TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


Aku dan Solat

Aku tidak sepatutnya bersikap begini. Sepatutnya, aku betul-betul mengambil berat dengan solat. Aku mestilah sedar bahawa aku adalah seorang Islam dan solat pula adalah rukun dan tanda keislamanku. Tanpa solat, di manakah tanda keislammanku? Lainlah kalau aku hanya mahu menjadi seorang Islam tanpa tanda dan lambang keislaman.
Sejak kecil lagi, aku diajar dengan kepentingan solat. Awalnya, aku belajar mengerjakan solat melalui pengamatanku terhadap solat ibu, ayah, abang-abang dan kakak kesayanganku. Aku lihat mereka qiam, aku qiam, mereka rukuk aku rukuk, mereka sujud aku sujud, dan begitulah seterusnya. Di sekolah pula para ustaz mengajarku teori-teori solat. Alhamdulillah kerana mereka adalah para muslim yang bersolat dan aku boleh meneladani mereka.
Kini, setelahku dewasa, aku sepatutnya lebih mengambil berat dengan solat. Kalau dulu, ibu, ayah, kakak dan abang-abang sentiasa mengingatkan daku dengan solat. Belum lagi azan berkumandang, mereka telah mengingatkan daku dengan solat. Tapi kini setelahku dewasa, aku mesti pandai menjaga diriku. Tambahan lagi aku berada berjauhan dengan mereka.
Kini setelahku dewasa, aku lebih memahami dengan apakah itu “solat”? Aku tahu, kalau aku meninggalkan solat, aku berada dalam keadaan yang sangat meruncingkan. Aku sedar bahawa aku sudah lagi tidak dianggap sebagai muslim pada pandangan sebahagian sahabat Nabi s.a.w. dan para ulamak mujtahid. Keislamanku sudah dipertikaikan. Adakah aku mahu meninggalkan solat?
Aku juga pernah mendengar sabda Nabi s.a.w. yang mengatakan bahawa orang yang meninggalkan solat adalah kafir. Samada kafir nikmat atau kafir yang sebenar, namun kalimah yang digunakan ialah kalimah kufur. Aku berfikir sendirian, bahawa seorang yang sangat penyantun dan merupakan contoh dan rahmat bagi sekalian alam sudah tentu tidak akan mengeluarkan kata-kata mengkufurkan orang yang meninggalkan solat, kalaulah solat itu satu perkara yang kecil.
Kerana ini, aku bukan sahaja mesti berazam, bahkan mesti berusaha untuk menjaga solat. Aku tahu, ganjaran bagi orang yang bersolat adalah syurga, manakala balasan bagi yang tidak termasuk dalam golongan orang yang bersolat adalah “Saqar”. Adakah jika aku tidak menjaga solatku, Allah tidak akan mencampakkan aku ke dalamnya? Atau neraka “Saqar” itu hanyalah untuk manusia-manusia lain selain aku? Ah…Aku dan mereka sama sahaja di sisi Allah SWT. Kerana itu mulai dari saat ini, aku mesti menjaga solatku. Aku tidak akan melewat-lewatkannya sehingga terkeluar daripada waktunya.
Kalaulah sebelum ini aku selalu solat lewat pada waktunya, terutamanya solat subuh, maka aku mesti berubah. Aku sedar betapa kecewanya ibu ayah yang sentiasa mendidikku jika mereka mengetahui aku banyak terlalai sehingga sanggup melengah-lengahkan solat. Aku mesti insaf. Aku mesti menjaga solatku. Aku mesti tidur lebih awal untuk bangun solat subuh, jika dengan lewat tidurku itu membawa kepada lewatnya solat subuhku. Aku tidak mahu termasuk dalam golongan yang difirmankan Allah SWT: “Maka celakalah bagi orang yang bersolat, pada hal mereka lalai daripada solat mereka”. Aku takut neraka. Aku tidak mampu menanggung azabnya. Ya Allah selamatkan aku daripada azab neraka. Amin Ya Rabbal Alamin.
Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Ah, dan azan asar pun. Aku mesti segera bersolat. Tapi, adakah aku bersolat di rumah atau di masjid? Mana satu yang lebih baik untukku? Alah, kat rumah sajalah. Kalau bersolat kat rumah sekalipun, solatku dah sah. Tapi, apa pula hukum solat berjemaah? Sepanjang yang aku tahu ia adalah perkara khilaf. Ada ulamak yang mengatakan fardhu ain, ada yang kata fardhu kifayah dan ada yang mengatakan sunat muakkadah sahaja. Tapi, ketiga-tiga pendapat tadi pada dasarnya sama sahaja. Mereka semuanya menggalakkan solat berjemaah. Bezanya, ada yang mengatakan wajib, dan ada yang mengatakan sunat. Semuanya adalah suruhan. Dan tiada seorang ulamakpun yang mengharamkannya atau menganggapnya makruh.
Kerana itu, kenapa aku mesti bersolat di rumah? Ia bukanlah suruhan Allah dan Rasul. Ia juga bukan perkara yang disyorkan oleh ulamak. Lainlah kalau aku ni seorang wanita. Maka mereka lebih baik bersolat kat rumah. Kalaulah aku sebagai muslim tidak menghidupkan masjid, maka siapa lagi? Takkan aku nak mengharapkan kaum kafir musyrikin untuk mengimarahkannya?
Aku juga pernah mendengar seorang penceramah yang menyatakan bahawa Allah SWT tidak hanya menyuruh kita bersolat, tetapi menyuruh kita mendirikan solat. Katanya: “Jauh bezanya antara bersolat dan mendirikan solat”. Rasulullah s.a.w. pula ada bersabda bahawa membetulkan saf itu termasuk dalam mendirikan solat. Bagaimana mungkin aku memperbetulkan saf kalau aku solat berseorangan di rumah? Kalau begitu aku hanya bersolat dan bukannya mendirikan solat. Kalau begini, aku mesti ke masjid. Aku akan mendapat 27 kali ganda pahala daripada orang yang bersolat di rumah. Kalau aku bersolat jemaah di masjid, bererti aku telah menghidupkan sunnah. Ini kerana Rasulullah s.a.w. tidaklah bersolat fardhu di rumah, kecuali ketika uzur.
Bila aku membaca kitab hadis, aku masih teringat kata-kata salah seorang murid Rasulullah s.a.w., iaitu Ibn Mas’ud r.a.: “Sesungguhnya Allah SWT telah mensyariatkan kepada kamu sunnah yang perlu diikuti. Sebahagian daripada sunnah tersebut ialah solat berjemaah di masjid yang dilaungkan azan. Dan jika kamu bersolat di rumah-rumah kamu, nescaya kamu telah meninggalkan sunnah Nabimu. Dan jika kamu meninggalkan sunnah Nabimu, maka kamu akan sesat”.
Aku fikir, mungkin kerana inilah Rasulullah s.a.w. mengancam untuk membakar rumah-rumah orang yang tidak keluar berjemaah di masjid. Kerana inilah juga Rasulullah s.a.w. tidak memberikan ruhksah kepada seorang yang buta yang meminta kebenaran baginda untuk bersolat di rumah. Alasannya ialah, kerana dia masih lagi mendengar azan. Aku mesti bersegera untuk ke masjid. Aku sudah insaf. Aku mahu mendirikan solat sebagaimana sunnah Rasulullah s.a.w., supaya solatku ini diterima Allah SWT. Aku mahu solatku ini mampu mencegahku daripada perkara-perkara yang keji dan munkar. Ya Allah, jadikanlah aku termasuk di kalangan orang yang mendirikan solat dan juga kepada zuriatku. Ya Allah, terimalah permohonan doaku ini. Amin.

