Ibadah : Siri 1 - Solat Berjamaah dan Kefahaman Menjadi Imam
7 Comments Published by TasekPauh Blogspot on Saturday, November 04, 2006 at 12:04 AM.Paparan Semula Setelah Pembetulan Fonts
Hukum and Fadhilat Berjamaah
إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللّهِ مَنْ آمَنَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلاَةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلاَّ اللّهَ فَعَسَى أُوْلَـئِكَ أَن يَكُونُواْ مِنَ الْمُهْتَدِينَ سورة التوبة: الآية: 18.
“Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari kemudian, serta tetap mendirikan shalat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk”. at-Taubah : 18
Solat berjemaah sangat dituntut dalam ajaran Islam. Solat berjemaah menzahirkan syiar Islam dan memupuk semangat perpaduan di kalangan muslimin. Kerana inilah ia perlu dihidupkan dalam kehidupan seharian kita, selaku insan bergelar muslim.
Hukum Solat Berjemaah.
Sepakat para ulamak menekankan kepentingan solat berjemaah, sekalipun mereka khilaf tentang hukumnya. Ada yang menganggapnya fardu ain seperti Imam Auzaiey, Atoa', Ahmad, Dawuud az-Zohiri dan sebahagian muhaddisin mazhab Syafie seperti Ibnu Khuzaimah, Abu Thur dan Ibnu Hibban. Ada yang menganggapnya fardhu kifayah sebagaimana yang masyhur dalam mazhab Syafie dan ada yang menganggapnya sebagai sunat muakkadah. Imam Bukhari juga menganggap solat berjemaah itu wajib.
Kesimpulannya, hukum solat berjemaah adalah sunat muakkadah ataupun fardhu kifayah jika dilihat kepada hukumnya bagi setiap waktu sembahyang satu persatu, tetapi jika dilihat kepada hukumnya secara keseluruhan, maka hukum sembahyang berjemaah adalah fardhu ain. Ini bererti, seseorang muslim dilonggarkan untuk meninggalkan solat berjemaah sekali-sekala, tetapi tidak harus baginya untuk meninggalkannya secara berterusan, seolah-olah tidak ada sebarang ikatan antaranya dan antara solat berjemaah dan juga masjid. Kalaulah dia melakukan demikian, maka sebenarnya dia telah melakukan satu perkara yang dilarang oleh agama. Kerana inilah Rasulullah s.a.w. mengancam untuk membakar rumah-rumah orang yang tidak keluar untuk berjemaah.
Bahkan sembahyang berjemaah dan menghidupkan masjid merupakan tanda keimananannya. Firman Allah SWT: Hanyasanya yang memakmurkam masjid-masjid ialah orang yang beriman dengan Allah dan juga hari akhirat. Surah at-Taubah: 18. Sabda Rasulullah s.a.w.: Bila kamu melihat seorang lelaki yang sentiasa ke masjid, maka bersaksilah bahawa dia memang seorang yang beriman. Riwayat Ahmad dan Tirmizi. Berkata Ibnu Mas'ud: Memang jelas daripada pemerhatianku, bahawa tidak ada yang meninggalkan solat berjemaah melainkan orang munafik yang jelas sikap munafiqnya. Riwayat Muslim. Begitu juga haramnya bagi seluruh orang Islam di sesuatu kawasan untuk meninggalkan solat berjemaah, kerana itu bererti menghapuskan satu daripada syiar Islam. Maka mereka wajib dikenakan tindakan oleh pemerintah, sekalipun mereka semua menganggap hukumnya hanyalah sunat muakkadah.
Adapun berjemaah pada solat sunat, maka ia adalah harus, kerana Rasulullah s.a.w. beberapa kali pernah melakukannya. Dan terdapat beberapa solat sunat yang memang disunatkan berjemaah. Dan tuntutan solat berjemah tidak dikenakan kepada perempuan, kanak-kanak dan juga para musafir.
Fadhilat Solat Berjemaah
عَنِ ابْنِ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً. رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ.
Daripada Ibnu Umar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sembahyang berjemaah itu lebih afdhal daripada sembahyang bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda". Riwayat Bukhari dan Muslim.
Akibat Meninggalkan Solat Berjemaah
عَنْ أَبِيْ الدَّرْدَاءِ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: مَا مِنْ ثَلَاثَةٍ فِي قَرْيَةٍ وَلَا بَدْوٍ لَا تُقَامُ فِيهِمُ الصَّلَاةُ إِلَّا قَدِ اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ الشَّيْطَانُ فَعَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ فَإِنَّمَا يَأْكُلُ الذِّئْبُ الْقَاصِيَةَ. رواه أبو داود والنسائي.
