TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


Hukum Wudhuk Dan Solat Bagi Pesakit Yang Menggunakan Beg Kolostomi

Pada bulan yang lepas (10/12/09), pihak Kelab Stoma HPRZ II, melalui Dr Zaidi telah menjemput saya untuk mengisi satu slot daripada kursus penjagaan stoma yang dianjurkan mereka. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak mereka kerana kesudian menjemput saya, terutamanya Dr Zaidi yang telah memperkenalkan dengan lebih dekat kepada saya berkaitan stoma. Saya juga merasakan apa yang dilakukan mereka adalah satu perkara yang sangat baik dan perlu dicontohi. Ini kerana mereka telah meletakkan satu slot untuk perbincangan hukum-hakam dalam kursus penjagaan kesihatan mereka. Ia sangat membantu para pesakit dan petugas berkaitan dalam beribadah kepada Allah SWT sekalipun dalam keadaan sakit. Dan pujian ini juga telah pun dinyatakan oleh sebahagian peserta kursus.

Untuk slot tersebut, saya telah menyediakan slide show untuk presentation. Saya sudah menyatakan dalam blog saya ini (dalam artikel lepas tentang komen buku Ustaz Yahya Usman) bahawa saya akan menyiarkan artikel berkaitannya, namun agak lewat bagi saya untuk menyiarkannya. Ini kerana saya bercadang untuk membuat satu artikel yang berbentuk ilmiah dan dilengkapkan dengan dalil-dalil. Namun, masa tidak mengizinkan saya, dan akhirnya ia kekal begitu sahaja.

Dan dalam artikel ini, saya ingin kongsikan apa yang saya bentangkan pada hari itu (dengan hanya sedikit tambahan), dan saya menganggap saya perlu menyiarkannya (walau kurang sempurna) kerana ia mungkin berguna untuk kita semua. Apatah lagi sudah ada yang bertanya dalam cbox tentang hukum ini (bila menimpa ayahnya), dan juga ada kenalan terdekat saya yang terpaksa memakai beg kolostomi tersebut.


Sebelum saya membincangkan hukum berkaitan stoma, ada baiknya saya memperkenalkan kolostomi dan stoma (mengikut apa yang saya mampu nyatakan)[1].

Kolostomi ialah satu lubang yang dibuat melalui proses pembedahan pada dinding abdomen yang mana sebahagian kecil daripada usus besar itu dibawa ke permukaan kulit. Lubang buatan yang baru ini, dipanggil sebagai stoma. Ia adalah bertujuan untuk memudahkan najis keluar, tanpa melalui tempat usus yang sakit atau rosak. (kerana tidak boleh dikeluarkan daripada saluran biasa). Kadang-kadang, lubang buatan ini dibuat pada saluran kencing, yang dipanggil urostomi. Dan pesakit yang dibuat stoma akan memakai beg kolostomi.

Bagi pesakit-pesakit yang terpaksa memakai beg kolostomi, kebanyakkan daripada mereka merasa was-was untuk menunaikan solat kerana dua sebab, iaitu ;-

1. Adakah wudhuk mereka terbatal dengan sebab keluar najis tanpa boleh dikawal ke dalam beg kolostomi?

2. Adakah mereka dianggap menganggung najis? Dan adakah mereka perlu mengosongkan beg kolostomi setiap kali mengambil wudhuk atau menunaikan solat?.

Dan di bawah ini ialah dua fatwa yang saya kumpul berkaitan hukum memakai beg kolostomi.

Hukum Wudhuk Dan Solat Bagi Pesakit Yang Menggunakan Beg Kolostomi

1- Keputusan Fatwa Muzakarah Jawatan Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam

Kategori : Perubatan

Tajuk : Hukum Pelaksanaan Ibadah Bagi Pesakit Yang Menggunakan Beg Kolostomi

i. Pesakit yang menggunakan beg kolostami dikategorikan sebagai mereka yang mengalami masalah dharurat dan tidak dianggap sebagai menanggung najis. Oleh itu, mereka tidak perlu mengosong atau membersihkan beg kolostami setiap kali berwudhu' atau menunaikan solat.

ii. Wudhu' yang diambil oleh pesakit harus digunakan untuk melaksanakan semua ibadah termasuk menunaikan solat fardhu sehingga wudhu' tersebut terbatal.

Oleh : Muzakarah Kali Ke-79, Tarikh Keputusan: 6 September 2007

Tarikh Muzakarah : 6 September 2007 hingga 8 September 2007

2- Keputusan Fatwa Negeri Kelantan Darul Naim

Setelah membincangkan isu ini dengan teliti, Mesyuarat Jamaah Ulama’ bersetuju memfatwakan seperti berikut :

1. Pesakit-pesakit yang terpaksa menggunakan beg kolostomi adalah termasuk di dalam golongan orang yang uzur syar’ie dan mereka tidak terikat dengan salah satu syarat yang membatalkan wudu’ untuk menunaikan solat iaitu keluar sesuatu daripada 2 jalan iaitu qubul dan dubur seperti yang disyaratkan kepada orang yang sihat.

2. Oleh itu, wudu’ mereka tidak terbatal walaupun najis keluar ke dalam beg kolostomi mereka. Keadaan mereka dihukumkan sebagaimana hukum seseorang yang mengalami silsu baul (air kencing sentiasa menitik) dan wanita yang mengalami istihadhoh. Dalam kedua-dua keadaan ini, telah disepakati oleh para fuqaha’ bahawa tidak terbatal wudu’ mereka walaupun najis telah keluar daripada 2 kemaluan mereka selepas mereka berwudu’ untuk menunaikan solat.

3. Penggunaan beg kolostomi juga boleh dianggap sebagai usus mekanikal iaitu pengganti kepada usus yang asal dan ia merupakan sebahagian daripada perut. Oleh itu selagi mana najis belum terkeluar daripada beg kolostomi ini, najis itu dikira masih berada di dalam badan pesakit dan wudu’ tidak akan terbatal dengan sebab keluar najis ke dalam beg tersebut.

4. Ketika hendak mengambil wudu’, pesakit-pesakit yang terpaksa menggunakan beg kolostomi ini tidak perlu mengosongkan beg kolostomi mereka setiap kali mengambil wudu’ kerana keuzuran mereka kecuali perkara itu tidak menyusahkan pesakit berkenaan. Mereka dikehendaki mengambil wudu’ apabila telah masuk waktu solat dan menyegerakan pelaksanaan solat sebaik sahaja berwudu’. Rujuk: e-fatwa.gov.my

Inilah dua fatwa yang telah difatwakan di Malaysia yang saya tau berhubung pemakaian beg kolostomi. Dan di sini, saya ingin berkongsi sebaghagian dalil dan hujah-hujah mereka pada pandangan saya.

Hujah-hujah

1- Yang membatalkan wudhuk ialah keluar sesuatu (apa sahaja) daripada dua jalan, iaitu qubul dan dubur. Namun dalam masalah ini najis yang keluar bukanlah daripada dua jalan tersebut. Kerana itu wudhuk mereka tidaklah terbatal.


قال الشافعي رضي الله عنه: وما كان سوى ذلك من قيء أو رعاف أو دم خرج من غير مخرج الحدث فلا وضوء في ذلك كما أنه لا وضوء في الجشأ المتغير ولا البصاق لخروجهما من غير مخرج الحدث. – الحاوي الكبير للماوردي، ج 1، ص 199، ط 1، 1994م، دار الكتب العلمية، بيروت.

