Tol : 5000 berhimpun di Pyramid
0 Comments Published by TasekPauh Blogspot on Monday, January 08, 2007 at 11:31 PM.Azamin Amin
PETALING JAYA, 7 Jan (Hrkh) - "Samy get out!", "Pak Lah Turun!" "Turun BN!" dan "Turun Tol" adalah laungan amarah rakyat yang tidak dapat dibendung lagi bagi membantah kenaikan harga tol yang berkuatkuasa baru-baru ini.
Laungan itu kedengaran bergema sekitar jam 4 petang tadi di hadapan kompleks beli-belah Sunway Pyramid yang berjaya menghimpun sejumlah hampir 5,000 orang ramai dan turut dihadiri pemimpin tertinggi parti-parti politik, Badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan mahasiswa.
Turut hadir sama ialah Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa;Naib Presiden, Mohamad Sabu; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub; dan pimpinan lain seperti Haji Mahfuz Omar; Dr Zulkifli Ahmad, Ustaz Idris Ahmad dan Dr Lo' Lo' Ghazali.
Selain itu hadir sama ialah Presiden MTUC, Syed Shahir; Bendahari KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim; Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua; Ketua AMK, Shamsul Iskandar; Ketua Wanita KeADILan, Puan Fuziah; Ustaz Badrul Amin, Shaari Sungib (GMI), Ronnie Liu (DAP), YB Dominic (DAP), Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, S. Arutchelvan, Pengarah Urusan Suaram, Yap Swee Seng dan lain-lain ahli-ahli politik,aktivis masyarakat dan para mahasiswa.
"Kita nak tunjukkan isyarat jelas kepada kerajaan!" kata Setiausaha Protes Kenaikan Tol (Gabungan Parti Pembangkang, Kesatuan Pekerja dan Pertubuhan Kerajaan), Dr Hatta Ramli ketika berucap di hadapan orang ramai.
"Rakyat sudah tidak tahan lagi dengan sikap kerajaan yang suka menindas! Ini sudah sampai ke tahap maksimum!" katanya lagi.
Manakala Presiden Protes Kenaikan Tol, Syed Shahir dalam ucapannya menuntut supaya kerajaan membatalkan keputusan menaikkan kadar tol, mendedahkan segala perjanjian konsesi lebuh raya antara kerajaan dengan syarikat lebuh raya dan menubuhkan jawatankuasa pemeriksa kira-kira bebas untuk mengkaji kenaikan tol ini.
"Jangan tipu rakyat! Dedahkan perjanjian yang ada!"katanya dan disambut oleh laungan orang " TOL : Tipu Orang Lagi!"
Samy Vellu jadi sasaran cemuhan dan meluat orang ramai
Turut kelihatan kain rentang dan sepanduk dinaikkan untuk menyatakan rasa marah dan benci orang ramai terhadap keputusan kerajaan menaikkan tol antaranya bertulis "Rakyat disekat kroni ketawa" "Hapuskan Tol","BN bazir duit rakyat" dan "Semenjak Pak Lah jadi PM, semua barang naik!"
Mewarnakan lagi rasa meluat, orang ramai mengangkat sepanduk-sepanduk yang dilakarkan dan diletakkan wajah Dato' Seri S Samy Vellu sambil melaungkan "Samy Get Out!" "Samy Turun!" dan ada yang turut mengajuk cara cakap Samy :"Kalau you mau facility, you mesti bayar,"
Selain itu Ustaz Nasharuddin yang turut berucap melahirkan rasa kesal dan kecewanya atas tindakan kerajaan yang langsung tidak mempedulikan nasib dan rintihan rakyat yang terhimpit selama ini
"Mereka tidak endahkan rintihan kita! Mereka langsung tidak mempedulikan nasib kita!" katanya.
"Rakyat sudah tidak tahan lagi! Sudah cukup penderitaan yang dialami!" katanya lagi sambil menggesa kerajaan segera membatalkan kenaikan tol.
Setelah selesai ucapan-ucapan, perhimpunan kemudiannya berarak menuju ke jalan raya bandar Sunway untuk meneruskan lagi protes kenaikan tol dan suasana menjadi sedikit kelam-kabut apabila pasukan anggota polis termasuk polis trafik dan polis simpanan persekutuan (FRU) berkejaran ke sana-ke mari bagi menjaga lalu-lintas dan orang ramai yang mula memenuhi kawasan jalan hingga mengakibatkan jalan menjadi sesak.
Jalan menjadi sesak
Orang ramai kemudiannya membanjiri di sepanjang tebing jalan tersebut dan kehadiran ribuan orang ramai menyebabkan polis terpaksa 'menyambut' kedatangan mereka dan mengawal suasana jalan raya tersebut dengan bantuan 2 buah kereta perisai 'water cannon', 5 trak dengan lebih 100 anggota FRU yang kebanyakannya terdiri daripada wanita, lebih 50 anggota polis berseragam dan hampir 30 anggota polis berpakaian preman serta memakai riben merah di lengan.
Jalan raya di kedua-dua arah menjadi sesak seketika dan sekitar 5.15 petang, polis terpaksa menutup sebelah jalan raya menuju ke Kuala Lumpur bagi menghalang kenderaan untuk masuk atau melalui hadapan Sunway Pyramid.
Pengguna-pengguna jalan raya yang berkenderaan seperti kereta, lori dan bas turut memberi sokongan kepada perhimpunan tersebut dengan membunyikan hon masing-masing.
Suasana ini seolah-olah mengulangi situasi yang berlaku pada demonstrasi di Lebuh raya Kesas di Jalan Kebun pada era 'reformasi' tahun 1990 lalu yang turut berjaya menghimpunkan ribuan orang ramai.
Kelihatan di kedua-dua tebing jalan arah yang bertentangan, orang ramai berpusu-pusu menyaksikan perhimpunan tersebut malah jambatan yang merentangi berhadapan kompleks beli belah tersebut penuh sesak dengan orang ramai.
Rakyat mesti 'hukum' kerajaan pada pilihan raya akan datang
Walaupun suasana agak kelam kabut dan tegang sedikit, perhimpunan selama 2 jam itu akhirnya bersurai tanpa sebarang insiden dan tangkapan dilakukan oleh pihak polis.
"Rakyat semakin sedar dan peka dengan kepincangan yang dilakukan oleh kerajaan," kata Salahuddin ketika ditemui selepas perhimpunan tersebut.
"Rakyat akan menghukum kerajaan pada pilihan raya akan datang!" katanya dan akan turut membangkit isu Tol dan isu-isu semasa pada pilihan raya kecil Batu Talam, Pahang yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Ketika perhimpunan sedang bersurai, seorang peserta dengan nada yang kuat mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh pihak polis.
"Terima kasih polis atas kerjasama anda, jumpa lagi anda pada 14 Januari di Tol Gombak pula!" katanya sambil tersenyum dan perkara ini turut disahkan oleh Dr Hatta dan mengalu-alukan lagi kedatangan orang ramai untuk memberi sokongan dan menghantar isyarat jelas agar kerajaan tidak lagi mempermain-mainkan nasib rakyat.
"Demo seterusnya pada 14 Januari di Plaza Tol Gombak jam 4 petang. Ayuh beramai-ramai datang ke
0 Responses to “Tol : 5000 berhimpun di Pyramid”