TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


Perkara Yang Dilarang Dilakukan Ketika Solat

Solat merupakan munajat antara seorang hamba dengan tuhannya. Kerana itu, ia mestilah dilakukan dengan sebaik mungkin. Bila bertakbiratul ihram, maka itu bererti bermulanya munajat dengan Allah, maka perkara-perkara keduniaan yang halal sebelum itu diharamkan kerana menjaga adab munajat dengan Allah SWT. Kerana itu banyak perkara yang dilarang ketika bersolat, dan antaranya ialah perkara-perkara berikut:-

1- Sengaja Membatalkan solat

Haram sengaja membatalkan solat dengan bercakap, bergurau senda dan sebagainya. Ini kerana solat merupakan munajat antara manusia dengan Allah SWT. Maka tidak sepatutnya meninggalkan munajat dengan Allah SWT tanpa ada ada alasan yang munasabah. Firman Allah:

﴿ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَلَا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ

Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan janganlah kamu batalkan (rosakkan) amalan-amalanmu”. Surah Muhammad: 33.

2- Bercakap Ketika Bersolat

Haram bercakap semasa solat, walaupun sedikit. Bahkan ia membatalkan solat. Zaid bin Arqam r.a. menceritakan:

كُنَّا نَتَكَلَّمُ فِيْ الصَّلاَةِ، يُكَلِّمُ أَحَدُنَا أَخَاهُ فِيْ حَاجَتِهِ حَتَّى نَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةِ ﴿ حَافِظُواْ عَلَى الصَّلَوَاتِ والصَّلاَةِ الْوُسْطَى وَقُومُواْ لِلّهِ قَانِتِينَ فَأُمِرْنَا بِالسُّكُوْتِ. متفق عليه.

Ertinya: “Kami (para sahabat) dahulunya semasa solat, di mana salah seorang daripada kami bercakap dengan saudaranya (yang berada di sebelahnya) tentang sesuatu urusannya, sehinggalah turunnya ayat ini : “Jagalah semua solat, dan (jagalah) solat wustha (solat asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam solatmu) dengan khusyu (2:238), lalu kami diperintahkan supaya diam (dan jangan bercakap)”. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Dan pernah satu kali, seorang lelaki tasymitkan orang yang bersin, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda:

إِنَّ هَذِهِ الصَّلاَةَ لاَ يَصْلُحُ فِيْهَا شَيْءٌ مِنْ كَلاَمِ النَّاسِ، إِنَّمَا هُوَ التَّسْبِيْحُ وَالتَّكْبِيْرُ وَقِرَاءَةُ القُرْآنِ.

Sesungguhnya solat ini sedikitpun tidak boleh ada percakapan. Ia hanyalah tasbih, takbir dan bacaan al-Qur’an. Hadis riwayat Muslim.

3- Berpaling Samada Ke Kanan Atau Ke Kiri

Memalingkan dada dari arah kiblat membatalkan solat. Dan berpaling muka juga dilarang dalam solat, sekalipun ia tidak membatalkannya. Abu Zar r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

لاَ يَزَالُ اللهُ مُقْبِلاً عَلَى الْعَبْدِ مَا لَمْ يَلْتَفِتْ، فَإِذَا صَرَفَ وَجْهَهُ اِنْصَرَفَ عَنْهُ.

Ertinya: “Allah SWT sentiasa memandang kepada seseorang hamba (semasa solatnya) selagi mana dia tidak berpaling. Bila dia memalingkan mukanya, maka Allah akan meninggalkannya”. Hadis riwayat al-Hakim dan lain-lain, dan beliau menganggap sanadnya sohih, dan ia dispersetujui oleh Imam az-Zahabi.

Aisyah r.a. pula bertanya tentang berpaling dalam solat, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda:

هُوَ اخْتِلاَسٌ يَخْتَلِسُهُ الشَّيْطَانُ مِنْ صَلاَةِ الْعَبْدِ

Ertinya: “Ia merupakan satu rampasan yang berjaya dilakukan dengan begitu pantas oleh syaitan dalam solat seseorang hamba”. Hadis riwayat Bukhari.