Berkata Imam Syafie: “…muntah, pendarahan hidung, darah yang keluar bukan daripada jalan hadas, maka tidak perlu berwudhuk…sebagaimana tidak batal wudhuk pada sendawa yang berubah dan juga pada air liur, kerana ia keluar bukan dari tempat keluar hadas (qubul dan dubur)”. Rujuk al-Hawil Kabir, karangan Imam Mawardi.

قال الماوردي: وهذا كما قال ما خرج من البدن من غير السبيلين لا ينقض الوضوء سواء كان طاهرا كالدموع والبصاق أو كان نجسا كالقيء ودم الحجامة والفصاد والرعاف، وإنما عليه غسل ما ظهر من النجاسة على بدنه، وبه قال من الصحابة عبد الله بن عمر وابن عباس، ومن التابعين ابن المسيب والقاسم بن محمد، ومن الفقهاء مالك وربيعة وأبو ثور.
الحاوي الكبير للماوردي، ج 1، ص 200، ط 1، 1994م، دار الكتب العلمية، بيروت.

Berkata Imam Mawardi: “…apa sahaja yang keluar bukan daripada dua jalan tidaklah membatalkan wudhuk, samada yang keluar itu suci seperti air mata dan air liur, atau najis seperti muntah, darah berbekam dan pendarahan hidung…Dan ini adalah pendapat Ibn Umar, Ibn Abbas, (sahabah), Ibn al-Musayyab, al-Qasim bin Muhammad (tabien), Imam Malik, Rabiah dan Abu Thaur.”

Dalam masalah adakah mereka menanggung najis, maka antara hujah yang membenarkan ialah:-

عَنْ عَائِشَةَ جَاءَتْ فَاطِمَةُ بِنْتُ أَبِي حُبَيْشٍ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي امْرَأَةٌ أُسْتَحَاضُ فَلَا أَطْهُرُ أَفَأَدَعُ الصَّلَاةَ قَالَ لَا اجْتَنِبِي الصَّلَاةَ أَيَّامَ مَحِيضِكِ ثُمَّ اغْتَسِلِي وَتَوَضَّئِي لِكُلِّ صَلَاةٍ ثُمَّ صَلِّي وَإِنْ قَطَرَ الدَّمُ عَلَى الْحَصِيرِ

Aisyah r.a. menyatakan bahawa Fatimah binti Abi Hubaisy datang bertanya Nabi s.a.w.: “Wahai Rasulullah, saya seorang perempuan yang istihadhah (sentiasa keluar darah), kerana itu saya tidak suci, adakah saya boleh meninggalkan solat?” Jawab baginda: “Jangan…solatlah sekalipun darah itu menitis ke atas tikar”. Hadis riwayat Ahmad.

وَيُذْكَرُ عَنْ جَابِرٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ فِي غَزْوَةِ ذَاتِ الرِّقَاعِ فَرُمِيَ رَجُلٌ بِسَهْمٍ فَنَزَفَهُ الدَّمُ فَرَكَعَ وَسَجَدَ وَمَضَى فِي صَلَاتِهِ
وَقَالَ الْحَسَنُ مَا زَالَ الْمُسْلِمُونَ يُصَلُّونَ فِي جِرَاحَاتِهِمْ

Jabir menyatakan bahawa dalam satu peperangan, seorang lelaki dipanah dan darahnya mengalir, namun dia masih meneruskan solatnya dengan rukuk dan bersujud. Hadis riwayat Bukhari “muallaq”.

Al-Hasan (Basri) menyatakan bahawa kaum muslimin sentiasa bersolat sekalipun dengan luka-luka mereka.

Dan sebagai peringatan, saya menyatakan janganlah sekali-kali kita meninggalkan solat walau dalam keadaan apa sekalipun. Bahkan para pesakit lebih patut untuk tidak meninggalkan solat. Firman Allah SWT:

فَلَوْلَا إِذْ جَاءَهُمْ بَأْسُنَا تَضَرَّعُوا وَلَكِنْ قَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطَانُ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

“Tetapi mengapakah ketika datang kepada mereka seksaan kami, mereka tidak merendah diri (berdoa dan bertaubat memohon keampunan), bahkan hati mereka telah menjadi keras dan syaitan (memperdayakan mereka dengan) menampakkan indah (baik) apa yang mereka lakukan”. Surah al-An’am: 43

Dan semoga kita semua terselamat daripada penyakit yang membahayakan. Berdoalah kepada Allah SWT dengan doa ini supaya kita terselamat daripada bahaya penyakit tersebut.

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي عَافَانِي وَمَا ابْتَلانِي وَفَضَّلَنِي عَلَى كَثِيرٍ مِنْ خَلْقِهِ تَفْضِيلا

“Segala puji bagi Allah SWT yang memberikanku keafiatan, dan Dia tidak mengujiku (dengan bala ini), dan Dia mengurniakan kepadaku pelbagai kurniaan mengatasi ramai di kalangan makluk-makhlukNya”.

[1] A colostomy is a surgically created opening in the abdomen through which a small portion of the colon is brought up to the surface of the skin. This new opening, called a stoma, allows stool to pass directly out of the body, bypassing a diseased or damaged section of the colon. …A stoma is an artificial opening to or from the intestine (which is also known as the gut or bowel) on the abdominal wall usually created by a surgeon. Occasionally, it is an artificial opening in the urinary tract, called a urostomy. (rujuk www.stomacare.org.my)

Labels: , ,

Ciri-Ciri Orang Yang Beriman (Siri 5)

Keempat puluh satu: Tidak akan meniru atau terpengaruh dengan orang-orang yang kafir dan yang dimurkai Allah SWT, samada dalam pemikiran, perbuatan, penampilan atau sebagainya. Firman Allah SWT:Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang kafir”. Surah Ali Imran: 156. Mereka juga tidak akan meniru gaya dan tingkah laku orang yang lupakan Allah SWT. Bahkan contoh mereka adalah para Nabi-nabi dan salafus soleh. Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasiq”. Surah al-Hasyr: 19.

Mereka lebih suka dengan identiti keimanan yang ada pada mereka sendiri. Ini kerana mereka memahami itulah yang terbaik untuk mereka. Firman Allah SWT: “Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (kedudukannya), jika kamu orang-orang yang beriman”. Surah Ali Imran: 139.

Keempat puluh dua: Orang yang beriman tidak akan melampau dalam menilai sesuatu sehingga mengharamkan apa yang dihalalkan Allah atau sebaliknya. Firman Allah SWT:Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan kepada kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak sukakan orang-orang yang melampaui batas”. Surah al-Maidah: 87.

Keempat puluh tiga: Orang yang beriman adalah orang yang amanah. Mereka memahami bahawa merosakkan amanah merupakan sikap orang munafiq. Firman Allah SWT:Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepada kamu, sedang kamu mengetahui (wajib taat dan menunaikannya)”. Surah al-Anfal: 27. Anas bin malik menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. dalam banyak ucapan khutbahnya menyebut:

لاَ إِيْمَانَ لِمَنْ لاَ أَمَانَةَ لَهُ، وَلاَ دِيْنَ لِمَنْ لاَ عَهْدَ لَهُ.

Ertinya: “Tidak ada iman kepada orang yang tiada amanah, dan tiada agama kepada orang yang tiada janji”. Hadis riwayat Ahmad, dan Syeikh Syuaib al-Arnauth menganggapnya hadis hasan.

