid Mukallaf

Bab 4 - Maqasid Syariah

Bab 4.1 - Maqasid Mukallaf

مقاصد الشريعة الإسلامية

Syeikhul Maqasid Imam as-Syatibi merupakan orang pertama yang membincangkan dan menulis mengenai maqasid (tujuan) mukallaf disamping perbahasan mengenai maqasid (tujuan) Syariah. Jika fakta ini menujukkan sesuatu, maka ia adalah jelas menunjukkan betapa telitinya Imam Syatibi dalam memahami maqasid Syariah. Ini kerana maqasid Syariah tidak akan sempurna dan tercapai melainkan dengan memperbetulkan maqasid mukallaf.

Dan memadailah untuk kita memahami masalah ini dengan melihat bahawa maqasidlah (tujuan) membezakan sesuatu amalan samada sahih atau batal, ibadat atau tidak, wajib atau sunat, bahkan iman dan kufur. Sebagai contoh, orang yang bersolat dengan niat kerana Allah dan solatnya itu cukup rukun dan syaratnya, maka solatnya adalah sah, tetapi yang melakukannya dengan tujuan main-main dan mengejek-ejek, maka solatnya itu batal dan tidak sah sekalipun cukup rukun dan syaratnya. Orang yang bersolat kerana Allah adalah ibadat, dan orang yang bersolat kerana manusia pula adalah riak dan bukannya ibadat. Orang yang bersolat dengan tujuan menunaikan fardu dikira solatnya sebagai fardu dan orang yang bersolat dengan tujuan melakukan sunat, dikira sebagai sunat, sekalipun sama bilangan rakaatnya. Orang yang sujud kepada Allah dikira sebagai beriman dan orang yang sujud kepada makhluk dikira sebagai kufur. Jadi jelaslah bahawa tujuanlah yang membezakan natijah antara satu amalan yang sama.

Perkaitan Antara Maqasid Syariah Dan Maqasid Mukallaf

Untuk menjelaskan lagi perkaitan antara maqasid Syariah dan maqasid mukallaf, marilah kita melihat kepada dua qaedah yang akan dibincangkan ini.

Pertama: Syariah mahukan daripada mukallaf supaya tujuan mukallaf dalam melakukan sesuatu perbuatan yang disyariatkan adalah sama dengan tujuan Syariah dalam mensyariatkan perbuatan tersebut. Dan janganlah mukallaf bertujuan dengan perbuatannya itu (pebuatan yang disyariatkan), tujuan yang berlawanan dan bertentangan dengan tujuan Syariah dalam mensyariatkan perbuatan itu.

Huraian: Sesungguhnya Syariah apabila menerangkan kepada mukallaf bahawa di sana ada perbuatan yang disyariatkan, maka Syariah juga mahukan supaya tujuan mukallaf itu juga disyariatkan dalam melakukan perbuatan tersebut. Janganlah pula mukallaf itu menggunakan peluang dengan perbuatan yang disyariatkan itu untuk tujuan yang tidak disyariatkan. Ini kerana pensyariatan sesuatu perbuatan (daripada Syariah) menuntut pensyariatan tujuan (daripada mukallaf). Maka jika sesuatu perbuatan itu disyariatkan oleh Syariah, tetapi tujuan mukallaf dalam melakukan perbuatan itu adalah tidak disyariatkan, maka perbuatan itu adalah batal dan tertolak. Begitu jugalah sebaliknya, iaitu sesuatu perbuatan yang tidak disyariatkan tidak akan termasuk dalam perbuatan yang disyariatkan dengan sebab tujuan yang disyariatkan, bahkan inilah asal kepada bid’ah (penambahan dalam agama).

Kedua: Pensyariatan perbuatan daripada Syariah menuntut pensyariatan tujuan daripada mukallaf. Menyalahi tujuan Syariah dalam melakukan perbuatan yang disyariatkan membawa kepada memusnahkan “maslahah” yang mana kerananyalah disyariatkan sesuatu perbuatan.

