TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


Bab 264 - Riyadus Solihin, Haramnya Melaknat Seseorang Dan Binatang

264 - Bab Pada Haramnya Melaknat Seseorang Dan Juga Binatang

Hadis-Hadis Yang Berkaitan

عَنْ أَبِي زَيْدٍ ثَابِتِ بْنِ الضَّحَّاكِ الأنصَارِيّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ, وَهُوَ مِنْ أهْلِ بَيْعَةِ الرِّضْوَانِ قَاْلَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ حَلَفَ عَلَى يمين بِمِلَّةٍ غَيْرِ الْإِسْلَامِ كَاذِبًا مُتَعَمِّدًا, فَهُوَ كَمَا قَالَ, وَمَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِشَيْءٍ عُذِّبَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ, وَلَيْسَ عَلَى رَجُلٍ نَذْرٌ فِيمَا لَا يَمْلِكُهُ, وَلَعْنُ الْمُؤْمِنِ كَقَتْلِهِ. مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.

1553/1- Daripada Abu Zaid )iaitu) Thabit bin al-Dhohhak r.a. (beliau adalah ahli Baia’tul Ridhwan) katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang bersumpah dengan sumpahan selain agama Islam dengan dusta dan sengaja (seperti dia berkata: “kalau aku melakukan begini-begini, maka aku akan jadi Yahudi atau Nasrani”), maka dia adalah seperti yang dia ucapkan (sumpahnya itu). Sesiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu, dia akan diazab dengan perkara tersebut pada hari kiamat. Dan tidaklah ada nazar ke atas seseorang dalam perkara yang tidak dimilikinya. Melaknat orang yang beriman pula samalah seperti membunuhnya.

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Perhatian: Sebahagian cetakan mencetakkan sanad hadis ini dengan riwayat daripada Abu Zaid bin Thabit bin al-Dhohhak. Penambahan kaliman "bin" selepas Abu Zaid adalah salah cetak dan yang benar adalah seperti yang kami sebutkan di sini. Kami sebutkan perkara ini, kerana kesilapan cetakan itu banyak memakan masa kami dalam mengkaji kesahihan riwayat tersebut, kerana ia berlainan dengan sanad asal dalam kitab Sohih Bukari dan juga Sohih Muslim. Perkara ini berlaku kerana rujukan asal kami adalah cetakan yang silap tersebut, dan kami mengetahuinya setelah membandingkannya dengan cetakan-cetakan lain. Hanya Allah SWT Yang Maha Mengetahui dan Maha Sempurna.

Pengajaran Daripada Hadis

1. Ahli Bai’atul Ridhwan adalah orang yang dihormati kerana mereka mendapat pujian daripada Allah dan pujian itu tercatat di dalam al-Qur’an.

2. Sesiapa yang berazam untuk menjadi Yahudi atau Nasrani pada masa akan datang akan terus hilang Islamnya pada masa niatnya itu.

3. Sesiapa yang mengatakan “kalau aku buat begini maka aku jadi Yahudi” dengan tujuan untuk menyatakan bahawa dia sekali-kali tidak akan melakukan perkara tersebut tidaklah jatuh Islamnya, tetapi dia telah melakukan satu dosa dan perlu bertaubat kepada Allah s.w.t..

4. Besarnya dosa membunuh diri dan akan diazab mengikut cara yang digunakan untuk membunuh dirinya itu.

6. Tidak wajib membayar nazar apa yang tidak dimilikinya.

7. Besarnya dosa melaknat orang Islam dan ia diumpamakan sepeti membunuh.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لَا يَنْبَغِي لِصِدِّيقٍ أَنْ يَكُونَ لَعَّانًا. رَوَاهُ مُسْلِمٌ.

1554/2- Daripada Abu Hurairah r.a., sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda: Tidaklah sepatutnya bagi seorang yang benar (baik) itu untuk jadi seorang yang suka melaknat.

Hadis riwayat Muslim.

Pengajaran Daripada Hadis

1. Orang yang baik sifatnya tidak akan suka melaknat orang lain.

2. Orang yang suka melaknat orang lain bukanlah orang yang baik dan jujur.

وَعَنْ أبِيْ الدَّرْدَاءِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَا يَكُونُ اللَّعَّانُونَ شُفَعَاءَ وَلَا شُهَدَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ. رَوَاهُ مُسْلِمٌ.

