Hukum Wudhuk Dan Solat Bagi Pesakit Yang Menggunakan Beg Kolostomi
41 Comments Published by TMSTI on Sunday, March 07, 2010 at 11:12 PM.Pada bulan yang lepas (10/12/09), pihak Kelab Stoma HPRZ II, melalui Dr Zaidi telah menjemput saya untuk mengisi satu slot daripada kursus penjagaan stoma yang dianjurkan mereka. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak mereka kerana kesudian menjemput saya, terutamanya Dr Zaidi yang telah memperkenalkan dengan lebih dekat kepada saya berkaitan stoma. Saya juga merasakan apa yang dilakukan mereka adalah satu perkara yang sangat baik dan perlu dicontohi. Ini kerana mereka telah meletakkan satu slot untuk perbincangan hukum-hakam dalam kursus penjagaan kesihatan mereka. Ia sangat membantu para pesakit dan petugas berkaitan dalam beribadah kepada Allah SWT sekalipun dalam keadaan sakit. Dan pujian ini juga telah pun dinyatakan oleh sebahagian peserta kursus.
Untuk slot tersebut, saya telah menyediakan slide show untuk presentation. Saya sudah menyatakan dalam blog saya ini (dalam artikel lepas tentang komen buku Ustaz Yahya Usman) bahawa saya akan menyiarkan artikel berkaitannya, namun agak lewat bagi saya untuk menyiarkannya. Ini kerana saya bercadang untuk membuat satu artikel yang berbentuk ilmiah dan dilengkapkan dengan dalil-dalil. Namun, masa tidak mengizinkan saya, dan akhirnya ia kekal begitu sahaja.
Dan dalam artikel ini, saya ingin kongsikan apa yang saya bentangkan pada hari itu (dengan hanya sedikit tambahan), dan saya menganggap saya perlu menyiarkannya (walau kurang sempurna) kerana ia mungkin berguna untuk kita semua. Apatah lagi sudah ada yang bertanya dalam cbox tentang hukum ini (bila menimpa ayahnya), dan juga ada kenalan terdekat saya yang terpaksa memakai beg kolostomi tersebut.
Sebelum saya membincangkan hukum berkaitan stoma, ada baiknya saya memperkenalkan kolostomi dan stoma (mengikut apa yang saya mampu nyatakan)[1].
Kolostomi ialah satu lubang yang dibuat melalui proses pembedahan pada dinding abdomen yang mana sebahagian kecil daripada usus besar itu dibawa ke permukaan kulit. Lubang buatan yang baru ini, dipanggil sebagai stoma. Ia adalah bertujuan untuk memudahkan najis keluar, tanpa melalui tempat usus yang sakit atau rosak. (kerana tidak boleh dikeluarkan daripada saluran biasa). Kadang-kadang, lubang buatan ini dibuat pada saluran kencing, yang dipanggil urostomi. Dan pesakit yang dibuat stoma akan memakai beg kolostomi.
Bagi pesakit-pesakit yang terpaksa memakai beg kolostomi, kebanyakkan daripada mereka merasa was-was untuk menunaikan solat kerana dua sebab, iaitu ;-
1. Adakah wudhuk mereka terbatal dengan sebab keluar najis tanpa boleh dikawal ke dalam beg kolostomi?
2. Adakah mereka dianggap menganggung najis? Dan adakah mereka perlu mengosongkan beg kolostomi setiap kali mengambil wudhuk atau menunaikan solat?.
Dan di bawah ini ialah dua fatwa yang saya kumpul berkaitan hukum memakai beg kolostomi.
Hukum Wudhuk Dan Solat Bagi Pesakit Yang Menggunakan Beg Kolostomi
1- Keputusan Fatwa Muzakarah Jawatan Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam
Kategori : Perubatan
Tajuk : Hukum Pelaksanaan Ibadah Bagi Pesakit Yang Menggunakan Beg Kolostomi
i. Pesakit yang menggunakan beg kolostami dikategorikan sebagai mereka yang mengalami masalah dharurat dan tidak dianggap sebagai menanggung najis. Oleh itu, mereka tidak perlu mengosong atau membersihkan beg kolostami setiap kali berwudhu' atau menunaikan solat.
ii. Wudhu' yang diambil oleh pesakit harus digunakan untuk melaksanakan semua ibadah termasuk menunaikan solat fardhu sehingga wudhu' tersebut terbatal.
