TASEK PAUH blogspot

Pembersihan Aqidah Pemurnian Ibadah (PAPI) bersama Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL.


Ke Mana Undi Anda?

MENOLONG, SATU DOSA BESAR???

Ke Mana Undi Anda?

Antara satu perkara yang menjadi dasar kepada perhubungan sesama manusia yang dianjurkan oleh Islam ialah sikap taa’wun ataupun tolong menolong.

Pada ayat yang kedua daripada surah al-Maidah, Allah swt berfirman: Dan hendaklah kamu saling tolong menolong dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan dan janganlah kamu tolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan. Ayat ini menyarankan kita supaya saling tolong menolong dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan sahaja dan melarang kita tolong menolong dalam perkara kemaksiatan dan permusuhan. Orang yang menolong untuk melaksanakan perkara-perkara kebaikan dan ketaqwaan akan mendapat pahala kerana pertolongannya itu dan begitulah sebaliknya, iaitu akan mendapat dosa jika membantu dalam perkara kemaksiatan dan dosa. Bahkan jika dia membantu dalam melaksanakan satu kebaikan yang mana mendatangkan maslahah yang besar, maka dia akan mendapat pahala yang banyak, sebaliknya jika dia membantu dalam melaksanakan dosa yang besar iaitu dalam perkara yang membawa mafsadah atau keburukan yang besar, maka dia juga akan mendapat dosa yang besar.

Kerana itu dengan membantu, seseorang mungkin akan mendapat pahala yang banyak ataupun mungkin akan mendapat dosa yang besar. Kerana inilah saya katakan bahawa antara dosa yang paling besar yang ada pada zaman sekarang adalah dosa menolong, sekalipun dosa menolong ini tidak disebut secara jelas bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa yang besar. Dalam dosa membunuh contohnya, seseorang lelaki yang tidaklah membunuh, tetapi dialah yang menolong untuk menjayakan pembunuhan itu, seperti diikatnya mangsa, dipegang atau dicamkannya untuk pembunuh, maka dia juga akan mendapat dosa membunuh. Berkata Imam al-Ghazali: Sesiapa yang membantu dalam kemaksiatan, maka dia adalah bersekutu dalam (dosa) maksiat itu.-lihat kitab Faidhul Qadir karangan Imam al-Manawi. Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. menyatakan: “Sesiapa yang membantu mempertahankan kezaliman, maka dia akan berada dalam kemurkaan Allah, sehinggalah dia meninggalkannya”. (Riwayat Ibnu Majah, (2320, dan al-Albani menganggapnya sahih)

Dalam dosa mengumpat, bukan sahaja si pengumpat yang mendapat dosa, bahkan si pendengar juga mendapat dosa. Ini kerana dia telah membantu dalam perkara kemaksiatan, ini kerana umpatan tidak akan terjadi tanpa ada yang sanggup mendengarnya. Samalah juga halnya dengan dosa meminum arak. Bukan sahaja peminum yang berdosa, bahkan semua yang menolongnya juga berdosa seperti penjual, pembekal, pelayan dan sebagainya. Maka alangkah besarnya dosa orang yang mana dengan pertolongan dan bantuannya, tertegak dan berdiri kilang-kilang arak dengan megah, ini kerana semua arak yang diminum adalah bersumberkan kepada kilang-kilang tersebut. Dan alangkah lamanya dosanya, iaitu selama mana kilang itu masih beroperasi dan dia masih mendokongnya.

Dalam hukum memakan riba, bukan sahaja yang memakan riba itu yang berdosa, bahkan si pemberi, kerani yang mencatat juga mendapat habuannya daripada dosa tersebut. Maka, alangkah besarnya dosa orang yang dengan pertolongan dan bantuannya, terlaksananya sistem ekonomi yang menghalalkan riba dan sistem itu sentiasa berjalan dan didokongnya. Begitu juga hukumnya dengan hukum memakan rasuah. Bukan sahaja si pemakan rasuah yang berdosa, bahkan orang yang memberi juga turut berdosa dalam, kerana dialah yang memberikan rasuah tersebut. Kerana itu saya katakan antara dosa yang sangat besar dalam zaman kita sekarang adalah dosa menolong dalam perkara kemaksiatan.