1555/3- DaripadaAbu al-Darda’ r.a. katanya, Sabda Rasulullah s.a.w.: Orang yang suka melaknat itu tidak akan menjadi pemberi syafaat (pertolongan) dan syuhada pada hari kiamat.

Hadis riwayat Muslim.

Pengajaran Daripada Hadis

1. Orang yang suka melaknat adalah orang yang fasik dan tidak akan diterima penyaksiannya dan syafaatnya di akhirat.

2. Orang yang suka melaknati orang lain bukan sahaja akan dibenci di dunia, bahkan juga akan rugi di akhirat nanti.

وَعَنْ سَمُرَةَ بْنِ جُنْدَبٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَا تَلَاعَنُوا بِلَعْنَةِ اللَّهِ, وَلَا بِغَضَبِهِ وَلَا بِالنَّارِ. رَوَاهُ أبُوْ دَاوُدَ وَالتِّرْمِذِيُّ وَقَالَ: حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ.

1556/4- Daripada Samurah bin Jundab r.a. katanya: Sabda Rasulullah s.a.w.: Janganlah kamu saling laknat-melaknati dengan laknat Allah dan jangan juga dengan kemarahanNya dan nerakaNya.

Hadis riwayat Abu Dawuud dan Tirmizi dan beliau berkata: Hadis hasan sohih.

Pengajaran Daripada Hadis

1. Larangan daripada saling berkata laknat Allah (ke atasmu), kemurkaan Allah dan neraka Allah (kepadamu). Ini kerana semua perkara tadi adalah sangat besar keburukannya.

وَعَنْ ابْنِ مَسْعُوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ, وَلَا اللَّعَّانِ, وَلَا الْفَاحِشِ وَلَا الْبَذِيءِ. رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ وَقَالَ حَدِيثٌ حَسَنٌ.

1557/5- Daripada Ibnu Mas’ud r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Bukanlah seorang mukmin orang yang suka mencela, suka melaknat dan yang keji (samada perkataannya atau perbuatannya) dan yang kotor mulutnya (sekalipun perkataanya itu benar).

Hadis riwayat Tirmizi dan beliau berkata: Hadis hasan.

Pengajaran Daripada Hadis

1. Celaan kepada sifat-sifat ini kerana ia boleh mengurangkan keimanan dan orang mukmin yang sejati tidak akan memiliki sifat-sifat ini .

2. Orang yang beriman akan menjauhkan percakapan kotor sekalipun perkara itu adalah benar, bahkan mereka seharusnya mencari perkataan yang sesuai dan bersopan.

وَعَنْ أبي الدَّرْدَاءِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا لَعَنَ شَيْئًا صَعِدَتِ اللَّعْنَةُ إِلَى السَّمَاءِ, فَتُغْلَقُ أَبْوَابُ السَّمَاءِ دُونَهَا, ثُمَّ تَهْبِطُ إِلَى الْأَرْضِ فَتُغْلَقُ أَبْوَابُهَا دُونَهَا, ثُمَّ تَأْخُذُ يَمِينًا وَشِمَالًا, فَإِذَا لَمْ تَجِدْ مَسَاغًا رَجَعَتْ إِلَى الَّذِي لُعِنَ, فَإِنْ كَانَ لِذَلِكَ أَهْلًا, وَإِلَّا رَجَعَتْ إِلَى قَائِلِهَا. رَوَاهُ أَبُوْ دَاوُدَ.

1558/6- Daripada Abu al-Darda’ r.a. katanya, sabda Rasulullah s.a.w.: Sesungguhnya seorang hamba itu apabila dia melaknat sesuatu, laknatan itu akan naik ke langit dan ditutup pintu-pintu langit untuk menghalangnya masuk. Kemudian ia akan turun ke bumi dan ditutup pintu-pintu bumi unuk menghalangnya masuk. Kemudian ia akan ke kanan dan ke kiri. Dan apabila ia tiada tempat untuk dimasuki maka ia akan kembali kepada perkara yang dilaknat itu, jika yang dilaknat itu berhak mendapatnya dan jika tidak maka ia akan kembali kepada orang yang mengucapkannya.

Hadis riwayat Abu Dawuud.

Pengajaran Daripada Hadis

1. Laknat dan keburukannya akan kembali kepada si pengata jika yang dilaknat itu tidak berhak menerimanya.

2. Adanya juga golongan yang berhak dilaknat dan menerimanya.

وَعَنْ عِمْرَانَ بْنِ الْحُصَيْنِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ: بَيْنَمَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي بَعْضِ أَسْفَارِهِ, وَامْرَأَةٌ مِنَ الْأَنْصَارِ عَلَى نَاقَةٍ فَضَجِرَتْ, فَلَعَنَتْهَا, فَسَمِعَ ذَلِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ, فَقَالَ: خُذُوا مَا عَلَيْهَا وَدَعُوهَا فَإِنَّهَا مَلْعُونَةٌ.

