TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


Pemimpin PAS rai Menteri Palestin

Kuala Lumpur, 26 Jan (Hrkh) - Pemimpin PAS meraikan dua orang Menteri Palestin yang dipimpin Hamas dalam satu majlis khas yang diadakan di ibu negara hari ini.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa meraikan Menteri Kerjaraya dan Perumahan, Ir Abdul Rahman Zaidan, Menteri Hal Ehwal Wanita Dr Maryam Salleh berserta lima delegasi lain yang terdiri daripada anggota-anggota Parlimen dari kerajaan pimpinan Hamas.

Abdul Rahman dan rombongan, singgah di ibu negara selepas menghadiri sidang ahli-ahli parlimen Islam di Indonesia baru-baru ini.

Antara pemimpin PAS yang hadir meraikan tetamu dari Palestin adalah, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Azizah Khatib Mat, Setiausaha Agung, Dato' Kamarudin Jaffar, Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali, Ustaz Hassan Shukri beserta Ustazah Jamilah Ibrahim.

Ustaz Nasharudin berkata, PAS amat berbesar hati untuk meraikan tetamu daripada kerajaan Hamas dan turut mengadakan dialog bagi isu-isu ummah yang menjadi kepentingan bersama.

Menurut beliau, PAS memberikan komitmen yang tinggi untuk terus mendokong dan membantu perjuangan umat Islam Palestin khususnya yang masih menerima tekanan hebat daripada Amerika Syarikat dan Israel.

Setakat ini menurut beliau, hasil daripada keperihatinan umat Islam di seluruh negara, PAS telah berjaya menyalurkan kira-kira RM4.5 juta (1 juta Euro) kepada kerajaan Palestin.

"Kerjasama antara PAS dan Hamas akan terus dijalin dan dipereratkan untuk kepentingan ummah dan berkongsi isu-isu bersama," kata beliau.

Sementara itu Abdul Rahman memberitahu pihaknya berharap menjangkakan rundingan antara Hamas dan Fatah untuk membentuk kerajaan campuran memperolehi hasil yang positif.

Katanya rundingan pusingan kedua telahpun dimulakan di Gaza, Palestin, selepas rundingan antara Presiden Palestin, Mahmoud Abas yang mewakili parti Fatah dengan pemimpin tertinggi Hamas, Khaleed Mashaal di Damsyik, Syria baru-baru ini.

"Kami dari Palestin berasa amat gembira dan terharu dengan sokongan hebat daripada rakyat Malaysia, khususnya pemimpin PAS di dalam membantu dan memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang ditindas dengan zalim," kata beliau.

Beliau yang baru pertama kali dibenarkan keluar daripada Palestin selepas setahun Hamas memenangi Pilihan Raya Palestin berkata, beliau terkejut dengan sambutan yang diterimanya dan mendapati isu Palestin dan al-Quds begitu bermakna bagi rakyat di Timur Jauh.

Dalam pertemuan tersebut, Ustaz Nasharudin juga memberitahu delegasi Hamas bahawa PAS sentiasa bersama denyut nadi perjuangan rakyat Palestin malah beberapa usaha telah dilakukan bagi membantu Hamas membangunkan kerajaannya.

Selain itu beliau turut memaklumkan bahawa PAS telah mengadakan dua kali sidang meja bulat bersama beberapa rangkaian pertubuhan Islam di Asia bagi membincangkan secara khusus konflik yang berlaku di Palestin dan Iraq.

Terdahulu sebelum dialog diadakan, pimpinan wanita Hamas dan Dewan Muslimat PAS Pusat telah berbincang dan bertukar-tukar maklumat mengenai pendekatan kedua-dua sayap parti Hamas dan PAS.

Ustazah Azizah dan Dr Lo'Lo begitu teruja untuk mendengar pandangan Dr Maryam dan Muna yang menceritakan fungsi perwakilan wanita Hamas dan kedudukan wanita di dalam kerajaan Hamas.

Menurut Dr Maryam, setakat ini wanita Hamas diiktiraf sebagai antara wanita yang begitu tinggi taraf pendidikannya kerana rata-rata wanita di sana memiliki sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda dalam pencapaian pendidkan.

Kelebihan itu kata Maryam membantu kepada perjuangan Hamas dalam melahirkan kepimpinan wanita Islam dan pimpinan wanita yang mampu menyumbang ke arah pembangunan sebuah kerajaan yang dipimpin Hamas. /wann/mr.

Labels: , , ,

0 Responses to “Pemimpin PAS rai Menteri Palestin”

Post a Comment




XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health