Disediakan Oleh: Tuan Mohd Safuan Tuan Ismail, tasekpauh.blogspot.com, tasekpauh@yahoo.com

Labels: ,

Perkara Yang Dilarang Dilakukan Ketika Solat

Solat merupakan munajat antara seorang hamba dengan tuhannya. Kerana itu, ia mestilah dilakukan dengan sebaik mungkin. Bila bertakbiratul ihram, maka itu bererti bermulanya munajat dengan Allah, maka perkara-perkara keduniaan yang halal sebelum itu diharamkan kerana menjaga adab munajat dengan Allah SWT. Kerana itu banyak perkara yang dilarang ketika bersolat, dan antaranya ialah perkara-perkara berikut:-

1- Sengaja Membatalkan solat

Haram sengaja membatalkan solat dengan bercakap, bergurau senda dan sebagainya. Ini kerana solat merupakan munajat antara manusia dengan Allah SWT. Maka tidak sepatutnya meninggalkan munajat dengan Allah SWT tanpa ada ada alasan yang munasabah. Firman Allah:

﴿ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَلَا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ

Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan janganlah kamu batalkan (rosakkan) amalan-amalanmu”. Surah Muhammad: 33.

2- Bercakap Ketika Bersolat

Haram bercakap semasa solat, walaupun sedikit. Bahkan ia membatalkan solat. Zaid bin Arqam r.a. menceritakan:

كُنَّا نَتَكَلَّمُ فِيْ الصَّلاَةِ، يُكَلِّمُ أَحَدُنَا أَخَاهُ فِيْ حَاجَتِهِ حَتَّى نَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةِ ﴿ حَافِظُواْ عَلَى الصَّلَوَاتِ والصَّلاَةِ الْوُسْطَى وَقُومُواْ لِلّهِ قَانِتِينَ فَأُمِرْنَا بِالسُّكُوْتِ. متفق عليه.

Ertinya: “Kami (para sahabat) dahulunya semasa solat, di mana salah seorang daripada kami bercakap dengan saudaranya (yang berada di sebelahnya) tentang sesuatu urusannya, sehinggalah turunnya ayat ini : “Jagalah semua solat, dan (jagalah) solat wustha (solat asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam solatmu) dengan khusyu (2:238), lalu kami diperintahkan supaya diam (dan jangan bercakap)”. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Dan pernah satu kali, seorang lelaki tasymitkan orang yang bersin, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda:

إِنَّ هَذِهِ الصَّلاَةَ لاَ يَصْلُحُ فِيْهَا شَيْءٌ مِنْ كَلاَمِ النَّاسِ، إِنَّمَا هُوَ التَّسْبِيْحُ وَالتَّكْبِيْرُ وَقِرَاءَةُ القُرْآنِ.

Sesungguhnya solat ini sedikitpun tidak boleh ada percakapan. Ia hanyalah tasbih, takbir dan bacaan al-Qur’an. Hadis riwayat Muslim.

3- Berpaling Samada Ke Kanan Atau Ke Kiri

Memalingkan dada dari arah kiblat membatalkan solat. Dan berpaling muka juga dilarang dalam solat, sekalipun ia tidak membatalkannya. Abu Zar r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

لاَ يَزَالُ اللهُ مُقْبِلاً عَلَى الْعَبْدِ مَا لَمْ يَلْتَفِتْ، فَإِذَا صَرَفَ وَجْهَهُ اِنْصَرَفَ عَنْهُ.

Ertinya: “Allah SWT sentiasa memandang kepada seseorang hamba (semasa solatnya) selagi mana dia tidak berpaling. Bila dia memalingkan mukanya, maka Allah akan meninggalkannya”. Hadis riwayat al-Hakim dan lain-lain, dan beliau menganggap sanadnya sohih, dan ia dispersetujui oleh Imam az-Zahabi.

Aisyah r.a. pula bertanya tentang berpaling dalam solat, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda:

هُوَ اخْتِلاَسٌ يَخْتَلِسُهُ الشَّيْطَانُ مِنْ صَلاَةِ الْعَبْدِ

Ertinya: “Ia merupakan satu rampasan yang berjaya dilakukan dengan begitu pantas oleh syaitan dalam solat seseorang hamba”. Hadis riwayat Bukhari.

4- Mendongak Ke Atas

Anas bin malik menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

مَا بَالَ أَقْوَامٌ يَرْفَعُوْنَ أَبْصَارَهُمْ إِلَى السَّمَاءِ فِيْ صَلاَتِهِمْ...لَيَنْتَهُنَّ عَنْ ذَلِكَ أَوْ لَتُخْطَفَنَّ أَبْصَارَهُمْ.

Ertinya: “Mengapakah adanya orang-orang yang mengangkatkan mata mereka ke langit dalam solat mereka. (Anas berkata: baginda bersungguh-sungguh melarangnya sehinggakan baginda bersabda:) Hendaklah mereka berhenti melakukan demikian atau akan dibutakan mata mereka”. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

5- Tidak Menyempurnakan Rukun

Setiap rukun solat mestilah dilakukan dengan sempurna. Rukun yang dilakukan dengan tidak memenuhi syarat yang dituntut menyebabkan solat tidak sah. Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Huzaifah r.a. melihat seorang lelaki yang tidak menyempurnakan rukuk dan sujud dalam solatnya, lalu beliau menyatakan: “Engkau tidaklah bersolat. Dan jika kamu mati dalam keadaan ini, maka kamu mati dalam keadaan tidak mengikut ajaran Nabi Muhammad s.a.w.”. Abu Qatadah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

أَسْوَأُ النَّاسِ سَرِقَةً الَّذِيْ يَسْرِقُ مِنْ صَلاَتِهِ، قَالُوْا يَا رَسُولَ اللهِ، وَكَيْفَ يَسْرِقُ مِنْ صَلاَتِهِ؟ قَالَ: لاَ يُتِمُّ رُكُوعَهَا وَلاَ سُجُودَهَا.

Ertinya: “Orang yang paling jahat dalam mencuri ialah orang yang mencuri dalam solatnya”. Lalu mereka bertanya: Bagaimanakah dia mmencuri dalam solatnya? Baginda s.a.w. menjawab: “Dia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya”. Hadis sohih riwayat Ahmad dll.

6- Waswas

Orang yang waswas sebenarnya orang yang beribadah kepada Allah SWT mengikut hawa nafsunya, dan bukan dengan cara yang dikehendaki Allah sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Kerana ini, amalan waswas bukan sahaja menyusahkan diri sendiri, bahkan berdosa dan akan rugi di akhirat kerana amalannya tidak akan diterima oleh Allah SWT. Aisyah r.a. menyatakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

مَنْ أَحْدَثَ فِيْ أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ.

Ertinya: “Sesiapa yang mereka-reka dalam urusan kami ini (agama) satu perkara yang bukan daripadanya (ajarannya), maka ia (perkara tadi) ditolak (tidak diterima Allah)”. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Namun kebanyakan orang yang waswas telah diperdayakan syaitan, yang mana mereka menganggap apa yang dilakukan adalah supaya solatnya sah dan dia adalah orang yang cermat dalam melaksanakan amal ibadat. Semoga kita terselamat daripada bala ini. Amin.

Labels: ,

Hukum Meraup Muka Ketika Salam Solat

Berkata Syeikh Ali Mahfuz dalam kitabnya “al-Ibda’ Fi Madhoril Ibtida’”: Dan antara bid’ah yang buruk ialah seseorang membaca selepas salam yang pertama:

اللهم أدخلنا الجنة

Dan membaca selepas salam kedua:

أسألك النجاة من النار.

