Rekod Zulkipli bersih semasa dilantik – Dr. Mahathir
0 Comments Published by TasekPauh Blogspot on Friday, March 16, 2007 at 6:56 AM.PUTRAJAYA 14 Mac – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Zulkipli Mat Noor tidak mempunyai sebarang rekod melakukan rasuah dan salah guna kuasa ketika beliau melantiknya memegang jawatan tersebut pada 2001.
Bekas Perdana Menteri berkata, sekiranya ketika itu terdapat sebarang laporan dalam fail Zulkipli menyatakan beliau (Zulkipli) ialah seorang yang terlibat rasuah, sudah pasti pihaknya tidak akan meluluskan pelantikan Zulkipli.
‘‘Apabila namanya dikemukakan kepada saya, semuanya bersih,’’ kata Dr. Mahathir kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelantikan Ahli Kehormat Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Dr. Mahathir ditanya mengapa ketika masih Perdana Menteri pada 2001 beliau melantik Zulkipli – yang kini berdepan dengan dakwaan rasuah dan salah laku seksual – sebagai Ketua Pengarah BPR.
Tuduhan terhadap Zulkipli itu dibuat oleh bekas Pengarah BPR Sabah, Mohamad Ramli Abdul Manan baru-baru ini.
Ditanya mengenai isu Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd. Johari Baharom dituduh menerima sogokan lebih RM5 juta untuk melepaskan tiga orang suspek yang ditahan di bawah Ordinan Darurat, Dr. Mahathir yakin Timbalan Menteri itu bersih daripada dakwaan tersebut.
Dr. Mahathir berkata: ‘‘Datuk Johari... jangan bimbang, dia bersih tidak ambil satu sen pun, dia bersih sepenuhnya dan tidak akan didapati bersalah.’’ katanya. UtusanOnline
0 Responses to “Rekod Zulkipli bersih semasa dilantik – Dr. Mahathir”