Program Festival of Rights dipindah sebagai protes
0 Comments Published by TasekPauh Blogspot on Thursday, December 06, 2007 at 10:28 PM.Oleh SALHAN K. AHMAD
PETALING JAYA, mStarOnline, 6 Dis - Program 'Festival Of Rights' anjuran Majlis Peguam yang dijadualkan untuk diadakan di Pasar Seni pada Ahad ini, telah ditukar ke bangunan penganjur itu sendiri di Leboh Pasar Besar, Kuala Lumpur.
mStar Online difahamkan, pihak berkuasa telah memaklumkan Majlis Peguam bahawa program itu memerlukan permit, sepertimana perarakan sempena Hari Hak Asasi Manusia yang telah dibatalkan.
Pengerusi jawatankuasa hak asasi badan itu Edmund Bon berkata keputusan itu diambil sebagai satu tanda "protes" terhadap keperluan memohon permit dari pihak polis bagi mengadakan program kebudayaan itu.
"Kami telah memaklumkan polis mengenai program Festival of Rights. Kami telah diminta untuk memohon permit.
"Ia akan menjadi satu ironi dan sangat tidak adil kepada kami untuk membuat permohonan itu. Jadi kami dengan itu memindahkan perayaan kita (yang akan bermula pada 9 pagi) ke bangunan Majlis Peguam," katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya lagi, beliau kesal kerana pengajur terpaksa memprotes, sedangkan Hari Hak Asasi Manusia perlu dirayakan di seluruh dunia.
"Hak kebebasan bersuara secara praktikal hanyalah satu ilusi di Malaysia. Hak bersuara yang dilesenkan bukan satu suara. Kita perlu menukar (situasi) ini," katanya lagi.
Beliau juga turut menyeru masyarakat supaya memberi perhatian ke atas tekanan ke atas hak masyarakat di negara ini "terutama terhadap kawalan ke atas kebebasan bersuara dengan syarat perlesenan."
Program bertemakan "As I Believe: Freedom of Expression through Art, Music, Culture and Conscience" itu antara lain akan memuatkan acara membaca puisi, persembahan kebudayaan Orang Asli, serta diskusi antara agama daripada wakil-wakil badan keagamaan.
0 Responses to “Program Festival of Rights dipindah sebagai protes”