TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


Ilmu Hadis Adalah Semulia-Mulia Ilmu

Lanjutan dari artikal sebelum ini "Kepentingan Mempelajari Hadis".

Ilmu hadis merupakan ilmu yang paling penting dan paling mulia. Dan orang-orang yang berkecimpung secara mendalam dalam ilmu ini merupakan orang-orang pilihan Allah. Perkara ini diakui oleh para ulamak. Antaranya yang menunjukkan demikian ialah:

1- Para ulamak menganggap hadis yang menunjukkan bahawa pasti ada golongan yang akan sentiasa memperjuangkan kebenaran ialah golongan ahli hadis. Sabda Nabi s.a.w.:

لا تزال طائفة من أمتي على الحق ظاهرين، لا يضرهم من خذلهم، حتى تقوم الساعة. متفق عليه.

Ertinya: “Akan sentiasa ada di kalangan umatku golongan yang memperjuangkan kebenaran, sehingga hari kiamat. Golongan yang menentang mereka tidak akan menjejaskan mereka”. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Berkata Imam Ahmad: “Kalaulah mereka bukan “ashabul hadis”, maka aku tidak ketahui siapakah mereka?” Dan antara ulamak yang menyatakan demikian ialah Ali bin al-Madini, Abdullah bin al-Mubarak, Imam Bukhari dan lain-lain.

2- Para ulamak menganggap bahawa golongan ahli hadis adalah orang yang paling dekat dengan Rasulullah s.a.w. di akhirat nanti, kerana merekalah dikatakan golongan yang paling banyak berselawat kepada Nabi s.a.w. di dunia ini. Mereka bukan sahaja berselawat dengan lidah mereka, bahkan dengan tangan (tulisan) dan hati mereka. Sabda Nabi s.a.w.:

إن أولى الناس بي يوم القيامة أكثرهم علي صلاة. رواه الترمذي وابن حبان في صحيحه عن ابن مسعود رضي الله عنه، واعتبر الألباني هذا الحديث حسنا لغيره، انظر صحيح الترغيب والترهيب، ج 2، ص 136.

Ertinya: “Orang yang paling dekat denganku pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat kepadaku”. Hadis riwayat Tirmizi.

3- Rasulullah s.a.w. mendoakan keberkatan kepada para perawi hadis baginda. Ini menunjukkan kemulian ahli hadis. Ibnu Mas’ud r.a. meriwayatkan Nabi s.a.w. bersabda:

نضر الله امرأ سمع منا شيئا فبلغه كما سمع، فرب مبلغ أوعى من سامع. رواه أبو داود والترمذي وابن حبان وصححه الألباني. انظر صحيح الترغيب والترهيب، ج 1، ص 21.

Ertinya: “Allah akan menikmati seseorang yang mendengar sesuatu daripadaku (hadis), dan dia pula menyampaikannya (kepada orang lain) sebagaimana dia mendengarnya. Ramai juga di kalangan yang disampaikan itu lebih memahami daripada yang mendengarnya”. Hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi dan lain-lain.

4- Rasulullah s.a.w. menjamin bahawa yang akan membawa ilmu ini di setiap generasi adalah orang yang baik. Ini juga menunjukkan kemulian palajar hadis yang meriwayatkan hadis. Sabda nabi s.a.w.:

يحمل هذا العلم من كل خلف عدوله ينفون عنه تحريف الغالين وانتحال المبطلين وتأويل الجاهلين " . رواه البيهقي، وصححه الألباني في تحقيقه لمشكاة المصابيح للتبريزي، ط 3، المكتب الإسلامي، بيروت، 1405هـ، ج 1، ص 53.

Ertinya: “Yang akan membawa ilmu ini di setiap masa adalah orang-orang yang baik, yang akan menolak penyelewengan pelampau, rekaan orang yang sesat dan takwilan si jahil”. Hadis riwayat al-Baihaqi.

5- Antara yang menunjukkan kemulian ilmu hadis dan mereka yang berkecimpung di dalamnya juga ialah firman Allah SWT:

يَوْمَ نَدْعُو كُلَّ أُنَاسٍ بِإِمَامِهِمْ الإسراء: 71

Ertinya: “(ingatlah pada) Hari yang Kami akan panggil setiap manusia dengan imam (pemimpin) mereka”. Ini kerana sebahagian ulamak salaf menyatakan: “Inilah kemulian yang paling besar bagi “ashabul hadis”, kerana imam (pemimpin) mereka adalah Nabi s.a.w.

