TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


3.1 - Mengenal Sadduz Zaraie

Bab 3 - Maqasid Syariah

Bab 3.1 - Mengenal Sadduz Zaraie (Menyekat Pintu-pintu Keburukan)

مقاصد الشريعة الإسلامية

Islam memandang sesuatu perbuatan bukan sahaja kepada perbuatan tersebut, tetapi juga kepada natijah yang terhasil daripadanya.

Secara mudahnya perbuatan yang membawa kepada keburukan boleh dibahagikan kepada dua kategori.

Pertama: Sesuatu perbuatan yang asalnya diharamkan kerana ia pasti membawa kepada keburukan. Contohnya meminum arak (merosakkan kewarasan akal), berzina (merosakkan keturunan atau maruah), mencela (menimbulkan permusuhan dsbg) dan lain-lain contoh yang mana perbuatan tersebut adalah haram kerana terdapat mafsadah padanya. Perbuatan-perbuatan ini haram dilakukan dan ia tidak termasuk dalam kategori Sadduz Zaraie kerana ia tidak mempunyai kaitan dengannya [1].

Kedua: Perbuatan yang pada asalnya tidaklah haram, bahkan dihalalkan dan dibenarkan oleh Syarak (masyru”). Namun perbuatan ini boleh membawa kepada keburukan. Perbuatan-perbuatan inilah yang kita akan bincangkan dalam perbahasan Sadduz Zaraie.

Para ulamak telah membahagikan perbuatan-perbuatan ini kepada tiga bahagian.

Pertama: Perbuatan yang pada kebiasaannya memberikan maslahah yang banyak kepada kehidupan manusia, namun kadang-kadang natijahnya boleh membawa kepada mafsadah. Contohnya seperti berkenderaan, menyalurkan saluran eletrik ke rumah-rumah, menaiki pesawat, menggunakan kemudahan-kemudahan teknologi moden dan seumpamanya. Perbuatan ini bermanfaat, bahkan sangat diperlukan oleh manusia, tetapi ia boleh memudharatkan pada beberapa keadaan. Sebagai contoh, berkenderaan adalah satu perkara yang sangat diperlukan dalam kehidupan hari ini, namun kadang-kadang berkenderaan boleh membawa kepada kemalangan dan musibah. Maka perbuatan ini adalah dihalalkan dan tidak dihalang dengan hujah bahawa berkenderaan atau menggunakan eletrik boleh membawa maut, kerana kejadian-kejadian tersebut adalah satu perkara yang tidak boleh dibandingkan dengan manfaatnya perkara-perkara tadi kepada kehidupan manusia. Dan sepakat pendapat para ulamak dalam mengharuskan perkara-perkara seperti itu.

Kedua: Perbuatan yang pada kebiasaannya natijahnya akan membawa kepada keburukan. Contohnya menjual pedang kepada orang yang ingin membunuh, menjual anggur kepada pengilang arak, menyewakan tapak perniagaan kepada kelab-kelab judi, kelab-kelab malam, dan rumah-rumah pelacuran. Maka sepakat pendapat ulamak mengharamkan perkara ini kerana natijahnya jelas boleh membawa kepada keburukan. Maka tidak boleh kita berhujah menghalalkan perbuatan-perbuatan tersebut dengan alasan jual beli dan sewaan adalah perkara yang dihalalkan oleh Islam setelah jelas natijahnya kepada kita.

Ketiga: Perbuatan yang pada asalnya harus dan ia juga membawa kepada perkara harus, tetapi kebiasaannya manusia menggunakan perbuatan ini untuk mencapai satu tujuan yang tidak dibenarkan Syarak. Contohnya bai’ul inah, dan nikahul muhallil (cina buta). Maka dalam permasalahan ini, telah khilaf ulamak pada hukumnya. Ada yang menghalalkan dengan alasan ia adalah perbuatan yang halal, dan kita tidak mengetahui niat dan tujuan sebenar orang yang melakukannya, kerana itu urusan hati. Ada pula yang mengharamkannya dengan alasan natijahnya memang jelas membawa kepada mafsadah, sekalipun ia adalah halal pada asalnya. Persoalan hati pula sudah tidak tersembunyi lagi setelah perbuatannya dengan jelas menunjukkan bahawa ia telah menggunakan perbuatan yang dihalalkan untuk tujuan yang tidak dihalalkan bahkan diharamkan. Pendapat ini adalah lebih tepat kerana ia bersesuaian dengan “Maqasid Pensyariatan” itu sendiri.