Oleh : Muzakarah Kali Ke-79, Tarikh Keputusan: 6 September 2007
Tarikh Muzakarah : 6 September 2007 hingga 8 September 2007
2- Keputusan Fatwa Negeri Kelantan Darul Naim
Setelah membincangkan isu ini dengan teliti, Mesyuarat Jamaah Ulama’ bersetuju memfatwakan seperti berikut :
1. Pesakit-pesakit yang terpaksa menggunakan beg kolostomi adalah termasuk di dalam golongan orang yang uzur syar’ie dan mereka tidak terikat dengan salah satu syarat yang membatalkan wudu’ untuk menunaikan solat iaitu keluar sesuatu daripada 2 jalan iaitu qubul dan dubur seperti yang disyaratkan kepada orang yang sihat.
2. Oleh itu, wudu’ mereka tidak terbatal walaupun najis keluar ke dalam beg kolostomi mereka. Keadaan mereka dihukumkan sebagaimana hukum seseorang yang mengalami silsu baul (air kencing sentiasa menitik) dan wanita yang mengalami istihadhoh. Dalam kedua-dua keadaan ini, telah disepakati oleh para fuqaha’ bahawa tidak terbatal wudu’ mereka walaupun najis telah keluar daripada 2 kemaluan mereka selepas mereka berwudu’ untuk menunaikan solat.
3. Penggunaan beg kolostomi juga boleh dianggap sebagai usus mekanikal iaitu pengganti kepada usus yang asal dan ia merupakan sebahagian daripada perut. Oleh itu selagi mana najis belum terkeluar daripada beg kolostomi ini, najis itu dikira masih berada di dalam badan pesakit dan wudu’ tidak akan terbatal dengan sebab keluar najis ke dalam beg tersebut.
4. Ketika hendak mengambil wudu’, pesakit-pesakit yang terpaksa menggunakan beg kolostomi ini tidak perlu mengosongkan beg kolostomi mereka setiap kali mengambil wudu’ kerana keuzuran mereka kecuali perkara itu tidak menyusahkan pesakit berkenaan. Mereka dikehendaki mengambil wudu’ apabila telah masuk waktu solat dan menyegerakan pelaksanaan solat sebaik sahaja berwudu’. Rujuk: e-fatwa.gov.my
Inilah dua fatwa yang telah difatwakan di Malaysia yang saya tau berhubung pemakaian beg kolostomi. Dan di sini, saya ingin berkongsi sebaghagian dalil dan hujah-hujah mereka pada pandangan saya.
Hujah-hujah
1- Yang membatalkan wudhuk ialah keluar sesuatu (apa sahaja) daripada dua jalan, iaitu qubul dan dubur. Namun dalam masalah ini najis yang keluar bukanlah daripada dua jalan tersebut. Kerana itu wudhuk mereka tidaklah terbatal.
Berkata Imam Syafie: “…muntah, pendarahan hidung, darah yang keluar bukan daripada jalan hadas, maka tidak perlu berwudhuk…sebagaimana tidak batal wudhuk pada sendawa yang berubah dan juga pada air liur, kerana ia keluar bukan dari tempat keluar hadas (qubul dan dubur)”. Rujuk al-Hawil Kabir, karangan Imam Mawardi.
Berkata Imam Mawardi: “…apa sahaja yang keluar bukan daripada dua jalan tidaklah membatalkan wudhuk, samada yang keluar itu suci seperti air mata dan air liur, atau najis seperti muntah, darah berbekam dan pendarahan hidung…Dan ini adalah pendapat Ibn Umar, Ibn Abbas, (sahabah), Ibn al-Musayyab, al-Qasim bin Muhammad (tabien), Imam Malik, Rabiah dan Abu Thaur.”
Dalam masalah adakah mereka menanggung najis, maka antara hujah yang membenarkan ialah:-
Aisyah r.a. menyatakan bahawa Fatimah binti Abi Hubaisy datang bertanya Nabi s.a.w.: “Wahai Rasulullah, saya seorang perempuan yang istihadhah (sentiasa keluar darah), kerana itu saya tidak suci, adakah saya boleh meninggalkan solat?” Jawab baginda: “Jangan…solatlah sekalipun darah itu menitis ke atas tikar”. Hadis riwayat Ahmad.
Jabir menyatakan bahawa dalam satu peperangan, seorang lelaki dipanah dan darahnya mengalir, namun dia masih meneruskan solatnya dengan rukuk dan bersujud. Hadis riwayat Bukhari “muallaq”.
Al-Hasan (Basri) menyatakan bahawa kaum muslimin sentiasa bersolat sekalipun dengan luka-luka mereka.
Dan sebagai peringatan, saya menyatakan janganlah sekali-kali kita meninggalkan solat walau dalam keadaan apa sekalipun. Bahkan para pesakit lebih patut untuk tidak meninggalkan solat. Firman Allah SWT:
“Tetapi mengapakah ketika datang kepada mereka seksaan kami, mereka tidak merendah diri (berdoa dan bertaubat memohon keampunan), bahkan hati mereka telah menjadi keras dan syaitan (memperdayakan mereka dengan) menampakkan indah (baik) apa yang mereka lakukan”. Surah al-An’am: 43
Dan semoga kita semua terselamat daripada penyakit yang membahayakan. Berdoalah kepada Allah SWT dengan doa ini supaya kita terselamat daripada bahaya penyakit tersebut.