4- Mendongak Ke Atas

Anas bin malik menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

مَا بَالَ أَقْوَامٌ يَرْفَعُوْنَ أَبْصَارَهُمْ إِلَى السَّمَاءِ فِيْ صَلاَتِهِمْ...لَيَنْتَهُنَّ عَنْ ذَلِكَ أَوْ لَتُخْطَفَنَّ أَبْصَارَهُمْ.

Ertinya: “Mengapakah adanya orang-orang yang mengangkatkan mata mereka ke langit dalam solat mereka. (Anas berkata: baginda bersungguh-sungguh melarangnya sehinggakan baginda bersabda:) Hendaklah mereka berhenti melakukan demikian atau akan dibutakan mata mereka”. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

5- Tidak Menyempurnakan Rukun

Setiap rukun solat mestilah dilakukan dengan sempurna. Rukun yang dilakukan dengan tidak memenuhi syarat yang dituntut menyebabkan solat tidak sah. Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Huzaifah r.a. melihat seorang lelaki yang tidak menyempurnakan rukuk dan sujud dalam solatnya, lalu beliau menyatakan: “Engkau tidaklah bersolat. Dan jika kamu mati dalam keadaan ini, maka kamu mati dalam keadaan tidak mengikut ajaran Nabi Muhammad s.a.w.”. Abu Qatadah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

أَسْوَأُ النَّاسِ سَرِقَةً الَّذِيْ يَسْرِقُ مِنْ صَلاَتِهِ، قَالُوْا يَا رَسُولَ اللهِ، وَكَيْفَ يَسْرِقُ مِنْ صَلاَتِهِ؟ قَالَ: لاَ يُتِمُّ رُكُوعَهَا وَلاَ سُجُودَهَا.

Ertinya: “Orang yang paling jahat dalam mencuri ialah orang yang mencuri dalam solatnya”. Lalu mereka bertanya: Bagaimanakah dia mmencuri dalam solatnya? Baginda s.a.w. menjawab: “Dia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya”. Hadis sohih riwayat Ahmad dll.

6- Waswas

Orang yang waswas sebenarnya orang yang beribadah kepada Allah SWT mengikut hawa nafsunya, dan bukan dengan cara yang dikehendaki Allah sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Kerana ini, amalan waswas bukan sahaja menyusahkan diri sendiri, bahkan berdosa dan akan rugi di akhirat kerana amalannya tidak akan diterima oleh Allah SWT. Aisyah r.a. menyatakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

مَنْ أَحْدَثَ فِيْ أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ.

Ertinya: “Sesiapa yang mereka-reka dalam urusan kami ini (agama) satu perkara yang bukan daripadanya (ajarannya), maka ia (perkara tadi) ditolak (tidak diterima Allah)”. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Namun kebanyakan orang yang waswas telah diperdayakan syaitan, yang mana mereka menganggap apa yang dilakukan adalah supaya solatnya sah dan dia adalah orang yang cermat dalam melaksanakan amal ibadat. Semoga kita terselamat daripada bala ini. Amin.

Labels: ,

Hukum Meraup Muka Ketika Salam Solat

Berkata Syeikh Ali Mahfuz dalam kitabnya “al-Ibda’ Fi Madhoril Ibtida’”: Dan antara bid’ah yang buruk ialah seseorang membaca selepas salam yang pertama:

اللهم أدخلنا الجنة

Dan membaca selepas salam kedua:

أسألك النجاة من النار.

Katanya lagi: berkata sebahagian ulamak: Sesungguhnya perkara ini (berdoa di sini) tidak pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w. dan tidak dilakukan oleh seorang pun di kalangan ulamak. Ia merupakan mereka-reka doa di dalam sembahyang bukan di tempatnya. Yang mana salah satu doa itu menceraikan antara dua salam dan yang satu lagi pula dihubungkan dengan salam kedua. Dan tidak harus bagi seorang pun untuk menceraikan sipat sembahyang yang disyariatkan (Allah SWT) dengan perkara seperti ini. Lihat al-Ibda’, m/s 288.