Keempat puluh empat: Orang yang beriman akan sentiasa bersama orang yang benar-benar mentaati Allah. Mereka tidak akan suka untuk bersama dengan golongan yang menderhakai Allah, apatah lagi yang merendah-rendahkan agama. Firman Allah SWT:Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang benar”. Surah at-Taubah: 119. Mereka tidak akan bersama golongan yang bid’ah yang berfahaman dengan ideologi-ideologi baru atau ajaran sesat, apatah yang menghina agama mereka. Firman Allah SWT: Dan sungguh Allah telah turunkan kepada kamu di dalam Al Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diengkari dan dipermain-mainkan, maka janganlah kamu duduk bersama mereka, sehingga mereka bercakap perkara yang lain. Sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam (neraka) Jahannam”. Surah an-Nisa’: 140.

Mereka juga tidak akan bersama dengan golongan yang jelas-jelas melakukan kemaksiatan kepada Allah SWT. Jabir r.a. menyatakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ، فَلاَ يَجْلِسْ عَلَى مَائِدَةٍ يُدَارُ عَلَيْهَا الْخَمْرُ.

Ertinya: “Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia duduk pada hidangan yang dihidangkan arak”. Hadis riwayat Tirmizi dan al-Hakim, dan beliau menganggapnya sohih mengikut syarat Imam Muslim dan diakui az-Zahabi.

Keempat puluh lima: Di antara sikap orang yang beriman yang sebenar ialah bergaul dengan orang ramai dan bukannya hidup bersendirian. Ini kerana mereka memahami dengan pergaulan mereka mampu berdakwah dan amar makruf serta nahi munkar. Lagipun bergaul merupakan sikap keseluruhan Rasul yang diutuskan Allah SWT. Sabda Nabi s.a.w.:

الْمُؤْمِنُ الَّذِيْ يُخَالِطُ النَّاسَ وَيَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ أَعْظَمُ أَجْرًا مِنَ الَّذِيْ لاَ يُخَالِطُهُمْ وَلاَ يَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ

Ertinya: “Orang beriman yang bergaul dengan orang ramai dan mampu bersabar dengan kejahatan mereka adalah lebih banyak pahalanya daripada orang beriman yang tidak bergaul dan tidak mampu bersabar dengan kejahatan orang ramai”. Hadis riwayat Ahmad dengan sanad yang sohih.

Tambahan lagi mereka memahami bahawa syaitan sukakan orang yang bersendirian. Saidina Umar r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda dalam khutbah baginda:

فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ، وَهُوَ مِنَ الاثْنَيْنِ أَبْعَدُ، لاَ يَخْلُوَنَّ أَحَدُكُمْ بِامْرَأَةٍ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ ثَالِثُهُمَا

Ertinya: “Sesungguhnya syaitan itu bersama dengan orang yang bersendirian. Dan dengan orang yang berdua itu, dia lebih jauh. (Namun,) janganlah kamu berdua-duaan dengan seorang perempuan, kerana yang ketiganya adalah syaitan”. Hadis riwayat Ahmad dengan sanad yang sohih.

Keempat puluh enam: Orang yang beriman adalah orang yang beradab dan berpertauran. Kehidupan mereka adalah teratur dan beradab kerana keimanan yang ada pada mereka. Mereka tidak akan masuk ke rumah orang lain tanpa keizinan terlebih dahulu. Firman Allah SWT:Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum kamu meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu (selalu) ingat. Jika kamu tidak dapati seorangpun di dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu diberikan keizinan. Dan jika dikatakan kepadamu: "Pulanglah”, maka hendaklah kamu pulang. Itu lebih bersih bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”. Surah an-Nur: 27-28.

Sebagaimana mereka mempunyai adab di luar rumah, mereka juga mempunyai adab-adab dalam rumah. Firman Allah SWT:Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba (lelaki dan wanita) yang kamu miliki, dan orang-orang yang belum baligh di antara kamu, meminta izin kepada kamu tiga kali (dalam satu hari) iaitu: sebelum solat subuh, ketika kamu menanggalkan pakaian (luar)mu di tengah hari dan sesudah solat isyak. (Itulah) tiga aurat bagi kamu. Tidak ada dosa atasmu dan tidak (pula) atas mereka selain daripada (tiga waktu) itu. Kamu dan mereka saling pergi mari (kerana keperluan masing-masing). Demikianlah Allah menjelaskan hukum hakam untuk kamu. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”. Dan apabila kanak-kanak di kalangan kamu telah sampai umur baligh, maka hendaklah mereka meminta izin, seperti orang-orang yang sebelum mereka meminta izin (setiap masa). Demikianlah Allah menjelaskan hukum hakamNya. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”. Surah an-Nur: 58-59.

Mereka juga mempunyai adab bila bersama orang ramai dalam majlis. Firman Allah SWT:Wahai orang-orang yang beriman apabila dikatakan kepadamu: "lapangkanlah (berikanlah ruang) dalam majlis", maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan kepadamu. Dan apabila dikatakan: "Bangunlah kamu (untuk perkara-perkara kebaikan)", maka bangunlah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”. Surah al-Mujadilah: 11.

Keempat puluh tujuh: Orang beriman yang sebenar tidak akan memperlekeh dan menghina orang Islam yang lain. Firman Allah SWT:Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan lelaki mempermainkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang dipermainkan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan mempermainkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang dipermainkan itu lebih baik dari mereka. Dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri (mencela antara sesama mukmin kerana orang-orang mukmin seperti satu tubuh). Dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandungi ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) fasiq sesudah keimanan (seperti: Hai fasik, Hai kafir dan sebagainya kepada orang yang beriman). Dan sesiapa yang tidak bertaubat, maka mereka adalah orang-orang yang zalim”. Surah al-Hujurat: 11.

Mereka juga tidak akan buruk sangka sesama mereka dan tidak akan memperburukkan orang lain. Firman Allah SWT:Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka (kecurigaan), kerana sebahagian daripada prasangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang lain dan janganlah mengumpati satu sama lain. Adakah seorang di kalangan kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”. Wahai manusia, sesungguhnya Kami ciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di kalangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali”. Surah al-Hujurat: 12-13.

Keempat puluh lapan: Orang beriman yang sebenar adalah orang yang sekata antara lidah dan perilakunya. Mereka bukanlah orang yang hanya pandai bercakap dan berteori, namun tidak mempraktikkannya. Firman Allah SWT:Wahai orang-orang yang beriman, mengapakah kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak lakukan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu lakukan”. Surah as-Sof: 2-3.

Mereka tidak akan meniru perangai sebahagian pendeta Yahudi yang hanya pandai bercakap, tetapi tidak beramal dengan ilmunya. Firman Allah SWT: “Adakah patut kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebaikan, sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri, padahal kamu membaca al-Kitab (Taurat)? Maka tidakkah kamu berpikir”? Surah al-Baqarah: 44.

Keempat puluh sembilan: Orang yang beriman akan sentiasa bersedia untuk akhirat. Mereka mengetahui bahawa kehidupan akhirat adalah lebih kekal, kerana itu persediaan mereka untuknya adalah lebih banyak. Firman Allah SWT:Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri melihatkan apa yang telah disediakannya untuk hari esok (akhirat). Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan”. Surah al-Hasyr: 18.

Mereka meyakini bahawa dunia ini hanyalah tempat ujian, dan akhirat adalah kehidupan yang sebenar. Firman Allah SWT: “Dan tidaklah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui”. Surah al-Ankabut: 64.