6- Orang yang belajar hadis juga adalah orang yang paling utama untuk dimasukkan dalam Kumpulan Rasulullah dan para pengikut wahyu, sebagaimana firman Allah SWT:

وَالسَّابِقُونَ الأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللّهُ عَنْهُمْ وَرَضُواْ عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ سورةالتوبة (100)

Ertinya: “Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) daripada golongan muhajirin dan anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka juga redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar”. Surah at-Taubah: 100.

7- Orang yang mempelajari hadis seolah-olah mendapat darjat “Sohabah”. Sekalipun mereka tidaklah sempat bersama Rasulullah s.a.w., namun jiwa mereka sentiasa bersama Rasulullah s.a.w., sehinggakan merekalah orang yang paling mengenali Rasulullah s.a.w. berbanding orang lain. Kerana inilah Imam Syafiei menyatakan: “Bila aku melihat seorang lelaki di kalangan “ashabul hadis”, maka seolah-olah aku melihat salah seorang sahabat nabi s.a.w.”. Kerana inilah syair meyatakan:

أهل الحديث همُ أهل النبي وإن لم يصحبوا نفسه أنفاسه صحبوا

Golongan ahli hadis adalah golongan Nabi, sekalipun mereka tidak sempat bersahabat dengan baginda, namun jiwa mereka sentiasa bersama baginda”.

8- Jika dikatakan bahawa semulia-mulia ilmu itu, ilmu yang berkaitan dengan al-Qur’an, maka al-Qur’an tidak akan difahami tanpa ilmu hadis, kerana inilah dikatakan ilmu hadis adalah semulia-mulia ilmu, kerana ialah yang menerangkan tentang al-Qur’an.

Kata-Kata Ulamak Dalam Menyanjung Ilmu Hadis Dan Para Ahlinya.

1- Berkata Sufyan as-Sauri: “Aku tidak dapati sesuatu pun amalan yang dikerjakan kerana Allah SWT melebihi hadis”. Beliau juga berkata: Perbanyakkanlah hadis, kerana ia adalah senjata”. Beliau juga berkata: “Sepatutnya seorang lelaki memaksa anaknya mempelajari hadis”.

قال سفيان الثوري: ما أعلم شيئا يُطلَب به الله عز وجل هو أفضل من الحديث.

Ertinya: “Aku tidak mengetahui suatupun yang dipersembahkan kepada Allah SWT melebihi (daripada mempelajari dan mengajar) hadis”.

2- Berkata Imam Syafie: “Kamu hendaklah bersama “ashabul hadis”. Merekalah orang yang paling tepat”. Bahkan beliau pernah bersyair:

العلم ما كان فيه قال حدثنا ... وما سوى ذاك وسواس الشياطين

Ertinya: “Ilmu yang sebenar ialah yang ada padanya “haddasana” (ertinya “dia telah menceritakan kepadaku”, maksud beliau ialah mempunyai sanad riwayat). Dan yang tiada demikian (tiada sanad riwayat dan tiada asal daripada Nabi s.a.w.), maka semua itu hanyalah bisikan syaitan”.

3- Berkata Imam Ahmad bin Hanbal: “Tidak ada satu kaum pun di sisiku yang lebih baik daripada ahli hadis”. Dan ini juga adalah pendapat Abu Bakar bin Iyasy (96-193H) dan Abu Yusuf (113-182). Dan bila ditanya Imam Ahmad, “bilakah kamu akan berhenti menulis (mempelajari) hadis?”, beliau menjawab: “sehingga mati”.

4- Berkata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah: “Sudah pun maklum bahawa “ashabul hadis” mempunyai kesemua ciri kesempurnaan yang terdapat dalam kumpulan yang lain, tetapi mereka mempunyai keistimewaan yang tidak terdapat dalam kumpulan yang lain…

5- Berkata al-Khatibul Baghdadi: “Kalaulah para ulamak hadis tidak menjaga hadis-hadis dan tidak mengumpulkannya, dan tidak mengeluarkan kefahaman daripadanya dan mengamati sanad-sanadnya, nescaya terbatallah Syariah Islam dan hilanglah hukum hakamnya, kerana semuanya itu diambil daripada hadis-hadis yang dihafal (dan terjaga) dan diriwayatkan (oleh mereka)…”. Katanya lagi: “Cukuplah kemulian seorang “muhaddis” bila namanya disebutkan bersama dengan nama Nabi s.a.w.”

ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاء وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ {4}

Ertinya: “Itu adalah kurniaan Allah. Dia akan berikan kepada siapa sahaja yang dikehendakiNya; dan Allah mempunyai kurniaan yang hebat”. Surah al-Jumu’ah: 4.