Huraian: Sesiapa sahaja yang bertujuan dalam melakukan hukum taklif dengan tujuan yang tidak kerananya disyariatkan hukum tersebut, maka dia sebenarnya telah menyalahi Syariah. Sesiapa sahaja yang menyalahi Syariah, maka perbuatannya dalam menyalahi Syariah itu terbatal. Kerana itu, sesiapa yang bertujuan dalam melakukan sesuatu hukum taklif dengan tujuan yang tidak disyariatkan hukum itu kerananya, maka perbuatannya itu adalah terbatal. Ini kerana tujuan yang tidak disyariatkan (dari pihak mukallaf) memusnahkan tujuan pensyariatan daripada Syariah. Kerana inilah sesiapa yang menggunakan peluang dengan hukum-hakam Syariah yang disyariatkan untuk tujuan yang tidak disyariatkan, maka dia sebenarnya telah pun menyalahi tujuan Syariah. Dan sesiapa yang menyalahi tujuan Syariah, maka amalannya dalam menyalahi tujuan Syariah itu adalah batal. Natijahnya sesiapa yang menggunakan hukum taklif dengan tujuan yang tidak disyariatkan kerananya, maka amalannya itu adalah batal (iaitu dianggap sebagai tidak disyariatkan sekalipun pada asalnya adalah disyariatkan).

Dan contoh-contoh untuk dua qaedah yang dikemukakan ini sangat banyak. Antaranya ialah contoh-contoh berikut:-

Contoh 1: Syariah Islam menggalakkan umatnya supaya saling hadiah menghadiahi. Rasulullah SAW bersabda: “Hadiah menghadiahilah sesama kamu, nescaya kamu akan kasih mengasihani[1]. Difaham daripada hadis ini, tujuan Syariah dalam mensyariatkan memberi hadiah sesama Islam adalah supaya timbulnya ikatan kasih sayang sesama mereka dan mengukuhkan lagi ikatan persaudaraan Islam yang telah sedia ada. Akan tetapi sesiapa yang memberikan hadiah dengan sedikit daripada hartanya dengan tujuan supaya berkurangan sedikit hartanya daripada nisab zakat untuk mengelakkan daripada kewajiban membayar zakat, maka tujuannya itu telah menyalahi tujuan Syariah. Maka amalannya itu dengan tujuan yang demikian adalah batal dan tertolak.

Contoh 2: Talak atau perceraian adalah satu amalan yang disyariatkan, kerana dengan talaklah boleh menyelesaikan api pertelingkahan dan ketidak sefahaman yang tidak berterusan. Ini kerana jika talak tidak disyariatkan, nescaya pasangan suami isteri yang bertelingkah yang tidak ada lagi titik pertemuan akan merasakan bahawa mereka sentiasa berada dalam azab seksa yang tidak berkesudahan dan tidak ada jalan keluar daripadanya. Ini boleh menimbulkan dendam kesumat yang akhirnya boleh membawa kepada mafsadah yang lebih besar dan parah seperti penderaan, penindasan, penganiayaan bahkan juga pembunuhan. Kerana itu disyariatkan talak. Tetapi suami yang menggunakan kuasa talak yang ada padanya dengan tujuan menganiayainya, -seperti suami yang dalam keadaan nazak menceraikan isterinya dengan tujuan untuk mengelakkan isterinya daripada mewarisinya (mewarisi harta pusaka peninggalannya)-, maka dia sebenarnya telah melakukan satu perbuatan yang disyariatkan dengan tujuan yang tidak disyariatkan. Kerana inilah perbuatannya itu adalah terbatal dan si isterinya masih mewarisinya sekalipun talak itu jatuh dan diiktibar.