Dalil-Dalil Yang Menunjukkan Bahawa Sadduz Zaraie Mesti Diamalkan

1- Firman Allah SWT: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu katakan (kepada Muhammad): "Raa'ina", tetapi Katakanlah: "Unzhurna", dan "dengarlah". bahawasanya bagi orang-orang yang kafir itu azab siksaan yang pedih. Surah al-Baqarah: 104.

Perkataan “Raa'ina” membawa erti: sudilah kiranya kamu memperhatikan kami. Tetapi Allah SWT melarang para sahabat mengungkap perkataan ini kepada Rasulullah, kerana orang Yahudi telah menggunakan perkataan ini dengan tujuan mengejek Rasulullah. Padahal yang mereka maksudkan ialah Ru'uunah yang bererti terlalu bodoh. Kerana inilah Allah SWT menyuruh supaya para sahabat menukar perkataan “Raa'ina” dengan “Unzhurna” yang juga sama ertinya dengan “Raa’ina”. Larangan penggunaan kalimah “Raa’ina” ini sekalipun ia adalah sama ertinya dengan “Unzhurna” adalah kerana melihat kepada mafsadah yang timbul daripada perkataan ini. Ayat ini menjadi dalil yang jelas menunjukkan bahawa Sadduz Zaraie adalah hujjah yang mesti diamalkan.

2- Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, Karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan...”. Surah al-An’am: 108.

Larangan mencela berhala yang menjadi sembahan orang kafir dalam ayat ini adalah kerana, celaan kepada berhala itu boleh membawa kepada pencelaan kepada Allah SWT oleh orang-orang kafir yang menyembah berhala. Ayat ini dengan jelas menunjukka bahawa “Sadduz Zaraie” adalah dalil yang muktabar.

3- Islam melarang meminum setitik arak untuk menyekat daripada merasa kemanisan arak yang akhirnya boleh membawa kepada meminum arak yang memabukkan.

4- Islam mengharamkan berkhalwat dengan bukan mahram kerana bimbangkan berlakunya zina yang terkutuk.

5- Islam mengharamkan meminangi pinangan orang lain, belian atau jualan di atas pembelian dan jualan orang lain untuk mengelakkan perbalahan dan permusuhan.

6- Islam mengharamkan menyorok barangan keperluan (ihtikar) untuk mengelak mafsadah kesusahan orang ramai mendapatkan keperluan asasi mereka.

7- Islam melarang membeli zakat (seperti beras) yang dikeluarkan untuk mengelakkan daripada teraniaya seorang yang fakir kerana terpaksa menjual zakat tadi dengan harga yang lebih murah daripada harga pasaran.

8- Islam melarang dilaksanakan hukuman hudud semasa peperangan, kerana bimbangkan mafsadah belot dan berpaling tadah pesalah tersebut kepada musuh.

Beradasarkan semua ini jelaslah bahawa Islam menganggap “Sadduz Zaraie” sebagai sumber hukum dan ia perlu diiktibar bagi mencapai “Maqasid Pensyariatan” sesuatu hukum. Maka setiap perbuatan yang membawa kepada mafsadah, maka ia perlu dilarang sekalipun pada asalnya adalah dibolehkan, kerana memang termasuk dalam maqasid Syarak untuk mengelak mafsadah. Dan tidak boleh diterima akal kalau Syarak mengharamkan sesuatu kerana mafsadah yang ada padanya, tetapi dihalalkan pula wasilah atau jalan-jalan yang membawa kepadanya (mafsadah) dengan alasan ia (perbuatan tersebut) pada asalnya adalah halal (dengan tidak mengambil kira kepada mafsadah yang pasti timbul).