Orang yang beriman tidak akan terpesona dengan kehidupan dunia, sekalipun orang yang kafir hidup dengan penuh kemewahan dan kaya raya. Mereka akan merasakan tiada nilai dalam kehidupan jika tiada ketaatan kepada Allah padanya. Firman Allah SWT: “Katakanlah: "Dengan kurniaan Allah dan rahmatNya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurniaan Allah dan rahmatNya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan". Surah Yunus: 58.

Mereka memahami dunia ini tiada nilai di sisi Allah SWT. Sahl bin Saad r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

لَوْ كَانَتِ الدُّنْيَا تَعْدِلُ عِنْدَ اللهِ جَنَاحَ بَعُوْضَةٍ مَا سَقَى كَافِرًا مِنْ شُرْبَةِ مَاءٍ.

Ertinya: “Kalaulah dunia ini bernilai di sisi Allah seberat sayap nyamuk sekalipun, maka Allah tidak akan berikan orang kafir walau seteguk air”. Hadis riwayat Tirmizi dan beliau berkata hadis sohih gharib. Al-Albani juga menganggapnya sohih.

Kelima puluh: Sangat menjaga masa dan tidak mensia-siakannya. Segala masa yang diberikan mereka akan gunakan sebaik mungkin, kerana semuanya mesti menjadi pengabdian kepada Allah SWT dan bekalan di akhirat nanti. Firman Allah SWT:1. Demi masa. 2. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, 3. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati dengan kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran”. Surah al-Asr: 1-3.

Inilah sebahagian daripada sifat orang yang beriman. Untuk mengenali lagi sifat-sifat orang yang beriman, maka kita hendaklah mengenali dengan lebih dekat lagi para Nabi dan Rasul. Ini kerana merekalah orang yang benar-benar beriman. Dan perincian terhadap keseluruhan sifat-sifat orang yang beriman terkandung dalam al-Qur’an dan juga Hadis Nabi s.a.w. Kerana itu kedua-dua sumber tersebut hendaklah sentiasa dipelajari dan dikaji oleh para mukmin supaya timbulnya sikap yang baik yang perlu ada pada seorang mukmin. Sikap inilah yang akan membawa kejayaan kepada individu muslim dan juga umat Islam dunia dan akhirat.

Tulisan: Tuan Mohd Safuan Tuan Ismail (KIAS, Nilam Puri)


Labels:

Bilakah Rasulullah S.A.W. Berhijrah Ke Madinah?

Bilakah Rasulullah S.A.W. Berhijrah Ke Madinah?

Setiap kali menjelangnya awal Muharram, kita semua akan diingatkan dengan peristiwa hijrah Rasul. Ini kerana peristiwa hijrah Rasul merupakan satu perkara yang sangat penting dalam sejarah, bukan sahaja kepada kita kaum muslimin, bahkan juga alam keseluruhannya. Betapa tidak, hijrah telah mengubah corak peradaban dunia. Dan kesannya masih boleh dilihat dan dikecapi sehingga hari ini.

Umat Islam telah menjadikan peristiwa hijrah Rasul sebagai permulaan tahun dalam kalendar Islam. Kerana itu, setiap kali tahun Islam disebut, ia akan dinyatakan dengan hijrah. Sebagai contoh: “tahun 1429H akan meninggalkan kita tidak lama lagi, dan tahun 1430H pula akan menyusul”. Huruf H yang diletakkan di hujung angka tahun itu adalah singkatan kepada hijrah, sebagaimana yang kita semua maklum.

Disebabkan permulaan tahun hijrah adalah pada bulan Muharram, mungkin ramai yang keliru dan menganggap bahawa hijrah Rasul berlaku pada 1hb Muharram. Sebenarnya hijrah Rasul bukanlah berlaku pada bulan Muharram, bahkan ia berlaku pada bulan Rabiul Awwal. Syeikh Sofyurrahman al-Mubarakfuri menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. meninggalkan rumah pada malam 27 Safar tahun ke 14 daripada kenabian. Ia bersamaan 12 atau 13hb September 622M. Kemudian, baginda bersembunyi di dalam gua selama tiga malam, iaitu malam Jumaat, Sabtu dan Ahad. Dan pada malam Isnin, 1 Rabiul Awwal, bersamaan 16 September 622M, baginda berdua beredar meninggalkan gua bersama dengan Abdullah bin Uraiqith, yang memandu jalan. Baginda sampai di Quba’ pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, tahun pertama Hijrah. Ia bersamaan dengan 23 September 622M. Baginda berada di Quba’ selama empat hari, iaitu hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Pada hari kelima, iaitu hari Jumaat, 12 Rabiul Awwal, baginda sampai ke Madinah. (Ringkasan kitab ar-Rahiqul Makhtum, m/s 154-166).

Persoalannya, kenapakah hijrah dimulakan pada bulan Muharram, sedangkan hijrah Rasul berlaku pada bulan Rabiul Awwal? Sebenarnya, permulaan bilangan tahun hijrah, sekalipun dihitung bermula dengan hijrah Rasul, namun ia hanya bermula pada zaman pemerintahan Saidina Umar r.a. iaitu pada tahun ke 17 Hijrah. Ada juga yang menyatakan pada Rabiul Awwal tahun ke 16 hijrah[1]. Sebelum dari tarikh tersebut, umat Islam sudahpun mempunyai nama-nama bulan, namun mereka tidak menentukan tahunnya.

Terdapat banyak faktor yang mendorong Saidina Umar menentukan tarikh, antaranya ialah kerana kerana Saidina Umar menerima satu surat tentang pengumpulan harta, dan ia bertulis pada bulan Sya'ban. Beliau bertanya: Sya'ban yang mana satu, Sya'ban yang lepas, atau Sya'ban sekarang, atau Sya'ban akan datang? Ada juga yang menyatakan bahawa orang pertama yang menulis tentang tarikh ialah Ya’la bin Umayyah r.a.. Beliau telah menulis surat dari Yaman, kepada Saidina Umar dengan menulis tarikh, dan Saidina Umar menganggap baik perkara tersebut, akhirnya beliau ingin memulakan penentuan tarikh. Antara faktornya juga ialah Abu Musa al-Asy’ari telah menulis satu surat kepada Saidina Umar, menyatakan bahawa telah sampai kepada beliau banyak surat-surat daripada Saidina Umar tanpa tarikh (dan ini boleh menimbulkan kekeliruan). Lalu Saidina Umar mengumpulkan para sahabat untuk membincangkan tentang penentuan tarikh.

Setelah Saidina Umar r.a. mengumpulkan para sahabat untuk menentukan permulaan tarikh, timbul empat cadangan dalam menentukan permulaan tahun Islam. Empat perkara tersebut ialah daripada tarikh kelahiran baginda, atau dari tarikh baginda dibangkitkan menjadi rasul, dari tarikh hijrah atau dari tarikh kewafatan baginda. Lalu akhirnya mereka sepakat untuk menjadikan hijrah Rasul sebagai asas permulaan tarikh Islam. Mereka tidak menjadikan tarikh kelahiran dan kebangkitan sebagai asas, kerana terdapat khilaf tentang bilakah kedua-dua peristiwa tersebut berlaku. Dan tarikh kewafatan pula, sekalipun jelas waktunya, adalah tidak sesuai dijadikan permulaan tarikh, kerana ia merupakan tarikh yang amat menyedihkan. Jadi tidak sesuai tarikh yang sedar diambil untuk diulang-ulangi sebutannya. Kerana itulah peristiwa hijrah adalah peristiwa yang paling sesuai untuk dijadikan asas permulaan tarikh. Kerana inilah, bila timbulnya pelbagai pendapat tentang bilakah asas yang sesuai untuk dimulakan tarikh, Saidina Umar menyatakan kata-katanya yang masyhur,

الهجرة فرقت بين الحق والباطل، فأرخوا بها

Hijrahlah yang membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Maka jadikanlah ia asas permulaan tarikh”.