Dan adat kebiasaan di sini, dibaca dengan:

اللهم إني أسألك رضاك والجنة، وأعوذ بك من سخطك والنار.

kenyataan yang disebut oleh beliau itu perlu dibincangkan, memandangkan perkara ini adalah yang dilakukan oleh kita di sini. Dan para ustaz di sini pula menganggapnya sebagai sunat. Persoalannya, siapakah di kalangan ulamak muktabar yang berpendapat demikian? Boleh jadi mereka terbaca hadis yang dibawa oleh Imam Nawawi dalam kitabnya al-Azkar. Hadis tersebut adalah yang Imam Nawawi riwayatkan daripada kitab Ibnus Sunni, daripada Anas a.s. Anas menceritakan bahawa Nabi s.a.w. bila selesai sembahyang, baginda akan menyapu dahinya dengan tangan kanannya serta membaca:

أشهد أن لا إله الله الرحمن الرحيم. اللهم أذهب عني الهم والحزن.

Sebenarnya hadis ini adalah hadis yang tak boleh diterima kerana ia adalah sangat dhoif. Berkata Syeikh Abdul Qadir al-Arna’ut: sanad hadis ini dhoif. Syeikh Al-Albani pula telah menghukum sebahagian riwayat hadis ini sebagai sangat dhoif dan palsu. Ibn Hajar al-Asqalani juga menyatakan bahawa hadis ini sangat dhoif, dalam kitabnya Nataijul Afkar. Kitab ini adalah kitab takhrij hadis Azkar Nawawi.

Kalaulah ini kedudukan hadis ini, maka ia tidak boleh diamalkan lagi, kerana ia bukanlah termasuk dalam dhoif yang boleh diamalkan, kerana ia bukanlah dalam fadhail amalan, tetapi untuk mengasaskan amalan (ta’sisul amal). Kerana ini, kita menganggap bahawa meraup muka selepas sembahyang seperti yang diamalkan sekarang adalah tidak sunat, kerana tiada hadis yang sohih padanya. Kalaulah pada perkara yang kecil dan agak tersembunyi seperti hukum air mazi, doa ketika ingin bersetubuh dan doa masuk dan keluar tandas pun ada hadis yang sohih, kenapa tidak ada dalam perkara sembahyang? Sedangkan sembahyang adalah asas Islam dan dilakukan oleh secara terang-terangan oleh Nabi s.a.w dan para sahabat. Kalaulah perkara ini wujud, sepatutnya ada hadis yang sohih. Kerana inilah Syeikh Ali Mahfuz menganggap bahawa ia tidak dilakukan oleh seorang pun di kalangan ulamak.

Dan kalaulah kita mengikut teori Imam Nawawi, nescaya jawapan kepada hukum meraup muka adalah bid’ah. Sebagai contoh, dalam menghuraikan hadis riwayat Imam Muslim dalam bab: “Suruhan Supaya Tenang Ketika Sembahyang Dan Larangan Mengisyaratkan Tangan Dan Mengangkatkannya Ketika Salam” beliau berkata: “Berdasarkan hadis ini, adalah sunnah ketika memberi salam sembahyang untuk mengucapkan “Assalamualaikum Warahmatullah” di sebelah kanan dan “Assalamualaikum Warahmatullah” di sebelah kiri. Dan tidak disunatkan menambah: “Wabarakatuh”, sekalipun ada hadis yang dhoif yang menunjukkan demikian, dan disarankan oleh sebahagian ulamak. Tetapi ia dalah bid’ah jika tidak ada hadis yang sohih, bahkan telah sohih hadis ini dan lain-lainnya yang menunuukkan ia (“Wabarakatuh”) tidak perlu dibaca” . Rujuk Syarah Sohih Muslim, Imam Nawawi, juz 4, m/s 374.

Kalaulah beliau menganggap bid’ah penambahan bacaan “Wabarakatuh”, kerana ketiadaan hadis yang sohih, sekalipun ada hadis yang dhoif, maka apatah lagi dalam masalah perbuatan seperti meraup muka. Dan Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahui.

