Pelatih PLKN mati tergelincir dalam tandas
0 Comments Related Articles Published by TasekPauh Blogspot on Friday, March 02, 2007 at 12:06 AM.Ya Allah, selamatkan anak-anak kami dari fitnah dunia.
Oleh AMIRA ZAWATIL AMALY dan RIZALMAN NOR
PASIR PUTEH 28 Feb. – Seorang pelatih perempuan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dari Kem Kisana Beach Resort dekat sini mati selepas tergelincir di dalam tandas ketika menjalani latihan di Hutan Lipur Jeram Linang dekat sini awal pagi ini.
Prema Elenchelian, 18, dikatakan tergelincir lalu tersembam ke lantai yang ditakungi air sebelum ditemui oleh rakannya dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 2.30 pagi.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Abdul Hadi Awang Kechil berkata, mangsa yang berasal dari Batu 9, Cheras, Selangor dipercayai pergi ke tandas seorang diri.
(Gambar - R. Elenchelian ditenangkan oleh Abdul Hadi Awang Kechil (kanan) ketika menuntut mayat anaknya di Hospital Tengku Anis)
“Rakan mangsa kemudian memanggil jurulatih yang bergegas menghantar mangsa ke Hospital Tengku Anis di sini untuk menerima rawatan namun disahkan meninggal dunia kira-kira sejam kemudian,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.
Turut hadir ialah Komander PLKN Kem Kisana Beach Resort, Mejar Zulkarnain Abdullah dan Komander PLKN Kem Cancun Park di Pasir Mas, Leftenan Kolonel Che Bakar Mohd. Arifin dan bapa mangsa, R. Elenchelian, 44.
Menurut Abdul Hadi, hasil bedah siasat mendapati mangsa yang pernah diserang sawan itu tidak dapat bernafas akibat tertelan banyak air yang bertakung di dalam tandas tersebut.
Abdul Hadi memberitahu, mangsa merupakan salah seorang pelatih kumpulan 1 siri keempat bagi tahun ini yang ditempatkan di Kem Kisana Beach Resort di sini bersama 401 pelatih lain termasuk 218 perempuan.
Semua pelatih dihantar ke Hutan Lipur Jeram Linang sejak semalam bertujuan meneruskan latihan Wira Jaya meliputi membaca peta dan aktiviti lasak untuk meningkatkan keyakinan diri di samping memupuk kerjasama di kalangan mereka.
Sementara itu, Abdul Hadi telah memaklumkan kejadian itu kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jeddah, Arab Saudi dan beliau mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Abdul Hadi memberitahu, pihaknya turut menyerahkan RM3,000 kepada keluarga untuk urusan pengkebumian manakala Ahli Dewan Undangan Limbongan, Zainuddin Awang Hamat menyumbang RM500.
Sumbangan awal itu sebahagian daripada pampasan insurans berjumlah RM35,000 yang akan diterima waris pelatih kelak.
Abdul Hadi berkata, pihak JLKN akan meneruskan latihan Wira Jaya yang akan dipantau dari semasa ke semasa bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini.
“Kami tidak berhasrat untuk membatalkan program yang diperkenalkan sejak 2004 ini kerana semua program yang dilaksanakan memberi impak besar kepada semua pelatih,” katanya. Utusan Malaysia
0 Responses to “Pelatih PLKN mati tergelincir dalam tandas”