SPR perkenal tanda dakwat di jari pengundi
0 Comments Published by TasekPauh Blogspot on Saturday, June 02, 2007 at 7:03 AM.KUALA LUMPUR, 1 Jun - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akhirnya tunduk pada tekanan berterusan parti-parti pembangkang untuk memperkenalkan penggunaan dakwat tidak boleh padam, seboleh-bolehnya menjelang pilihanraya umum ke-12 nanti.
Pengerusinya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahmad berkata, suruhanjaya itu telah bersetuju dari segi prinsipnya untuk memperkenalkan sistem itu, tetapi ia memerlukan pindaan kepada Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihanraya) 1981.
"Kita tidak suka buat kaedah ini, tetapi kita bersetuju supaya polemik mengenainya boleh dihentikan.
"Kalau tidak, selagi kita tidak buat, selagi itulah isu ini akan dijadikan modal politik oleh parti-parti pembangkang, seolah-olah selama ini mereka gagal menang pilihan raya kerana kita tidak menggunakan sistem ini.
"Kita sudah banyak kali cakap, sistem itu ketinggalan zaman walaupun beberapa negara masih mengamalkannya. Tetapi untuk memuaskan hati mereka, kita terima juga," katanya kepada mStar Online hari ini.
Menurut sistem ini, ibu jari tangan setiap pengundi yang telah membuang undi akan disapu dakwat yang tidak boleh dibasuh dan akan bertahan untuk beberapa hari sebagai bukti pemilih itu telah membuang undi.
Penyokong sistem ini berpendapat kaedah ini dapat mengatasi masalah "pengundi hantu", atau seseorang mengundi lebih sekali, kerana dia tidak boleh berbuat demikian selepas ditandakan dengan dakwat.
Abdul Rashid berkata, isu pengenalan sistem dakwat itu telah dibincangkan di beberapa mesyuarat suruhanjaya itu sejak minggu lalu, dan setiap ahli akhirnya bersetuju agar ia diterima pakai.
Sekretariat suruhanjaya itu serta pegawai-pegawai undang-undangnya kini sedang meneliti pengenalan sistem baru itu bagi membolehkan pindaan kepada undang-undang yang perlu dilakukan secepat mungkin.
"Kalau boleh kita mahu memperkenalkan sistem itu pada pilihan raya umum akan datang," jeasnya lagi. Lagi di mStarOnline
0 Responses to “SPR perkenal tanda dakwat di jari pengundi”