Labels: ,

Kaifiat Solat Yang Sempurna – Bhg 3

Surah-Surah Yang Dibaca Oleh Rasulullah s.a.w. Dalam Solat

Terdapat banyak hadis yang menerangkan surah-surah yang pernah dibaca oleh Rasulullah s.a.w. dalam solat. Antaranya ialah seperti berikut:-

I- Solat Subuh

عَنْ أَبِيْ بَرْزَةَ الأَسْلَمِيِّ رضي الله عنه:...وَيُصَلِّي الصُّبْحَ فَيَنْصَرِفُ الرَّجُلُ فَيَعْرَفُ جَلِيْسَهُ، وَكَانَ يَقْرَأُ فِيْ الرَّكْعَتَيْنِ أَوْ إِحْدَاهُمَا مَا بَيْنَ السِّتِّيْنَ إِلَى الْمِئَةِ. رواه البخاري.

Abu Barzah al-Aslami (ketika menceritakan tentang waktu-waktu sembahyang Nabi menyatakan bahawa) “Dan baginda bersembahyang subuh, dan bila selesai (sembahyang), seseorang itu akan kenal orang yang bersebelahan dengannya. Dan baginda membaca dalam dua rakaat (sembahyang subuh) atau dalam satu rakaat antara enam puluh sehingga seratus ayat. Riwayat Bukhari.

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ السَّائِبِ رضي الله عنه قَالَ: صَلَّى لَنَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الصُّبْحَ بِمَكَّةَ، فَاسْتَفْتَحَ سُوْرَةَ الْمُؤْمِنِيْنَ، حَتَّى جَاءَ ذِكْرُ مُوْسَى وَهَارُونَ أَوْ ذِكْرُ عِيْسَى، أَخَذَتِ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم سَعْلَةٌ فَرَكَعَ. رواه مسلم.

Abdullah bin as-Sa’ib r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersembahyang subuh bersama kami di Mekah, dan baginda membaca surah al-Mukminun (118 ayat), dan setelah sampai kepada ayat yang menyebut tentang Nabi Musa dan Harun (mungkin ayat ke 45), atau tentang Nabi Isa (mungkin ayat ke 50, perawi was-was) baginda batuk, lalu baginda rukuk. Riwayat Muslim.

وَعَنْ رَجُلٍ مِنْ جُهَيْنَةَ، أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَقْرَأُ فِيْ الصُّبْحِ: إِذَا زُلْزِلَتِ الْأَرْضُ ، فِيْ الرَّكْعَتَيْنِ كِلْتَيْهِمَا، قَالَ: فَلاَ أَدْرِيْ أَنَسِيَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم أَمْ قَرَأَ عَمْداً. رواه أبو داود وحسنه الدكتور نصير فريد (مفتي الديار المصرية) في تحقيقه لنيل الأوطار، ج 2، ص 227.

Seorang sahabat daripada kabilah Juhainah menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. membaca dalam sembahyang subuh, dikedua-dua rakaat, surah az-Zalzalah. Beliau berkata: aku tidak pasti adakah baginda terlupa atau baginda sengaja membaca demikian. Hadis hasan riwayat Abu Daud.

Al-Albani menyebut: "Baginda membacakan surah "Tiwalul Mufassal". Kadang baginda membaca surah al-Waqiah (96 ayat) dalam dua rakaat. Baginda pernah membaca surah at-Thur (49 ayat, iaitu semasa hajjatul wada'). Kadang-kadang baginda membaca surah Qaf (45 ayat) dan seumpamanya dalam rakaat pertama. Kadang-kadang baginda membaca "Qisarul Mufassal" seperti surah at-Takwir (29 ayat). Pernah satu kali baginda membaca surah az-Zalzalah (8 ayat) dalam rakaat pertama dan kedua. Dan pernah satu kali semasa musafir, baginda membaca surah al-Falaq (5 ayat) dan an-Nas (6 ayat). Baginda pernah membaca surah ar-Rum (60 ayat, melebihi 6 muka surat) dan Yasin (83 ayat). Saidina Umar penah membaca surah al-Kahfi (110 ayat, melebihi 11muka surat) pada rakaat pertama dan surah Yusuf (111 ayat, melebihi 13 muka surat) atau surah Yunus (109 ayat, melebihi 13 muka surat) pada rakaat kedua.