Kalau kita tengok kepada keadaan muda-mudi sekarang, kita dapati kebanyakan daripada mereka telah runtuh akhlaknya. Keruntuhan akhlak muda-mudi ini sebenarnya adalah disebabkan sistem pelajaran sekarang adalah sistem pelajaran sekular dan tidak berlandaskan kepada sistem pelajaran Islam. Sistem pelajaran yang ada sekarang meggalakkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Natijahnya ialah keruntuhan akhlak muda-mudi yang kita lihat sekarang. Maka alangkah besar dosanya kalaulah kita yang membantu dan mendokong sehingga sistem sekular itu yang diguna pakai dan bukannya sistem pelajaran Islam.

Dalam suatu hadis Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang dengan pertolongannya boleh membawa kepada tidak terlaksananya satu hukum hudud daripada hudud-hudud Allah, maka sesungguhnya dia telah melawan Allah dalam urusanNya (pemerintahannya). (Hadis riwayat Abu Daud (3597) dan Al-Albani menganggapnya sahih). Hadis ini meyatakan bahawa sesiapa yang dengan pertolongannya boleh menyingkirkan satu hukuman hudud sahaja sudah dianggap melawan Allah, maka alangkah besarnya gerangan dosa orang yang mana dengan pertolongan dan bantuannya hukum hudud sedikit pun tidak dapat dilaksanakan bahkan dilarang untuk selama-lamanya. Kerana inilah dalam hadis yang sohih, bila mana Usamah bin Zaid, seorang yang sangat disayangi oleh Rasulullah s.a.w. meminta supaya tidak dilaksanakan hukum hudud ke atas seorang perempuan Bani Makhzum yang telah mencuri, berubah air muka Rasululllah s.a.w. kerana kemarahan dan beliau bersabda: Adakah kamu mahu untuk memberikan pertolongan supaya tidak dilaksanakan satu hudud daripada hudud-hudud Allah? … Demi Allah, kalaulah Fatimah binti Muhammad (anak perempuan kesayanganku ini) mencuri, nescaya aku akan potong tangannya. Hadis ini diriwayatklan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Siti Aisyah, lihat Riyadus Solihin, karangan Imam Nawawi, bab larangan memberikan pertolongan dalam (menyingkirkan hukum) hudud.

Dalam suatu hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda: Tolongilah saudara kamu samada dia menzalimi atau dizalimi. Lalu seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah, aku akan menolongnya jika dia dizalimi. Apa pula pendapatmu jika dia yang menzalimi, bagaimana aku menolongnya? Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab: Engkau hendaklah menegahnya daripada melakukan kezaliman itu, maka itulah cara menolongnya. Hadis sohih riwayat Imam Bukhari daripada Anas. Sila lihat Nuzhatul Muttaqin, Syarah Riyadus Solihin, jilid 1, m/s 206. Berpandukan hadis ini, maka kita diseru supaya sentiasa menolong, samada orang yang menzalimi atapun yang dizalimi dengan syarat pertolongan itu akan membawa kepada maslahah ataupun kebaikan kepada kita, agama dan juga kepada saudara seagama kita. Maka cara menolong orang yang dizalimi adalah dengan menyekatnya daripada melakukan kezaliman tersebut. Dan perlu kita faham bahawa kezaliman adalah setiap perkara yang dianggap dosa dan munkar oleh agama.

Kita diwajibkan untuk mencegah kezaliman dan kemunkaran yang dilakukan, dan bukannya sama-sama bersekongkol dan tolong-menolong dalam perkara tersebut. Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa dikalangan kamu yang melihat kemunkaran, maka cegahlah dengan tangannya, dan jika dia tidak mampu, maka cegahlah dengan lidahnya dan jika dia tidak mampu, maka cegahlah dengan hatinya. Dan itu adalah selemah-lemah iman. Hadis sohih riwayat Imam Muslim daripada Abu Said al-Khudriyy. Dikeluarkan oleh Imam Muslim dalam Kitabul Iman, bab pada menyatakan bahawa mencegah kemunkaran adalah sebahagian daripada keimanan. Lihat Nuzhatul Muttaqin, jilid 1 m/s 170.

