Umno bersedia tumbangkan Pas Kelantan, Annuar
0 Comments Related Articles Published by TasekPauh Blogspot on Monday, February 12, 2007 at 12:10 AM.KOTA BHARU 10 Feb. – UMNO Negeri Kelantan kini semakin kukuh dan menganggap sedang berada pada landasan terbaik untuk merampas kembali negeri ini daripada Pas pada pilihan raya umum akan datang.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Annuar Musa berkata, ini apabila tahap keyakinan yang semakin meningkat hingga bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.
‘‘Kalau diadakan pilihan raya dalam tempoh terdekat pun kita (UMNO Kelantan) tidak bimbang malah bersedia menghadapinya bagi menumbangkan Pas.
‘‘Tahap keyakinan kita ketika ini adalah yang terbaik pernah disaksikan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Gerak Kerja Penerangan dan Seminar Jentera Penerangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri di Bangunan UMNO Negeri di sini semalam.
Turut hadir, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Ramzi Abdul Rahman dan Ketua Penerangan UMNO Negeri, Datuk Mohd. Alwi Che Ahmad.
Annuar dalam masa yang sama menegaskan bahawa cakap-cakap yang mengatakan UMNO di Kelantan berpecah adalah suatu pembohongan lawan yang merupakan satu propaganda untuk melemahkan UMNO.
Katanya, dakwaan sedemikian jelas tidak mempunyai asas sama sekali kerana ahli di peringkat akar umbi memberi komitmen yang sangat padu kepada pimpinan parti.
‘‘Saya tahu UMNO Kelantan sekarang dalam keadaan cukup baik dan kuat yang memberi isyarat jelas bahawa kita mampu memenangi pilihan raya kali ini,” katanya.
0 Responses to “Umno bersedia tumbangkan Pas Kelantan, Annuar”