TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


1.8 - Hukum Perkaitan Antara Maqasid Yang Tiga

Bab 1 - Maqasid Syariah
1.8 - Hukum Perkaitan Antara Maqasid Yang Tiga

Tingkatan maqasid Syarak dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu “dhoruriyyat”, “hajiyyat” dan “tahsiniyat”. Setiap daripada tiga perkara tersebut, ada pelengkap dan penyempurnaannya yang dipanggil sebagai “mukammil”. Asas yang dilengkap pula dipanggil sebagai “mukammal”. Artikel ini akan menjelaskan mengenai hukum perkaitan antara tiga maqasid yang tersebut dan kedudukannya samada sebagai “mukammil” ataupun “mukammal”.

Perkaitan antara tiga maqasid ini, disimpulkan oleh Imam Syatibi dalam lima qaedah yang dipanggil sebagai “Qawa’id Maqasidiyyah”.

Berikut adalah qaedah-qaedah tersebut:-

1. Sesungguhnya “dhoruriy” itu adalah asal (asas) bagi selainnya, iaitu “hajiyy” dan “tahsiniyy”.

2. Sesungguhnya ketiadaan “dhoruriyy” pasti akan membawa kepada ketiadaan “hajiyy” dan “tahsiniyy”.

3. Tidaklah lazim dengan ketiadaan “hajiyy” dan “tahsiniyy” itu, ketiadaan “dhoruriyy”.

4. Kemungkinan lazim daripada ketiadaan keseluruhan “hajiyy” atau keseluruhan “tahsiniyy” itu ketiadaan pada sebahagian “dhoruriyy”.

5. Perlunya memelihara “hajiyy” dan “tahsiniyy” untuk memelihara “dhorruriyy”.

Qaedah 1: Dhoruriyy adalah asas bagi selainnya.

Kemaslahatan dunia dan agama diasaskan di atas menjaga lima perkara asas, iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Perkara-perkara ini adalah dhoruriyy. Maka jika tiada agama, nescaya tiadalah balasan yang diharapkan, jikalau tiada mukallaf, nescaya tiadalah orang yang beragama. Jikalau tiada akal, tiadalah taklif beragama, dan jika tiada keturunan, maka tiadalah kekal kewujudan dan jika tiada harta, maka tiadalah kekal kehidupan. Kerana inilah dhoruriyy adalah asas segalanya.

Qaedah 2: Ketiadaan Dhoruriyy pasti akan menghilangkan Hajiyy dan Tahsiniyy.

Sesungguhnya hajiyy dan tahsiniyy itu merupakan pelengkap kepada dhoruriyy, samada sebagai satu sifat tambahan kepadanya atau pun satu juzuk yang kecil daripadanya. Maka sudah tentu, lazim daripada ketiadaannya, ketiadaan hajiyy dan tahsiniyy, kerana perkara asal bila sudah tiada, nescaya ketiadaan pelengkapnya adalah lebih utama. Sebagai contoh, bila Syariah menggugurkan kewajiban solat kepada perempuan yang kedatangan haid, maka sudah tentu gugurlah daripadanya tuntutan menutup aurat dalam solat, tuntutan menghadap kiblat, tuntutan takbir, tuntutan zikir-zikir sunat seperti zikir rukuk, sujud, dan sebagainya. Gugur jugalah tuntutan berwuduk dan adab-adabnya. Kerana inilah dikatakan bahawa “mukammil” akan gugur dengan gugurnya “mukammal” dan “wasilah” akan gugur dengan gugurnya tujuannya, melainkan ada dalil yang lain yang mengiktibarkannya.

Qaedah 3: Tidaklah lazim dengan ketiadaan Hajiyy dan Tahsiniyy itu

ketiadaan Dhoruriyy.

