TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


Kaifiat Solat Yang Sempurna – Bhg 2

Duduk Antara Dua Sujud

21- Dan setelah selesai sujud, maka hendaklah bangun untuk duduk di antara dua sujud. Dan disunatkan bertakbir untuk bangun dan melanjutkan takbir sehingga dia duduk. Dan disyaratkan dalam duduk antara dua sujud ini tiga syarat, iaitu: tidak qasad dengan duduknya kecuali ibadah, thuma’ninah dan tidak terlalu panjang melebihi qadar sekurang-kurang tahiyyat.

22- Dan disunatkan semasa duduk antara dua sujud dengan cara duduk iftirasy. Caranya ialah dengan duduk di atas buku lali kakinya yang kiri, dan mendirikan kakinya yang kanan. Dan kedua tapak tangannya pula dirapatkan dan dihalakan ke arah kiblat serta diletakkan di atas kedua pahanya dan didekatkan dengan kedua lututnya, sekira-kira hujung jari jemari tangannya sama dengan kedua lututnya.

23- Dan disunatkan membaca zikir-zikir antara dua sujud. Antaranya ialah:

· رَبِّ اغْفِرْ لِي، رَبِّ اغْفِرْ لِي

· رَبِّ اغْفِرْ لِي، وَارْحَمْنِي، وَاجْبُرْنِي، وَارْزُقْنِي، وَارْفَعْنِي

24- Kemudian sujud sekali lagi. Dan disunatkan bertakbir untuk turun sujud.

25- Setelah selesai sujud kedua, maka selesailah rakaat yang pertama.

Setelah Selesai Sujud Kedua

26- Setelah bangkit daripada sujud, sebelum bangun untuk qiam rakaat kedua, maka disunatkan duduk istirahah. Dan cara duduknya ialah iftirasy. Dan perkara ini adalah sunat dalam mazhab Syafie, berdalilkan hadis Malik bin al-Huwairis riwayat Bukhari dan lain-laiin. Dan ia tidak disunatkan pada pandangan jumhur ulamak.

26- Dan untuk bangun ke rakaat kedua, disunatkan bergantung atas kedua tapak tangan ke bumi. Begitu juga ketika bangun daripada sujud. Dan tidak disunatkan mengangkat tangan ketika bangkit untuk rakaat kedua.

27- Setelah bangun pada rakaat kedua, dilakukanlah sebagaimana rakaat pertama tadi. Cumanya tidak disunatkan lagi membaca doa iftitah. Namun disunatkan istiazah sebelum membaca surah al-Fatihah.

Tasyahhud Awal Dan Kaifiatnya

28- Setelah selesai sujud kedua dalam rakaat kedua, maka hendaklah duduk untuk membaca tasyahhud awal. Dan disunatkan duduk dengan cara iftirasy. Dan tangan kanannya diletakkan di tepi lutut sekira-kira sama hujung jari dengan hujung lutut, serta menggenggamkan anak-anak jari kecuali telunjuk, maka ia hendaklah diluruskan. Tangan kiri pula diletakkan di tepi lutut kiri, dirapatkan dan diluruskan ke arah kiblat.

29- Dan disunatkan mengangkatkan telunjuk ketika menyebut huruf hamzah “ إلا الله ”. Dan disunatkan mengekalkan mengangkat jari telunjuk itu dan melihat kepadanya sehingga berdiri kepada rakaat ketiga, dan jika tasyahhud akhir sehingga memberi salam.

30- Dan cara menggenggamkan telunjuk ialah dengan menggenggamkan jari kelingking, jari manis dan jari hantu (tengah). Manakala jari telunjuk diluruskan ke arah kiblat dan ibu jari pula dihimpitkan dengan tepi jari telunjuk dan diletakkan di bawah jari telunjuk. Dan jika jari tengah disatukan dengan ibu jari untuk membentuk satu bulatan, atau digenggamkan ibu jari di atas jari tengah, maka itu juga telah melakukan sunat.

31- Dan tidak disunatkan menggerak-gerakkan jari semasa bertasyahhud. Namun tidak diengkari orang yang melakukan demikian, kerana itu adalah pendapat mazhab Maliki dan lain-lain.

31- Lafaz tasyahhud awal beserta selawat ialah:

التَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ لِلَّهِ، السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، اللهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ.

32- Sesudah selesai, maka bangunlah dengan bertongkat dengan kedua tapak tangnnya untuk rakaat yang ketiga. dan disunatkan mengangkat tangan ketika bangkit untuk rakaat ketiga. Dan pada rakaat yang ketiga dan keempat dilakukan pergerakan sama seperti rakaat-rakaat yang tadi.

Tasyahhud Akhir Dan Kaifiatnya

33- Setelah selesai rakaat keempat, maka hendaklah duduk untuk membaca tasyahhud yang akhir. Dan disunatkan untuk duduk bagi tasyahhud akhir dengan cara “tawarruk”. Caranya ialah dengan duduk di atas pahanya yang kiri, dan diangkatkan kakinya yang kanan, serta dikeluarkan kakinya yang kiri dari bawahnya (bawah kaki kanan yang diangkatkan itu). Dan hujung jari-jari kaki kanannya dilipat supaya menghadap kiblat.

34-Dan dalam mazhab Syafie, sunat bagi yang makmum yang masbuq (yang imamnya bertasyahhud akhir) atau orang yang disunatkan sujud sahwi untuk membaca tasyahhud dalam keadaan duduk iftirasy.

Lafaz Selawat Pada Tasyahhud Akhir

35- Lafaz tasyahhud akhir sama sahaja dengan tasyahhud awal. Dan dibacakan selepasnya selawat ke atas Nabi dan juga para keluarga baginda. Lafaznya ialah:

اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَدٍ ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ ، وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمِ، إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ ، اَللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ ، وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمِ ، إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ.

Doa-Doa Sebelum Salam Sesudah Tasyahhud Dan Selawat

36- Dan sesudah selawat, maka disunatkan membaca doa-doa yang warid daripada Rasulullah s.a.w. sebelum member salam. Antaranya ialah:

· اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ وَمَا أَسْرَفْتُ وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي، أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ َلا إِلَهَ إَِلا أَنْتَ

· اللَّهُمَّ حَاسِبْنِي حِسَابًا يَسِيرًا

· اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا، وََلا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إَِلا أَنْتَ، فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنِي إِنَّك أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

· اللَّهُمَّ! إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

· اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ

· اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ النَّارِ

· اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ يَا أَللَّهُ اْلأحَدُ الصَّمَدُ، الَّذِي لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ، وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ، أَنْ تَغْفِرَ لِي ذُنُوبِي، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

· اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ وَمَا أَسْرَفْتُ وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي، أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ َلا إِلَهَ إَِلا أَنْتَ

Salam Dan Kaifiatnya

36- Setelah selesai tasyahhud dan juga berdoa, maka kita akan memberi salam. Lafaz salam ialah:

السَّلَاْمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ

37- Dan disunatkan dua kali salam, dan berpaling semasa memberi salam, samada ke kana atau kiri, sehingga kelihatan pipi (bagi orang yang berada di belakang, dan bukan kedua-dua belah pipi). Dan disunatkan bagi imam menyaringkan salam. Manakala makmum janganlah member salam, melainkan setelah selesai kedua-dua salam imam.

38- Setelah selesai member salam kedua, maka selesailah solat. Dan tidak disunatkan meraup muka setelah selesai memberi salam.

Disediakan oleh Us Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail, Taman al-Barakah, Kg. Tasek Pauh, 16810, Selising, Pasir Puteh, Kelantan

Labels: ,





XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health