Doakan untuk Mahathir - Mukhriz
0 Comments Published by TasekPauh Blogspot on Monday, September 03, 2007 at 11:20 PM.Dato' Mukhriz Mahathir yang ditemui di Masjid Jamek Kampung Baru sebentar tadi berkata, beliau difahamkan sebahagian masjid dan surau seluruh negara mengadakan solat hajat malam ini dan esok untuk mendoakan bapa beliau.
Sebentar tadi, Imam Masjid, Ustaz Ahad Abu Bakar memimpin kira-kira 500 orang jemaah bagi bermunajat kehadrat Allah untuk memberikan kesembuhan segera kepada Mahathir.
Hadir sama menunaikan solat hajat ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Seri Abdul Aziz Shamsudin, Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato' Zaid Ibrahim, bekas Timbalan Menteri Penerangan, Dato' Khalid Yunus, Timbalan Pengerusi Lujnah Ekonomi PAS Pusat, Abdul Rahman Othman dan Presiden Prowaris, Feriz Omar.
Mukhriz berkata, sebagai doktor, bapanya begitu bersedia dan memahami risiko pembedahan jantung kali kedua yang dijangka memakan masa enam jam itu.
Katanya, Dr Mahathir dan keluarga turut mengambil kira faktor umur beliau yang berusia 82 tahun dan ini adalah kali kedua pembedahan dibuat berbanding 18 tahun yang lalu (pembedahan pertama 1989).
"Bagaimanapun bapa saya yakin dengan kepakaran doktor-doktor di IJN dan memahami teknologi yang digunakan jauh lebih canggih dari dahulu," katanya.
Mukhriz berkata, pembedahan yang akan dijalankan esok merupakan keputusan terbaik kerana jika tidak dibedah, tidak dapat dijangka bilakah lagi serangan jantung terhadap bapanya akan berlaku.
Menurutnya, pihak beliau menjangkakan, selepas sembuh dari pembedahan, jika pun serangan jantung berlaku, ia tidaklah seteruk yang dialami di Pulau Langkawi baru-baru ini.
Katanya, pada waktu ini, atas nasihat doktor, tidak dibenarkan mana-mana pengunjung kecuali anggota keluarga terdekat menziarahi Dr Mahathir.
"Tetapi kita faham bahawa ramai mengambil berat tentang bapa dari SMS yang saya terima, kami sekeluarga mengucapkan terima kasih," katanya.
Menurut beliau, berdasarkan nasihat doktor, bukan sahaja kawalan sebaiknya dilakukan sebelum pembedahan, tetapi yang penting, keadaan Dr Mahathir selepas pembedahan juga harus dipastikan, bagi mengelakkan sebarang jangkitan.
Katanya, berapa lama bapa beliau akan sembuh tidak dapat dipastikan kerana faktor usia dan faktor kali kedua pembedahan dilakukan.
"Mungkin ia memakan masa yang agak lama (untuk sembuh sepenuhnya), tetapi buat masa ini kita tidak dapat berikan anggaran," ujarnya.
Sehingga petang tadi katanya, Dr Mahathir begitu bersedia dan berselera makan sambil memesan dibelikan makanan yang digemarinya iaitu kuih koci dan apam manis.
0 Responses to “Doakan untuk Mahathir - Mukhriz”