Berkata al-Hafiz Ibnul Qayyim: “Baginda membaca pada subuh hari jumaat dengan tamat kedua-dua surah as-Sajdah dan surah al-Insan.. dan apa yang diamalkan oleh sebahagian manusia pada hari ini dengan membaca sebahagian surah sahaja pada kedua-dua rakaat, atau menamatkan surah as-Sajdah pada dua rakaat adalah menyalahi dengan sunnah. Dan anggapan bahawa subuh hari jumaat dilebihkan daripada sembahyang-sembahyang yang lain dengan adanya sujud sajdah merupakan satu kejahilan yang besar. Kerana inilah sebahagian ulamak memakruhkan membaca surah as-Sajdah, kerana ingin membuang angapan salah ini”. Beliau berpendapat bahawa Nabi membaca surah-surah tersebut kerana kandungan surah tersebut bersesuaian dengan apa yang berlaku pada hari jumaat. Lihat Zadul Maad, juz 1, m/s 203.

Al-Hafiz Ibnul Qayyim juga menceritakan bahawa Saidina Abu Bakar pernah membaca surah al-Baqarah (286 ayat, 48 muka surat) dalam sembahyang subuh. Dan beliau memberi salam hampir naik matahari. Lalu para makmum berkata: Wahai Khalifah Rasulullah, hampir-hampir matahari naik. Beliau menjawab: Kalau matahari naik sekalipun, ia tidak akan dapati kita dalam keadaan lalai.

II- Solat Zohor

عَنْ أَبِيْ قَتَادَةَ رضي الله عنه قَالَ: أَنَّ النبيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ يُطَوِّلُ فِيْ الرَّكْعَةِ الأُوْلَى مِنْ صَلاَةِ الظُّهْرِ، وَيُقَصِّرُ فِي الثَّانِيَةِ، وَيَفْعَلُ ذَلِكَ فِيْ صَلاَةِ الصُّبْحِ. رواه البخاري ومسلم.

Abu Qatadah r.a. menceritakan bahawa Nabi s.a.w. (bila bersembahyang), baginda akan memanjangkan rakaat pertama dan memendekkan rakaat kedua. Begitu juga pada sembahyang subuh. Riwayat Bukhari dan Muslim.

عَنْ أَبِيْ سَعِيْدٍ الْخُدْرِيِّ رضي الله عنه، قَالَ: لَقَدْ كَانَتْ صَلاَةُ الظُّهْرِ تُقَامُ، فَيَذْهَبُ الذَّاهِبُ إِلَى الْبَقِيْعِ، فَيَقْضِيْ حَاجَتَهُ ثُمَّ يَتَوَضَّأُ، ثَمَّ يَأْتِيْ وَرَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم فِيْ الرَّكْعَةِ الأُوْلَى مِمَّا يُطَوِّلُهَا. رواه مسلم.

Abu Said al-Khudri r.a. berkata: Pernah bila diiqamahkan sembahyang zuhur, seorang sahabat pergi ke Baqi untuk qadha hajat, kemudian (balik ke rumahnya untuk) berwudhuk, kemudian barulah dia datang untuk berjemaah, dan dia dapati Rasulullah s.a.w. masih lagi dalam rakaat pertama, kerana baginda memanjangkannya. Riwayat Muslim.

Berkata Syeikh al-Albani: Kadang-kadang baginda membaca surah at-Toriq, surah al-Buruj, surah al-Lail dan seumpamanya.

III- Solat Asar

عَنْ أَبِيْ سَعِيْدٍ الْخُدْرِيِّ رضي الله عنه، قَالَ: كُنَّا نَحْزُِرُ قِيَامَ رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم فِيْ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ، فَحَزَرْنَا قِيَامَهُ فِي الرَّكْعَتَيْنِ الأُوْلَيَيْنِ مِنَ الظُّهْرِ قَدْرَ قِرَاءَةِ ألم تنـْزيل –السَّجْدَةِ، وَحَزَرْنَا قِيَامَهُ فِيْ الرَّكْعَتَيْنِ الأُخْرَيَيْنِ قَدْرَ النِّصْفِ مِنْ ذَلِكَ، وَحَزَرْنَا قِيَامَهُ فِيْ الرَّكْعَتَيْنِ الأُوْلَيَيْنِ مِنَ الْعَصْرِ عَلَى قَدْرِ قِيَامِهِ فِيْ الأُخْرَيَيْنِ مِنَ الظُّهْرِ، وَفِيْ الأُخْرَيَيْنِ مِنَ الْعَصْرِ عَلَى النِّصْفِ مِنْ ذَلِكَ. رواه مسلم.