Katanya lagi: berkata sebahagian ulamak: Sesungguhnya perkara ini (berdoa di sini) tidak pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w. dan tidak dilakukan oleh seorang pun di kalangan ulamak. Ia merupakan mereka-reka doa di dalam sembahyang bukan di tempatnya. Yang mana salah satu doa itu menceraikan antara dua salam dan yang satu lagi pula dihubungkan dengan salam kedua. Dan tidak harus bagi seorang pun untuk menceraikan sipat sembahyang yang disyariatkan (Allah SWT) dengan perkara seperti ini. Lihat al-Ibda’, m/s 288.

Dan adat kebiasaan di sini, dibaca dengan:

اللهم إني أسألك رضاك والجنة، وأعوذ بك من سخطك والنار.

kenyataan yang disebut oleh beliau itu perlu dibincangkan, memandangkan perkara ini adalah yang dilakukan oleh kita di sini. Dan para ustaz di sini pula menganggapnya sebagai sunat. Persoalannya, siapakah di kalangan ulamak muktabar yang berpendapat demikian? Boleh jadi mereka terbaca hadis yang dibawa oleh Imam Nawawi dalam kitabnya al-Azkar. Hadis tersebut adalah yang Imam Nawawi riwayatkan daripada kitab Ibnus Sunni, daripada Anas a.s. Anas menceritakan bahawa Nabi s.a.w. bila selesai sembahyang, baginda akan menyapu dahinya dengan tangan kanannya serta membaca:

أشهد أن لا إله الله الرحمن الرحيم. اللهم أذهب عني الهم والحزن.

Sebenarnya hadis ini adalah hadis yang tak boleh diterima kerana ia adalah sangat dhoif. Berkata Syeikh Abdul Qadir al-Arna’ut: sanad hadis ini dhoif. Syeikh Al-Albani pula telah menghukum sebahagian riwayat hadis ini sebagai sangat dhoif dan palsu. Ibn Hajar al-Asqalani juga menyatakan bahawa hadis ini sangat dhoif, dalam kitabnya Nataijul Afkar. Kitab ini adalah kitab takhrij hadis Azkar Nawawi.

Kalaulah ini kedudukan hadis ini, maka ia tidak boleh diamalkan lagi, kerana ia bukanlah termasuk dalam dhoif yang boleh diamalkan, kerana ia bukanlah dalam fadhail amalan, tetapi untuk mengasaskan amalan (ta’sisul amal). Kerana ini, kita menganggap bahawa meraup muka selepas sembahyang seperti yang diamalkan sekarang adalah tidak sunat, kerana tiada hadis yang sohih padanya. Kalaulah pada perkara yang kecil dan agak tersembunyi seperti hukum air mazi, doa ketika ingin bersetubuh dan doa masuk dan keluar tandas pun ada hadis yang sohih, kenapa tidak ada dalam perkara sembahyang? Sedangkan sembahyang adalah asas Islam dan dilakukan oleh secara terang-terangan oleh Nabi s.a.w dan para sahabat. Kalaulah perkara ini wujud, sepatutnya ada hadis yang sohih. Kerana inilah Syeikh Ali Mahfuz menganggap bahawa ia tidak dilakukan oleh seorang pun di kalangan ulamak.

Dan kalaulah kita mengikut teori Imam Nawawi, nescaya jawapan kepada hukum meraup muka adalah bid’ah. Sebagai contoh, dalam menghuraikan hadis riwayat Imam Muslim dalam bab: “Suruhan Supaya Tenang Ketika Sembahyang Dan Larangan Mengisyaratkan Tangan Dan Mengangkatkannya Ketika Salam” beliau berkata: “Berdasarkan hadis ini, adalah sunnah ketika memberi salam sembahyang untuk mengucapkan “Assalamualaikum Warahmatullah” di sebelah kanan dan “Assalamualaikum Warahmatullah” di sebelah kiri. Dan tidak disunatkan menambah: “Wabarakatuh”, sekalipun ada hadis yang dhoif yang menunjukkan demikian, dan disarankan oleh sebahagian ulamak. Tetapi ia dalah bid’ah jika tidak ada hadis yang sohih, bahkan telah sohih hadis ini dan lain-lainnya yang menunuukkan ia (“Wabarakatuh”) tidak perlu dibaca” . Rujuk Syarah Sohih Muslim, Imam Nawawi, juz 4, m/s 374.

Kalaulah beliau menganggap bid’ah penambahan bacaan “Wabarakatuh”, kerana ketiadaan hadis yang sohih, sekalipun ada hadis yang dhoif, maka apatah lagi dalam masalah perbuatan seperti meraup muka. Dan Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahui.

Labels: ,

Kaifiat Solat Yang Sempurna – Bhg 3

Surah-Surah Yang Dibaca Oleh Rasulullah s.a.w. Dalam Solat

Terdapat banyak hadis yang menerangkan surah-surah yang pernah dibaca oleh Rasulullah s.a.w. dalam solat. Antaranya ialah seperti berikut:-

I- Solat Subuh

عَنْ أَبِيْ بَرْزَةَ الأَسْلَمِيِّ رضي الله عنه:...وَيُصَلِّي الصُّبْحَ فَيَنْصَرِفُ الرَّجُلُ فَيَعْرَفُ جَلِيْسَهُ، وَكَانَ يَقْرَأُ فِيْ الرَّكْعَتَيْنِ أَوْ إِحْدَاهُمَا مَا بَيْنَ السِّتِّيْنَ إِلَى الْمِئَةِ. رواه البخاري.

Abu Barzah al-Aslami (ketika menceritakan tentang waktu-waktu sembahyang Nabi menyatakan bahawa) “Dan baginda bersembahyang subuh, dan bila selesai (sembahyang), seseorang itu akan kenal orang yang bersebelahan dengannya. Dan baginda membaca dalam dua rakaat (sembahyang subuh) atau dalam satu rakaat antara enam puluh sehingga seratus ayat. Riwayat Bukhari.

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ السَّائِبِ رضي الله عنه قَالَ: صَلَّى لَنَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الصُّبْحَ بِمَكَّةَ، فَاسْتَفْتَحَ سُوْرَةَ الْمُؤْمِنِيْنَ، حَتَّى جَاءَ ذِكْرُ مُوْسَى وَهَارُونَ أَوْ ذِكْرُ عِيْسَى، أَخَذَتِ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم سَعْلَةٌ فَرَكَعَ. رواه مسلم.

Abdullah bin as-Sa’ib r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersembahyang subuh bersama kami di Mekah, dan baginda membaca surah al-Mukminun (118 ayat), dan setelah sampai kepada ayat yang menyebut tentang Nabi Musa dan Harun (mungkin ayat ke 45), atau tentang Nabi Isa (mungkin ayat ke 50, perawi was-was) baginda batuk, lalu baginda rukuk. Riwayat Muslim.

وَعَنْ رَجُلٍ مِنْ جُهَيْنَةَ، أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَقْرَأُ فِيْ الصُّبْحِ: إِذَا زُلْزِلَتِ الْأَرْضُ ، فِيْ الرَّكْعَتَيْنِ كِلْتَيْهِمَا، قَالَ: فَلاَ أَدْرِيْ أَنَسِيَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم أَمْ قَرَأَ عَمْداً. رواه أبو داود وحسنه الدكتور نصير فريد (مفتي الديار المصرية) في تحقيقه لنيل الأوطار، ج 2، ص 227.