Kesungguhan Sahabat, Tabien dan Ulamak-ulamak Hadis Dalam Mencari Hadis

Dan antara tanda yang menunjukkan kemuliaan ilmu hadis ialah kesungguhan para ulamak dalam mencari hadis. Dan perkara ini bermula sejak zaman sahabat lagi. Sebagai contoh, Jabir bin Abdillah al-Ansari sanggup bermusafir ke Syam dan memakan selama sebulan semata-mata untuk bertemu Abdullah bin Unais r.a., untuk bertanyakan satu hadis. Abu Ayyub al-Ansari pula sanggup bermusafir ke Mesir semata-mata untuk bertemu dengan Uqbah bin Amir r.a. juga untuk bertanyakan satu hadis sahaja. Abullah bin Abbas sanggup tidur berbantalkan kain di hadapan rumah para sahabat kerana menunggu mereka untuk mempelajari hadis. Az-Zuhri menceritakan bahawa Said bin al-Musayyab sanggup berjalan selama tiga hari semata-mata mencari satu hadis. Dan antara kata-kata ulamak yang menunjukkan bahawa mereka mementingkan hadis ialah kata-kata Sufyan as-Sauri: “Kalaulah mereka tidak datang kepadaku (untuk belajar), nescaya aku akan datang ke rumah-rumah mereka”.

Ilmu Hadis Adalah Ilmu Yang Susah Dan Mencabar

Ilmu hadis adalah ilmu yang sangat luas, ibarat lautan yang tidak bertepi. Kerana inilah ia memerlukan ketajaman fikiran, kesungguhan serta keazaman yang kuat. Kerana inilah az-Zuhri menyatakan:

الحديث ذكر، يحبه ذكور الرجال، ويكرهه مؤنثوهم

Ertinya: “Hadis itu adalah lelaki. Golongan lelaki di kalangan lelaki sahaja yang menyukainya. Dan golongan wanita di kalangan mereka (lelaki) tidak akan menyukainya”.

Kerana ini tidak ramai yang berjaya menguasai ilmu hadis. Kerana inilah al-A’masy bila diminta ulasannya mengenai ramainya pelajar yang belajar hadis di zamannya, beliau berkata: “Jangan kamu melihat kepada ramainya mereka. Satu pertiga daripada mereka akan mati, satu pertiga akan bekerja dan dalam satu pertiga lagi, yang akan berjaya hanyalah seorang daripada seratus”.

Cabaran Hadis Nabawi Masa Kini

Hadis Nabawi kini menghadapi dua cabaran, iaitu: cabaran luaran dan juga dalaman.

Cabaran Luaran (Golongan Orientalis)

1- Menanamkan keraguan tentang kesahihan hadis Nabawi

2- Menanamkan keraguan tentang hadis sebagai hujjah

3- Menanamkan fikrah bahawa rujukan dan sumber perundangan Islam hanyalah al-Qur’an.

4- Wujudnya usaha yang berterusan untuk tujuan tadi, dengan penulisan buku-buku dan laman-laman web yang berkenaan.

Cabaran Dalaman

1- Umat Islam secara keseluruhannya kurang mengambil berat tentang ilmu hadis

2- Kekurangan pakar dalam ilmu hadis, apatah lagi luasnya ilmu ini.

3- Buku-buku rujukan di dunia melayu dipenuhi dengan hadis-hadis yang bercampur aduk antara yang sohih dan dhoif.

3- Sebahagian orang yang mengaku Islam juga telah membawa fikrah-fikrah yang dipopularkan oleh para orientalis.

4- Sikap pemerintah yang tidak mengambil berat tentang hadis, sebagai contoh tiada satu pun institusi mendalami ilmu hadis.

Laman-Laman Web Yang Berkaitan Dengan Hadis

Terdapat banyak laman web yang berkaitan dengan hadis, yang memudahkan kita mencari hadis dan pelbagai perkara yang berkaitan. Antaranya ialah:

A- Laman Web Yang Membincangkan Hadis Sahaja

http://www.alsunnah.com

http://www.dorar.net

http://www.islamweb.net

http://sunnah.org.sa/

http://www.offok.com

http://arabic.islamicweb.com/Books/albani.asp

B- Laman Web Yang Membekalkan Buku-Buku Secara Am, Termasuk Ilmu-Ilmu Hadis

www.saaid.net/book

www.almeshkat.net/books

www.waqfeya.com/

www.islamport.com

www.almaknaz.com

Disediakan oleh: Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail,

Taman al-Barakah, Kg. Tasek Pauh, 16810, Selising, Pasir Puteh, Kelantan.

Labels: ,

5 Responses to “Ilmu Hadis Adalah Semulia-Mulia Ilmu”

  1. # Anonymous Anonymous
  2. # Anonymous Anonymous
  3. # Anonymous Anonymous
  4. # Blogger Unknown
  5. # Blogger yanmaneee
Post a Comment




XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health