TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


Aqidah : Riddah Yang Paling Bahaya

Riddah Yang Paling Bahaya

Murtad merupakan dosa terbesar yang dilakukan oleh seorang muslim. Dosa yang dilakukannya itu telah menghilangkan identitinya sebagai seorang Islam, dan dia bertukar menjadi seorang yang kafir. Dosa yang dilakukannya itu adalah dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik[1], dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari itu (syirik), bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang sangat besar”..surah an-Nisa’: 48.

Masalah murtad ini sentiasa berlaku. Murtad pernah terjadi di zaman Rasulullah s.a.w., dan juga di zaman-zaman yang lain. Bahkan Abu Bakar juga masyhur dengan kesungguhannya memerangi kaum yang riddah. Cuma murtad yang ada di sepanjang zaman hanyalah masalah yang terpencil. Namun kebelakangan ini, ia sudah menjadi satu gejala, di mana ramai di kalangan muslim yang murtad. Gejala ini berlaku disebabkan kejahilan mereka tentang hakikat Islam yang sebenar. Mereka kurang mengenali Islam, bahkan ada yang langsung tidak memahami Islam. Orang yang betul-betul mengenali dan memahami Islam pasti tidak akan meninggalkan Islam, bahkan akan berjuang mempertahankannya. Orang yang mengenali emas dan permata tidak akan melemparkannya demi untuk mengambil seketul najis. Namun kejahilan telah menimpa umat ini. Dan peluang inilah yang digunakan oleh orang bukan Islam untuk memurtadkan sebahagian umat Islam.

Bila berlakunya murtad, maka ia merupakan satu jenayah. Ini kerana orang yang murtad telah mengkhianati akidah kaum muslimin dan merendah-rendahkannya. Ia juga bererti mengkhianati Negara Islam dan mencabar kedaulatannya. Kerana inilah menjadi tugas pemerintah Negara Islam untuk mengenakan hukuman kepada sesiapa sahaja di kalangan warganegaranya yang murtad. Hukuman ini adalah untuk mengawal gejala penghinaan terhadap kesucian agama Islam sesudah mengenalinya.

Namun, apakah halnya kalau pemerintah yang murtad? Apakah keadaannya kalau pemerintah yang ditugaskan untuk menjaga kesucian agama juga murtad dengan menghina dan mencaci agama? Inilah murtad yang paling bahaya sebagaimana yang disebutkan oleh Dr. Yusof al-Qardhawi dalam kitabnya “Jenayah Riddah dan Hukuman Kepada Si Murtad Mengikut al-Qur’an dan Sunnah[2]”. Kami akan sedutkan di sini kata-kata beliau agar ia boleh membantu kita dalam memahami dan menghadapi gejala murtad ini.

Kata beliau: “Dan murtad yang paling bahaya ialah murtad pemerintah dan murtad pihak berkuasa yang mana menjadi tanggungjawab mereka sebenarnya untuk menjaga akidah ummah, memerangi murtad dan menghalau si murtad supaya dia tidak berada di kalangan masyarakat Islam. Tetapi (apakah keadaannya) kalaulah pemerintah sendiri yang menerajui riddah, samada secara tersembunyi atau terang-terangan. Dia sendiri yang menyebarkan perkara-perkara fasiq, samada secara tertutup atau terbuka, bahkan dia memberikan pelbagai pangkat dan gelaran kemuliaan kepada mereka (orang yang murtad). Dan perkara ini samalah seperti kata pepatah “Penjaganyalah si pencurinya” (atau dalam pepatah melayunya ialah harapkan pagar, pagar makan padi). Atau ia juga boleh dikatakan seperti kata-kata seorang penyair “Penjaga kambing hendaklah menjaga kambingnya daripada serigala, maka apakah keadaannya kalaulah penjaganya itu sendiri adalah serigala”.

Kita lihat golongan pemerintah yang sebegini mencintai musuh-musuh Allah dan memerangi kekasih-kekasih Allah. Mereka merendah-rendahkan akidah, memperlekehkan syariah, tidak menghormati suruhan dan larangan Allah dan Rasul, memandang rendah tempat-tempat suci dan syiar-syiar Islam, menghina para sahabat, keluarga-keluarga Rasulullah, para khalifah yang terpuji, juga merendah-rendahkan ulamak-ulamak ulung dan juga tokoh-tokoh pejuang Islam. Mereka menganggap berpegang dengan ajaran Islam (yang sebenar) sebagai jenayah dan melampau seperti bersolat di masjid bagi lelaki dan memakai hijab bagi perempuan. Tidak cukup dengan itu, mereka juga mengamalkan apa yang dinamakan sebagai falsafah “mengeringkan tempat keluar air mata” (atau dalam istilah kita seperti “mencantas tunas supaya tidak tumbuh”). Falsafah ini mereka amalkan secara terang-terangan yang mana kita boleh lihat samada dalam sistem pembelajaran dan siaran penerangan sehingga tidak timbul lagi akal yang berfikiran untuk Islam dan tiada lagi ruh keislaman. Mereka tidak berhenti setakat itu sahaja, bahkan mereka menghalau para pendakwah yang sebenar, dan menutup pintu-pintu yang boleh digunakan oleh para pendakwah atau gerakan yang benar, yang ingin menghidupkan kembali Islam dan memakmurkan dunia ini dengan asasnya.

