TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


Dilema dan Fobia Najib

Ulasan berita yang menarik dari TVA.

Sebagai manusia biasa yang mempunyai perasaan kesian sesama insan, kita tentunya kadangkala berasa kesian terhadap Perdana Menteri Malaysia yang baru sahaja memegang jawatan selama 32 hari.

Macam mana tidak kesian kepada beliau. Sudahlah insan yang bernama Najib Razak tidak langsung dipeduli oleh pemimpin-pemimpin dunia. Semasa dilantik menjadi Perdana Menteri berapa kerat pemimpin dunia, sama ada Presiden atau Perdana Menteri yang mengutus kawat tahniah kepada beliau. Yang ada terkonteng-konteng Perdana Menteri Singapura dan pemimpin kanan negara pulau itu serta beberapa duta dan perwakilan asing yang mengucapkan tahniah bagi pihak kerajaan mereka.

Beliau muncul dipersada politik sebagai Perdana Menteri keenam dalam suasana senyap sunyi seolah-olah perlantikan beliau tidak mempunyai apa-apa signifikan pada pandangan pemimpin dunia lain.

Keadaan ini jauh berbeza dengan Perdana Menteri-Perdana Menteri terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein (ayah Najib), Hussein Onn, Dr Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi. Ucap tahniah mencurah-curah datang dari pelbagai cara; melalui panggilan talipon, faks, telegram, emel, surat, utusan peribadi dan sebagainya.

Kalau betul-betul diperhatikan ianya memang menimbulkan perasaan kesian dan menyentuh kalbu mengenangkan nasib yang menimpa Perdana Menteri yang satu ini. Mana tidaknya, sebelum diangkat jadi Perdana Menteri lagi macam-macam perkara dikaitkan kepada beliau. Sewaktu menjadi menteri kabinet dalam tahun 1990an khabar angin bertiup kencang apabila namanya dikaitkan dengan seorang artis tempatan. Selepas penafian dibuat perkara itu terus berita itu lenyap daripada radar media.

Tetapi ingatan manusia tidak mudah luput terutama apabila ia melibatkan berita sensasi. Semasa kempen pilihan raya kecil Bukit Gantang bulan lalu sekali lagi cerita lama ini diungkit malah siap dengan poster dan gambar artis itu sekali. Dahsyat sungguh memori silam yang manis kalau dicungkil kembali mampu menjadi mimpi ngeri.

Bukan sahaja pemimpin dunia seolah-olah memulau beliau malah media negara mereka mengata bermacam-macam pula terhadap Najib. Betul tak betul lain cerita. Yang menjadi inti perbahasan ialah tindakan mereka yang seakan tidak menghormati pemimpin tertinggi Malaysia.

Tajuk utama laporan mereka ialah mengenai kematian mengerikan wanita Monggolia, Altantuya Shaariibuu yang mayatnya dikatakan diletupkan menggunakan bahan ledakan ala C4 yang digunakan pihak tentera. Dikatakan 19 akhbar Barat membuat laporan mengenai pembunuhan wanita itu dan yang paling sensasi mereka mendakwa keterkaitan Najib dalam pembunuhan tersebut. Kaitan macam mana bacalah laporan-laporan itu tapi yang ketara media-media Barat ini menyerang Najib bertalu-talu atas isu ini.

Lantas Dr Rais Yatim, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang menerajui kementerian terakhir dalam perjalanan karier politiknya terus menyerang balas media-media Barat demi mempertahankan bos beliau. Katanya media Barat mempunyai niat dan agenda jahat untuk menjatuhkan kerajaan. Memang media Barat sentiasa dengkikan kita.

Pelik juga bunyinya, tak pernah dengar laporan media mampu menguling mana-mana kerajaan didunia ini, apatah lagi kerajaan Umno-BN yang perkasa ini. Mungkin sebab itulah baru-baru ini beliau menjamu warga blog yang sealiran dengan pemikirannya di sebuah restoran mewah bagi merangka strategi serangan balas, wallahualam.

Hari pertama beliau jadi Perdana Menteri seramai tiga belas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri dapat nikmat kebebasan setaraf dengan warganegara lain. Harakah dan Suara keadilan yang digantung permit penerbitan selama tiga bulan oleh mantan Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar menghela nafas lega apabila penggantungan tersebut ditarik balik. Kedua-dua tindakan ehsan itu pun kena bantai juga.