Contoh 3: “Rujuk” iaitu kembali kepada kehidupan yang sah sebagai suami isteri selepas bercerai (dengan akad nikah yang dahulu, dan bukannya akad yang baru) adalah satu perbuatan yang disyariatkan dengan tujuan mengikat kembali kasih sayang dan tolong menolong antara suami isteri yang telah terputus dengan talak raj’iy. Tetapi sesiapa yang me”rujuk” kembali isterinya dengan tujuan untuk menganiayai bekas isterinya yang diceraikannya itu, dengan memanjangkan “iddah” bekas isterinya tersebut, maka dia sebenarnya telah melakukan satu perbuatan yang disyariatkan dengan tujuan yang tidak disyariatkan kerananya perbuatan tersebut. Maka perbuatannya itu adalah berdosa walaupun dia melakukan satu perbuatan yang disyariatkan. Walau bagaimanapun khilaf ulamak tentang kesahihan hukum orang yang melakukan “rujuk” dengan tujuan yang demikian, sekalipun ia adalah berdosa kerana menganiayai isterinya.

Contoh 4: Jual beli adalah satu perbuatan yang disyariatkan. Ia disyariatkan dengan tujuan menolak kesusahan daripada manusia, kerana mustahil seseorang itu memiliki seluruh barangan keperluannya tanpa bantuan daripada orang lain. Akan tetapi sesiapa yang menggunakan jual beli dengan tujuan menghalalkan riba, seperti dalam akad “Bai’ul Inah”, maka perbuatannya itu adalah salah dan terbatal.

Dalil-Dalil Bagi Dua Qaedah Yang Disebutkan Tadi

Dalil Pertama: Syariah Islam disyariatkan untuk memberikan kemaslahatan dan menolak mafsadah. Perbuatan yang disyariatkan oleh Syariah pula adalah alat untuk mencapai tujuan tersebut. Dan pensyariatan perbuatan menuntut pensyariatan tujuan. Sesiapa yang melakukaan perbuatan yang disyariatkan dengan tujuan yang tidak disyaritkan, maka ia membawa kepada menyalahi Syariah. Perbuatan menyalahi Syariah adalah batal. Manakala mukallaf dengan tujuannya yang tidak disyariatkan itu, telah menyebabkan tidak tercapainya maslahah yang ingin dihasilkan dengan pensyariatan perbuatan tersebut. Ini membawa kepada sia-sianya Syariah (dalam mensyariatkan perbuatan tersebut). Kerana inilah wajib ke atas mukallaf “muafaqah” (menyamai) tujuannya dalam melakukan perbuatan yang disyariatkan dengan tujuan Syariah.

Dalil Kedua: Kesemua mukallaf dicipta untuk beribadat kepada Allah SWT. Dan ibadat pula ialah beramal mengikut apa yang dimahukan oleh Pensyariat dalam SyariahNya. Ibadah bukanlah hanya mentaati Allah dalam perbuatan-perbuatan dan amalan anggota yang zahir sahaja, bahkan merangkumi tujuan-tujuan dan kehendak-kehendak yang bertempat di hati. Kerana dengannyalah (dengan tujuan mengabdikan diri kepada Allah yang berada di hati mukallaf) tercapainya mafhum ibadat yang sebenar kepada Allah SWT. Kerana inilah wajib ke atas mukallaf “muafaqah” tujuannya dalam melakukan perbuatan yang disyariatkan dengan tujuan Syariah dalam mensyariatkan perbuatan tersebut.

Dalil Ketiga: Mukallaf dengan tujuannya dalam melakukan perbuatan yang disyariatkan untuk tujuan yang tidak kerananya disyariatkan perbuatan tersebut, boleh membawa kepada apa yang dianggap baik oleh Syariah adalah buruk pada pandangannya dan apa yang dianggap buruk oleh Syariah adalah baik pada pandangannya. Maka ini membawa kepada bercanggahnya pandangannya dengan pandangan Syariah. Dan percanggahan ini adalah tertolak, kerana sudah menjadi kewajiban kepada mukallaf menganggap baik setiap apa yang dianggap baik oleh Syariah dan begitulah juga sebaliknya, iaitu menganggap buruk setiap apa yang dianggap buruk oleh Syariah. Kerana inilah wajib ke atas mukallaf “muafaqah” tujuannya dengan tujuan Syariah dalam melakukan perbuatan-perbuatan yang disyariatkan (kerana amalan yang bercanggah dengan Syariah adalah terbatal).