Seorang sahabat daripada kabilah Juhainah menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. membaca dalam sembahyang subuh, dikedua-dua rakaat, surah az-Zalzalah. Beliau berkata: aku tidak pasti adakah baginda terlupa atau baginda sengaja membaca demikian. Hadis hasan riwayat Abu Daud.

Al-Albani menyebut: "Baginda membacakan surah "Tiwalul Mufassal". Kadang baginda membaca surah al-Waqiah (96 ayat) dalam dua rakaat. Baginda pernah membaca surah at-Thur (49 ayat, iaitu semasa hajjatul wada'). Kadang-kadang baginda membaca surah Qaf (45 ayat) dan seumpamanya dalam rakaat pertama. Kadang-kadang baginda membaca "Qisarul Mufassal" seperti surah at-Takwir (29 ayat). Pernah satu kali baginda membaca surah az-Zalzalah (8 ayat) dalam rakaat pertama dan kedua. Dan pernah satu kali semasa musafir, baginda membaca surah al-Falaq (5 ayat) dan an-Nas (6 ayat). Baginda pernah membaca surah ar-Rum (60 ayat, melebihi 6 muka surat) dan Yasin (83 ayat). Saidina Umar penah membaca surah al-Kahfi (110 ayat, melebihi 11muka surat) pada rakaat pertama dan surah Yusuf (111 ayat, melebihi 13 muka surat) atau surah Yunus (109 ayat, melebihi 13 muka surat) pada rakaat kedua.

Berkata al-Hafiz Ibnul Qayyim: “Baginda membaca pada subuh hari jumaat dengan tamat kedua-dua surah as-Sajdah dan surah al-Insan.. dan apa yang diamalkan oleh sebahagian manusia pada hari ini dengan membaca sebahagian surah sahaja pada kedua-dua rakaat, atau menamatkan surah as-Sajdah pada dua rakaat adalah menyalahi dengan sunnah. Dan anggapan bahawa subuh hari jumaat dilebihkan daripada sembahyang-sembahyang yang lain dengan adanya sujud sajdah merupakan satu kejahilan yang besar. Kerana inilah sebahagian ulamak memakruhkan membaca surah as-Sajdah, kerana ingin membuang angapan salah ini”. Beliau berpendapat bahawa Nabi membaca surah-surah tersebut kerana kandungan surah tersebut bersesuaian dengan apa yang berlaku pada hari jumaat. Lihat Zadul Maad, juz 1, m/s 203.

Al-Hafiz Ibnul Qayyim juga menceritakan bahawa Saidina Abu Bakar pernah membaca surah al-Baqarah (286 ayat, 48 muka surat) dalam sembahyang subuh. Dan beliau memberi salam hampir naik matahari. Lalu para makmum berkata: Wahai Khalifah Rasulullah, hampir-hampir matahari naik. Beliau menjawab: Kalau matahari naik sekalipun, ia tidak akan dapati kita dalam keadaan lalai.

II- Solat Zohor

عَنْ أَبِيْ قَتَادَةَ رضي الله عنه قَالَ: أَنَّ النبيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ يُطَوِّلُ فِيْ الرَّكْعَةِ الأُوْلَى مِنْ صَلاَةِ الظُّهْرِ، وَيُقَصِّرُ فِي الثَّانِيَةِ، وَيَفْعَلُ ذَلِكَ فِيْ صَلاَةِ الصُّبْحِ. رواه البخاري ومسلم.

Abu Qatadah r.a. menceritakan bahawa Nabi s.a.w. (bila bersembahyang), baginda akan memanjangkan rakaat pertama dan memendekkan rakaat kedua. Begitu juga pada sembahyang subuh. Riwayat Bukhari dan Muslim.

عَنْ أَبِيْ سَعِيْدٍ الْخُدْرِيِّ رضي الله عنه، قَالَ: لَقَدْ كَانَتْ صَلاَةُ الظُّهْرِ تُقَامُ، فَيَذْهَبُ الذَّاهِبُ إِلَى الْبَقِيْعِ، فَيَقْضِيْ حَاجَتَهُ ثُمَّ يَتَوَضَّأُ، ثَمَّ يَأْتِيْ وَرَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم فِيْ الرَّكْعَةِ الأُوْلَى مِمَّا يُطَوِّلُهَا. رواه مسلم.

Abu Said al-Khudri r.a. berkata: Pernah bila diiqamahkan sembahyang zuhur, seorang sahabat pergi ke Baqi untuk qadha hajat, kemudian (balik ke rumahnya untuk) berwudhuk, kemudian barulah dia datang untuk berjemaah, dan dia dapati Rasulullah s.a.w. masih lagi dalam rakaat pertama, kerana baginda memanjangkannya. Riwayat Muslim.

Berkata Syeikh al-Albani: Kadang-kadang baginda membaca surah at-Toriq, surah al-Buruj, surah al-Lail dan seumpamanya.

III- Solat Asar

عَنْ أَبِيْ سَعِيْدٍ الْخُدْرِيِّ رضي الله عنه، قَالَ: كُنَّا نَحْزُِرُ قِيَامَ رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم فِيْ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ، فَحَزَرْنَا قِيَامَهُ فِي الرَّكْعَتَيْنِ الأُوْلَيَيْنِ مِنَ الظُّهْرِ قَدْرَ قِرَاءَةِ ألم تنـْزيل –السَّجْدَةِ، وَحَزَرْنَا قِيَامَهُ فِيْ الرَّكْعَتَيْنِ الأُخْرَيَيْنِ قَدْرَ النِّصْفِ مِنْ ذَلِكَ، وَحَزَرْنَا قِيَامَهُ فِيْ الرَّكْعَتَيْنِ الأُوْلَيَيْنِ مِنَ الْعَصْرِ عَلَى قَدْرِ قِيَامِهِ فِيْ الأُخْرَيَيْنِ مِنَ الظُّهْرِ، وَفِيْ الأُخْرَيَيْنِ مِنَ الْعَصْرِ عَلَى النِّصْفِ مِنْ ذَلِكَ. رواه مسلم.

Abu Said al-Khudri r.a. berkata: kami menganggar qiam Rasulullah s.a.w. dalam sembahyang zuhur dan asar. Kami anggarkan qiam baginda dalam dua rakat pertama sembahyang zuhur sekadar bacaan surah as-Sajdah (30 ayat, 3 muka surat). Dan pada dua rakaat kedua terakhir sekadar separuh daripada tadi. Dan kami juga menganggar qiam baginda pada dua rakaat pertama sembahyang asar sekadar qiam baginda dalam dua rakaat terakhir sembahyang zuhur. Dan pada dua rakaat terakhir sembahyang asar, sekadar separuh daripada itu. Riwayat Muslim.

Al-Albani menyebut bahawa baginda juga memanjangkan rakaat pertama berbanding rakaat kedua.

IV- Solat Maghrib

Syeikh al-Albani berkata: “Kadang-kadang baginda membaca "Qisarul Mufassal". Ada juga baginda membaga "Tiwalul Mufassal" dan "Ausatul Mufassal". Baginda pernah membaca surah Muhammad. Baginda pernah membaca surah at-Thur dan juga surah al-Mursalat. Dan pernah baginda membaca surah al-A'raf dalam dua rakaat, dan begitu juga surah al-Anfal”.

عَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ يَسَارٍ، عَنْ أبي هريرة رضي الله عنه أَنَّهُ قَالَ: مَا رَأَيْتُ أَحَدًا أَشْبَهَ صَلاَةٍ بِرَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم مِنْ فُلاَنٍ، قَالَ سُلَيْمَانُ: فَكَانَ يَقْرَأُ فِيْ الصُّبْحِ بِطِوَالِ الْمُفَصَّلِ، وَفِيْ الْمَغْرِبِ بِقِصَارِ الْمُفَصَّلِ. قال الحافظ ابن حجر في فتح الباري: أخرجه النسائي وصححه ابن خزيمة وغيره.

Sulaiman bin Yasar menyatakan bahawa Abu Hurairah r.a. berkata: “Aku tidak pernah melihat seseorang yang lebih hampir (cara) sembahyangnya dengan sembahyang Rasulullah s.a.w. berbanding si pulan (seorang imam di Madinah). Sulaiman berkata: (Aku pernah bersembahyang di belakang si pulan tersebut) dan beliau membaca pada sembahyang subuh dengan “Tiwalul Mufassal” dan pada sembahyang maghrib dengan “Qisarul Mufassal”. Hadis riwayat Nasaie.

Mengekalkan hanya membaca surah-surah yang pendek, dalam sembahyang maghrib bukanlah sunnah, sekalipun itulah anggapan kebanyakan kita. Kerana inillah Zaid bin Thabit, seorang sahabat Nabi s.a.w. menegur perbuatan Marwan bin al-Hakam, dalam masalah ini.

عَنْ مَرْوَانِ بْنِ الْحَكَمِ قَالَ: قَالَ لِيْ زَيْدُ بْنِ ثَابِتٍ: مَا لَكَ تَقْرَأُ فِيْ الْمَغْرِبِ بِقِصَارٍ؟ وَقَدْ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَقْرَأُ بِطُوْلَى الطُّوْلَيَيْنِ. رواه البخاري.

Marwan bin al-Hakam berkata: Zaid bin Thabit bertanyaku: Kenapakah kamu (sentiasa) membaca dalam solat maghrib dengan surah-surah pendek? Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah s.a.w. membaca dalam solat maghrib dengan surah yang paling panjang antara dua surah panjang, (maksud beliau ialah surah al-A’raf). Riwayat Bukhari.

عَنْ عَائِشَةَ رضي الله عنها أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَرَأَ فِيْ الْمَغْرِبِ بِسُوْرَةِ الأَعْرَافِ، فَرَّقَهَا فِيْ الرَّكْعَتَيْنِ. رواه النسائي، وإسناده صحيح كما قال الشيخ شعيب وعبد القادر الأرناؤوط.

Aisyah r.a. menyatakan bahawa Nabi s.a.w. pernah membaca surah al-A’raf dalam sembahyang maghrib dan baginda menceraikannya pada dua rakaat. Hadis sohih riwayat Nasaie. (Surah al-A’raf, 206 ayat, 26 muka surat)

Dan antara hadis yang menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. membaca surah yang juga panjang ialah:

عَنْ جُبَيْرِ بْنِ مُطْعِمٍ رضي الله عنه، قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم قَرَأَ بِالْمَغْرِبِ بِالطُّوْرِ. رواه البخاري ومسلم.

Jubair bin Mut’im berkata: aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. membaca surah at-Thur dalam sembahyang maghrib. Riwayat Bukhari dan Muslim. (Surah at-Thur adalah 49 ayat dan melebihi dua muka surat).

Dan hadis-hadis ini tidaklah menunjukan bahawa Nabi s.a.w. sentiasa memanjangkan bacaan dalam solat maghrib, tetapi menunjukkan bahawa bukanlah ditentukan surah yang pendek sahaja dalam sembahyang maghrib. Dan ada riwayat daripada Imam Syafie yang mengatakan bahawa beliau suka dibacakan surah-surah yang panjang dalam sembahyang maghrib.

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنهما قَالَ: إِنَّ أُمَّ الْفَضْلِ سَمِعَتْهُ وَهُوَ يَقْرَأُ ﴿ وَالْمُرْسَلَاتِ عُرْفًا ﴾، فَقَاْلَتْ: يَا بُنَيَّ، وَاللهِ، لَقَدْ ذَكَّرْتَنِيْ بِقِرَائَتِكَ هَذِهِ السُّوْرَةِ، إِنَّهَا لآخِرُ مَا سَمِعْتُ مِنْ رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقْرَأُ بِهَا فِيْ الْمَغْرِبِ. رواه البخاري ومسلم.

Ibnu Abbas menceritakan bahawa tatkala beliau membaca surah al-Mursalat, Ummul Fadhli berkata: Wahai anakku, demi Allah, sesungguhnya bacaanmu dengan surah ini mengingatkan daku kepada surah terakhir yang aku dengar Rasulullah s.a.w. membacanya dalam solat maghrib. Riwayat Bukhari. (Surah al-Mursalat 50 ayat, dan hampir dua muka surat).

Berkata al-Hafiz Ibn Hajar: Hadis ini menunjukkan bahawa semasa baginda sihat, baginda membaca dengan surah yang lebih panjang (dalam sembahyang maghrib). Ini kerana baginda dalam keadaan sakit, yang mana biasanya diringkaskan sebahyang.

V- Solat Isya'

عَنْ أَبِيْ رَافِعٍ قَالَ: صَلَّيْتُ مَعَ أَبِيْ هُرَيْرَةَ الْعَتَمَةَ، فَقَرَأَ: ﴿ إِذَا السَّمَاء انشَقَّتْ ﴾، فَسَجَدَ، فَقُلْتُ لَهُ: مَا هَذِهِ؟ قَالَ: سَجَدْتُ بِهَا خَلْفَ أَبِيْ الْقَاسِمِ صلى الله عليه وسلم، فَلاَ أَزَالُ أَسْجُدُ بِهَا حَتَّى أَلْقَاهُ. رواه البخاري.

Abu Rafi’ menceritakan bahawa beliau bersembahyang isyak bersama Abu Hurairah r.a. dan beliau membaca surah al-Insyiqaq dan beliau sujud (tilawah). Lalu aku bertanya: sujud apakah ini? Beliau menjawab: aku pernah bersujud (kerana surah ini) di belakang Abul Qasim (Nabi s.a.w.), dan aku akan bersujud kerana membacanya sehingga aku bertemuNya (mati). Riwayat Bukhari.

عَنِ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ رضي الله عنه قَالَ: سَمِعْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَقْرَأُ : ﴿ وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ ﴾، فِيْ الْعِشَاءِ، وَمَا سَمِعْتُ أَحَدًا أَحْسَنَ صَوْتًا مِنْهُ. رواه البخاري ومسلم.

Al-Bara’ bin Azib menceitakan bahawa beliau pernah mendengar Nabi s.a.w. (semasa musafir) membaca surah at-Tin dalam sembahyang isyak. Dan beliau berkata: Dan aku tidak pernah mendengar seseorang pun yang lebih merdu daripada suara baginda. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Dan dalam cerita Muaz bin Jabal r.a. mengimami sembahyang isayk dengan surah al-Baqarah, baginda menegurnya dan bersabda:

أَتُرِيْدُ أَنْ تَكُوْنَ فَتَّانًا يَا مُعَاذُ؟ إِذَا أَمَمْتَ النَّاسَ فَاقْرَأْ بِالشَّمْسِ وَضُحَاهَا، وَسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلى، وَاقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ، وَاللَّيْلِ إِذَا يَغْشى. رواه مسلم.

Adakah kamu ingin menjadi punca fitnah wahai Muaz? Kalaulah kamu menjadi imam, bacalah surah as-Syams, surah al-A’la, surah al-Alaq dan surah al-Lail. Riwayat Muslim.