“Segala puji bagi Allah SWT yang memberikanku keafiatan, dan Dia tidak mengujiku (dengan bala ini), dan Dia mengurniakan kepadaku pelbagai kurniaan mengatasi ramai di kalangan makluk-makhlukNya”.
Labels: Ilmu, Isu Semasa, Perubatan
Beberapa Perhatian Mengenai Influenza A (H1N1)
5 Comments Published by TMSTI on Thursday, August 13, 2009 at 2:40 PM.Wabak influenza yang melanda dunia pada hari ini pada asalnya dikenali sebagai sebagai selsema babi. Ini kerana antara punca utama penyakit ini adalah khinzir atau babi. Wabak ini pada mulanya dikesan di Mexico pada bulan April 2009, dan ia merupakan satu strain virus influenza yang baru. Dan pada 30 April 2009, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menamakan sebagai Influenza A (H1N1).
Wabak ini juga sudah melanda Negara kita. Bahkan ia sudah menjadi ancaman yang menakutkan semua pihak. Dan setakat artikel ini ditulis, sudah 44 kematian dicatatkan disebabkan oleh wabak ini di Negara kita. Dalam artikel yang ringkas ini, saya ingin menarik perhatian kepada beberapa perkara berkaitan dengannya.
Pertama: Islam sejak dari dahulu lagi telah mengharamkan kepada para penganutnya memakan daging babi. Bahkan memakan daging babi dianggap sebahagian daripada dosa besar. Dan keharaman memakan daging babi ini merupakan ijmak (consensus) para ulamak, kerana nasnya adalah jelas. Firman Allah SWT:
﴿ إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ ﴾
Ertinya: “Sesungguhnya Allah mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang disembelih kerana selain Allah. Dan sesiapa yang terpaksa, sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tiada dosa ke atasnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. Surah al-Baqarah: 173.
Kedua: Babi merupakan satu binatang yang sangat jijik dan kotor. Ia juga sudah jelas boleh membawa kemudharatan. Kerana itulah Islam mengharamkannya dan tidak menganggapnya sebagai sumber makanan atau sumber ekonomi. Kerana inilah babi disarankan supaya dibunuh dan bukannya dibela dan dipelihara. Bahkan dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda:
لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَنْزِلَ فِيكُمْ ابْنُ مَرْيَمَ حَكَمًا مُقْسِطًا فَيَكْسِرَ الصَّلِيبَ وَيَقْتُلَ الْخِنْزِيرَ
Ertinya: “Tidak akan berlaku qiamat, sehinggalah Nabi Isa akan turun berada di kalangan kamu sebagai pemertintah yang adil. Baginda akan mematahkan salib, membunuh babi…” Hadis riwayat Bukhari dan Muslim. Berkata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani (852H): “Dan maksud baginda membunuh babi (dalam hadis ini ialah), baginda menyuruh supaya dihapuskan babi, untuk menguatkan lagi keharaman memakannya. Dan dalam hadis tersebut terdapat celaan kepada golongan Kristian yang mendakwa mengikut Nabi Isa, namun mereka menghalalkan memakannya dan sangat menyukainya”. (Rujuk Fathul Bari, juz 7, m/s 56, Bab Qatlul Khinzir)
Ketiga: Dengan timbulnya penyakit selsema babi ini, ia menjelaskan lagi apa yang disebutkan sebagai maqasid atau objektif pensyariatan sesuatu hukum. Ini kerana tidak ada satu pun daripada keseluruhan hukum-hukum syarak yang pensyariatannya adalah sia-sia (tanpa tujuan). Di mana sahaja adanya hukum syarak, maka di situ wujudlah kemaslahatan yang ingin dicapai atau kemudharatan yang ingin ditolak dan dijauhi. Mencapai kebaikan atau kemaslahatan dan menolak keburukan atau kemudharatan adalah tujuan bagi setiap hukum syarak. Sesiapa yang mengkaji ayat-ayat suci al-Qur’an dan hadis-hadis Nabawi, sudah tentu dia akan dapati bahawa di mana sahaja ada perintah (suruhan), maka di situ wujudnya maslahah (kebaikan) dan di mana sahaja ada larangan, maka di situ wujudnya mafsadah (keburkan).