Berkata Ibnul Qayyim: “Oleh kerana maqasid tidak akan tercapai melainkan dengan perkara-perkara atau jalan-jalan yang boleh sampai kepadanya, maka perkara-perkara tersebut mengikut hukumnya dan diiktibar kerananya. Maka wasilah-wasilah atau jalan-jalan yang membawa kepada perkara haram dan maksiat adalah ditegah sekadar mana ia membawa kepada tujuannya (maqasidnnya) dan kaitannya dengannya (dengan mafsadah). Samalah halnya dengan wasilah dan jalan-jalan ke arah ketaatan adalah disukai dan diizinkan bergantung (kecil besarnya) kepada sejauh mana ia membawa kepada maqasidnya (tujuannya). Maka wasilah kepada maqasid mengikut maqasidnya, dan kedua-duanya adalah diiktibar, tetapi yang satu itu diiktibar sebagai maqasid dan yang lain pula diiktibar sebagai wasilah”.

Perkaitan Antara “Sadduz Zaraie” Dan “Maslahah Mursalah”.

Mengambil kira “Sadduz Zaraie” sebagai sumber hukum menguatkan lagi kedudukan “Maslahah Mursalah”. Ini kerana “Sadduz Zaraie” menghalang setiap perkara yang boleh mendatangkan mafsdah, dan ini merupakan satu cabang daripada cabang-cabang maslahah (kerana maslahah ialah menghasilkan kebaikan dan menolak keburukan iaitu mafsadah).

Pengiktibaran “Sadduz Zaraie” merupakan pelengkap kepada “Maslahah Mursalah” dan penyempurnaannya. Bahkan sebahagian contoh praktikal kepada “Sadduz Zaraie” merupakan praktikal kepada “Maslahah Mursalah”. Para fuqaha mazhab Maliki yang terkenal dengan mengambil kira maslahah akan mengambil kira perkara-perkara wasilah ini. Mereka akan mengharamkan wasilah ini jika ia membawa kepada mafsadah, tetapi akan menghalalkannya jika ia membawa kepada maslahah yang lebih besar sekalipun pada asalnya wasilah itu adalah diharamkan. Dan antara contoh praktikal kepada prinsip ini ialah mazhab Maliki mengharuskan Negara Islam (ketika lemah) membayar wang (perlindungan) kepada negara musuh bagi mengelakkan kejahatan mereka (seperti dijajah dan sebagainya). Mereka juga menghalalkan rasuah jika tidak ada lagi cara lain untuk mengelakkan kezaliman melainkan dengannya dengan syarat kezaliman itu lebih buruk mafsadahnya berbanding dengan rasuah tersebut. Mereka juga menghalalkan kepada kerajaan Islam untuk membayar wang kepada Negara musuh bagi menebus kaum muslimin yang tertawan. Semua ini mereka haruskan adalah untuk menolak mafsadah yang lebih besar atau untuk mencari maslahah yang lebih utama.

___________________

[1] Saddu ertinya menyekat. Zaraie pula bererti wasilah atau jalan-jalan untuk sampai kepada sesuatu, samada sesuatu yang baik ataupun yang buruk. Namun, istilah ini hanya digunakan untuk menyekat jalan-jalan yang boleh membawa kepada keburukan. Dan istilah ini digunakan pada perbuatan yang asalnya harus tetapi diharamkan kerana ia boleh membawa kepada keburukan. Perbuatan-perbuatan yang memang asalnya adalah haram dan natijahnya pasti keburukan tidak termasuk dalam istilah ini.

Tuan Mohd Safuan Tuan Ismail, 08/01/2007mlmselasamlm19121427H

Labels: ,

1 Responses to “3.1 - Mengenal Sadduz Zaraie”

  1. # Anonymous Anonymous

    MOHON COPY BAB NI YE..SYUKRAN  

Post a Comment




XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health