Berkata Imam Nawawi: “Disunatkan membaca dalam sembahyang subuh dan zuhur dengan “Thiwaalul Mufassal” (surah-surah Mufassal yang panjang), tetapi dalam sembahyang subuh lebih panjang. Dan disunatkan membaca dalam sembahyang isyak dan asar dengan “Auwsaatul Mufassal”, (surah-surah Mufassal yang pertengahan), dan disunatkan dalam sembahyang maghrib dengan “qisarul Mufassal” (surah-surah Mufassal yang pendek). Syarah Sohih Muslim, Kitab 4, Bab 34.

Dan khilaf ulamak tentang permulaan surah-surah tersebut. Ada pendapat yang mengatakan bahawa surah Mufassal yang panjang bermula daripada Surah al-Hujurat sehingga surah an-Naba’. Surah Mufassal yang pertengahan pula bermula daripada surah an-Naba’ sehingga surah ad-Dhuha, dan surah Mufassal yang pendek pula bermula daripada surah ad-Dhuha hingga akhir Qur’an. Sabilal Muhtadin, j 1, m/s 209.

Antara Hadis Berkaitan Dengan Bacaan Surah

عَنِ ابْنِ عُمَرَ رضي الله عَنْهُمَا قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَأْمُرُنَا بِالتَّخْفِيْفِ، وَيَؤُمُّنَا بِالصَّافَّاتِ. رواه النسائي، وإسناده صحيح كما قال الشيخ شعيب وعبد القادر الأرناؤوط.

Ibnu Umar r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. menyuruh kita meringkaskan sembahyang (bila menjadi imam), dan baginda mengimami kami dengan surah as-Soffat. Riwayat Nasaie. Surah as-Soffat adalah 182 ayat, 7 muka surat). Perkataan beliau ini adalah untuk menyedarkan kita tentang erti meringkaskan sembahyang.

Berkata al-Hafiz Ibnul Qayyim dalam memberikan kefahaman tentang erti imam hendaklah “meringkaskan sembahyang”: “Meringkaskan sembahyang itu adalah satu perkara yang nisbi (tidak tetap. Boleh jadi ringkas pada pandangan orang yang suka mendengar al-Qur’an, tetapi tidak kepada yang lain). Kerana ini rujukan untuk maknanya ialah dengan apa yang biasa dilakukan oleh Nabi s.a.w., dan bukannya kembali kepada nafsu para makmum. Ini kerana baginda tidaklah menyuruh sesuatu tetapi baginda sendiri yang menyalahinya. Sedangkan baginda juga tahu bahawa di belakang baginda itu ada yang tua, lemah dan yang berhajat. Apa yang baginda lakukan itulah maksud “meringkas” yang bagnida suruh. Zadul Maad, juz 1, m/s 207.

Disediakan oleh Us Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail, Taman al-Barakah, Kg. Tasek Pauh, 16810, Selising, Pasir Puteh, Kelantan

Labels: ,

Kaifiat Solat Yang Sempurna – Bhg 2

Duduk Antara Dua Sujud

21- Dan setelah selesai sujud, maka hendaklah bangun untuk duduk di antara dua sujud. Dan disunatkan bertakbir untuk bangun dan melanjutkan takbir sehingga dia duduk. Dan disyaratkan dalam duduk antara dua sujud ini tiga syarat, iaitu: tidak qasad dengan duduknya kecuali ibadah, thuma’ninah dan tidak terlalu panjang melebihi qadar sekurang-kurang tahiyyat.

22- Dan disunatkan semasa duduk antara dua sujud dengan cara duduk iftirasy. Caranya ialah dengan duduk di atas buku lali kakinya yang kiri, dan mendirikan kakinya yang kanan. Dan kedua tapak tangannya pula dirapatkan dan dihalakan ke arah kiblat serta diletakkan di atas kedua pahanya dan didekatkan dengan kedua lututnya, sekira-kira hujung jari jemari tangannya sama dengan kedua lututnya.

23- Dan disunatkan membaca zikir-zikir antara dua sujud. Antaranya ialah:

· رَبِّ اغْفِرْ لِي، رَبِّ اغْفِرْ لِي

· رَبِّ اغْفِرْ لِي، وَارْحَمْنِي، وَاجْبُرْنِي، وَارْزُقْنِي، وَارْفَعْنِي

24- Kemudian sujud sekali lagi. Dan disunatkan bertakbir untuk turun sujud.

25- Setelah selesai sujud kedua, maka selesailah rakaat yang pertama.

Setelah Selesai Sujud Kedua

26- Setelah bangkit daripada sujud, sebelum bangun untuk qiam rakaat kedua, maka disunatkan duduk istirahah. Dan cara duduknya ialah iftirasy. Dan perkara ini adalah sunat dalam mazhab Syafie, berdalilkan hadis Malik bin al-Huwairis riwayat Bukhari dan lain-laiin. Dan ia tidak disunatkan pada pandangan jumhur ulamak.

26- Dan untuk bangun ke rakaat kedua, disunatkan bergantung atas kedua tapak tangan ke bumi. Begitu juga ketika bangun daripada sujud. Dan tidak disunatkan mengangkat tangan ketika bangkit untuk rakaat kedua.

27- Setelah bangun pada rakaat kedua, dilakukanlah sebagaimana rakaat pertama tadi. Cumanya tidak disunatkan lagi membaca doa iftitah. Namun disunatkan istiazah sebelum membaca surah al-Fatihah.

Tasyahhud Awal Dan Kaifiatnya

28- Setelah selesai sujud kedua dalam rakaat kedua, maka hendaklah duduk untuk membaca tasyahhud awal. Dan disunatkan duduk dengan cara iftirasy. Dan tangan kanannya diletakkan di tepi lutut sekira-kira sama hujung jari dengan hujung lutut, serta menggenggamkan anak-anak jari kecuali telunjuk, maka ia hendaklah diluruskan. Tangan kiri pula diletakkan di tepi lutut kiri, dirapatkan dan diluruskan ke arah kiblat.

29- Dan disunatkan mengangkatkan telunjuk ketika menyebut huruf hamzah “ إلا الله ”. Dan disunatkan mengekalkan mengangkat jari telunjuk itu dan melihat kepadanya sehingga berdiri kepada rakaat ketiga, dan jika tasyahhud akhir sehingga memberi salam.

30- Dan cara menggenggamkan telunjuk ialah dengan menggenggamkan jari kelingking, jari manis dan jari hantu (tengah). Manakala jari telunjuk diluruskan ke arah kiblat dan ibu jari pula dihimpitkan dengan tepi jari telunjuk dan diletakkan di bawah jari telunjuk. Dan jika jari tengah disatukan dengan ibu jari untuk membentuk satu bulatan, atau digenggamkan ibu jari di atas jari tengah, maka itu juga telah melakukan sunat.

31- Dan tidak disunatkan menggerak-gerakkan jari semasa bertasyahhud. Namun tidak diengkari orang yang melakukan demikian, kerana itu adalah pendapat mazhab Maliki dan lain-lain.

31- Lafaz tasyahhud awal beserta selawat ialah:

التَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ لِلَّهِ، السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، اللهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ.

32- Sesudah selesai, maka bangunlah dengan bertongkat dengan kedua tapak tangnnya untuk rakaat yang ketiga. dan disunatkan mengangkat tangan ketika bangkit untuk rakaat ketiga. Dan pada rakaat yang ketiga dan keempat dilakukan pergerakan sama seperti rakaat-rakaat yang tadi.

