TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


2.1 - Melihat Kepada Natijah Perbuatan

Bab 2 - Maqasid Syariah

2.1 Melihat Kepada Natijah Perbuatan

Melihat kepada hujung jatuh perbuatan atau natijahnya merupakan satu perkara yang diiktibar pada pandangan Syarak. Bahkan ia merupakan tujuan dalam pensyariatan, samada perbuatan itu muafaqah dengan Syariah (masyru’) atau mukhalafah (yang dilarang dan ditegah/tidak masyru’).

Seseorang mujtahid tidak boleh menghukum sesuatu perbuatan (samada perbuatan yang “ada” iaitu perbuatan yang dibuat atau perbuatan yang “tiada” iaitu yang ditinggalkan), dengan boleh dilakukan atau tidak, dibenar atau dilarang melainkan setelah melihat kepada hujung jatuh dan natijah perbuatan tersebut. Ini kerana setiap perbuatan ada natijahnya. Islam pula menyuruh dan menghalalkan perbuatan-perbuatan yang membawa kepada maslahah, dan melarang perbuatan-perbuatan yang membawa kepada mafsadah. Pensyariatan sesuatu perbuatan adalah kerana maslahah yang terhasil daripada natijah perbuatan tersebut. Manakala larangan sesuatau perbuatan pula adalah kerana mafsadah yang terhasil daripada natijah perbuatan tersebut.

Terdapat juga perbuatan yang disyariatkan untuk menarik maslahah atau menolak mafsadah, tetapi natijah daripada perbuatan tersebut bertentangan dengan tujuan pensyariatannya, bahkan natijahnya membawa kepada menarik mafsadah atau menolak maslahah atau kedua-duanya sekali. Terdapat juga perbuatan yang sama maslahah dan mafsadahnya pada natijah. Kerana ini, wajiblah ke atas mujtahid melihat kepada natijah perbuatan sebelum memberikan hukum Syarie pada perbuataan tersebut.

Dan lahir daripada kaedah inilah (perlunya melihat kepada natijah perbuatan) beberapa cara untuk mengeluarkan hukum. Antaranya ialah:-

1. سد الذرائع – Menyekat Jalan Keburukan.

2. الاستحسان/فتح الذرائع – Membuka Jalan Kebaikan

3.المصلحة المرسلة/الاستصلاح – Menarik Maslahah.

4. منع الحيل – Menegah Helah-Helah.

5. مراعاة الخلاف – Memelihara Khilaf.

Setiap perbuatan yang keburukan natijahnya adalah lebih besar berbanding dengan kemaslahatan asal pensyariatannya, maka perbuatan itu dihukumkan dengan “ditegah”sekalipun pada aasalnya adalah “disuruh” atau “diharuskan”. Inilah yang dinamakan dengan “Menutup Jalan Keburukan” atau سد الذرائع. Dan dalam maslah ini juga terdapat kaedah “Menegah Helah-Helah” atau منع الحيل dan kaedah “Memelihara Khilaf” atau مراعاة الخلاف. Manakala setiap perbuatan yang kemaslahatan natijahnya adalah lebih besar berbanding dengan asal mafsadah larangannya, maka perbuatan itu dihukumkan dengan “dibolehkan”, sekalipun pada asalnya adalah “ditegah”. Inilah yang dinamakan sebagai “Membuka Jalan Kebaikan” atau الاستحسان.

Setiap perbuatan yang tidak ada pada Syarak dalil “dibolehkan” atau “ditegah” (pada pandangan mujtahid pada permulaannya), tetapi natijah perbuatan tersebut adalah maslahah yang besar, maka perbuatan “dibolehkan”. Bahkan kadang-kadang perbuatan itu dihukumkan dengan wajib atau sunat. Inilah yang dinamakan dengan “Menarik Maslahah” atau المصلحة المرسلة. Manakala jika mafsadah natijahnya adalah lebih besar, maka perbuatan itu dihukumkan dengan “ditegah”. Masalah ini juga termasuk dalam kaedah “Menutup Jalan Keburukan” atau سد الذرائع.