Dikatakan Najib cuba mengaburi mata rakyat dengan kebaikan sejengkalnya kalau dibandingkan dengan perbuatan khianatnya terhadap kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak. Sampai sekarang rakyat Perak merana angkara beliau. Bab ini rakyat tak kesian pada Najib.

Lepas itu beliau umum pula pasal wawasan Satu Malaysia yang mahu tidak mahu menjadi pewaris kepada Islam Hadhari yang sudahpun menjadi arwah beberapa hari setelah Najib jadi Perdana Menteri. Itu pun kena hentam juga. Kata pengkritik Satu Malaysia, cakap tak serupa bikin. Contohnya Perdana Menteri cakap pasal menyatukan rakyat berbilang bangsa dan kaum tapi selang beberapa hari kemudian Utusan Malaysia milik parti Perdana Menteri melaungkan "Bangkitkan Melayu" sebagai tajuk utama muka depan akhbar tersebut.

Perdana Menteri baru slogan pun mestilah baru juga. Maka berkumandanglah siang malam pagi petang dicorong udara dan peti televisyen petikan ucapan keramat Najib semasa mengumumkan barisan kabinet beliau, "Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan". Itulah "hadis" ciptaan Umno dan Barisan Nasional yang akan menjadi "agama" rasmi selama tempoh kerajaan Najib. Tup tup keluar gambar Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menaiki Rolls Royce semasa menziarahi jenazah isteri Ketua Menteri Sarawak baru-baru ini. Barulah rakyat sedar yang didahulukan bukan mereka tapi rakyat kelas kaya dan gerombolan kroni-kroni mereka.

Apa tidaknya sejak hari pertama menjadi pemimpin utama negara tidak habis-habis beliau dibelasah kiri kanan oleh pelbagai pihak. Blok pembangkang sudah semestinya mencari sahaja kesilapan beliau dan akan membelasah beliau cukup-cukup. Itu sememangnya pun menjadi adat resam pembangkang, tidak ada yang ganjil mengenai perkara ini. Malah menjadi tanggungjawab dan beban kepada pihak pembangkang untuk mengkritik mana-mana dasar, perlakuan, perbuatan, polisi keputusan seseorang pemimpin atau kerajaan itu sendiri jika didapati ia berlawanan dengan kepentingan rakyat dan negara. Kalau tidak mengkritik pihak pembangkang pula akan dikritik.

Dalam tempoh 32 hari jadi Perdana Menteri, Najib berjaya memecah rekod yang tidak pernah dicapai oleh penjawat-penjawat sebelumnya. Secara tradisi prestasi atau ketokohan seseorang pemimpin itu dinilai dalam tempoh 100 hari pertama pentadbirannya. Kalau kepimpinannya terserlah seperti Presiden Obama maka pujian dan markah tinggilah diberi. Sebaliknya kalau prestasi bagai hidup segan mati tak mahu maka markah tercorotlah habuannya.

Kesian juga kepada Najib sebab sebelum 100 hari malah sepertiga daripadanya rakyat sudah tolak kepimpinan beliau. Contoh paling baik ialah kekalahan Umno-BN dalam kesemua empat pilihan raya kecil yang diadakan di Semenanjung Malaysia. Sekarang ini Penanti pula sedang menanti dan kemungkinan pula Kota Alam Shah atau mana-mana lagi. Mampukah Najib mengharungi mimpi ngeri yang sudah bertukar menjadi fobia baginya. Pakatan Rakyat sudahpun mengumumkan calonnya tapi Umno-BN masih teraba-raba mencari keputusan muktamad sama ada mahu bertanding atau tidak.

Bukit Selambau ke Bukit Gantang
Singgah sebentar di Kuala Terengganu
Permatang Pauh sudah pun datang
Penanti pula sedia menunggu

Apa pun semua ini adalah ujian bagi Najib. Sama ada beliau lulus atau tidak ujian ini bergantung kepada kesungguhan beliau. Elok juga beliau jenguk-jenguk nasihat penasihat politiknya, Dr Mahathir yang menasihatkan agar anak didiknya itu membersihkan namanya daripada segala tohmahan yang dipalitkan kepada dirinya. Kalau tidak nasib Najib akan menjadi lebih kesian. - TVA (image dari KelabGB)

Labels: ,

2 Responses to “Dilema dan Fobia Najib”

  1. # Anonymous Anonymous
  2. # Anonymous Anonymous
Post a Comment




XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health