Tasyahhud Akhir Dan Kaifiatnya

33- Setelah selesai rakaat keempat, maka hendaklah duduk untuk membaca tasyahhud yang akhir. Dan disunatkan untuk duduk bagi tasyahhud akhir dengan cara “tawarruk”. Caranya ialah dengan duduk di atas pahanya yang kiri, dan diangkatkan kakinya yang kanan, serta dikeluarkan kakinya yang kiri dari bawahnya (bawah kaki kanan yang diangkatkan itu). Dan hujung jari-jari kaki kanannya dilipat supaya menghadap kiblat.

34-Dan dalam mazhab Syafie, sunat bagi yang makmum yang masbuq (yang imamnya bertasyahhud akhir) atau orang yang disunatkan sujud sahwi untuk membaca tasyahhud dalam keadaan duduk iftirasy.

Lafaz Selawat Pada Tasyahhud Akhir

35- Lafaz tasyahhud akhir sama sahaja dengan tasyahhud awal. Dan dibacakan selepasnya selawat ke atas Nabi dan juga para keluarga baginda. Lafaznya ialah:

اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَدٍ ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ ، وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمِ، إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ ، اَللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ ، وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمِ ، إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ.

Doa-Doa Sebelum Salam Sesudah Tasyahhud Dan Selawat

36- Dan sesudah selawat, maka disunatkan membaca doa-doa yang warid daripada Rasulullah s.a.w. sebelum member salam. Antaranya ialah:

· اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ وَمَا أَسْرَفْتُ وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي، أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ َلا إِلَهَ إَِلا أَنْتَ

· اللَّهُمَّ حَاسِبْنِي حِسَابًا يَسِيرًا

· اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا، وََلا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إَِلا أَنْتَ، فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنِي إِنَّك أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

· اللَّهُمَّ! إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

· اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ

· اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ النَّارِ

· اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ يَا أَللَّهُ اْلأحَدُ الصَّمَدُ، الَّذِي لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ، وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ، أَنْ تَغْفِرَ لِي ذُنُوبِي، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

· اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ وَمَا أَسْرَفْتُ وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي، أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ َلا إِلَهَ إَِلا أَنْتَ

Salam Dan Kaifiatnya

36- Setelah selesai tasyahhud dan juga berdoa, maka kita akan memberi salam. Lafaz salam ialah:

السَّلَاْمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ

37- Dan disunatkan dua kali salam, dan berpaling semasa memberi salam, samada ke kana atau kiri, sehingga kelihatan pipi (bagi orang yang berada di belakang, dan bukan kedua-dua belah pipi). Dan disunatkan bagi imam menyaringkan salam. Manakala makmum janganlah member salam, melainkan setelah selesai kedua-dua salam imam.

38- Setelah selesai member salam kedua, maka selesailah solat. Dan tidak disunatkan meraup muka setelah selesai memberi salam.

Disediakan oleh Us Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail, Taman al-Barakah, Kg. Tasek Pauh, 16810, Selising, Pasir Puteh, Kelantan

Labels: ,

Kaifiat Solat Yang Sempurna – Bhg 1

Qiam Dengan Menghadap Kiblat

1- Berdiri (qiam) dalam keadaan menghadap kiblat. Disyaratkan pada qiam meluruskan tulang belakang. Dan disunatkan menghadap kepada sutrah, iaitu sesuatu yang boleh menghalang orang melintasi di hadapannya. Contoh sutrah ialah tiang dan sebagainya. Disarankan supaya menundukkan kepala untuk melihat kepada tempat sujud.

Niat

2- Setelah ingin bersolat, maka hendaklah dia niatkan solat yang ingin didirikannya. Dan disyaratkan menghadirkan dalam hati perkara-perkara niat, iaitu: jika

1- Solat fardhu: Qasad, taarud dan ta’yin.

2- Solat sunat berwaktu dan bersebab: Qasad dan ta’yin.

3- Solat mutlak (semata-mata solat) : Qasad sahaja.

Contoh niat ialah: Aku ingin bersembahyang fardhu zuhur, kerana Allah SWT. Dan tidak disunatkan melafazkan niat, kecuali jika dilafazkan, ia membantu memudahkan niat. Dan tidak disunatkan membaca apa-apa bacaan sebelum bertakbir, kerana permulaan solat ialah takbir.

Takbiratul Ihram

3- Setelah berniat, maka hendaklah bertakbir. Dan di dalam takbir itu, maka hadirkanlah keagungan dan kebesaran Allah SWT. Dan janganlah dinyaringkan takbir, kecuali bagi imam. Dan tidak boleh bagi makmum bertakbir mendahului imam atau bersama imam. Dan disunatkan baginya terus bertakbir setelah imam selesai bertakbir, dan jangan melengah-lengahkannya. Lafaz takbir ialah:

اللهُ أَكْبَرُ

Masalah Muqaranah Niat

Berkata Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, dalam kitabnya Sabilal Muhtadin, juz 1, m/s 195: “Tetapi memilih Imam Nawawi di dalam “Majmuk” akan yang telah dipilih akan dia oleh Imamul Haramain dan Imam Ghazali bahawasanya memadai pada niat itu muqaranah urfiyyah, pada orang yang awam…Dan kata setengah mereka itu, bermula murad (maksud) dengan dia bahawa dipadakan (memadai) menghadirkan niat dahulu sedikit daripada takbir dan jika lalai ia daripadanya di dalam takbir sekalipun. Dan muwafaah (sama) akan dia atas taswir (gambaran) ini segala imam yang tiga, iaitu Imam Abu Hanifah, dan Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hanbal r.a

4- Semasa bertakbir, disunatkan mengangkat kedua tangan, dan tapak tangan itu dibuka dan dihadapkan ke arah kiblat. Kedua tapak tangan disunatkan menyamai bahu, dengan dua ibu jarinya menyamai dua cuping telinganya.

Keadaan Semasa Qiam Dalam Rakaat-Rakaat Solat

5- Setelah itu, tangan hendaklah diletakkan di kawasan atas dari pusat dan di bawah dada. Dan digenggamkan kedua tapak tangan kanan di atas dua tapak tangan kiri. Boleh juga diletakkan tanpa digenggam.

6- Setelah bertakbir dan meletakkan tangan, disunatkan diam sebentar. Setelah itu disunatkan membaca doa iftitah.

Contoh-contoh Doa Iftitah

·       اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلاً.

·     وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَاْلأرْضَ حَنِيفًا مُسْلِماً وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ، إِنَّ صََلاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، َلا شَرِيكَ لَهُ، وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ.

·     الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ

·     سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، وَتَبَارَكَ اسْمُكَ، وَتَعَالَى جَدُّكَ، وََلا إِلَهَ غَيْرَكَ

·     اللَّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِي وَبَيْنَ خَطَايَايَ كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ. اللَّهُمَّ نَقِّنِي مِنْ خَطَايَايَ كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ اْلأبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ. اللَّهُمَّ اغْسِلْنِي مِنْ خَطَايَايَ بِالثَّلْجِ وَالْمَاءِ وَالْبَرَدِ

6- Setelah selesai membaca doa iftitah, maka hendaklah diam sebentar. Kemudian disunatkan membaca istiazah atau taawwuz, iaitu:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ.

Bacaan Surah al-Fatihah

7- Setelah bertaawwuz, maka disunatkan diam sebentar sebelum membaca surah al-Fatihah.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ {1} الْحَمْدُ للّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ {2} الرَّحْمـنِ الرَّحِيمِ {3} مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ {4} إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ {5} اهدِنَــــا الصِّرَاطَ المُستَقِيمَ {6} صِرَاطَ الَّذِينَ أَنعَمتَ عَلَيهِمْ غَيرِ المَغضُوبِ عَلَيهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ {7}

8- Setelah selesai membaca surah al-Fatihah, maka disunatkan diam sebentar. Setelah itu disunatkan mengucapkan “Amin”.