Berkata al-Imam as-Suhaili, para sahabat sebenarnya mengambil asas tahun hijrah berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah Ayat 108 yang bermaksud:

Sesungguhnya masjid yang diasaskan di atas ketaqwaan (Masjid Quba’) sejak dari hari pertama adalah lebih patut kamu bersolat di dalamnya”. Surah at-Taubah: 108. Terangnya lagi: “Ini kerana sudah jelas bahawa hari tersebut bukanlah hari pertama yang sebenar (permulaan umur dunia). Bahkan hari pertama yang disandarkan kepada sesuatu yang tidak dinyatakan dalam ayat tersebut, iaitu zaman pertama kemenangan Islam, dan zaman pertama Nabi s.a.w. boleh beribadah dengan aman (tanpa sebarang gangguan) dan zaman permulaan pembinaan masjid”. Kerana itulah sepakat para sahabat memulakan tahun Islam dengan tarikh hijrah, iaitu hari pertama Nabi s.a.w. dan para sahabat memasuki Madinah.

Dan setelah para sahabat sepakat untuk menjadikan peristiwa hijrah sebagai asas permulaan tahun Islam, mereka membincangkan pula, tentang dari bulan manakah kita akan mulakan perhitungan tahun. Maka timbullah pelbagai pendapat. Ada yang mencadangkan supaya dimulakan dengan rejab, dan ada pula dengan ramadhan. Namun Saidina Usman mencadangkan supaya dimulakan dengan bulan muharram. Antara alasannya ialah ia adalah bulan haram (bulan yang dihormati oleh masyarakat arab, kerana diharamkan berperang padanya), dan ia juga adalah masa kembalinya para jemaah daripada menunaikan ibadah haji. Dan antara sahabat yang juga mencadangkan bulan muharram ialah Saidina Umar dan Saidina Ali. Akhirnya, mereka telah memilih bulan muharram sebagai permulaan tahun hijrah, dan bukannya rabiul awwal. Dan antara sebab yang mungkin paling tepat kerana memilih bulan muharram dan bukannya bulan rabiul awwal ialah, kerana permulaan keazaman untuk berhijrah adalah pada bulan muharram. Ini kerana perjanjian Aqabah berlaku pada bulan zulhijjah. Dan perjanjian tersebutlah yang membawa kepada peristiwa hijrah. Dan bulan pertama yang muncul setelah zulhijjah ialah muharram, kerana itu sesuai dijadikan muharram sebagai bulan pertama, kalendar tahun umat Islam.

Inilah sebahagian fakta yang berkaitan dengan persoalan tarikh hijrah. Semoga fakta ini, sedikit sebanyak menghilangkan kekeliruan tentang persoalan bilakah sebenarnya berlaku peristiwa hijrah Nabi s.a.w. Hijrah sebenarnya mengingatkan kita tentang pengorbanan dan matlamat perjuangan umat Islam. Hijrah juga menginsafkan kita bahawa kita sentiasa bergerak menuju Allah SWT. Kerana itu kita sentiasa perlu menambahkan kebaikan dan amal soleh kita. Orang yang berhijrah adalah orang yang berusaha meninggalkan dosa-dosa dan maksiat. Dan perkara itu tidak akan tercapai melainkan dengan keazaman yang tinggi. Sama-samalah kita berhijrah kerana Allah untuk sampai kepada Allah. Dan ingatlah bahawa orang yang berhijrah sentiasa memerlukan bimbingan Allah dalam hijrahnya menuju Allah. Hijrah bukan kerana Allah adalh sia-sia,dan hijrah tanpa bimbingan Allah, tidak akan sampai ke destinasinya.

  • Sumber utama artikel ini ialah kitab Fathul Bari, Syarah Sohih Bukhari. (Kitab Manaqib al-Ansar, bab at-Tarikh, juz 7, m/s 341, 342).


[1] Berdasarkan peristiwa ini, kita berpendapat bahawa fadhilat yang dinyatakan dalam membaca doa awal tahun dan doa akhir tahun adalah palsu. Ini kerana pada zaman baginda, belum ditentukan lagi permulaan tahun. Dan tiada yang boleh menyatakan fadhilat seseuatu kecuali Allah dan rasulNya. Dan sesungguhnya agama Islam itu sudah sempurna. Dan amalan tersebut tiada dijumpai asasnya dalam kitab-kitab hadis.

Labels: ,

Ciri-Ciri Orang Yang Beriman (Siri 4)

Ketiga puluh satu: Menjaga adab percakapan dan tidak melaknat dan bercakap lucah. Daripada Ibnu Mas’ud r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:

لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ، وَلاَ اللَّعَّانِ، وَلاَ الْفَاحِشِ وَلاَ الْبَذِيءِ. رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ وَقَالَ حَدِيثٌ حَسَنٌ.

Ertinya: “Bukanlah seorang mukmin orang yang suka mencela, suka melaknat dan yang keji (samada perkataannya atau perbuatannya) dan yang kotor mulutnya (sekalipun perkataanya itu benar)”. Hadis riwayat Tirmizi dan beliau berkata: Hadis hasan gharib dan al-Albani menganggapnya sohih.

Ketiga puluh dua: Menjaga aurat dan penampilan. Orang yang beriman akan berbeza dari sudut penampilan berbanding orang yang kafir. Mereka akan berpakaian dengan cara yang Islamik dan menjauhkan diri daripada terikut-ikut dengan budaya orang yang kafir.

Firman Allah SWT: “Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka". Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenali, kerana itu mereka tidak (akan) di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. Surah al-Ahzab: 59

Mereka memahami bahawa Allah SWT bukan hanya melihat kepada hati dalaman mereka sahaja, bahkan juga kepada amalan dan penampilan luaran mereka. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

إِنَّ اللهَ لاَ يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ، وَلكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوْبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ

Ertinya: “Sesungguhnya Allah SWT tidaklah melihat kepada rupa paras kamu dan tidak juga kepada harta benda kamu, tetapi Dia melihat kepada hati dan perbuatan kamu”. Hadis riwayat Muslim.

Ketiga puluh tiga: Mengimarahkan masjid. Antara sikap yang perlu ada pada seorang yang beriman ialah mengimarahkan masjid, terutamanya golongan lelaki. Ini kerana orang yang kafir dan munafiq tidak akan mengimarahkan masjid.

Firman Allah SWT: “Orang-orang yang memakmurkan masjid-masjid Allah hanyalah orang yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut kecuali Allah, mereka itulah yang diharapkan untuk tergolong di kalangan orang-orang yang mendapat hidayah”. Surah at-Taubah: 18.

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَادُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ

Abu Said al-Khudri meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bila kamu melihat seseorang yang sentiasa berulang alik ke masjid, maka bersaksilah kepadanya dengan keimanan”. Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibn Majah dll, dan al-Albani menganggapnya dhoif.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: ... وَلَوْ أَنَّكُمْ صَلَّيْتُمْ فِي بُيُوتِكُمْ كَمَا يُصَلِّي هَذَا الْمُتَخَلِّفُ فِي بَيْتِهِ لَتَرَكْتُمْ سُنَّةَ نَبِيِّكُمْ، وَلَوْ تَرَكْتُمْ سُنَّةَ نَبِيِّكُمْ لَضَلَلْتُمْ ...