Daripada Abu Darda' r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: "Mana-mana (kumpulan yang jumlahnya) tiga orang, samada di kampong atau di pedalaman yang tidak mendirikan solat (berjemaah), nescaya mereka akan dikuasai oleh syaitan. Kamu hendaklah berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu memakan (ternakan) yang jauh (terpencil daripada kumpulan)”. Riwayat Abu Dawuud dan an-Nasaaiyy.
Ancaman Kepada Yang Berterusan Meninggalkan Solat Berjemaah
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ...وَلَقَدْ هَمَمْتُ أَنْ آمُرَ بِالصَّلَاةِ فَتُقَامَ, ثُمَّ آمُرَ رَجُلًا فَيُصَلِّيَ بِالنَّاسِ, ثُمَّ أَنْطَلِقَ مَعِي بِرِجَالٍ مَعَهُمْ حُزَمٌ مِنْ حَطَبٍ, إِلَى قَوْمٍ لَا يَشْهَدُونَ الصَّلَاةَ فَأُحَرِّقَ عَلَيْهِمْ بُيُوتَهُمْ بِالنَّارِ. رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ.
Daripada Abu Hurairah r.a.: Rasulullah s.a.w. bersabda: “…sesungguhnya memang aku bercadang untuk menyuruh diiqamahkan sembahyang dan aku suruh seseorang untuk mengimami para jemaah,dan aku pula keluar dengan beberapa orang lelaki yang membawa bersama mereka beberapa ikatan kayu api untuk pergi ke rumah-rumah orang yang tidak hadir kepada solat berjemaah, lalu aku bakarkan rumah-rumah mereka. Riwayat Bukhari dan Muslim.
Meninggalkan Jemaah Sifat Orang Munafiq
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَلْقَى اللَّهَ غَدًا مُسْلِمًا فَلْيُحَافِظْ عَلَى هَؤُلَاءِ الصَّلَوَاتِ حَيْثُ يُنَادَى بِهِنَّ, فَإِنَّ اللَّهَ شَرَعَ لِنَبِيِّكُمْ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُنَنَ الْهُدَى, وَإِنَّهُنَّ مِنْ سُنَنِ الْهُدَى, وَلَوْ أَنَّكُمْ صَلَّيْتُمْ فِي بُيُوتِكُمْ كَمَا يُصَلِّي هَذَا الْمُتَخَلِّفُ فِي بَيْتِهِ لَتَرَكْتُمْ سُنَّةَ نَبِيِّكُمْ, وَلَوْ تَرَكْتُمْ سُنَّةَ نَبِيِّكُمْ لَضَلَلْتُمْ ...وَلَقَدْ رَأَيْتُنَا وَمَا يَتَخَلَّفُ عَنْهَا إِلَّا مُنَافِقٌ مَعْلُومُ النِّفَاقِ وَلَقَدْ كَانَ الرَّجُلُ يُؤْتَى بِهِ يُهَادَى بَيْنَ الرَّجُلَيْنِ حَتَّى يُقَامَ فِي الصَّفِّ. رَوَاهُ مُسْلِمٌ.
Abdullah bin Mas'ud r.a. berkata: "Sesiapa yang suka untuk berjumpa Allah di besok hari (qiamat) dalam keadaan muslim (selamat), maka hendaklah dia menjaga sembahyang-sembahyang fardu (dengan dilakukan berjemaah) di mana sahaja azan berkumandang. Sesungguhnya Allah SWT telah mensyariatkan kepada Nabi kamu sunanul huda (jalan-jalan hidayah), dan sesungguhnya solat berjemaah itu sebahagian daripada sunanul huda. Maka jika kamu bersembahyang di rumah-rumah kamu sebagaimana orang yang tidak hadir ini bersembahyang di rumahnya, maka sebenarnya kamu telah meninggalkan sunnah Nabi kamu. Dan jika kamu meninggalkan sunnah nabi kamu, nescaya kamu akan sesat…Dan sesungguhnya kami (para sahabat) menganggap bahawa tiada yang tidak hadir untuk berjemaah melainkan orang munafiq yang jelas kemunafiqannya. Dan sesungguhnya ada seorang lelaki (di kalangan kami yang uzur) dibawa (juga untuk berjemaah) dengan dipapah oleh dua orang, (dipapah) sehinggalah dia diletakkan ke dalam saf (sembahyang). Hadis riwayat Muslim.
Solat Yang Paling
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَيْسَ صَلَاةٌ أَثْقَلَ عَلَى الْمُنَافِقِينَ مِنَ الْفَجْرِ وَالْعِشَاءِ, وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِيهِمَا لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا. رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ.
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidak ada sembahyang yang lebih berat kepada orang munafiqin (untuk dilakukannya secara berjemaah) lebih daripada solat isyak dan subuh. Kalaulah mereka mengetahui (ganjaran pahala) yang ada pada kedua-duanya, nescaya mereka akan datang sekalipun dalam keadaan merangkak". Riwayat Bukhari Muslim.