Abu Said al-Khudri r.a. berkata: kami menganggar qiam Rasulullah s.a.w. dalam sembahyang zuhur dan asar. Kami anggarkan qiam baginda dalam dua rakat pertama sembahyang zuhur sekadar bacaan surah as-Sajdah (30 ayat, 3 muka surat). Dan pada dua rakaat kedua terakhir sekadar separuh daripada tadi. Dan kami juga menganggar qiam baginda pada dua rakaat pertama sembahyang asar sekadar qiam baginda dalam dua rakaat terakhir sembahyang zuhur. Dan pada dua rakaat terakhir sembahyang asar, sekadar separuh daripada itu. Riwayat Muslim.

Al-Albani menyebut bahawa baginda juga memanjangkan rakaat pertama berbanding rakaat kedua.

IV- Solat Maghrib

Syeikh al-Albani berkata: “Kadang-kadang baginda membaca "Qisarul Mufassal". Ada juga baginda membaga "Tiwalul Mufassal" dan "Ausatul Mufassal". Baginda pernah membaca surah Muhammad. Baginda pernah membaca surah at-Thur dan juga surah al-Mursalat. Dan pernah baginda membaca surah al-A'raf dalam dua rakaat, dan begitu juga surah al-Anfal”.

عَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ يَسَارٍ، عَنْ أبي هريرة رضي الله عنه أَنَّهُ قَالَ: مَا رَأَيْتُ أَحَدًا أَشْبَهَ صَلاَةٍ بِرَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم مِنْ فُلاَنٍ، قَالَ سُلَيْمَانُ: فَكَانَ يَقْرَأُ فِيْ الصُّبْحِ بِطِوَالِ الْمُفَصَّلِ، وَفِيْ الْمَغْرِبِ بِقِصَارِ الْمُفَصَّلِ. قال الحافظ ابن حجر في فتح الباري: أخرجه النسائي وصححه ابن خزيمة وغيره.

Sulaiman bin Yasar menyatakan bahawa Abu Hurairah r.a. berkata: “Aku tidak pernah melihat seseorang yang lebih hampir (cara) sembahyangnya dengan sembahyang Rasulullah s.a.w. berbanding si pulan (seorang imam di Madinah). Sulaiman berkata: (Aku pernah bersembahyang di belakang si pulan tersebut) dan beliau membaca pada sembahyang subuh dengan “Tiwalul Mufassal” dan pada sembahyang maghrib dengan “Qisarul Mufassal”. Hadis riwayat Nasaie.

Mengekalkan hanya membaca surah-surah yang pendek, dalam sembahyang maghrib bukanlah sunnah, sekalipun itulah anggapan kebanyakan kita. Kerana inillah Zaid bin Thabit, seorang sahabat Nabi s.a.w. menegur perbuatan Marwan bin al-Hakam, dalam masalah ini.

عَنْ مَرْوَانِ بْنِ الْحَكَمِ قَالَ: قَالَ لِيْ زَيْدُ بْنِ ثَابِتٍ: مَا لَكَ تَقْرَأُ فِيْ الْمَغْرِبِ بِقِصَارٍ؟ وَقَدْ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَقْرَأُ بِطُوْلَى الطُّوْلَيَيْنِ. رواه البخاري.

Marwan bin al-Hakam berkata: Zaid bin Thabit bertanyaku: Kenapakah kamu (sentiasa) membaca dalam solat maghrib dengan surah-surah pendek? Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah s.a.w. membaca dalam solat maghrib dengan surah yang paling panjang antara dua surah panjang, (maksud beliau ialah surah al-A’raf). Riwayat Bukhari.

عَنْ عَائِشَةَ رضي الله عنها أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَرَأَ فِيْ الْمَغْرِبِ بِسُوْرَةِ الأَعْرَافِ، فَرَّقَهَا فِيْ الرَّكْعَتَيْنِ. رواه النسائي، وإسناده صحيح كما قال الشيخ شعيب وعبد القادر الأرناؤوط.