Abdullah bin Mas'ud r.a. berkata: “…(dan sesungguhnya solat berjemaah itu sebahagian daripada sunanul huda). Maka jika kamu bersolat di rumah-rumah kamu sebagaimana orang yang tidak hadir ini bersolat di rumahnya, maka sebenarnya kamu telah meninggalkan sunnah Nabi kamu. Dan jika kamu meninggalkan sunnah nabi kamu, nescaya kamu akan sesat…”. Hadis riwayat Muslim.

Ketiga puluh empat: Bersifat malu yang boleh menghalangnya daripada melakukan maksiat dan perkara yang tidak senonoh.

الإِيْمَانُ بِضْعٌ وَسِتُّوْنَ شُعْبَةً، فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ، وَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الأَذَى عَنِ الطَّرِيْقِ، وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيْمَانِ.

Ertinya: “Iman itu lebih daripada enam puluh bahagian. Yang paling utama ialah perkataan “Tiada tuhan melainkan Allah”, dan yang paling rendahnya ialah membuang benda yang menyakitkan di jalanan. Dan malu itu sebahagian daripada keimanan”. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Ketiga puluh lima: Amar ma’ruf dan nahi munkar. Seorang yang beriman, tidak akan berdiam diri, jika terdapat pelanggaran terhadap hukum-hukum Allah. Mereka bukan sahaja mematuhi perintah Allah pada diri mereka sahaja, bahkan akan mencegah kemungkaran yang dilakukan, dan akan menyuruh orang lain juga melakukan ma’ruf.

Firman Allah SWT: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”. Surah at-Taubah: 71.

Abu Said al-Khudri menyatakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيْمَانِ.

Ertinya: “Sesiapa sahaja di kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya. Jika dia tidak mampu, maka ubahlah dengan lidahnya dan jika dia tidak mampu (walau hanya dengan lidah), maka ubahlah dengan hatinya. Dan itu adalah selemah-lemah iman”. Hadis riwayat Muslim.

Ketiga puluh enam: Tidak sombong dan takbur. Seorang yang beriman sentiasa mengimpikan syurga. Dan mereka memahami bahawa syurga itu tidak akan diberi kepada orang yang angkuh dan takbur. Abdullah bin Mas’ud menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِيْ قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ، قَالَ رَجُلٌ: إَنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُوْنَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً، قَالَ: إِنَّ اللهَ جَمِيْلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ، الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ

Ertinya: “Tidak akan masuk syurga orang yang ada di hatinya walau sebesar zarah daripada sikap takbur. Lalu ada seorang lelaki berkata: Seorang lelaki yang suka pakaiannya cantik, kasutnya cantik, (adakah ia juga takbur?) Baginda menjawab: “Sesungguhnya Allah itu cantik (sempurna) dan Dia sukakan kecantikan. Takbur ialah menolak kebenaran dan menghina orang lain”. Hadis riwayat Muslim.

Orang yang beriman memahami bahawa syaitan itu dianggap kafir dan tidak beriman kerana takbur yang ada padanya yang mengyebabkannya enggan sujud kepada perintah Allah.

Firman Allah SWT: “Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah (hormatilah dan muliakanlah) kamu kepada Adam," maka sujudlah mereka kecuali Iblis; dia enggan dan takbur, dan dia termasuk dalam golongan orang-orang yang kafir”. Surah al-Baqarah: 34.

Mereka juga memahami bahawa orang yang kafir adalah orang yang takbur kerana enggan menerima ketuhanan Allah SWT.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya mereka dahulu apabila dikatakan kepada mereka: "Laa ilaaha illallah" (Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah) mereka menyombongkan diri (tidak menerimanya)”. Surah as-Sofat: 35.

Ketiga puluh tujuh: Akan mentaati pimpinan mereka, dan mereka tidak akan melantik pemimpin untuk memimpin mereka, melainkan di kalangan mereka (orang yang beriman).

Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul, dan ulil amri di antara kamu. Dan jika kamu berbeza pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya”. Surah an-Nisa’: 59

Mereka tidak akan menjadikan orang-orang kafir sebagai pemimpin tertinggi mereka, samada Yahudi, Kristian atau sebagainya daripada penganut-penganut ideologi-ideologi baru yang bertentangan dengan Islam, apatah orang yang merendah-rendahkan ajaran Islam.

Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadikan pemimpinmu, orang-orang yang menjadikan agamamu jadi bahan ejekan dan permainan, (iaitu) daripada kalangan orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelummu, dan juga orang-orang yang kafir. Dan bertakwalah kepada Allah jika kamu benar-benar orang-orang yang beriman”. Surah al-Maidah: 57

Namun, ketaatan mereka kepada pimpinan mereka bukanlah mutlak seperti ketaatan mereka kepada Allah dan Rasul, bahkan mereka akan menegur kesilapan pemimpin mereka, kerana itu juga merupakan tanda keimanan. Sabda Nabi s.a.w.:

إِنَّهَا سَتَكُونُ أُمَرَاءُ يَكْذِبُونَ وَيَظْلِمُونَ، فَمَنْ صَدَّقَهُمْ بِكَذَبِهِمْ وَأَعَانَهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ فَلَيْسَ مِنَّا وَلَسْتُ مِنْهُمْ وَلاَ يَرِدُ عَلَى الْحَوْضِ وَمَنْ لَمْ يُصَدِّقْهُمْ بِكَذَبِهِمْ وَلَمْ يُعِنْهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ فَهُوَ مِنِّيْ وَأَنَا مِنْهُ وَسَيَرِدُ عَلَي الْحَوْضِ.

Ertinya: “Akan datangnya para pemimpin yang banyak berdusta dan melakukan kezaliman. Maka sesiapa yang membenarkan pendustaan mereka, dan membantu di atas kezaliman mereka, maka dia bukanlah daripada golongan kami dan aku bukan daripada golongan mereka dan dia tidak akan datang ke kolamku (di akhirat nanti). Dan sesiapa yang tidak membenarkan pendustaan mereka dan tidak membantu kezaliman mereka, maka dia adalah daripada golonganku dan aku daripada golongannya, dan dia akan datang (meminum) kolamku”. Hadis riwayat Ahmad dengan isnad yang sohih.

Ketiga puluh lapan: Tidak akan menipu orang Islam yang lain atau dan menghunus senjata kepada mereka. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasullah s.a.w. bersabda: “

مَنْ حَمِلَ عَلَيْنَا السِّلاَحَ فَلَيْسَ مِنَّا، وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Ertinya: “Sesiapa yang menghunus senjata ke arah kami, maka dia bukanlah daripada golongan kami. Dan sesiapa yang menipu kami, maka dia juga bukan daripada golongan kami”. Hadis riwayat Muslim. Orang yang beriman mengetahui bahawa kedua-dua perkara tadi adalah dosa besar yang akan membawa kepada kekafiran jika dihalalkannya. Ma’qil bin Yasar r.a. pula meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللهُ رَعِيَّةً يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوْتُ، وَهُوَ غَاشٍّ لِرَعِيَّتِهِ إِلاَّ حَرَّمَ اللهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ

Ertinya: “Mana-mana hamba yang Allah memberikannya jawatan ketua kepada orang ramai, dan dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya, maka Allah akan mengharamkan syurga kepadanya”. Hadis riwayat Muslim.