Pemahaman terhadap kaedah-kaedah ini merupakan satu kewajiban kepada para mujtahid yang ingin mengeluarkaan sesuatu hukum. Bagi kita pula, sebagai seorang pelajar, pemahaman terhadap perkara ini merupakan cara terbaik untuk kita mengetahui bagaimana para mujtahidin mengeluarkan hukum. Ia juga memberikan kita kepada fikrah yang sangat penting yang perlu diambil oleh kita sebelum melakukan sesuatu perbuatan, samada perbuatan yang “ada” ataupun yang “tiada”, iaitu fikrah kepada perlunya melihat natijah perbuatan yang ingin kita lakukan. Kerana ini, sama-samalah kita mengambil iktibar dengan kata-kata Imam as-Syatibi (yang berbunyi:النظر إلى مآلات الأفعال مقصود معتبر شرعا. Kata-kata inilah yang menjadi tajuk perbincangan kita dalam maqalah ini.

Dalil-Dalil Wajibnya Melihat Kepada Natijah Perbuatan

Dalil pertama: Pensyariatan hukum taklif Islam adalah untuk kemaslahatan manusia, samada kemaslahatan duniawi atau uhkrawi. Adapun kemaslahatan ukhrawi, maka ia kembali kepada natijah mukallaf di akhirat, iaitu supaya termasuk dalam kalangan ahli syurga dan bukannya ahli neraka. Adapun kemaslahatan duniawi, maka kita lihat bahawa hukum-hukum taklif merupakan muqaddimah dan penyebab kepada kemaslahatan. Ini menunjukkan bahawa Islam melihat kepada natijah perbuatan, kerana Islam mementingkan kemaslahatan. Maka jelaslah betapa perlunya melihat kepada natijah sesuatu perbuatan.

Dalil kedua: Adakah melihat kepada natijah perbuatan adalah satu perkara yang diambil kira pada Syarak atau tidak? Jika dikatakan ia adalah perkara yang diambil kira, maka inilah yang benar. Tetapi jika dikatakan tidak, ini memungkinkan bahawa natijah sesuatu perbuatan itu berlawanan dengan tujuan sebenar pensyariatan perbuatan tersebut. Perkara ini adalah tidak benar kerana telah jelas bahawa pensyariatan Syariah itu datang untuk kemaslahatan. Dan tidak dinamakan kemaslahatan jika kemungkinan timbulnya mafsadah yang sama besar atau lebih besar berbanding dengan maslahah pensyariatan perbuatan tersebut. Dengan ini jelaslah bahawa melihat kepada natijah perbuatan adalah satu perkara yang diiktibar (diambil kira) pada pandangan Syarak. Lagipun jika kita tidak melihat kepada natijah perbuatan, ini membawa kepada kita tidak dapat merasai (menikmati) maslahah daripada perbuatan-perbuatan yang “disuruh” dan tidak tertolak mafsadah daripada perbuatan-perbuatan yang “ditegah”. Maka ini jelas berlawanan dengan asal pensyariatan daripada Pensyariat (Allah SWT).

Dalil ketiga: Setiap perbuatan mukallaf ada hukum taklifnya (samada wajib, sunat, harus, makruh dan haram). Hukum-hukum taklif ini semuanya disyariatkan untuk kemaslahatan mukallaf. Jadi, pensyariatan perbuatan ini hanyalah sebagai alat atau penyebab untuk tujuan tersebut (iaitu mencapai maslahah dan menolak mafsadah atau kedua-duanya sekali). Dan telah maklum bahawa sebab atau penyebab tidaklah wujud sebagai sebab dan penyebab bagi dirinya sahaja, tetapi ia mewujudkan satu perkara yang lain. Bila sudah jelas bahawa perbuatan ini hanyalah penyebab, dan ia pula disyariatkan, jelaslah bahawa tujuan Pensyariat meletakkannya sebagai sebab atau penyebab adalah kerana tujuan kepada natijah di sebalik sebab tersebut (iaitu menghasilkan maslahah dan menolak mafsadah). Maka jelaslah bahawa perlunya melihat kepada natijah sesuatu perbuatan.

