Kelantan main politik isytihar 'pelajar SPM terbaik Malaysia'
0 Comments Published by TasekPauh Blogspot on Wednesday, March 14, 2007 at 9:38 PM.KOTA BARU, Mac 14 - Siti Fatimah Mukhtar, 18, yang mendapat 18 A, termasuk 17 1A, dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang keputusannya diumumkan pada hari Isnin, diisytiharkan sebagai Pelajar Terbaik Malaysia oleh Kerajaan Kelantan.
Siti Fatimah, pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Maahad Muhammadi Perempuan di sini, mendapat 1A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Sains, Geografi, Matematik Tambahan, Prinsip Akaun, Ekonomi Asas, Fizik, Kimia, Biologi, Tasawwur Islam, Pendidikan al-Quran dan Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah dan English For Science and Technology (EST) dan 2A untuk Bahasa Arab Tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi Negeri, Mohd Amar Nik Abdullah berkata pengumuman oleh kerajaan Kelantan itu adalah berdasarkan kepada kecemerlangan keputusan SPM Siti Fatimah yang mengatasi pelajar lain dari seluruh negara.
"Kita cukup terkilan apabila kecemerlangan Siti Fatimah tidak dipandang oleh Kementerian Pelajaran sedangkan sudah terbukti dia seorang pelajar terbaik dan mengatasi semua pelajar lain dari seluruh negara," katanya pada sidang media di SMA Maahad Muhammadi di sini hari ini.
Mohd Amar berkata tindakan Kementerian Pelajaran tidak menamakan pelajar terbaik kali ini juga sesuatu yang amat menyedihkan dan seolah-olah menafikan kejayaan pelajar berkenaan.
"Walaupun beliau bukan pelajar sekolah kerajaan pusat tetapi sistem dan sukatan pembelajarannya adalah dari kementerian, malahan peperiksaan juga di bawah kementerian, jadi kenapa pula tak diiktiraf?" katanya.
Mohd Amar berkata tindakan itu sebenarnya memberi kesan psikologi bukan sahaja kepada pelajar bahkan kepada sekolah dan keluarga mereka.
0 Responses to “Kelantan main politik isytihar 'pelajar SPM terbaik Malaysia'”