Ketiga puluh sembilan: Tidak akan mudah melabelkan orang lain dengan fasiq atau kafir. Ini kerana mereka memahami bahawa tugas mereka adalah berdakwah dan memberi penerangan, dan bukannya merosakkan persaudaraan sesama Islam. Apatah lagi mereka memahami bahawa label yang diberikan kepada orang lain akan kembali kepadanya jika ia adalah tuduhan yang tidak berasas. Abu Zar r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

لاَ يَرْمِيْ رَجُلٌ رَجُلاً بِالْفُسُوْقِ وَلاَ يَرْمِيْهِ بِالْكُفْرِ إِلاَّ ارْتَدَّتْ عَلَيْهِ إِنْ لَمْ يَكُنْ صَاحِبُهُ كَذَلِكَ

Ertinya: “Tidak menuduh seseorang kepada seseorang yang lain dengan fasiq atau kekufuran, melainkan akan kembali tuduhan tadi kepadanya jika yang dituduh itu bukanlah demikian”. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Keempat puluh: Akan sentiasa melakukan amalan yang soleh mengikut cara Nabi s.a.w. dengan hati yang tulus ikhlas. Ini kerana mereka memahami, tanpa kedua-dua perkara ini, amalan mereka tidak akan bernilai dan diterima di sisi Allah. Ai’syah r.a. menyatakan, Rasulullah s.a.w. bersabda:

مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.

Ertinya: “Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan yang tidak ada atasnya pekerjaan kami, maka amalannya itu tertolak (tidak diterima Allah)”. Hadis riwayat Muslim.

Firman Allah SWT: “Dan mereka tidaklah disuruh melainkan supaya menyembah Allah secara tulus ihklas terhadap agamaNya serta meninggalkan syirik dengan kefahaman”. Surah al-Bayyinah: 5.

Abu Hurairah r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ النَّاسِ يُقْضَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَيْهِ، رَجُلٌ اسْتُشْهِدَ فَأُتِيَ بِهِ، فَعَرَّفَهُ نِعْمَتَهُ فَعَرَفَهَا، قَالَ: فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا؟ قَالَ: قَاتَلْتُ فِيكَ حَتَّى اسْتُشْهِدْتُ. قَالَ. كَذَبْتَ وَلَكِنَّكَ قَاتَلْتَ لِأَنْ يُقَالَ جَرِيءٌ, فَقَدْ قِيلَ، ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ. وَرَجُلٌ تَعَلَّمَ الْعِلْمَ وَعَلَّمَهُ وَقَرَأَ الْقُرْآنَ, فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا، قَالَ: فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا؟ قَالَ: تَعَلَّمْتُ الْعِلْمَ وَعَلَّمْتُهُ وَقَرَأْتُ فِيكَ الْقُرْآنَ. قَالَ: كَذَبْتَ وَلَكِنَّكَ تَعَلَّمْتَ لِيُقَالَ عَالِمٌ، وَقَرَأْتَ الْقُرْآنَ لِيُقَالَ قَارِئٌ فَقَدْ قِيلَ، ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ. وَرَجُلٌ وَسَّعَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَأَعْطَاهُ مِنْ أَصْنَافِ الْمَالِ، فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا، قَالَ: فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا؟ قَالَ: مَا تَرَكْتُ مِنْ سَبِيلٍ تُحِبُّ أَنْ يُنْفَقَ فِيهَا إِلَّا أَنْفَقْتُ فِيهَا لَكَ. قَالَ: كَذَبْتَ وَلَكِنَّكَ فَعَلْتَ لِيُقَالَ هُوَ جَوَادٌ، فَقَدْ قِيلَ، ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ ثُمَّ أُلْقِيَ فِي النَّارِ.

Ertinya: “Sesungguhnya orang pertama yang dihukumkan (dibicarakan) di hari kiamat ialah seorang yang mati syahid. Lalu dia dibawa (untuk dibicarakan) dan (Allah Taala pun) memberitahukannya (segala) nikmatNya (yang diberikan kepadanya di dunia dahulu) dan dia mengakuinya. Allah berfirman: Apakah yang telah kamu lakukan padanya (dengan nikmat-nikmat itu)? Dia menjawab: Aku telah beperang pada (jalanMu) sehinggalah aku mendapat syahid. Allah berfirman: Engkau telah berbohong, tetapi (sebenarnya) kamu telah berperang supaya dikatakan (engkau) seorang yang berani, dan memang pun telah dikatakan (demikian). Kemudian dia diperintahkan supaya diseret di atas mukanya sehinggalah dia dicampakkan ke dalam nereka.

Dan (juga antara yang terawal dibicarakan dan dihukum ialah) seorang lelaki yang belajar ilmu, mengajarnya dan membaca al-Qur’an. Lalu dia dibawa (untuk dibicarakan) dan (Allah Taala) memberitahukannya (segala) nikmat-nikmatNya (yang diberikan kepadanya di dunia dahulu) dan dia mengakuinya. Allah berfirman: Apakah yang telah kamu lakukan padanya (dengan nikmat-nikmat itu)? Dia menjawab: Aku mempelajari ilmu dan aku mengajarinya dan aku juga membaca Qur’an (dan semua itu aku lakukan) pada jalanMu (keranaMu). Allah berfirman: Engkau telah berbohong, tetapi (sebenarnya) kamu belajar supaya dikatakan (kamu ini adalah) seorang yang alim (berilmu). Dan kamu membaca al-Qur’an supaya dikatakan kamu seorang Qari (pembaca al-Qur’an yang hebat). Dan memang (semua itu) sudah dikatakan (kepadamu). Kemudian dia diperintahkan supaya diseret di atas mukanya sehinggalah dia dicampakkan ke dalam neraka.

Dan (yang awal dibicarakan dan dihukum ialah) seorang lelaki yang Allah telah memudahkannya dan Allah mengurniakannya pelbagai jenis harta. Lalu dia dibawa (untuk dibicarakan) dan Allah memberitahukannya dengan (segala) nikmat-nikmatNya dan dia mengakuinya. Allah berfirman: Maka apakah yang telah kamu lakukan padanya (dengannya)? Dia menjawab: Aku tidak tinggalkan satu jalan pun yang Kamu suka untuk dibelanjakan (hartaku) padanya melainkan aku membelanjakan (hartaku) padanya (semata-mata) keranaMu. Allah berfirman: Engkau telah berbohong. Tetapi (sebenarnya) kamu lakukan demikian supaya kamu dikatakan “dia adalah seorang yang (sangat) dermawan”. Dan memang pun telah dikatakan begitu (kepadamu). Kemudian dia diperintahkan supaya diheret di atas mukanya sehingalah dia dicampakkan ke dalam neraka”. Hadis riwayat Muslim.

Labels:

Tasekpauh.blogspot.com

Ciri-ciri Orang Yang Beriman (Siri 3)

Kedua puluh satu: Melakukan pelbagai ibadat. Orang yang beriman, bukan hanya bersolat dan berzakat sahaja, bahkan akan melakukan segala amalan yang akan mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:
Ertinya: “(Juga yang mendapat kemenangan ialah) Orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji (Allah), yang melancung (keluar kerana belajar atau berjihad), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat makruf dan mencegah mungkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang mukmin itu”. Surah at-Taubah: 112.