9- Setelah selesai mengucapkan “Amin”, disunatkan diam sebentar sebelum membaca surah. Bahkan disunatkan bagi imam diam sekadar bacaan surah al-Fatihah. Setelah itu disunatkan membaca surah. Dan panjang pendek bacaan surah itu bergantung kepada solat dan juga keadaan seperti musafir, sakit dan sebagainya. Dan disunatkan memanjangkan bacaan rakaat yang pertama berbanding rakaat yang kedua.

10- Setelah selesai membaca surah, maka disunatkan diam sebentar sebelum rukuk. Kemudian disunatkan mengangkat kedua tangan (semasa qiam) serta bertakbir untuk rukuk.

Rukuk Dan Kaifiatnya

11- Disyaratkan pada rukuk 3 syarat, iaitu membengkokkan belakang ke bawah, (sekurang-kurangnya sekira-kira sampai tangan ke lutut), thoma’ninah dan tidak qasad selain dari rukuk. Dan yang sempurna ialah dengan tunduk sehingga sama dahinya dengan tempat sujud, serta menyamakan kepala, belakang dan punggung seumpama sekeping papan. Tapak tangan pula memegang kedua lutut dan menjarangkan anak-anak jari kedua-dua tangan secara pertengahan, serta menghadapkannya ke arah kiblat.

12- Setelah rukuk, disunatkan membaca zikir-zikir rukuk. Antaranya:

·       سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ،(atau)  سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ (sekurang-kurangnya, 3 kali )

·       اللَّهُمَّ لَكَ رَكَعْتُ، وَبِكَ آمَنْتُ، وَلَكَ أَسْلَمْتُ، خَشَعَ لَكَ سَمْعِي وَبَصَرِي وَمُخِّي وَعَظْمِي وَعَصَبِي

Iktidal Dan Kaifiatnya

13- Setelah sempurna rukuk, maka kita hendaklah beriktidal, iaitu bangkit daripada rukuk. Dan disunatkan mengangkatkan kedua tapak tangan berbetulan bahu beserta dengan permulaan mengangkatkan kepala, dan membaca zikir perpindahan untuk iktidal. Zikirnya ialah:

سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ

14- Apabila berdiri tegak, maka lepaskanlah tangan yang diangkat tadi. Dan disyaratkan pada iktidal tiga syarat, iaitu: menegakkan semula tulang belakang seperti semasa qiam dengan dengan qasad iktidal, thoma’ninah dan tidak terlalu memanjangkan iktidal (melebihi qadar bacaan fatihah) kerana ia adalah rukun pendek.

15- Dan disunatkan semasa iktidal membaca zikirnya. Antaranya:

·       رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ،  (atau) رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ

·       رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ، حَمْدًا كَثِيْرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيْهِ

·       اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ، مِلْءَ السَّمَاوَاتِ، وَمِلْءَ اْلأرْضِ، وَمِلْءَ مَا بَيْنَهُمَا، وَمِلْءَ مَا شِئْتَ مِنْ شَيْءٍ بَعْدُ.

·   رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ. مِلْءُ السَّمَاوَاتِ وَاْلأرْضِ، وَمِلْءُ مَا شِئْتَ مِنْ شَيْءٍ بَعْدُ، أَهْلَ الثَّنَاءِ وَالْمَجْدِ، أَحَقُّ مَا قَالَ الْعَبْدُ، وَكُلُّنَا لَكَ عَبْدٌ، اللَّهُمَّ َلا مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ، وََلا مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ، وََلا يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ.

16- Setelah selesai iktidal, maka hendaklah turun sujud. Dan disunatkan bertakbir untuk turun sujud tanpa mengangkatkan tangan.

Sujud Dan Kaifiatnya

17- Dan disyaratkan pada sujud Disyaratkan padanya 8 syarat:

1- Sujud dengan pilihan sendiri iaitu dengan niat untuk sujud.

2- Sujud di atas tujuh anggota, iaitu dahi, dua tangan, dua lutut dan hujung jari kaki. Dan tidak sah bersujud tanpa cukup tujuh anggota ini.

3- Dahi terbuka mencecah tempat sujud.

4- Menekan dahi pada tempat sujud.

5- Tidak turun untuk tujuan selain dari sujud.

6- Jangan sujud di atas pakaian yang dipakainya.

7-Hendaklah ditinggikan punggung dari kepalanya.

8- Sujud serta thoma’ninah.

18- Dan disunatkan turun dengan mendahulukan lutut, kemudian kedua tapak tangan, kemudian dahi dan hidung. Dan disunatkan meletakkan kedua tapak tangan itu sama dengan kedudukan bahu, dan membukakan kedua tangan dan tidak menghamparkan lengannya ke bumi. Jari-jari tangannya pula dirapatkan dan dihadapkan ke arah kiblat. Dan disunatkan merenggangkan kedudukan antara kedua lututnya sekadar sejengkal, dan begitu juga kedudukan kedua kakinya. Dan kakinya hendaklah didirikan dan hujung jari-jari kaki pula disunatkan dihadapkan ke arah kiblat. Dan disunatkan menjauhkan perutnya dari pahanya, dan bukan merapatkan antara kedua-duanya. Namun disunatkan bagi perempuan merapatkan kedua-duanya dan juga tidak membukakan lengannya, bahkan merapatkannya kepada lambungnya.

Wai’l bin Hujr r.a. menyatakan bahawa beliau melihat Nabi s.a.w. bila bersujud, baginda akan mendahulukan kedua lututnya sebelum kedua tangannya. Hadis sohih, riwayat ahlus sunan. Menurunkan lutut dulu sebelum tangan adalah pendapat jumhur ulamak. Namun mazhab Maliki menyunatkan menurunkan tangan sebelum lutut.

19- Setelah bersujud, disunatkan membaca zikir-zikir sujud. Antaranya:

·       سُبْحَانَ رَبِّيَ اْلأعْلَى  (atau) سُبْحَانَ رَبِّيَ اْلأعْلَى وَبِحَمْدِهِ ( sekurang-kurangnya, 3 kali )

·       سُبُّوحٌ قُدُّوسٌ، رَبُّ الْمََلائِكَةِ وَالرُّوحِ

·     اللَّهُمَّ لَكَ سَجَدْتُ، وَبِكَ آمَنْتُ، وَلَكَ أَسْلَمْتُ. وَأَنْتَ رَبِّي، سَجَدَ وَجْهِي لِلَّذِي خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ، وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ. تَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ

20- Dan disunatkan memperbanyakkan berdoa dalam sujud, kerana ia adalah keadaan yang paling hampir antara seorang hamba dengan Tuhan Penciptanya. Dan antara doa yang pernah dibaca oleh Nabi s.a.w. dalam sujud ialah:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ذَنْبِي كُلَّهُ، دِقَّهُ وَجِلَّهُ، وَأَوَّلَهُ وَآخِرَهُ، وَعََلانِيَتَهُ وَسِرَّهُ.

Ertinya: “Wahai tuhanku, ampunilah dosaku keseluruhannya, samada yang kecilnya, besarnya, awalnya, akhirnya, secara terangnya atau sembunyinya”. Riwayat Muslim. 

Disediakan oleh Us Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail, Taman al-Barakah, Kg. Tasek Pauh16810, Selising, Pasir Puteh, Kelantan

Labels: ,





XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health