Kerana itu, sama-samalah kita tolong menolong dalam menegakkan agama Allah, kerana di situlah keadilan dan sama-samalah kita berganding bahu untuk mencegah dan menyekat kemunkaran yang berleluasa sekarang ini. Semua ini adalah tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah s.w.t. ke atas bahu-bahu kita. Janganlah kita berkecuali dalam hal ini dan memandang remeh tentang apa yang berlaku sekarang ini dalam masyarakat dan negara kita. Dalam suatu hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda: Akan datang (masanya, timbulnya) pemimpin-pemimpin yang sentiasa melakukan kezaliman dan pembohongan. Maka sesiapa yang menolong kezaliman mereka dan mengiyakan pembohongan mereka, maka dia bukanlah daripada (golongan)ku dan aku bukanlah daripada (golongan)nya, dan dia tidak akan samapi ke kolam Kautharku (di akhirat). Dan sesiapa yang tidak mengiyakan pembohongan mereka dan tidak menolong mereka dalam kezaliman itu, maka aku adalah daripada (golongan)nya dan dia adalah daripada (golongan)ku dan dia akan sampai ke kolam Kautharku (di akhirat). Hadis riwayat Imam Ahmad (no. 18151, dan Syuaib al-Arnaut menyatakan bahawa isnadnya sahih).

Maka fikirkanlah situasi anda sekarang ini. Renungkanlah. Dan jawablah,: “Adakah anda bersama-sama orang yang menegakkan agama Allah atau anda berada dalam kumpulan yang mendokong dan menyokong kemungkaran”? Tinggalkanlah kumpulan yang mendokong kezaliman dan ingatlah kepada firman Allah s.w.t. yang berbunyi: Dan janganlah sekali-kali kamu condong kepada orang-orang yang zalim kerana kamu akan disentuh api neraka. Surah Hud, ayat 113.

Disediakan oleh: Tuan Mohd Sapuan Bin Tuan Ismail. Edit05030812.30/27/02/29

Labels: , , ,

Antara Aqidah Dan Pilihanraya

Antara Aqidah Dan Pilihanraya

“Pilihanraya tiada kaitan dengan persoalan di akhirat. Allah SWT tidak akan menyoal kita tentang siapakah yang kita pilih, siapakah yang kita undi kerana semua ini hanyalah perkara keduniaan semata-mata. Allah SWT hanya akan menyoal kita di akhirat tentang aqidah (dan amalan) kita. Apakah ini benar atau tidak? Allah akan soal tentang sembahyang kita, adakah ditunaikan atau tidak? Zakat kita, dikeluarkan atau tidak? Puasa kita, dilaksanakan atau tidak? Soal mengundi tidak akan ditanya di akhirat!”.

Kefahaman inilah yang mendorong saya untuk menulis artikel ringkas ini.

Pandangan sedemikian sebenarnya adalah sangat bahaya, kerana ia bercanggah dengan aqidah. Ini kerana, sebenarnya setiap perkara yang dilakukan oleh kita akan ditulis oleh para malaikat, dan kita akan disoal dan dipertanggung jawabkan di atas semua perbuatan kita. Tidak ada satu pun daripada perbuatan kita, melainkan pasti akan ditulis oleh para malaikat. Dan kita pasti akan melihatnya di akhirat, samada buruk atau baik. Firman Allah SWT:

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ {7} وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ {8}

Ertinya: “Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrah sekalipun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarrah sekalipun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula”. Surah az-Zalzalah: 7-8.