قَالَ عِمْرَانُ: فَكَأَنِّي أَرَاهَا الْآنَ تَمْشِي فِي النَّاسِ مَا يَعْرِضُ لَهَا أَحَدٌ. رَوَاهُ مُسْلمٌ.

1559/7- Daripada I’mran bin al-Husain r.a. katanya, ketika Rasulullah s.a.w. berada dalam suatu musafirnya, ada seorang wanita (golongan) Ansar menunggang untanya dan dia tidak mampu mengawalnya (untanya) lalu dia melaknati unta itu. Bila sahaja Rasulullah s.a.w.mendengar laknatan itu baginda bersabda: Ambillah barang-barang yang ada di atas unta itu dan biarkanlah ia, kerana sesungguhnya ia sudah dilaknat. Berkata Imran: Seolah-olah saya masih melihat sekarang ini unta itu berjalan di (kawasan) orang ramai dan tidak ada seorang pun yang mengendahkannya.

Hadis riwayat Muslim.

Pengajaran Daripada Hadis

1. Orang Islam dilatih supaya menjauhi perbuatan laknat-melaknati sehinggakan dilarang juga melaknat binatang-binatang.

وَعَنْ أَبِي بَرْزَةَ نَضْلَةَ بْنِ عُبَيْدٍ الْأَسْلَمِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: بَيْنَمَا جَارِيَةٌ عَلَى نَاقَةٍ عَلَيْهَا بَعْضُ مَتَاعِ الْقَوْمِ, إِذْ بَصُرَتْ بِالنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتَضَايَقَ بِهِمُ الْجَبَلُ, فَقَالَتْ: حَلْ اللَّهُمَّ الْعَنْهَا. فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَا تُصَاحِبْنَا نَاقَةٌ عَلَيْهَا لَعْنَةٌ. رَوَاهُ مُسْلِمٌ.

1560/8- Daripada Abu Barzah (Nadhlah bin U’baid al-Aslamiyy) r.a.katanya, suatu ketika di mana seorang pemudi menunggang unta dan di atasnya (unta) ada beberapa barangan orang ramai. Tiba-tiba dia melihat Rasulullah s.a.w. (dan para sahabat baginda), dan (jalan) di bukit itu agak sempit dengan sebab (kehadiran) mereka (Nabi s.a.w. dan para sahabat baginda). Gadis itu berkata: Hal! (perkataan untuk menghalau unta). Ya Allah laknatilah unta ini. Lalu Nabi s.a.w. bersabda: “Janganlah ada bersama kita seekor unta yang kena laknat”.

Hadis riwayat Muslim.

Pengajaran Daripada Hadis

Berkata Imam Nawawi: Ketahuilah! Sesungguhnya hadis ini telah menjadi kemusykilan maknanya (oleh sebahagian manusia) dan yang sebenarnya tiada kemusykilan pada makna hadis ini. Ini kerana hadis ini bukanlah larangan untuk menjual, menyembelih dan menunggang unta itu asalkan tidak bersama Nabi s.a.w.. Bahkan semua perbuatan itu diharuskan dan tiada larangan, melainkan (larangan hanyalah) menunggang unta itu bersama Nabi s.a.w.. Ini kerana semua perbuatan tadi adalah harus hukumnya (pada asal) dan ditegah sebahagiannya (menunggang unta itu bersama Nabi s.a.w.) dan yang lain kekal hukumnya seperti asalnya (iaitu harus). Dan Allah sahaja Yang Maha Mengetahui.

Labels: , ,

1 Responses to “Bab 264 - Riyadus Solihin, Haramnya Melaknat Seseorang Dan Binatang”

  1. # Anonymous Anonymous

    Salam ,

    Saya tak tahu sejauh ini keburukan saya kerana pernah melaknat seseorang....ungkapan saya seperti begini..."kalau kamu ada niat jahat mahu memporak perandakan keluarga saya ,saya mohon Allah laknatkan kamu." Dan waktu itu saya dalam keadaan marah dan yakin ada niat jahat orang yang saya maksudkan itu.Sekiranya saya tahu nescaya saya akan ubah perkataan laknat tersebut.  

Post a Comment




XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health