Aisyah r.a. menyatakan bahawa Nabi s.a.w. pernah membaca surah al-A’raf dalam sembahyang maghrib dan baginda menceraikannya pada dua rakaat. Hadis sohih riwayat Nasaie. (Surah al-A’raf, 206 ayat, 26 muka surat)

Dan antara hadis yang menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. membaca surah yang juga panjang ialah:

عَنْ جُبَيْرِ بْنِ مُطْعِمٍ رضي الله عنه، قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم قَرَأَ بِالْمَغْرِبِ بِالطُّوْرِ. رواه البخاري ومسلم.

Jubair bin Mut’im berkata: aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. membaca surah at-Thur dalam sembahyang maghrib. Riwayat Bukhari dan Muslim. (Surah at-Thur adalah 49 ayat dan melebihi dua muka surat).

Dan hadis-hadis ini tidaklah menunjukan bahawa Nabi s.a.w. sentiasa memanjangkan bacaan dalam solat maghrib, tetapi menunjukkan bahawa bukanlah ditentukan surah yang pendek sahaja dalam sembahyang maghrib. Dan ada riwayat daripada Imam Syafie yang mengatakan bahawa beliau suka dibacakan surah-surah yang panjang dalam sembahyang maghrib.

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنهما قَالَ: إِنَّ أُمَّ الْفَضْلِ سَمِعَتْهُ وَهُوَ يَقْرَأُ ﴿ وَالْمُرْسَلَاتِ عُرْفًا ﴾، فَقَاْلَتْ: يَا بُنَيَّ، وَاللهِ، لَقَدْ ذَكَّرْتَنِيْ بِقِرَائَتِكَ هَذِهِ السُّوْرَةِ، إِنَّهَا لآخِرُ مَا سَمِعْتُ مِنْ رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقْرَأُ بِهَا فِيْ الْمَغْرِبِ. رواه البخاري ومسلم.

Ibnu Abbas menceritakan bahawa tatkala beliau membaca surah al-Mursalat, Ummul Fadhli berkata: Wahai anakku, demi Allah, sesungguhnya bacaanmu dengan surah ini mengingatkan daku kepada surah terakhir yang aku dengar Rasulullah s.a.w. membacanya dalam solat maghrib. Riwayat Bukhari. (Surah al-Mursalat 50 ayat, dan hampir dua muka surat).

Berkata al-Hafiz Ibn Hajar: Hadis ini menunjukkan bahawa semasa baginda sihat, baginda membaca dengan surah yang lebih panjang (dalam sembahyang maghrib). Ini kerana baginda dalam keadaan sakit, yang mana biasanya diringkaskan sebahyang.

V- Solat Isya'

عَنْ أَبِيْ رَافِعٍ قَالَ: صَلَّيْتُ مَعَ أَبِيْ هُرَيْرَةَ الْعَتَمَةَ، فَقَرَأَ: ﴿ إِذَا السَّمَاء انشَقَّتْ ﴾، فَسَجَدَ، فَقُلْتُ لَهُ: مَا هَذِهِ؟ قَالَ: سَجَدْتُ بِهَا خَلْفَ أَبِيْ الْقَاسِمِ صلى الله عليه وسلم، فَلاَ أَزَالُ أَسْجُدُ بِهَا حَتَّى أَلْقَاهُ. رواه البخاري.

Abu Rafi’ menceritakan bahawa beliau bersembahyang isyak bersama Abu Hurairah r.a. dan beliau membaca surah al-Insyiqaq dan beliau sujud (tilawah). Lalu aku bertanya: sujud apakah ini? Beliau menjawab: aku pernah bersujud (kerana surah ini) di belakang Abul Qasim (Nabi s.a.w.), dan aku akan bersujud kerana membacanya sehingga aku bertemuNya (mati). Riwayat Bukhari.

عَنِ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ رضي الله عنه قَالَ: سَمِعْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَقْرَأُ : ﴿ وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ ﴾، فِيْ الْعِشَاءِ، وَمَا سَمِعْتُ أَحَدًا أَحْسَنَ صَوْتًا مِنْهُ. رواه البخاري ومسلم.