Ayat suci di atas menunjukkan bahawa setiap perbuatan kita, pasti ada balasannya, sekalipun sebesar zarrah yang kecil. Hal pilihanraya yang melibatkan seluruh Negara, dari pimpinan atasan sehinggga rakyat bawahan dan memakan masa berhari-hari merupakan satu perkara yang besar, dan bukannya kecil. Firman Allah SWT:

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا {49}

Ertinya: “Dan bila diletakkanlah kitab (catatan amalan), kamu akan melihat orang-orang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata: "Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya? Dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis), dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang juapun”. Surah al-Kahfi: 49.

Dalam pilihanraya, kita akan lihat betapa bersungguhnya calon-calon dan para penyokong parti-parti yang bertanding berkempen. Mereka akan menyatakan hala tuju dan tujuan masing-masing. Semua yang mereka katakan dalam kempen tersebut pasti akan dicatat dan mereka akan dipersoalkan mengenainya di akhirat. Firman Allah SWT:

مَا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ {18}

Ertinya: “Tiada suatu ucapanpun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang sentiasa hadir (ada bersama)”. Surah Qaf: 18.

Kalaulah kita mengatakan bahawa urusan pilihanraya tidak akan disoal di akhirat, ini bererti kita menganggap bahawa malaikat tidak akan menulis segala perkataan dan perbuatan semasa berkempen, semenjak hari penamaan calon, atau sebelumnya lagi, sehinggalah hari pilihanraya. Maka ini jelas bertentangan dengan aqidah yang menunjukkan bahawa segala amalan kita akan dicatat oleh malaikat dan kita akan disoal mengenainya di akhirat. Allah SWT berfirman:

وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولـئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُولاً {36}

Ertinya: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan disoal (diminta pertanggung jawabannya di akhirat)”. Surah al-Isra’: 36.

Dan apa yang lebih menyedihkan saya ialah, berbanding fahaman tadi, jawapan seorang makcik (Mak Nik) semasa hari penamaaan calon 24 Febuari lepas ketika ditanya: Mak Nik tak pergi ke tempat orang berhimpun ke? Dia menjawab: Tempat berhimpun apa? Si penanya: Tempat orang laungkan “Allahuakbar, Allahuakbar” (dia maksudkan tempat penamaan calon). Mak Nik menjawab: “kalau “Allahuakbar, Allahuakbar” Mak Nik tak sir (tak nak), tapi kalau “Hidup Pak Lah”, Mak Nik nak.

Lihatlah betapa dia (disebabkan kejahilannya, dan tanpa dia sedari) telah jauh lari daripada aqidah yang sebenar, sehingga dia telah tertukar antara Allah dan makhluk. Tidakkah semua yang hidup ini bergantung kepada Allah? Walau siapa dia sekalipun? Allah SWT sahaja yang layak disembah, dan Dia sahaja tempat pergantungan yang sebenar.

Kalaulah urusan pilihanraya juga akan dipersoalkan di akhirat, maka gunakanlah ia untuk kebaikan Islam. Kalaulah kita ingin berkempen, maka berkempenlah dengan bersungguh-sungguh untuk parti yang membawa kita kepada ajaran Allah, iaitu Islam. Firman Allah SWT:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ {33}

Ertinya: “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, dan dia mengerjakan amal soleh, dan berkata: "Sesungguhnya aku adalah di kalangan orang-orang Islam (yang menyerah diri kepada Allah)”? Surah Fussilat: 33.

Kalaulah urusan pilihanraya juga akan disoal di akhirat, maka janganlah sistem demokrasi ini digunakan untuk menafikan Islam, dan menafikan ajaran Allah dan RasulNya. (Sebagai contoh, pada tahun lepas, berpuluh-puluh ribu rakyat Turki mengadakan tunjuk persaaan meyatakan kebimbangan sistem sekular yang diamalkan akan ditukar kepada sistem Islam jika berlaku perubahan pucuk pimpinan) Gunakanlah untuk kemenangan Islam, dan janganlah digunakan untuk memilih calon daripada parti-parti yang akan menafikan hukum hakam Allah dalam sistem perundangan, pendidikan dan sebagainya. Renungkanlah firman Allah SWT yang berbunyi:

الَّذِينَ آمَنُواْ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ وَالَّذِينَ كَفَرُواْ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ فَقَاتِلُواْ أَوْلِيَاء الشَّيْطَانِ إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفًا {76{

Ertinya: “Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir (pula) berperang di jalan Thaghut. Kerana itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah”. Surah an-Nisa’: 76.