Dalil keempat: Berdasarkan kepada istiqra’ (kaji selidik) yang menyeluruh kepada dalil-dalil Syarak (al-Qur’an dan al-Hadis), maka ia jelas menunjukkan bahawa natijah perbuatan adalah satu perkara yang diiktibar pada asas pensyariatan. Nas-nas berkenaan dengan perkara ini adalah sangat banyak. Di sini kami akan sebutkan sebahagian daripadanya sebagai contoh sahaja, supaya kita lebih jelas mengenainya. Antaranya ialah seperti berikut:-

1. Dalam bab kewajiban bersolat, natijahnya ialah mengingati Allah SWT (Surah Toha: 14), menghapuskan dosa-dosa (Surah Hud: 114) dan juga mencegah perkara keji dan mungkar (Surah al-Ankabut: 45).

2. Dalam bab kewajiban berpuasa, natijahnya ialah menghasilkan ketaqwaan kepada Allah SWT (Surah al-Baqarah: 183).

3. Dalam bab kewajiban beribadah, natijahnya ialah menghasikan ketaqwaan kepada Allah SWT (Surah al-Baqarah: 21).

4. Dalam bab kewajiban bertaqwa kepada Allah SWT, natijahnya ialah kejayaan. (Surah al-Baqarah: 189).

5. Dalam bab kewajiban melaksanakan qisas, natijahnya ialah kelangsungan kehidupan. (Surah al-Baqarah: 179).

6. Larangan mencela berhala, natijahnya ialah dibimbangi menjadi punca kepada pencelaan terhadap Allah SWT. (Surah al-An’am: 108).

7. Kewajiban berperang sekalipun tidak disukai, natijahnya ialah kebaikan. (Surah al-Baqarah: 216).

8. Rasulullah s.a.w. ketika diminta izin oleh Saidina Umar r.a. untuk membunuh seorang munafiq, baginda tidak mengizinkannya dan bersabda (sebagai natijah daripada meninggalkan membunuhnya,): “Jangan! orang akan berkata bahawa Muhammad membunuh para sahabatnya”. (riwayat Bukhari dan Muslim).

9. Rasulullah s.a.w. pernah bercadang membina semula kaabah mengikut binaan Nabi Ibrahim a.s., tetapi baginda tidak membinanya. Dan baginda bersabda kepada Aisyah r.a. sebagai natijah kenapa baginda tidak meneruskan perkara tersebut dengan sabdanya (mafhumnya): “kalaulah tidak kerana kaummu masih baru dengan kekufuran (baru meninggalkan kekufuran dengan memeluk Islam), nescaya aku akan runtuhkan kaabah (yang ada sekarang) dan aku binakannya semula mengikut binaan (Nabi) Ibrahim”.

10. Rasulullah s.a.w. ketika ditanya mengenai unta yang hilang, baginda menjawab: “Biarkannya (jangan hiraukannya)”. Tetapi kita lihat Saidina Usman memerintahkan supaya ditangkap unta-unta tersebut, menjualkannya dan menyimpan harga unta tersebut untuk diberikan kepada pemiliknya. Saidina Ali pula membina kandang khas untuk unta-unta tersebut dan diberikan makan dan minum kepada unta-unta tersebut daripada harta baitulmal. Apa yang dilakukan oleh Saidina Usman dan Ali adalah kerana melihat kepada natijah sesuatu perbuatan. Ini kerana, kemaslahatan bagi pemilik unta-unta tersebut pada zaman Rasulullah s.a.w. adalah dengan membiarkan unta-unta tersebut sehingga dijumpai oleh pemiliknya. Manakala kemaslahatan pada zaman mereka berdua adalah sebagaimana yang mereka laksanakan.

Dalil kelima: Kesemua dalil-dalil سد الذرائع dan رفع الحرج menunjukkan kepada perlunya melihat kepada natijah sesuatu perbuatan. Dan tidaklah perlu disebutkan di sini, kerana ia sangat banyak. Bahkan Imam Ibnul Qayyim mengemukakan 99 contoh kepada masalah سد الذرائع dalam kitabnya I’lamul Muwaqqi’in.

Labels: ,

0 Responses to “2.1 - Melihat Kepada Natijah Perbuatan”

Post a Comment




XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health