Dalil Keempat: Mukallaf yang melakukan perbuatan yang disyariatkan dengan tujuan yang tidak disyariatkan samalah seperti mukallaf yang melakukan perbuatan yang tidak disyariatkan. Ini kerana sesuatu yang disyariatkan oleh Syariah adalah dengan tujuan menghasilkan maslahah atau menolak mafsadah atau kedua-duanya sekali. Apabila dia melakukan perbuatan tersebut dengan tujuan yang tidak kerananya disyariatkan perbuatan itu, maka tidaklah terhasil maslahah tadi dan tidaklah tertolak mafsadah yang ingin ditolak. Maka ini bercanggah dengan tujuan Syariah. Kerana inilah wajib ke atasnya (mukallaf) bertujuan dalam melakukan perbuatan yang disyariatkan dengan tujuan yang kerananyalah perbuatan itu disyariatkan. Apabila dia menyanggahi Syariah dengan sebab tujuannya itu, (sebagaimana yang telah kami terangkan) jadilah dia seperti orang yang melakukan perbuatan yang tidak diperintahkan dan meninggalkan apa yang diperintahkan (yakni melakukan perbuatan yang tidak disyariatkan). Dan melakukan perbuaatan yang tidak disyariatkan adalah bercanggah dengan asal penciptaan mukallaf, iaitu mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah SWT. Maka kerana inilah amalannya terbatal dan tertolak.

Dalil Kelima: Mukallaf dalam melakukan perbuatan yang disyariatkan dengan tujuan yang tidak disyariatkan telah membawa kepada tujuan pensyariatan yang kerananyalah disyariatkan perbuatan sebagai jalan atau wasilah kepada tujuannya yang tidak disyariatkan. Ini membawa kepada berlawanan dan bercanggah dengan Syariah. Kerana itu wajiblah keatasnya “muafaqah” (menyamakan) tujuannya dengan tujuan Syariah dalam melakukan perbuatan yang disyariatkan.

Dalil Keenam: Mukallaf dengan tujuannya yang tidak disyariatkan itu telah dianggap sebagai main-main dengan ayat-ayat Allah SWT. Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat Allah sebagai bahan mainan”. Surah al-Baqarah: 231. Dan sebahagian daripada ayat-ayat Allah ialah hukum-hakam Syariah. Kerana inilah dikatakan kepada para munafiqin yang menzahirkan Islam dengan tujuan yang berlawanan dengan tujuan Pensyariat dalam mensyariatkan Islam -sebagai main-main dan mengejek-ngejek-. Firman Alllah SWT: “Katakanlah: “Adakah dengan Allah, ayat-ayatNya dan RasulNya kamu main-main (dan mengejek-ngejek)”? Surah at-Taubah: 65. Dan sebahagian daripada kefahaman terhadap ayat Surah al-Baqarah tadi ialah, janganlah ia (perbuatan yang disyariatkan) dilakukan dengan tujuan yang tidak disyariatkan kerananya. Dan main-main dengan tujuan Syariah dikira berlawanan dengan Syariah. Maka kerana inilah wajib ke atas mukallaf “muafaqah” tujunnya dengan tujuan Syariah dalam melakukan perbuatan yang disyariatkan.

Tuan Mohd Safuan Tuan Ismail. Sarjana Muda Syariah & Pengajian Islam, Univ. Mu’tah, Jordan. J20061425H060804M.

[1] Hadis riwayat Imam al-Baihaqi, at-Tabarani dan al-Bukhari dalam al-Adabul Mufrad daripada Abu Hurairah r.a. Berkata Imam al-Munawi dalam kitabnya Faidhul Qadir: “Hadis ini juga diriwayatkan oleh an-Nasaie”. Berkata al-Iraqi: “Sanadnya jayyid”. Berkata Ibnu Hajar: “Sanadnya hasan”.

Labels: ,





XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health