Dan bagi pejuang-pejuang Islam, yang sanggup berpenat lelah kerana Islam, maka sebenarnya Allah bersamamu, dan Dia sekali-kali tidak akan bersama musuhmu. Senyumlah kerana itu, kerana sinar yang cerah bergemerlapan berada di hadapanmu. Allah SWT berfirman:

وَلاَ تَهِنُواْ فِي ابْتِغَاء الْقَوْمِ إِن تَكُونُواْ تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمونَ وَتَرْجُونَ مِنَ اللّهِ مَا لاَ يَرْجُونَ وَكَانَ اللّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا {104}

Ertinya: “Janganlah kamu berhati lemah dalam mengejar mereka (musuhmu). Jika kamu menderita kesakitan, maka sesungguhnya mereka juga menderita kesakitan, sebagaimana kamu menderita, sedangkan kamu mengharap dari pada Allah apa yang tidak mereka harapkan. Dan adalah Allah Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana”. Surah an-Nisa’: 104.

Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail. Isnin, 03am03032008/25021429

Labels: , ,

Hukum Menegakkan Sistem Pemerintahan Islam - Siri 2

Hukum Menegakkan Sistem Pemerintahan Islam

Sesungguhnya menegakkan sistem pemerintahan Islam adalah satu kewajiban yang sangat besar dalam Islam. Antara dalil-dalil yang menunjukkan demikian adalah:

1- Ayat-ayat suci al-Qur’anul Karim yang berkaitan dengan pemerintahan semuanya mewajibkan memerintah dengan hukum Islam. (Sila rujuk edisi yang akan datang) Meninggalkan sistem Islam dan menggantikannya dengan sistem yang lain bererti meninggalkan ajaran al-Qur’an. Ia juga menunjukkan bahawa kurang keyakinan dengan kemampuan ajaran al-Qur’an disamping menunjukkan kepada melebihkan ajaran lain berbanding ajaran Islam yang mana perlembagaannya adalah al-Qur’an. Kerana ini, meninggalkan sistem pemerintahan Islam boleh menggugat aqidah seseorang. Terdapat juga ayat-ayat suci yang melambangkan meninggalkan hukum Islam sebagai kufur dan munafiq. Ini menunjukkan bahawa mengamalkan sistem pemerintahan Islam adalah asas keimanan, dan meninggalkannya adalah lambang keengkaran (kufur), kezaliman dan keluar daripada petunjuk Allah (fasiq).

2- Sunnah praktikal (amaliyyah) yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. sewaktu baginda membentuk Negara Islam pertama di Madinah al-Munawwarah. Sunnah baginda ini menguatkan lagi apa yang dinyatakan di dalam kitab suci al-Qur’an tentang kewajiban mengambil sistem Islam. Menghayati dan menghidupkan sunnah baginda adalah wajib. Dan ini mewajibkan kita mengambil sistem Islam dalam pemerintahan, kerana itulah cara pemerintahan baginda. Kalaulah dalam perkara yang kecil pun kita disuruh mengikut sunnah baginda, seperti adab-adab makan, minum, masuk tandas dan sebagainya, maka dalam perkara yang sangat besar seperti kenegaraan, maka sudah tentu ia lebih-lebih lagi dituntut. Sunnah baginda ini diamalkan oleh keseluruhan khalifah baginda, iaitu Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali dan juga oleh khalifah-khalifah Islam selepas mereka. Kalaulah ia perkara pilihan, sudah tentu ada hadis atau keterangan yang menunjukkan harus (boleh) meninggalkannya. Firman Allah SWT: “Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan rasulNya menetapkan suatu ketetapan (hukum), akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa menderhakai Allah dan rasulNya, maka sungguhlah dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas”. Surah al-Ahzab: 36.