Sesungguhnya hajiyy dan tahsiniyy merupakan mukammil (pelengkap) kepada dhoruriyy. Maka sudah pun maklum bahawa tidak semestinya hilangnya sebahagian pelengkap kepada sesuatu perkara, hilangnya asas perkara tersebut. Contohnya, zikir-zikir dalam solat. Kalaulah solat dilakukan tanpa membaca zikir-zikir yang sunat, solat itu masih sah dan diiktibar. Begitulah halnya dengan bahawa Syariah mengambil kira bahawa wajibnya ternafi kejahilan dengan perkara jual beli, maka kecacatan pada perkara tersebut (kejahilan), tidaklah boleh menafikan keseluruhan akad jual beli. Kerana inilah dikira sah jual beli buah-buahan yang masih di dalam kulitnya seperti durian, manggis dan sebagainya, sekalipun kejahilan terhadap perkara yang diakadkan itu tidaklah ternafi sepenuhnya. Juga dikira sah (harus) mengambil wang daripada pengguna tandas persendirian, (sebagaimana adat yang ada sekarang) sekalipun tidak diketahui dengan jelas kadar air yang digunakannya.

Qaedah 4: Lazim daripada ketiadaan keseluruhan Hajiyy dan Tahsiniyy, kecacatan pada Dhoruriyy.

Hajiyy dan tahsiniyy merupakan mukammil kepada dhoruriyy. Maka jika berlaku kecacatan kepada keseluruhan hajiyy dan tahsiniyy, maka lazimlah daripadanya kecacatan kepada sebahagian dhoruriyy, kerana ketiadaan pelengkapnya. Kedua-duanya juga adalah mukammil yang mencantikkan dhoruriyy, samada menjadi muqaddimah kepadanya, berada bersama dengannya atau berada selepasnya. Maka dengan luputnya keseluruhan kedua-duanya, maka sudah tentu mencacatkan dhoruriyy sekalipun tidak menghilangkan asal dhoruriyy. Sebagai contoh, seorang yang bersolat dengan hanya melakukan rukun-rukun sahaja dan meninggalkan keseluruhan sunat, maka solatnya itu ke arah main-main adalah lebih dekat. Dan setiap darjat daripada tiga maqasid ini boleh diumpamakan sebagai sunat dengan fardu bagi darjat yang lebih penting daripadanya. Keberanian membatalkan keseleruhan mukammil (hajiyy dan tahsiniyy) adalah tanda kesediaan untuk membatalkan mukammal (iaitu dhoruriyy), kerana inilah dikatakan ia boleh mencacatkan dhoruriyy. Tambahan lagi keseleruhan hajiyy dan tahsiniyy adalah seperti satu bahagian daripada bahagian-bahagian dhoruriyy.

Qaedah 5: Perlunya memelihara Hajiyy dan Tahsiniyy untuk memelihara Dhoruriyy

Penerangaan bagi qaeadah ini adalah jelas dengan penerangan-penerangan terhadap qaedah-qaedah yang lepas. Ini kerana, kalaulah dhoruriyy boleh cacat dengan sebab cacatnya mukammilnya (pelengkapnya), maka sudah tentu menjaga mukammil ini daripada kecacatan adalah perlu dengan tujuan untuk menjaga mukammalnya (dhoruriyy). Juga kerana hajiyy dan tahsiniyy adalah pelengkap dan perhiasan bagi dhoruriyy, yang mana tidak akan nampak kecantikan dhoruriyy itu melainkan dengannya, maka sudah tentulah, perlunya ia dijaga dan tidak diabaikan.

Inilah lima Qawa’id Maqasidiyyah yang disebutkan oleh Imam as-Syatibi dalam kitabnya al-Muwafaqat. Dan di sini kita boleh lihat, betapa bijaknya Imam Syatibi berfikir demi menunjukkan kecantikan Syariah dan beliau boleh diibaratkan sebagai dhoruriyy bagi pelopor ilmu Maqasid Syariah, dan ulamak-ulamak yang menyumbang selepas beliau adalah mukammil kepadanya.

Tuan Mohd Sapuan Bin Tuan Ismail. Sarjana Muda Shariah & Pengajian Islam, Univ. Mu’tah. MLI050605H260704M

Labels: ,

0 Responses to “1.8 - Hukum Perkaitan Antara Maqasid Yang Tiga”

Post a Comment




XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health