TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


Bersih tegas berdemo walau tanpa permit

Berita dari mStarOnline, media arus perdana.

Oleh SALHAN K. AHMAD

KUALA LUMPUR, 11 Nov - Gabungan Pilihanraya Bersih (Bersih) akan meneruskan program perhimpunan aman pada 10 November di Dataran Merdeka tanpa mendapatkan permit daripada polis, kata pengerusinya Anuar Tahir.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyatakan perhimpunan aman tidak memerlukan permit, dakwanya.

Anuar berkata gabungan parti pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) itu bagaimanapun tetap mengambil kira saranan Ketua Polis Kuala Lumpur supaya memohon permit untuk menjalankan perhimpunan "Gelombang Kuning" itu.

"Kami ikut nasihat Suhakam. Mereka kata kami tidak perlukan permit, kami cuma perlu beritahu polis untuk buat perhimpunan ini," katanya kepada mStar Online ketika ahli jawatankuasa PAS itu ditemui semasa pelancaran program itu di Pasar Seni di sini hari ini.

"Kami telah bertemu (SAC Zulhasnan Najib Baharuddin) pada hari ini dan mereka nasihatkan supaya kami isi beberapa borang (permohonan mengadakan perhimpunan umum). Itu kami akan bincangkan semasa mesyuarat jawatankuasa pada malam ini," katanya lagi.

"Kami berharap pihak polis akan membantu kami menjalankan perhimpunan ini dengan aman," katanya, yang juga bekas setiausaha agung PKR.

Dalam sidang media sebelum itu, seorang lagi ahli jawatankuasa tersebut berkata mereka telah merancang langkah-langkah yang perlu untuk untuk memastikan perhimpunan tersebut berjalan dengan aman.

Faisal Mustafa berkata mereka akan menugaskan sekumpulan petugas untuk mengawal trafik di sekitar Dataran Merdeka, dan sepanjang jalan semasa perarakan ke Istana Negara.

"Wakil-wakil daripada Suhakam, Transparency International, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Majlis Peguam juga akan berada di kawasan itu untuk memastikan hak asasi peserta perhimpunan itu tidak dicabuli," katanya.

Tambahnya, beberapa kumpulan rakyat Malaysia akan turut mengadakan perhimpunan sama di hadapan pejabat pesuruhjaya dan kedutaan Malaysia di beberapa negara pada hari tersebut.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan kumpulan yang akan menyelaraskan perhimpunan di bandar-bandar tersebut: Seoul, Jakarta, London, New York, Bangkok, Manila dan Brazil.

"Ia mungkin dianggotai oleh rakyat antarabangsa, NGO, pelajar atau rakyat Malaysia prihatin terhadap apa yang kita perjuangkan di sini," katanya.

Terdahulu, naib presiden PAS Mohamad Sabu melancarkan Gelombang Kuning, satu kempen pemakaian warna kuning "bagi menyatakan protes dan bosan terhadap demokrasi yang tinggal hanya 'pada nama' seperti diamalkan di negara ini."

Mohamad, yang juga anggota jawatankuasa Bersih, turut menjelaskan gabungan itu tidak disertai parti-parti komponen Barisan Nasional walaupun pernah diundang.

Sebanyak 67 pertubuhan yang menganggotai Bersih termasuklah parti pembangkang dan NGO.

Labels: , , ,

0 Responses to “Bersih tegas berdemo walau tanpa permit”

Post a Comment




XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health