3- Aqidah Islam mewajibkan penganutnya mengambil hukum Allah SWT. Sesiapa yang mengucapkan dua kalimah syahadah, sudah tentu akan mengiktiraf “Ketuhanan” (Tauhid Uluhiyyah) Allah SWT. Syahadah tanpa mengiktiraf “Ketuhanan” Allah SWT adalah syahadah yang batal dan tidak sah. Dan antara syarat pengiktirafan kepada “Ketuhanan” Allah SWT ialah menganggap bahawa hanya Allah SWT sahaja yang berhak menentukan hukum hakam. Firman Allah SWT: “Keputusan (hukum) itu hanyalah milik Allah". Surah Yusuf: 40. FirmanNya lagi: “Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah?”. Surah as-Syura: 21.

4- Sesungguhnya menegakkan hukum hakam Syariah dalam semua kehidupan adalah wajib. Dan semua ini tidak mungkin dilaksanakan tanpa sistem pemerintahan Islam. Kerana ini melaksanakan sistem pemerintahan Islam adalah wajib, berdasarkan qaedah “Setiap perkara yang tidak sempurna wajibnya, melainkan dengan perkara tersebut, maka perkara itu menjadi wajib”. Berkata Syeikhul Islam, Ibn Taimiyyah: “Hendaklah diketahui, bahawa menjaga urusan manusia (pemerintahan) merupakan kewajiban agama yang sangat besar, bahkan tidak akan tertegak agama, tidak juga dunia, melainkan dengannya”. Ini kerana Islam bukan agama kerohanian semata-mata, dan orang yang tidak tunduk dengan ajaran al-Qur’an hendaklah ditundukkan dengan kekuasaan (undang-undang).

Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail. Sarjana Muda Shariah, Universiti Mu’tah, Jordan & Sarjana Pengajian al-Quran & as-Sunnah (Pengkhususan Hadis) UIAM, KL

Labels: , ,

Sistem Pemerintahan Islam - Siri 1

Sistem Pemerintahan Islam

Sistem pemerintahan adalah satu sistem pelaksanaan terhadap dasar dan undang-undang sesebuah Negara. Asas pembentukan sesebuah Negara ialah, bangsa, tanah yang didiami dan kuasa yang memerintah. Negara Islam pula adalah sebuah Negara yang menjadikan Syariat Islam sebagai satu-satunya sumber perundangan. Manakalah Negara yang tidak menjadikan Syariat Islam sebagai sumber perundangan, maka ia bukanlah sebuah Negara Islam. Sebuah Negara Islam perlulah diperintah melalui sistem pemerintahan Islam.

Sesungguhnya sistem pemerintahan Islam adalah unik dan berbeza dengan mana-mana sistem pemerintahan yang ada, sekalipun mungkin kita dapati terdapat beberapa persamaan dengan sistem yang lain dalam cabang-cabang kecil. Ini kerana sistem ini adalah syariat Allah SWT yang disyariatkan untuk kebahagiaan keseluruhan manusia.

Antara asas sistem pemerintahan Islam adalah:

1- Ketuanan adalah hak Allah SWT. Ini bererti bahawa pemerintah tidak berhak mencipta syariat atau undang-undang, bahkan tugas mereka adalah untuk memastikan pelaksanaan hukum Allah SWT. Firman Allah SWT: “Dan hendaklah kamu memerintah mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah”. Surah al-Maidah:49. Banyak ayat suci al-Qur’an yang menegaskan demikian, bahkan tidak meletakkan ketuanan kepada hukum Allah adalah lambang keengkaran (kufur), kezaliman dan kejahatan (fasiq). Firman Allah: “Dan sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka adalah orang-orang yang kafir”. Surah al-Maidah: 44. Dalam surah yang sama, ayat 45 “ mereka adalah orang-orang yang zalim”, dan pada ayat 47: “ mereka adalah orang-orang yang fasiq”.

