Waspada SMS burukkan Islam Hadhari - Abdullah Md. Zin
0 Comments Published by TasekPauh Blogspot on Sunday, July 29, 2007 at 7:23 AM.Waspada SMS burukkan Islam Hadhari
BESUT 28 Julai – Umat Islam diingatkan supaya berwaspada dengan penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) mendakwa pendekatan Islam Hadhari yang digunakan oleh kerajaan telah memesongkan akidah umat Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin berkata, beliau sendiri dan pemimpin-pemimpin UMNO ada menerima SMS berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan dakwaan itu tidak berasas.
‘‘Kini ada fahaman ekstrem yang disebarkan menerusi SMS yang menuduh sesiapa mengatakan bahawa Islam Hadhari itu baik, maka tercabutlah akidah Islamnya.
‘‘Perkara ini mungkin tidak berleluasa dan dibuat dalam ceramah-ceramah tetapi pihak berkuasa agama Islam perlu bertindak mengawal penyebaran dakwaan yang tidak berasas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Besut di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong di sini hari ini.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini telah menjelaskan bahawa Islam Hadhari adalah satu pendekatan dan bukannya agama atau ajaran baru.
Abdullah memberitahu, pendekatan Islam Hadhari yang dilaksanakan oleh kerajaan bertujuan supaya umat Islam di negara ini dapat mencapai kemajuan dan kemakmuran.
‘‘SMS ini disebarkan mungkin bertujuan untuk mengelirukan pemikiran umat Islam dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN),” ujarnya.
Justeru, beliau meminta semua ahli parti termasuk sayap Wanita UMNO berwaspada terhadap tuduhan-tuduhan seumpama itu. UtusanOnline
Sedikit Imbasan:
Islam Hadhari doktrin terbaik
Ahli sukan wanita tak perlu bertudung - Azalina
Ummu Hadhari 2
Ummu Hadhari
Labels: Islam Hadhari, Malaysia
0 Responses to “Waspada SMS burukkan Islam Hadhari - Abdullah Md. Zin”