Kedua puluh dua: Tidak akan bertolak ansur dengan menyokong dan mempersetujui orang-orang yang menentang agama, walau siapapun mereka. Firman Allah SWT:
Ertinya: “Kamu tidak akan dapati kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang itu adalah ibu bapa, anak-anak, adik beradik ataupun keluarga mereka. Merakalah orang-orang yang Allah telah tanamkan keimanan dalam hati mereka dan Dia juga telah menguatkan mereka dengan cahaya yang datang daripadaNya. Dan Dia akan masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya. Allah redha terhadap mereka, dan mereka pun berpuas hati terhadap (limpahan rahmat)Nya. Mereka itulah tentera Allah. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya tentera Allah itulah golongan yang berjaya”. Surah al-Mujadilah: 22.
Mereka tidak akan menyokong siapa sahaja yang menentang agama, kerana ketaatan dan cinta mereka hanyalah kepada Allah dan Rasul serta pemimpin mereka yang sentiasa mengajak kepada jalan Allah SWT. Firman Allah SWT:
Ertinya: “Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, RasulNya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, serta mereka tunduk (taat kepada Allah). Dan sesiapa mengambil Allah, rasulNya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya tentera Allah itulah yang pasti menang”. Surah al-Ma’idah: 55-56.

Kedua puluh tiga: Berfikir dan membuat penelitian terhadap apa yang dilihat dan didengar. Mereka sentiasa sedar dan berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan kedaan dan persekitaran. Firman Allah SWT:
Ertinya: “(Orang-orang) yang mendengar perkataan, lalu mereka akan mengikuti apa yang terbaik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah Allah berikan hidayah dan merekalah orang-orang yang mempunyai akal”. Surah az-Zumar: 18. Ertinya mereka mendengar ajaran-ajaran Al Quran dan juga ajaran-ajaran yang lain, tetapi yang mereka ikuti hanyalah ajaran-ajaran Al Quran kerana ia adalah ajaran yang terbaik.

Kedua puluh empat: Sentiasa berhati-hati dalam bertindak, dan tidak mudah tertipu dengan dakyah dan pembohongan. Firman Allah SWT:
Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya (yang sebenar) yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”. Surah al-Hujurat: 6.


Kedua puluh lima: Berhukum dengan hukum Allah dengan menjadikan Al-Qur’anul Karim panduan dalam semua perkara, termasuk kenegaraan. Ini kerana Allah SWT menganggap bahawa orang yang tidak berhukum dengan hukumNya adalah orang yang kafir. Maka jelaslah bahawa orang yang beriman tetap akan berhukum dengan hukum Allah.
Ertinya: “Sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka adalah orang-orang yang kafir”. Surah al-Maidah: 44. Juga kerana Allah SWT menganggap orang yang mengaku beriman, tetapi tidak ingin berhukum dengan hukumNya sebenarnya adalah orang-orang munafiq yang berpura-pura Islam.
Ertinya: “Adakah kamu tidak melihat orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu ? (Padahal) mereka hendak berhakim kepada thaghut, sedangkan mereka telah diperintah mengingkari thaghut itu. dan syaitan (pula) ingin menyesatkan mereka (dengan) kesesatan yang sejauh-jauhnya. Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah kamu (tunduk) kepada hukum yang telah diturunkan Allah dan kepada hukum Rasul", nescaya kamu lihat orang-orang munafik menghalangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya dari (mendekati) kamu”. Surah an-Nisa’: 60-61.

Kedua puluh enam: Sentiasa menilai diri dan memperbaiki diri ke arah mencari keredhaan Allah SWT, kerana itulah kejayaan yang sebenar pada mereka. firman Allah SWT:
Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuhaa (taubat yang semurni-murninya), mudah-mudahan Tuhanmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu (mengampunkannya) dan memasukkanmu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai”. Surah at-Tahrim: 8.

Kedua puluh tujuh: Benar-benar mencintai Rasulullah s.a.w.. Bahkan kecintaan mereka terhadap Rasulullah s.a.w. mengatasi cinta mereka terhadap diri mereka sendiri dan juga orang-orang yang mereka sayangi. Anas r.a. meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُوْنَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ.
Ertinya: “Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah aku lebih disayanginya melebihi ibu bapanya, anak-anaknya dan manusia keseluruhannya”. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
Kerana inilah para mukmin akan sentiasa mempelajari sunnah Nabi s.a.w., mangamalkannya dan berselawat kepadanya. Firman Allah SWT:
Ertinya: “Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan (yang baik) kepadanya”. Surah al-Ahzab: 56

Kedua puluh lapan: Sangat menyayangi aqidah Islam yang dianutinya dan tidak akan meninggalkan Islam walau diberi tawaran keduniaan yang begitu mewah atau diazab dengan begitu kejam. Anas bin Malik r.a. meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يَكُونَ اللهُ وَرَسُوْلُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَحَتَّى يُقْذَفَ فِيْ النَّارِ أَحَبُّ إِلَيْهِ مِنْ أَنْ يَعُوْدَ فِيْ الْكُفْرِ بَعْدَ أَنْ نَجَّاهُ اللهُ مِنْهُ، وَلاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُوْنَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ.
Ertinya: “Tidak beriman salah seorang daripada kamu sehinggalah Allah dan RasulNya lebih dicintainya daripada segala-galanya, dan sehingga dicampakkan ke dalam api lebih disukainya daripada kembali kepada kekufuran (setelah Allah menyelamatkannya daripada kufur). Dan tidak beriman seseorang kamu sehinggalah aku lebih disayanginya melebihi ibu bapanya, anak-anaknya dan manusia keseluruhannya”. Hadis riwayat Ahmad, dan Syeikh Syuaib al-Arnaut menyatakan bahawa sanadnya sohih berdasarkan syarat Imam Bukhari dan Muslim.

Kedua puluh sembilan: Tidak mengganggu dan menyusahkan jiran tetangganya. Abu Syuraih meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
وَاللهِ لاَ يُؤْمِنُ! وَاللهِ لاَ يُؤْمِنُ! وَاللهِ لاَ يُؤْمِنُ! قِيْلَ: وَمَنْ يَا رَسُوْلَ اللهِ؟ قَالَ: الَّذِيْ لاَ يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَائِقَهُ
Ertinya: “Demi Allah, dia bukanlah seorang yang beriman! Demi Allah, dia bukanlah seorang yang beriman! Demi Allah, dia bukanlah seorang yang beriman”! Rasulullah s.a.w. ditanya: “Siapakah dia wahai Rasulullah”? baginda menjawab: “Orang yang tidak selamat jirannya daripada kejahatannya”. Hadis riwayat Bukhari.
Orang yang beriman memahami bahawa mengkhianati dan menyusahkan jiran adalah termasuk dalam dosa besar yang menghalang daripada masuk syurga,sebagaimana orang yang beriman yang sebenar. Sabda Rasulullah s.a.w.
لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ لاَّ يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَائِقَهُ
Ertinya: “Tidak akan masuk syurga orang yang tidak aman jirannya daripada kejahatannya”. Hadis riwayat Muslim.

Ketiga puluh: Mengambil berat tentang jiran. Dan antara sifat orang yang beriman pula ialah mengambil berat dengan kebajikan para jiran, terutamanya dengan yang paling hampir dengannya. Dia tidak akan membiarkan jirannya dalam kesusahan tanpa sebarang bantuan daripadanya. Ibnu Abbas r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
لَيْسَ الْمُؤْمِنُ الَّذِيْ يَبِيْتُ وَجَارُهُ إِلَى جَنْبِهِ جَائِعٌ.
Ertinya: “Bukanlah seorang yang beriman seorang yang boleh tidur malam, sedangkan jiran di sebelahnya kelaparan”. Hadis riwayat al-Hakim dan beliau menganggapnya sohih dan diakui oleh Az-Zahabi.

Labels:





XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health