Cuma, apa yang menghairankan ialah, ada sebahagian daripada golongan-golongan ini – sekalipun riddah mereka telah jelas - masih lagi ingin mengekalkan nama Islam. Ini adalah supaya mereka lebih senang untuk menghancurkan Islam dan supaya umat Islam masih lagi menganggap mereka juga sebagai kaum muslimin. Mereka ingin menghancurkan binaannya daripada dalam. Dan ada sebahagian mereka berusaha untuk bertoleransi dengan agama, dengan cara menggalakkan masyarakat mengamalkan agama Islam yang terpesong (yang mereka anjurkan), dengan sambutan daripada golongan yang membakar kemenyan untuk mereka (menyokong mereka) di kalangan orang-orang yang biasa disebut oleh orang ramai sebagai “ulamak kerajaan dan kuli-kuli polis”.

Kalau begini keadaanya, maka semuanya akan tergendala. (Ini kerana) Siapakah yang akan mengenakan hukuman hudud kepada mereka? Jauh daripada itu, siapakah yang akan memfatwakan kekufuran mereka? Padahal ia adalah kekufuran yang “bawwah” (jelas) sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis. Siapakah yang akan menentukan yang mereka ini sudah murtad, sedangkan Majlis Fatwa rasmi dan mahkamah rasmi berada di tangan-tangan mereka?

Tidak ada lagi (yang mampu melakukan perkara-perkara tersebut) selain suara ramai orang Islam dan jantung hati mereka. Yang mana suara mereka ini mesti dikepelai oleh golongan yang bebas (bukan ulamak kerajaan) seperti para ulamak, para pendakwah dan para pemikir yang mana mereka ini tidak akan berdiam diri sekalipun mereka sentiasa disekat dan dihalang, bahkan ia akan bertukar menjadi bukit api yang akan menyala ke arah muka-muka toghut-toghut yang murtad itu. Bukanlah senang untuk menghapuskan masyarakat Islam dengan identiti mereka, dan bukan senang untuk mereka (orang Islam) bertolak ansur dalam masalah akidah pegangan mereka yang merupakan sumber kewujudan mereka dan rahsia kekekalan mereka.

Para penjajah barat telah mencubanya (untuk membuang identiti masyarakat Islam) seperti penjajah Perancis di Algeria, dan penjajah timur juga telah mencubanya seperti Rusia di jajahan taklukan mereka dahulu. Namun mereka semua gagal sekalipun betapa kerasnya dan lamanya tempoh percubaan mereka itu untuk menghapuskan akar umbi identiti keIslaman dan individu muslim, yang mana akhirnya penjajah terpaksa pergi dan yang kekal adalah ISLAM dan kaum muslimin.

Namun, peperangan yang dihalakan ke atas Islam dan para pendakwahnya oleh sebahagian pemerintah yang berfahaman kebangsaan, sekular dan terpengaruh dengan barat di sebahagian negara – sesudah kemerdekaan mereka daripada penjajah - adalah lebih kuat lagi permusuhannya dan lebih besar daripada peperangan yang dilakukan oleh golongan penjajah lagi”.

Inilah yang disebutkan oleh Dr Yusof al-Qardhawi tentang riddah yang paling bahaya. Semoga ia boleh menambahkan kefahaman kita tentang permasalahan riddah yang berlaku dan menjadi sumber kekuatan kita untuk menghadapi gejala riddah ini. Semoga kita termasuk dalam golongan tentera Abu Bakar yang sanggup mati untuk memperjuangkan agama Allah. Amin.

[1] Syirik adalah kekufuran. Semua jenis kekufuran termasuk murtad tidak akan diampunkan Allah SWT.
[2] Judul asal buku ini adalah: “جريمة الردة..وعقوبة المرتد في ضوء القرآن والسنة ” . Tidak diketahui samada buku beliau ini sudah diterjemahkan atau belum. Ia setebal 79 m/s dan cetakan pertamanya adalah pada tahun 1996.

Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail. Sarjana Muda Shariah, Universiti Mu’tah, Jordan & Sarjana Pengajian al-Quran & as-Sunnah (Pengkhususan Hadis) UIAM, KL

Labels: ,

0 Responses to “Aqidah : Riddah Yang Paling Bahaya”

Post a Comment




XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health