Al-Bara’ bin Azib menceitakan bahawa beliau pernah mendengar Nabi s.a.w. (semasa musafir) membaca surah at-Tin dalam sembahyang isyak. Dan beliau berkata: Dan aku tidak pernah mendengar seseorang pun yang lebih merdu daripada suara baginda. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Dan dalam cerita Muaz bin Jabal r.a. mengimami sembahyang isayk dengan surah al-Baqarah, baginda menegurnya dan bersabda:

أَتُرِيْدُ أَنْ تَكُوْنَ فَتَّانًا يَا مُعَاذُ؟ إِذَا أَمَمْتَ النَّاسَ فَاقْرَأْ بِالشَّمْسِ وَضُحَاهَا، وَسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلى، وَاقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ، وَاللَّيْلِ إِذَا يَغْشى. رواه مسلم.

Adakah kamu ingin menjadi punca fitnah wahai Muaz? Kalaulah kamu menjadi imam, bacalah surah as-Syams, surah al-A’la, surah al-Alaq dan surah al-Lail. Riwayat Muslim.

Berkata Imam Nawawi: “Disunatkan membaca dalam sembahyang subuh dan zuhur dengan “Thiwaalul Mufassal” (surah-surah Mufassal yang panjang), tetapi dalam sembahyang subuh lebih panjang. Dan disunatkan membaca dalam sembahyang isyak dan asar dengan “Auwsaatul Mufassal”, (surah-surah Mufassal yang pertengahan), dan disunatkan dalam sembahyang maghrib dengan “qisarul Mufassal” (surah-surah Mufassal yang pendek). Syarah Sohih Muslim, Kitab 4, Bab 34.

Dan khilaf ulamak tentang permulaan surah-surah tersebut. Ada pendapat yang mengatakan bahawa surah Mufassal yang panjang bermula daripada Surah al-Hujurat sehingga surah an-Naba’. Surah Mufassal yang pertengahan pula bermula daripada surah an-Naba’ sehingga surah ad-Dhuha, dan surah Mufassal yang pendek pula bermula daripada surah ad-Dhuha hingga akhir Qur’an. Sabilal Muhtadin, j 1, m/s 209.

Antara Hadis Berkaitan Dengan Bacaan Surah

عَنِ ابْنِ عُمَرَ رضي الله عَنْهُمَا قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَأْمُرُنَا بِالتَّخْفِيْفِ، وَيَؤُمُّنَا بِالصَّافَّاتِ. رواه النسائي، وإسناده صحيح كما قال الشيخ شعيب وعبد القادر الأرناؤوط.

Ibnu Umar r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. menyuruh kita meringkaskan sembahyang (bila menjadi imam), dan baginda mengimami kami dengan surah as-Soffat. Riwayat Nasaie. Surah as-Soffat adalah 182 ayat, 7 muka surat). Perkataan beliau ini adalah untuk menyedarkan kita tentang erti meringkaskan sembahyang.

Berkata al-Hafiz Ibnul Qayyim dalam memberikan kefahaman tentang erti imam hendaklah “meringkaskan sembahyang”: “Meringkaskan sembahyang itu adalah satu perkara yang nisbi (tidak tetap. Boleh jadi ringkas pada pandangan orang yang suka mendengar al-Qur’an, tetapi tidak kepada yang lain). Kerana ini rujukan untuk maknanya ialah dengan apa yang biasa dilakukan oleh Nabi s.a.w., dan bukannya kembali kepada nafsu para makmum. Ini kerana baginda tidaklah menyuruh sesuatu tetapi baginda sendiri yang menyalahinya. Sedangkan baginda juga tahu bahawa di belakang baginda itu ada yang tua, lemah dan yang berhajat. Apa yang baginda lakukan itulah maksud “meringkas” yang bagnida suruh. Zadul Maad, juz 1, m/s 207.

Disediakan oleh Us Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail, Taman al-Barakah, Kg. Tasek Pauh, 16810, Selising, Pasir Puteh, Kelantan

Labels: ,





XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health