Keempat: Wabak selsema babi yang melanda dunia sekarang merupakan satu perkara yang mengajak kita semua menilai siapakah kita. Dengan segala kemajuan dan kehebatan yang dimiliki di zaman ini, manusia sebenarnya adalah makhluk Allah SWT yang lemah. Mereka tidak boleh angkuh dan sombong sehingga sanggup mengenepikan peraturan dan hukum Allah SWT. Setiap tingkah laku kita akan diperhatikan dan akan dinilai oleh Allah SWT. Kerana itu mereka mestilah sentiasa mengingati Allah dengan mengamalkan ajaran dan suruhanNya. Dan bala yang menimpa adalah supaya manusia kembali kepadaNya. Dan orang yang tidak kembali insaf dan bertaubat adalah orang yang keras hatinya dan dia sebenarnya diperdayakan syaitan supaya sentiasa bersamanya, yang mana akhirnya akan menuju ke neraka. Allah SWT berfirman:
﴿ فَلَوْلَا إِذْ جَاءَهُمْ بَأْسُنَا تَضَرَّعُوا وَلَكِنْ قَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطَانُ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ ﴾
Ertinya: “Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri ketika datang siksaan kami kepada mereka? Bahkan hati mereka telah menjadi keras, dan syaitan pula menampakkan cantik kepada mereka apa yang selalu mereka kerjakan”. Surah al-An’am: 43.
Kelima: Wabak yang melanda dunia sekarang juga mengingatkan kita dengan firman Allah SWT:
﴿ ( وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ ﴾
Ertinya: “Dan peliharalah dirimu dari pada siksaan yang tidak hanya khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaanNya”. Surah al-Anfal: 25. Kalaulah kejadian tsunami itu satu perkara yang menakutkan dan ia berlaku hanya dalam sekelip mata, maka wabak ini juga menakutkan dan menimbulkan keresahan kepada semua. Bezanya, wabak ini bergerak secara senyap dan ia telah merentasi dunia keseluruhannya.
Keenam: Islam mengamalkan konsep “Mencegah adalah lebih baik daripada merawat”. Kerana itu, sejak dari awal lagi Islam hanya menghalalkan apa yang baik dan mengharamkan apa yang keji dan kotor. Bahkan antara tugas kedatangan Rasulullah s.a.w. ialah perkara tersebut. Firman Allah SWT:
﴿ يَأْمُرُهُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ ﴾
Ertinya: “ …Baginda menyuruh mereka mengerjakan yang makruf (baik) dan melarang mereka mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk …” Surah al-A’raf: 157.
Namun, setelah timbulnya masalah, Islam menyuruh kita supaya berusaha dan berikhtiar untuk menyelesaikannya. Dan antara cara kita berikhtiar adalah dengan kita solat hajat dan berdoa kepadaNya, selain langkah-langkah pencegahan yang disarankan oleh pihak-pihak yang berkenaan.
Ketujuh: Dan antara doa yang dirasakan sesuai dibaca untuk mengelakkan diri daripada terkena jangkitan penyakit ini ( Influenza A H1N1) ialah doa ini.
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي عَافَانِي وَمَا ابْتَلانِي وَفَضَّلَنِي عَلَى كَثِيرٍ مِنْ خَلْقِهِ تَفْضِيلا
Ertinya: “Segala puji bagi Allah SWT yang memberikanku keafiatan, dan Dia tidak mengujiku (dengan bala ini), dan Dia mengurniakan kepadaku pelbagai kurniaan mengatasi ramai di kalangan makluk-makhlukNya”.
Doa ini sangat sesuai dibaca bagi memohon kepada Allah SWT supaya terselamat daripada wabak yang melanda sekarang. Ini adalah berdasarkan kepada hadis riwayat Abu Hurairah, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
مَنْ رَأَى مُبْتَلًى فَقَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي عَافَانِي مِمَّا ابْتَلَاكَ بِهِ وَفَضَّلَنِي عَلَى كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقَ تَفْضِيلًا لَمْ يُصِبْهُ ذَلِكَ الْبَلَاءُ
Ertinya: “Sesiapa yang melihat orang yang terkena bala, lalu dia membacakan:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي عَافَانِي مِمَّا ابْتَلاكَ بِهِ وَفَضَّلَنِي عَلَى كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقَ تَفْضِيلا
(Segala puji bagi Allah SWT yang memberikanku keafiatan, dan Dia tidak mengujiku dengan bala yang menimpamu ini), dan Dia mengurniakan kepadaku pelbagai kurniaan mengatasi ramai di kalangan makluk-makhlukNya), melainkan dia akan terkena bala (penyakit) tersebut”. Hadis hasan riwayat Tirmizi.
Inilah beberapa perkara yang saya ingin kongsikan bersama dalam artikel yang ringkas ini. semoga ia bermanfaat untuk semua, dan sama-sama kita berdoa, supaya kita semua selamat daripada bala ini.
Labels: Isu Semasa
