Solat Witir, sunat yang bermusim?
0 Comments Published by TasekPauh Blogspot on Thursday, March 08, 2007 at 12:41 AM.Sudah
Fadhilat
1- Sabda Nabi s.a.w.: “Sesungguhnya Allah SWT telah pun menganugerahkan kamu dengan satu solat yang mana ia adalah lebih baik daripada unta merah, iaitu solat witir. (Abu Daud).
2- Sabda Nabi s.a.w.: “Sesungguhnya Allah itu witir (Esa), Dia sukakan witir (bilangan ganjil), maka berwitirlah wahai ahli al-Qur’an. ( Abu Daud & Tirmizi).
3- Sabda Nabi s.a.w.: “Jadikanlah sembahyang terakhir kamu pada malam hari ialah witir.(Bukhari & Muslim).
4- Sabda Nabi s.a.w.: “Witir itu hak (yang dituntut) ke atas setiap muslim. (Abu Daud).
Hukum
Solat sunat witir hukumnya sunat muakkadah. Namun Imam Hanafi menganggapnya wajib, dan pendapatnya itu adalah lemah. Namun bagi kita, khilaf itu tidak penting, kerana sesiapa yang mengerjakannya sahaja yang akan mendapat ganjaran pahala, dan sesiapa yang meninggalkannya, tidak akan mendapat sebarang pahala.
Masa dan waktu
Masa untuk mengerjakan solat sunat witir bermula selepas solat isyak dan berpanjangan sehingga waktu subuh.
1- Sabda Nabi s.a.w.: “Sesungguhnya Allah SWT telah menambahkan kepada kamu satu solat, iaitu solat witir. Maka sembahyanglah antara solat Isyak dan solat subuh. (Ahmad)
2- Aisyah r.a. menceritakan bahawa.: “Rasulullah s.a.w. pernah mengerjakan solat witir pada awal malam, pertengahannya dan juga pada akhir malam. (Bukhari & Muslim).
Dan waktu yang terbaik untuk mengerjakannya adalah pada akhir malam. Dan jika dibimbangi tidak mengerjakannya pada akhir malam, kerana tidak terjaga dan sebagainya, maka lakukanlah di awal malam.
1- Sabda Nabi s.a.w.: “Jadikanlah sembahyang terakhir kamu pada malam hari ialah witir.(Bukhari & Muslim).
2- Sabda Nabi s.a.w.: “Sesiapa yang bimbang tidak bangun pada akhir malam, maka berwitirlah pada awal malam, dan sesiapa yang ingin bangun pada akhir malam, maka berwitirlah pada akhir malam. (Muslim).
3- Abu Hurairah berkata: “Kekasihku (Rasulullah s.a.w.) berpesan, kepadaku dengan tiga perkara: puasa tiga hari pada setiap bulan, dua rakaat solat dhuha dan supaya aku berwitir sebelum aku tidur. (Bukhari & Muslim).
Dan sekali lagi diingatkan bahawa masa solat sunat witir tidak tertentu pada bulan ramadhan sahaja.
Bilangan rakaat solat witir
Sekurang-kurang bilangan rakaat solat witir ialah satu rakaat. Dan sekurang-kurang sempurna ialah tiga rakaat. Dan sebanyak-banyak bilangan rakaat solat witir ialah sebelas rakaat. Ia juga boleh dilakukan dengan
Bacaan pada solat witir
Harus dibaca mana-mana ayat al-Qur’an selepas bacaan al-Fatihah pada solat witir. Berkata Saidina Ali r.a.: “Tidak ada satu ayat pun daripada al-Qur’an yang mesti ditinggalkan (bacaannya), maka berwitirlah kamu dengan apa sahaja (ayat suci) yang kamu mahu”. Dan disunatkan bagi yang mengerjakannya tiga rakaat membaca surah al-A’la pada rakaat yang pertama, surah al-Kafirun pada rakaat yang kedua. Manakala dalam rakaat yang ketiga dihimpunkan antara surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Naas. Ini kerana terdapat hadis daripada Aisyah r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah berbuat demikian. (Ahmad, Abu Daud & Tirmizi).
Mengqadha solat witir.
Disunatkan mengqadhakan solat sunat witir jika tidak dilakukan pada malam hari. Sabda Nabi s.a.w.: “Bila sudah menjelang pagi, dan salah seorang daripada kamu masih belum melakukan (solat) witir, maka berwitirlah (qadha). (Baihaqi & al-Hakim). Dan telah khilaf ulamak pada waktu manakah perlu dilakukan qadha solat witir, dan dalam mazhab Syafie, ia harus dilakukan pada mana-mana masa.
Bacaan selepas solat witir
سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوْسِ، سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوْسِ، سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوْسِ، رَبِّ الْمَلائِكَةِ وَالرُّوْحِ، اللهُمَّ إِنِّيْ أعُوذُ بِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوْبَتِكَ، وَأَعُوْذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنْكَ، لا أحْصِيْ ثَنَاءً عَلَيْكَ كَمَا أثْنَيْتَ عَلى نَفْسِكَ.
0 Responses to “Solat Witir, sunat yang bermusim?”