2- Kekuasaan adalah milik ummah. Ini kerana umat Islamlah yang diwajibkan membawa risalah Islam dan melaksanakannya. Dan kuasa mereka tampak jelas, kerana merekalah yang wajib memilih dan melantik seorang ketua yang berjanji setia (bai’ah) untuk beramal dengan hukum Allah SWT dan sunnah NabiNya. Seorang ketua merupakan pengganti kepada ummah.

3- Hanya seorang ketua untuk umat Islam (biasanya dipanggil sebagai Khalifah). Umat Islam dilarang untuk melantik ramai ketua dan berpecah menjadi negara-negara yang kecil. Sabda Nabi s.a.w. “Bila diberikan bai’ah kepada dua orang khalifah, maka bunuhlah orang yang kedua daripada mereka”. Riwayat Muslim. Realiti yang berlaku sekarang sebenarnya bercanggah dengan tuntutan Islam, dan kaum muslimin hendaklah berusaha ke arah kesatuan keseluruhan umat Islam di dunia, supaya mereka menjadi umat yang gagah dan disegani sebagaimana dalam Sistem Khilafah Islam yang lepas.

Tujuan Pelaksanaan Sistem Pemerintahan Islam

Antara tujuan pelaksanaan sistem pemerintahan Islam disamping ia adalah pengabdian kepada Allah SWT dengan memberikan ketuanan hanya kepada Allah SWT ialah:

1- Menegakkan keadilan dengan penuh kesempurnaan, samada keadilan sosial, keadilan ekonomi, keadilan pentadbiran dan politik, serta keadilan dalam sistem. Menegakkan keadilan merupakan faktor yang paling penting dalam kesinambungan sesebuah Negara, dan dalam Islam ia merupakan tugas yang paling utama bagi seorang Khalifah.

2- Memberikan kemaslahatan kepada ummah. Kerana inilah telah masyhur satu kaedah politik Islam, iaitu “Tindakan Imam (Pemerintah, Kahlifah) mestilah didasarkan kepada kemaslahatan (kepentingan) rakyat”. Dan kemaslahatan manusia keseluruhannya sebenarnya berada Syariat Allah SWT.

Ciri-ciri Sistem Pemerintahan Islam

Antara ciri yang perlu ada dalam sistem pemerintahan Islam ialah:-

1- Keadilan. Memandangkan tujuan uatama sistem pemerintahan Islam ialah menegakkan keadilan, maka sudah tentu ciri utama sistem ini ialah keadilan. Jika pemerintah melakukan kezaliman, maka sebenarnya dia telah lari daripada landasan sebenar sistem pemerintahan Islam, dan rakyat berhak menegurnya, bahkan memecatnya.

2- Syura (Permesyuaratan). Ia bererti bahawa kaum muslimin (pemerintah dan rakyat) hendaklah saling berbincang mencari keputusan dan pendapat yang terbaik dalam perkara yang tiada nas. Dan keputusan yang dibuat pula janganlah berlawanan dengan kehendak Syariat Islam. Perintah syura ini terdapat dalam al-Qur’an dan juga praktikal amali Rasulullah s.a.w. Ia merupakan satu perancangan yang teliti sebelum pelaksanaan sesuatu ketetapan dari pihak pemerintah.

3- Kepatuhan. Ini bererti warganegara Negara Islam hendaklah patuh kepada Negara (pemerintah) dan menyahut serta melaksanakan perintah dan tuntutan Negara. Kepatuhan kepada Negara ini merupakan satu kewajiban, tetapi diikatkan dengan syarat “tiada ketaatan dalam perkara yang bercanggah dengan Syariat Islam”. Dan bila arahan yang dikeluarkan bercanggah dengan Islam, maka rakyat tidak perlu mentaatinya, bahkan wajib menasihati pemerintah.

Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail. Sarjana Muda Shariah, Universiti Mu’tah, Jordan & Sarjana Pengajian al-Quran & as-Sunnah (Pengkhususan Hadis) UIAM, KL

Labels: , ,





XML

Powered by Blogger

make money online blogger templates



© 2006 TASEK PAUH blogspot | Blogger Templates by GeckoandFly.
Any part of the content or this blog can be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health