Kelebihan Solat Isyak Dan Subuh Berjemaah
عَنْ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ, سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: مَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا قَامَ نِصْفَ اللَّيْلِ, وَمَنْ صَلَّى الصُّبْحَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا صَلَّى اللَّيْلَ كُلَّهُ. رَوَاهُ مُسْلِمٌ.
Daripada Usman bin Affan r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang sembahyang Isya' berjemaah, maka seolah-olah dia telah bangun separuh malam, dan sesiapa yang sembahyang subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah bersembahyang keseluruhan malam. Hadis riwayat Muslim.
Celaan Kepada Yang Malas Datang Berjemaah
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ يَعْلَمُ أَحَدُهُمْ أَنَّهُ يَجِدُ عَرْقًا سَمِينًا أَوْ مِرْمَاتَيْنِ حَسَنَتَيْنِ لَشَهِدَ الْعِشَاءَ. رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ.
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: "Demi Allah yang mana jiwaku berada dalam tanganNya (kekuasaanNya)! Kalaulah salah seorang daripada mereka mengetahui bahawa mereka akan mendapat seketul daging yang gemuk atau mendapat dua ketul daging yang baik daripada dua celah kuku kambing, nescaya mereka akan datang berjemaah solat Isya'. Hadis riwayat Bukhari.
Hukum Wanita Datang Berjemaah
عَنِ ابْنِ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لَا تَمْنَعُوا إِمَاءَ اللَّهِ مَسَاجِدَ اللَّهِ. رواه البخاري ومسلم.
Daripada Abdullah bin Umar, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Janganlah kamu menghalang para wanita untuk datang ke masjid-masjid Allah SWT". Riwayat Bukhari dan Muslim.
Tuan Mohd Safuan Tuan Ismail. Sarjana Muda Syariah,
Labels: Ibadah, Ilmu, Solat Berjamaah
Assalamu'alaikum Ustaz.. Boleh tak ustaz ulas hadith tentang fitnah bila perempuan solat di masjid. (maaf ana xingat matan)
Alhamdulillah ana tidak menghadapi masalah apabila bersolat jemaah di amsjid di kampus tempat ana belajar, tapi bila ana balik kampung di Johor, mak ana xbg ana ke masjid atas hujjah fitnah tu.. So, ana jadi confuse..
Sedangkan zaman sekarang ni perempuan ke pasar malam, atau ke shooping complex atau tengok wayang tidak dilarang.. Tapi masyarakat sekarang, pergi masjid mcm pelik sikit.. Wallahuallam...
Boleh ustaz terangkan tentang hadith tersebut.. terima kasih
# bila bertembung dua kemudharatan maka pilihlah kemudharatan yang lebih ringan
# bila bertembung antara dua kepentingan atau maslahat maka utamakanlah maslahah yang umum dp maslahat yang khusus
# antara kaedah fiqh (mgkin yg furu')...mgkin ust blh syarah lagi.
----
Fitnah ini (bagi ana) sifatnya umum dan meluas sbb masyarakat blh tahu dgn cpt jika ada sesuatu tak kena dlm masyarakt tu sendiri. dlm komuniti yg 'OK' apabila wanita berjemaah di masjid, maka silakanlah buat.
Ustaz boleh berikan sedikit kategori hadis yang ustaz nyatakan dalam tulisan ini, sebab bila ana forwardkan kepada kawan2 ana dia orang asyik tanya hadis ni sahih ke tak? pening kepala nak jawab...minta tolong ust. nanti mudah sikit ana nak jawab kpd org2 yg bertanya tu...
Mana-mana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari atau Imam Muslim, atau kedua-duanya, tidak perlu lagi disoalkan lagi sahih atau tidak. Dan pertanyaan begitu kurang tepat. Semua hadis mereka sahih. Hadis riwayat Abu Daud di sini juga sahih.
slm wbt, ustaz. mohon copy. syukron
saya nak tanya pada ustaz, adakah wajib bagi seseorang mendirikan solat subuh dan isya secara berjemaah di masjid berdekatan dengan tempat tinggalnya? adakah jatuh hukum berdosa sekiranya pemuda tersebut tidak melakukannya.
Adakah dikira individu itu sangat teruk sekiranya beliau tidak menunaikan solat subuh dan isya' secara berjemaah di masjid sedangkan beliau masih menjaga 5 waktu solatnya.
saya perlukan dalil dan bukti bagi kedua-dua jawapan, kalau tiada, cukup penjelasan ustaz pun tidak mengapa.
sekian, terima kasih.
Salam. Kalau berterusan meninggalkan jemaah, itu adalah dosa, namun kalau kadang2 kita tak pergi jemaah, maka tidaklah berdosa, namun kita akan kerugian yg akan mnyebabkan kita menyesal di akhirat nanti kerana tidak berjemaah. Kebaikan yg dilakukan akan diganjari pahala. Jgn kita tertipu dgn sesuatu, yg akan merugikan kita.