TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


Zikrullah, Tugas Setiap Individu Muslim

Pengertian Zikir

Zikir ertinya ingat. Bila kita mencintai dan menyayangi sesuatu, maka kita akan banyak mengingatinya. Bila kita banyak mengingatinya maka sudah tentu kita akan banyak menyebutnya.

Bila kita mengenal Allah SWT, kita akan mencintai Allah. Bila kita mencintai Allah, kita akan sentiasa mengingatiNya. Bila kita banyak mengingatiNya, maka kita akan sentiasa menyebut namaNya. Itulah yang dikatakan zikrullah. Kerana ini, zikrullah adalah gabungan antara mengingati Allah di hati dan menyebutNya dengan lidah. Zikir lidah tanpa ingatan hati adalah zikir yang cacat, dan meninggalkan zikir adalah tanda kelalaian. Ini adalah tanda kita tidak mengenal Allah. Kalau kita tidak mengenal Allah, bagaimanakah kita beribadah kepadaNya? Sedangkan tujuan penciptaan kita adalah pengabdian kita terhadapNya. Kerana itu, zikir adalah sebahagian pengabdian kepada Allah SWT yang mana untuk itu, kita diciptakan.

Zikir adalah ibadat yang paling senang

Semua ibadat mempunyai syarat sahnya kecuali zikir. Ia harus dilakukan samada dalam keadaan toharah atau berhadas, semasa berdiri, duduk, mengiring dan dalam semua keadaan. Berkata Imam Nawawi: “Ijmak ulamak mengharuskan zikir samada zikir lisan atau hati bagi yang berhadas, berjunub, orang yang haid dan juga nifas”.

Kelebihan zikir daripada al-Qur’anul Karim

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُواْ لِي وَلاَ تَكْفُرُونِ {2:151}

Ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku akan mengingatimu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku. Surah al-Baqarah: 152.

الَّذِينَ آمَنُواْ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللّهِ أَلاَ بِذِكْرِ اللّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ {13:28}

Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang. Surah ar-Ra’d: 28

Kelebihan zikir daripada hadis

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: مثل الذي يذكر ربه والذي لا يذكر ربه مثل الحي والميت.

Ertinya: Perumpamaan orang yang mengingati (dan menyebut) tuhannya dengan orang yang tidak mengingatiNya adalah seumpama (perbezaan) orang yang hidup dan mati. Riwayat Bukhari.

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: من قعد مقعدا لم يذكر الله فيه كان عليه من الله ترة، ومن اضطجع مضطجعا لا يذكر الله فيه كان عليه من الله ترة... رواه أبو داود.

“Sesiapa yang duduk di sesuatu tempat yang mana dia tidak menyebut nama Allah padanya, maka dia akan mendapat kekurangan (dan juga penyesalan)…”

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ليس يتحسر أهل الجنة إلا على ساعة مرت بهم لم يذكروا الله فيها.

“Ahli syurga tidak akan menyesal melainkan (perkara yang dilakukan di dunia) melainkan terhadap masa yang berlalu tanpa mereka berzikir kepada Allah padanya”. Riwayat Baihaqi.

Kenapa tidak mahu berzikir

وَمَن يَعْشُ عَن ذِكْرِ الرَّحْمَنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ {36} وَإِنَّهُمْ لَيَصُدُّونَهُمْ عَنِ السَّبِيلِ وَيَحْسَبُونَ أَنَّهُم مُّهْتَدُونَ {43:37}

“Sesiapa yang berpaling dari pengajaran ar-Rahman, Tuhan yang Maha Pemurah (Al Quran), Kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkannya) Maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu bersamanya. Dan Sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahawa mereka mendapat petunjuk. Surah az-Zukhruf: 36-37.

وَاذْكُر رَّبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعاً وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالآصَالِ وَلاَ تَكُن مِّنَ الْغَافِلِينَ {7:205}

“ Dan sebutlah (nama) Tuhannmu dalam hatimu dalam keadaan rendah diri dan takut, juga dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk di kalangan orang-orang yang lalai. Surah al-A’raf: 205.

إِنَّ الْمُنَافِقِينَ يُخَادِعُونَ اللّهَ وَهُوَ خَادِعُهُمْ وَإِذَا قَامُواْ إِلَى الصَّلاَةِ قَامُواْ كُسَالَى يُرَآؤُونَ النَّاسَ وَلاَ يَذْكُرُونَ اللّهَ إِلاَّ قَلِيلاً {4:142}

Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka, dan apabila mereka berdiri untuk solat mereka berdiri dengan malas, dengan tujuan menunjuk-nunjuk kepada orang lain, dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sangat sedikit. Surah an-Nisa’: 142.

(نَسُواْ اللّهَ فَنَسِيَهُمْ إِنَّ الْمُنَافِقِينَ هُمُ الْفَاسِقُونَ {9:67}

Mereka lupakan Allah, lalu Allah melupakan mereka, sesungguhnya para munafiq itu adalah orang-oranng yang fasiq. Surah at-Taubah: 67

Berkata Abul Hasan as-Syazilli: “Antara tanda munafiq ialah berat lidah untuk berzikir, kerana itu bertaubatlah kepada Allah, nescaya ringan lidahmu menyebut namaNya”.

Pandangan ulamak-ulamak mengenai zikir

Berkata Ibnu Abbas: “Tidak ada satupun yang Allah SWT fardhukan ke atas hambaNya melainkan ada takatnya dan ada rukhsahnya, melainkan zikir. Sesungguhnya zikir tiada takat yang akhir dan tidak diberikan kepada seseorang keuzuran melainkan orang yang hilang akalnya. Dan Dia pula memerintahkan ia dilakukan dalam semua keadaan…”

Berkata Fakhruddin ar-Razi: “Sesungguhnya penyebab kepada neraka jahannam ialah kelalaian dan yang mampu menyelamatkan daripadanya ialah zikrullah…”

Berkata Ibnu Ataillah as-Sakandari: “Zikir ialah membebaskan diri daripada kelalaian dan lupa dengan sentiasa menghadirkan hati bersama Allah…”

Berkata Imam Abu Qasim al-Qusyairi: “…dan seseorang tidak akan sampai kepada Allah SWT melainkan dengan sentiasa berzikir”.

Berkata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah: "Zikir dan hati itu ibarat air dan ikan, maka bagaimanakah keadaan ikan bila sudah kekeringan air?

Berkata Imam Ibnul Qayyim: “Tidak syak lagi bahawa hati ini akan berkarat…dan penghilangnya ialah zikir…bila ditinggalkan zikir, ia akan kembali berkarat…dan bila karat sudah banyak…dia akan nampak kebaikan itu kebatilan dan kebatilan itu kebaikan…dan bila karatnya bertimbun-timbun…akan rosaklah gambarannya dan dia tidak lagi mampu menerima kebenaran…inilah sebesar-besar balasan kepada hati…

Tulisan: Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail, tasekpauh.blogspot.com/ UPI, KIAS, 0136353463,/11:40pm14032007Mmlm27021428H

Labels: ,

0 Responses to “Zikrullah, Tugas Setiap Individu Muslim”

Post a Comment




XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health